Apa Guna Kabinet Berubah Jika Sistem Tetap Sama?

Perubahan kabinet pertama di bawah PMX menyaksikan jumlah menteri bertambah daripada 28 kepada 31 orang manakala timbalan menteri bertambah daripada 27 kepada 29 orang. Apa pun alasan yang diberikan dengan pertambahan ini, ia tidak boleh menutup mulut pengkritik kerana semasa awal pelantikannya, PMX mengumumkan langkah penjimatan sehingga tidak mahu mengambil gaji, manakala kesemua menteri kabinet pula dipotong gaji sebanyak 20 peratus.

Malah banyak lagi langkah penjimatan lainnya dilakukan pada waktu itu. Apa sudah jadi dengan kesemua langkah penjimatan tersebut sekarang? Atau kerajaan kini sudah cukup kaya sehingga sudah tidak memerlukan langkah penjimatan lagi?

Umum mengetahui bahawa penstrukturan semula kabinet merupakan kuasa prerogatif Perdana Menteri, dan seseorang Perdana Menteri sudah pasti tidak akan melakukannya tanpa sebarang tujuan atau agenda yang menguntungkan dirinya, partinya dan kerajaannya.

Jika Perdana Menteri bakal dapat memenuhi kepentingannya melalui penstrukturan semula kabinet, persoalannya apakah yang rakyat bakal dapat? Apakah kehidupan rakyat akan lebih baik? Apakah kos sara hidup akan menurun atau kemelut kewangan rakyat akan pulih? Apakah negara ini akan menjadi lebih sejahtera dan makmur di bawah kabinet baru?

Persoalan seterusnya yang jauh lebih penting daripada semua itu ialah, apakah kedudukan Islam akan bertambah baik di Malaysia?

Sudah pasti semua itu tidak akan berlaku, kerana tujuan rombakan kabinet bukanlah untuk mencapai semua itu! Jauh sekali untuk menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai perlembagaan dan undang-undang baru negara, menggantikan perlembagaan dan undang-undang yang diwarisi daripada penjajah selama ini.

Jadi, tidak ada apa-apa yang dapat diharapkan, dan tidak ada apa-apa perubahan yang akan berlaku dengan sedikit perubahan dalam barisan kabinet yang telah diisytiharkan oleh PMX ini. Sebahagian besar pemain masih orang yang sama, dengan pemikiran yang sama, dengan perangai yang sama, dengan agenda yang juga sama, dan dengan track record yang sudah pun diketahui.

Manakala beberapa orang pemain baru sebenarnya merupakan pemain lama yang dikitar semula sahaja, dan yang betul-betul baru pula ialah mereka yang diyakini akan hanya mengikuti rentak pemain lama, dan sudah pasti akan tunduk patuh kepada orang yang membawanya masuk.

Baik pemain lama mahupun pemain baru, kesemuanya bermain dalam gelanggang demokrasi yang sama, dengan peraturan yang sama, dengan pengadil yang sama, malah mempunyai matlamat serta cita-cita yang sama. Dengan semua fakta ini, apakah yang dapat diharap oleh rakyat?

Sesungguhnya Malaysia tidak akan baik kecuali dengan berlakunya perubahan total, daripada sistem demokrasi sekular menuju penerapan Islam secara kaffah, dan hal ini tidak akan berlaku dengan rombakan kabinet, tetapi hanya akan berlaku dengan rombakan sistem, dan rombakan pemikiran para pemegang kekuasaan.

Wallahu a’lam.