Roadshow HTM 2010 Melabuhkan Tirainya
Selaku pembentang pertama, Ustaz Umar Hussein yang juga merupakan Timbalan Presiden HTM menjelaskan kepada hadirin akan kewajipan menegakkan Khilafah. “Umat Islam pada hari ini perlu berusaha bersungguh-sungguh bersama-sama dengan Hizbut Tahrir ke arah merealisasikan tujuan yang mulia ini,” tegasnya.
Ujar Umar lagi, jatuhnya Khilafah pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924) iaitu lebih kurang 90 tahun hijriyyah yang lalu, secara terang lagi bersuluh telah menyebabkan umat Islam di seluruh dunia sengsara. “Lebih malang, umat Islam kini dipimpin oleh para pemimpin sekular, yang secara terang-terangan mengabaikan kewajipan menerapkan Islam di dalam kehidupan samada di peringkat masyarakat mahupun negara,” ucapnya dengan penuh semangat.
Presiden HTM, yang juga merupakan bekas peguam dan pensyarah iaitu Ustaz Abdul Hakim Othman, menyambung acara ke kemuncaknya dengan tajuk “Selamatkan Dunia Dengan Khilafah” selari dengan misi siri jelajah kali ini. Ustaz Hakim menjelaskan kedudukan umat Islam yang lemah dan hina yang berpunca dari pemimpin sekular yang tidak menerapkan Islam dan mengabaikan tanggungjawabnya kepada rakyat. “Malah, pemimpin Islam sanggup menerapkan hukum kufur dan menjadi agen kepada Barat. Ini menyebabkan kesemua hukum Islam termasuklah hukum jihad telah diabaikan oleh pemimpin sekular ini”, tegas beliau. “Hasilnya umat Islam terus menderita kerana sistem kehidupan Islam yakni Khilafah tidak lagi menaungi dunia sebagaimana telah membuktikan keupayaan dan keberkesanannya di zaman pemerintahan Khilafah dahulu,” katanya.
Di akhir ucapannya, Hakim menegaskan dan menyeru agar umat Islam bersama dan berganding bahu dengan Hizbut Tahrir untuk menegakkan kembali Daulah Khilafah melalui thariqah (jalan) yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat yakni melalui jalan dakwah yang bersifat intelektual dan politik tanpa kekerasan.
Walaupun seminar siri jelajah Malaysia 2010 ini telah melabuhkan tirainya, ia hanyalah untuk sementara sahaja dan Insya Allah HTM akan meneruskan lagi usaha tanpa hentinya untuk menyeru dan terus berusaha menegakkan kembali Daulah Khilafah Ala Minhaj Nubuwwah.