Rombakan kabinet: hangatnya politik, kekalnya derita rakyat

Rombakan kabinet yang terbaru sekali lagi menghangatkan suasana politik tanah air apabila pelbagai pihak tampil melontarkan kritikan. Isu kaum, kelayakan, agihan jawatan, serta janji reformasi kembali menjadi modal polemik. Namun di sebalik riuh rendah perdebatan tersebut, satu hakikat yang sukar dinafikan tetap terserlah: rombakan kabinet sudah berulang kali berlaku dalam sejarah Malaysia, tetapi masalah rakyat tetap berpanjangan dan tidak pernah benar-benar selesai.

Dalam program secara langsung Kupas Tuntas Bersama Jurucakap HTM bertajuk “Rombakan Kabinet vs Rombakan Sistem, Mana Yang Malaysia Perlu?” pada Jumaat, 19 Disember 2025 jam 9.00 malam, Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia, Ustaz Abdul Hakim Othman telah mengupas isu rombakan kabinet dari sudut yang lebih mendasar. Menurut beliau, perbahasan yang berlegar sekitar “siapa dilantik” dan “kaum apa” hanyalah simptom kepada penyakit yang lebih besar, iaitu sistem pemerintahan sekular demokrasi yang menjadi kerangka kepada keseluruhan politik negara.

Ustaz Abdul Hakim menegaskan bahawa rakyat sebenarnya bukan sekadar mahu pertukaran nama atau wajah dalam kabinet, tetapi mahu kehidupan yang lebih baik. Masalah utama sekarang ini bukan terletak pada individu semata-mata, tetapi pada sistem demokrasi yang rosak lagi merosakkan kerana sistem ini mencampakkan hukum wahyu daripada pemerintahan.

Atas dasar itu menurut Jurucakap HTM itu, rombakan kabinet tidak akan pernah mampu menyelesaikan masalah rakyat kerana ia hanya menyusun semula “orang” dalam sistem yang sama. Selagi kerangka pemerintahan, perundangan, dan ekonomi kekal berasaskan acuan sekular-demokrasi, maka kabinet yang datang dan pergi tetap beroperasi dalam lingkaran kerosakan yang sama.

Beliau memberikan contoh bagaimana sistem demokrasi membenarkan orang-orang yang fasiq dan jahil tetap sahaja boleh diangkat menjadi pemimpin, bahkan orang-orang kafir, orang murtad, golongan LGBT sekalipun boleh menjadi pemimpin di bawah sistem kufur ini kerana tidak ada undang-undang yang menghalangnya.

Menurut beliau, ramai Muslim yang tidak mahu dipimpin oleh orang-orang sedemikian, bahkan mereka menolak sekeras-kerasnya orang-orang yang tidak layak seperti itu daripada menjadi pemimpin, malangnya mereka tidak menolak “sistem” yang membenarkan semua itu berlaku.

Atas dasar itu kata beliau, rakyat sebenarnya memerlukan sesuatu yang jauh lebih besar dan mendasar daripada rombakan kabinet, iaitu rombakan sistem. Sungguh malang apabila pembangkang dan para pengkritik tidak memahami perkara ini sehingga apa yang mereka pertikaikan hanyalah dari segi orangnya, tanpa mempertikaikan sistemnya.

Ringkasnya, rombakan kabinet hanya menukar orang yang berada di kerusi, tetapi tidak pernah menukar sistem pemerintahan dalam negara. Selagi kerangka pemerintahan tidak dirombak, selagi itulah rombakan kabinet akan terus menjadi berita besar dan hangat yang akhirnya tidak membawa penyelesaian kepada kehidupan rakyat.