Rumahku Syurgaku: Kehidupan Khusus Yang Aman Bagi Seorang Wanita
Oleh : Maryam Ismail
Secara alaminya kita sebagai manusia menjalani kehidupan dalam dua keadaan iaitu dalam kehidupan umum dan dalam kehidupan khusus. Kehidupan umum merupakan kehidupan yang dijalani oleh setiap individu ketika berada di tempat awam untuk melakukan pelbagai aktiviti dan urusan seperti bersosial dan bermuamalah antara masyarakat. Kehidupan khusus pula merupakan kehidupan yang dijalani oleh setiap individu ketika berada di tempat yang tertutup dan memerlukan keizinan untuk memasukinya. Antara tempat khusus yang penting bagi seorang wanita ialah rumah atau kediaman sama ada kediaman tersebut didiami secara sendirian atau tinggal bersama-sama keluarga atau sahabat sesama jantina. Perbincangan kali ini akan memfokuskan rumah sebagai tempat khusus yang mengandungi peraturan dalam Islam yang perlu benar-benar difahami oleh semua penghuni rumah bagi memastikan rumah yang didiami benar-benar menjadi tempat khusus yang selamat kepada para wanita.
Masalah bermula apabila masih ramai yang merasakan seorang wanita yang tinggal sebumbung bersama-sama lelaki ajnabi tanpa mahram adalah satu hal yang biasa. Sudah menjadi kebiasaan dalam budaya masyarakat kita wujud lelaki ajnabi seperti abang atau adik ipar (lelaki) yang tinggal bersama-sama dengan wanita di dalam sebuah kediaman. Kebiasaan ini bukanlah budaya kehidupan Islam. Namun, jika ada keperluan mendesak untuk tinggal sebumbung, maka banyak perkara perlu diambil kira seperti aurat seorang wanita, bilik khusus untuk wanita, batasan pergaulan dan peranan mahram dalam menjaga dan melindungi wanita daripada lelaki ajnabi. Wanita tidak boleh ditinggalkan sendirian di dalam rumah bersama-sama dengan abang ipar, adik ipar lelaki mahupun mana-mana lelaki ajnabi walau dalam apa-apa jua keadaan. Begitulah peraturan apabila berada di tempat khusus, iaitu larangan berkhalwat walaupun ketika berada di rumah sendiri, rumah sewa, rumah rakan, asrama, jiran tetangga mahupun bilik sewa yang dijadikan tempat tinggal. Oleh sebab itu, Islam mewajibkan setiap suami menyediakan tempat tinggal yang aman dan selamat kepada wanita daripada pandangan lelaki ajnabi.
Seperti yang dibincangkan di awal tadi, kehidupan khusus adalah tempat yang memerlukan izin untuk seseorang masuk ke dalamnya. Namun, budaya masyarakat hari ini sering menafikan hak tuan rumah untuk menolak kehadiran tetamu kerana beranggapan tindakan tersebut sebagai tidak beradab. Untuk merungkai permasalahan berkaitan tempat khusus ini, maka kita harus menyelesaikannya dengan acuan Islam kerana Islam bertindak sebagai mu’alajah li masyakil al-insan. Islam telah menetapkan kehidupan khusus seseorang di dalam rumahnya adalah berada dalam kawalan dan kuasa penuh pemilik tempat khusus tersebut. Islam melarang dengan tegas individu yang masuk ke dalam rumah orang lain tanpa izin sebagaimana firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu selalu ingat” [TMQ an-Nur (24) : 27]
Rasulullah SAW telah bersabda, “Siapa sahaja yang memasukkan pandangannya ke dalam rumah orang lain tanpa izin penghuninya, bermakna dia telah menghancurkan rumah itu.” [HR at-Thabrani]
Manakala Imam Abu Dawud juga ada menuturkan riwayat seperti berikut:
Seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Adakah aku wajib meminta izin kepada ibuku?” Beliau menjawab, “Tentu sahaja”. Lelaki itu kemudian berkata lagi, “Sesungguhnya ibuku tidak memiliki pembantu selain dariku. Lalu, adakah setiap kali aku masuk (rumah) perlu meminta izin?” Kemudian ditanya oleh Rasulullah SAW, “Adakah kamu suka melihat ibumu telanjang?” Lelaki itu pun berkata, “Tentu tidak.” Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Oleh itu, mintalah izin kepadanya”.
Permohonan izin ini sangatlah ditekankan dalam Islam. Jika tidak mendapat keizinan, maka kita tidak berhak memaksa dan ‘mencerobohi’ kediaman orang lain tanpa kerelaan pemilik rumah tersebut. Malah, sekiranya penghuni rumah meminta tetamu untuk pulang, maka wajib hukumnya bagi tetamu itu pulang tanpa menyimpan sebarang perasaan dendam atau buruk sangka terhadap penghuni rumah tersebut. Allah SWT berfirman:
“Jika kamu tidak menemui sesiapa pun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat keizinan. Dan jika dikatakan kepadamu, “Pulang (sahajalah), maka hendaklah kamu pulang. Demikan itu lebih bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.” [TMQ an-Nur (24) : 28]
Dalil-dalil di atas dengan jelas menunjukkan bahawa Islam sememangnya memberikan pengkhususan terhadap kehidupan khusus. Namun, jika rumah yang hendak dimasuki itu tidak berpenghuni, situasi ini dilihat dari aspek keperluan untuk memasuki rumah itu. Jika kita benar-benar memiliki keperluan yang dibenarkan syarak, maka rumah tidak berpenghuni itu boleh dimasuki walaupun tanpa izin pemilik rumah tersebut. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT:
“Tiadalah dosa atasmu memasuki rumah yang tidak didiami, yang di dalamnya ada keperluanmu dan Allah mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan. [TMQ an-Nur (24) : 29]
Hukum yang dibincangkan di atas tidak berjalan kepada kanak-kanak dan hamba sahaja. Bagi kanak-kanak dan hamba sahaya, mereka boleh sahaja masuk ke tempat khusus tanpa mendapat keizinan kecuali pada tiga waktu yang dilarang, iaitu sebelum solat subuh, menjelang Zuhur dan selepas solat Isyak. Waktu-waktu itu dianggap sebagai ‘aurat’ kerana pada waktu itu kebiasaannya penghuni rumah tersebut hendak menggantikan bajunya sesuai dengan firman Allah dalam surah an-Nur ayat 58-59.
Dengan ini, kita dapat menyaksikan bahawa hukum Islam sangat memelihara kehidupan khusus setiap wanita daripada diceroboh oleh orang yang diharamkan untuk melihat auratnya. Hal ini kerana bagi wanita Muslim, kehidupan khususnya di rumah adalah hanya bersama sesama wanita ataupun bersama mahramnya yang membolehkan mereka memperlihatkan aurat kebiasaannya di rumah. Allah SWT berfirman:
“Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka atau putera-putera mereka atau putera-putera suami mereka atau saudara-saudara lelaki mereka atau putera-putera saudara lelaki mereka atau putera-putera saudara perempuan mereka atau wanita-wanita Islam atau budak-budak yang mereka miliki atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan terhadap wanita atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita” [TMQ an-Nur (24) : 31]
Wallahu’alam.