‘Reuni 212’ – bukti umat Islam mampu bersatu

Pada 2 Disember lalu, sebuah perhimpunan besar-besaran telah dianjurkan oleh pertubuhan-pertubuhan Islam Indonesia di tugu Monumen Nasional (MONAS), Jakarta. Perhimpunan yang dikenali sebagai ‘Reuni 212’ itu telah menjadi acara tahunan yang pada asalnya digerakkan oleh umat Islam secara berjamaah pada tahun 2016 bagi membantah penghinaan ke atas Al-Quran yang dilakukan oleh Gabenor Jakarta pada waktu itu, Basuki Tjahaja Purnama (atau lebih dikenali sebagai Ahok).

Rentetan kejayaan luar dugaan pada himpunan tahun 2016 itu, umat Islam telah mengadakan himpunan tersebut pada setiap tahun bagi meneruskan momentum kesedaran dan kebangkitan dengan tujuan untuk membela dan mempertahankan Islam.

Kini himpunan raksasa tersebut telah memasuki tahun keempat walaupun jumlah peserta kali ini tidak seramai tahun-tahun yang lalu. Meskipun seringkali dikaitkan dengan elemen radikalisme yang menjurus kepada kekacauan, namun ternyata himpunan itu telah berlangsung dengan aman tanpa sedikit pun kerusuhan sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh mereka yang dengki dan berkepentingan.

Ketika diminta memberikan komen mengenai himpunan tersebut, Jurucakap Hizbut Tahrir Indonesia, Ustaz Muhammad Ismail Yusanto melihat kejayaan penganjurannya sebagai bukti bahawa dakwaan perhimpunan 212 itu sebagai radikal yang boleh mengundang kekacauan itu ternyata tidak benar sama sekali. Beliau memberikan komen tersebut melalui aplikasi Whatsapp kepada wartawan dari Mediaumat.news pada Isnin lalu.

Ustaz Ismail yang ketika ini sedang menunaikan umrah turut menyatakan yang kejayaan himpunan tersebut menunjukkan bahawa di tengah-tengah umat Islam wujud kesedaran untuk membela Islam. “Kalau sebelumnya membela Al-Quran, lalu membela bendera tauhid, sekarang membela Rasulullah SAW”, ujarnya. Beliau merujuk kepada reaksi umat Islam yang dizahirkan semasa Reuni 212 pada tahun-tahun sebelumnya terhadap beberapa tindakan dan realiti yang terjadi.

Beliau juga menyatakan bahawa perhimpunan sebegini mencerminkan dan juga menunjukkan kerinduan umat Islam terhadap ukhuwah Islam, yang merentasi perbezaan organisasi dan pertubuhan, parti, mahupun mazhab.

Sementara itu, Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman, ketika diminta memberi komen tentang himpunan tersebut berkata, himpunan aman sebesar itu hanya dapat disaksikan di Indonesia setakat ini, yang menunjukkan kesungguhan yang luar biasa oleh umat Islam di sana terhadap penyatuan dan pembelaan Islam. Beliau bagaimanapun melahirkan harapan agar himpunan sebesar dan sehebat itu tidak “dirampas” atau dibengkokkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk meng-arah kepada nasionalisme atau lebih buruk, melahirkan dukungan kepada pemerintah. Saudara-saudara kita di Indonesia harus istiqamah mendukung dan memperjuangkan tegaknya Islam serta menjadikan himpunan tersebut dan himpunan-himpunan yang akan datang semata-mata kerana Allah, bukan kerana selainNya, tambah beliau.

Himpunan tersebut turut dihadiri oleh umat Islam dari beberapa negara lain dan mendapat liputan di beberapa negara, termasuk Malaysia.