Antara Ankara dan Paris: Terserlah kemunafikan Barat dan dunia

Gambar BG 210316 (2)Imej-imej ngeri darah mereka yang tidak bersalah yang tertumpah di jalan-jalan di Ankara dan Istanbul telah menjadi fokus bualan umat Islam selepas dua siri letupan di kedua-dua bandar bersejarah tersebut mengorbankan lebih 40 orang dan mencederakan lebih 150 yang lain.

Walaupun dua letupan menggegarkan berlaku dalam tempoh tak sampai sebulan, ternyata simpati dunia tidak sampai ke Turki, berbanding simpati yang mencurah-curah sampai ke Paris selepas letupan di Charlie Hebdo. Tatkala syarikat akhbar itu dibom, dunia Barat bertindak balas dengan begitu pantas dan seluruh jentera propaganda digerakkan. Slogan “Je Suis Charlie” (kita semua Charlie), kempen hashtag #PrayForParis dan lain-lain kempen di media sosial digerakkan habis-habisan sehinggakan pentadbiran Facebook turut menggalakkan orang ramai untuk menukar gambar profil mereka dengan memaparkan bendera Perancis yang lutsiar (transparent) di hadapan gambar mereka.

Media di Barat telah memuatkan insiden di Perancis dalam siarannya secara terus-menerus sepanjang dua minggu selepas kejadian, seolah-olah sudah tiada berita lain di dunia ini, kecuali letupan di Paris! Kita juga menyaksikan para pemimpin dunia bertandang ke Perancis untuk berarak di jalan raya sebagai tanda simpati dan sokongan kepada mangsa. Antara yang hadir termasuklah si penyembelih Gaza, Benjamin Netanyahu dan lebih memualkan, berapa ramai dari pemimpin negeri kaum Muslimin turut berarak dalam suasana yang penuh kemunafikan.

Sedangkan Turki yang menerima nasib yang sama, ternyata tidak dilayan seperti itu oleh dunia, khususnya dunia Barat.

Mesej dan propaganda Barat, selain meloyakan tekak, sangat mudah untuk difahami: Darah orang Barat lebih mulia, lebih bernilai, lebih suci dan berharga daripada darah orang selain Barat. Inilah mesejnya dan mesej ini disedari oleh ramai Muslim, kecuali para pemimpin kaum Muslimin sahaja yang tetap membutakan mata dan memekakkan telinga demi memuaskan hati Barat yang menjadi tuan mereka.

Barat menghasilkan suasana beracun ini dengan tujuan mewujudkan tanggapan, baik secara nyata mahupun tersirat bahawa darah dan kemuliaan orang Barat adalah lebih agung di mata dunia, berbanding darah orang lain, apatah lagi darah umat Islam. Mentaliti penjajah yang merasakan diri mereka lebih mulia dari orang yang dijajah, tidak pernah lekang dari benak mereka.

Mereka berusaha untuk tunjukkan kepada dunia bahawa kaum dan pemikiran mereka lebih tinggi dan mesti dihormati oleh setiap orang. Inilah mentaliti yang mereka bentuk di negara mereka, sehingga apabila mereka memutuskan untuk menjajah, menyerang atau mengebom mana-mana negara, rakyat mereka rata-ratanya tidak mempunyai sebarang perasaan mahupun simpati, kerana mereka menganggap bahawa kerajaan mereka yang bertamadun sedang menjinakkan negara yang “mundur” dan “tidak bertamadun”.

Malah di Amerika, tanggapan “ketuanan Barat” ini telah wujud semenjak awal penubuhannya lagi, sebagaimana yang termaktub dalam Perisytiharan Kemerdekaan AS mengenai hal Orang Asal Amerika yang disebut sebagai “kaum gasar Indian (orang asli Amerika) yang tiada belas kasihan” (merciless Indian savages).

Sejak 1776 lagi, orang Amerika diajar bahawa penduduk asli ini tidak bertamadun dan dengan kepercayaan yang digelar “manifest destiny”, telah mengakibatkan pembunuhan jutaan orang asli Amerika di bahagian Utara negara itu, tanpa sebarang tindakan ke atas pembunuhan ini (“manifest destiny” merupakan kepercayaan meluas di Amerika Syarikat pada abad ke-19, bahawa peneroka berbangsa Eropah di Amerika ditakdirkan untuk mengembangkan ketamadunan ke seluruh benua Amerika Utara melalui penerokaan dan penguasaan).

Selain itu, rasa mulia sebagai orang “kulit putih” cukup menebal di AS sehingga diskriminasi terhadap orang “kulit hitam” dapat disaksikan sejak dulu hingga kini. Inilah yang terjadi di negara yang kononnya menjunjung tinggi hak asasi manusia itu, di mana mereka hakikatnya hanya meletakkan bangsa mereka sahaja sebagai tuan dan selain mereka merupakan hamba yang boleh diperlakukan sewenang-wenangnya. Inilah ‘tamadun’ mereka.

Justeru, tidak hairanlah kejadian letupan di Turki ini bukan sahaja tidak mendapat simpati mereka, bahkan mungkin mereka menyambutnya dengan gembira. Inilah kemunafikan yang dapat dilihat dengan nyata oleh mereka yang buta sekalipun. Malangnya para pemimpin umat Islam masih tetap tunduk dan menyanjung Barat yang munafik ini!