Saatnya Menjadi Pengemudi Kemenangan

 

Oleh : Athirah Abd Rahman

Bulan Ramadan menjadi pencetus perubahan kepada kaum Muslimin yang menginginkan kemenangan di dunia dan di akhirat. Saban tahun momentum Ramadan berjaya merealisasikan impian sebahagian kaum muslimin untuk berubah menjadi  muslim yang lebih baik. Namun, kemenangan sebenar  sukar dicapai sepenuhnya  kerana aspirasi rakyat tidak seiring dengan aspirasi negara. Tatkala kita berazam pada bulan Ramadan untuk  meninggalkan kemaksiatan, sebaliknya pintu-pintu maksiat terbuka sebesar-besarnya di depan mata kita. Pinjaman beriba’ terus subur dalam perbankan di negara ini. Pelbagai bentuk hiburan turut disajikan kepada kita semua di media massa dan media sosial. Kaum wanita terus bebas berpakaian mengikut trend sendat dan singkat. Sukarnya mengawal ikhtilat (pergaulan) yang tidak terbatas. Semua keharaman ini terus subur dan rancak di negara umat Islam ini. Tatkala kita secara individu berusaha sehabis baik untuk mengikat diri dengan hukum syarak, namun jika negara tidak mengerahkan seluruh tenaga dan usaha untuk menerapkan hukum Islam di negara ini, maka kemenangan sebenar tidak akan tercapai.

Peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang tahun 2021 sewajarnya dijadikan sebuah pengajaran kepada umat Islam agar melakukan perubahan mendasar yang membawa kepada sebenar-benar kemenangan kepada kita. Banyak peristiwa yang dapat dijadikan iktibar, antaranya pada awal tahun 2021 lagi, masyarakat Malaysia dihebohkan dengan isu scammer yang semakin berleluasa. Ada sahaja yang menjadi mangsa walaupun pihak berkuasa telah memberikan pendedahan tentang  ancaman scammer agar kita lebih berhati-hati. Malangnya, bilangan mangsa scammer terus meningkat. Mengapa para scammer ini terus rancak memasang jerat? Terdapat beberapa sebab dan salah satunya ialah sebahagian mangsa adalah terdiri daripada masyarakat yang terdesak dan memerlukan wang untuk meneruskan hidup di negara kapitalis ini. Tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat boleh  menyebabkan seseorang itu sanggup melakukan apa-apa sahaja!

Selain itu, pada bulan Mei tahun lalu, isu kenaikan harga daging turut menjadi perbualan hangat masyarakat Malaysia. Seakan-akan tidak menjumpai jalan penyelesaian, isu kenaikan harga makanan merupakan isu yang berulang-ulang saban tahun. Kenaikan kos isi rumah ini pastinya memberikan tekanan luar biasa kepada pelbagai lapisan masyarakat. Namun, tekanan yang wujud di tengah-tengah masyarakat ini langsung tidak mampu mengubah pendirian negara untuk menghalang kenaikan harga barang. Inilah yang berlaku apabila sesebuah negara didasari dengan sistem kapitalis yang sentiasa mengutamakan keuntungan.

Bukan itu sahaja, peristiwa menyayat hati yang menimpa adik Bella turut membuka mata masyarakat Malaysia tentang nasib kanak-kanak. Bukan sedikit kes penganiyaan ke atas kanak-kanak berlaku di negara kita mahupun di seluruh dunia. Isu penderaan ke atas kanak-kanak yang mencecah empat angka pada setiap tahun adalah petunjuk bahawa sistem sedia ada tidak mampu untuk memberi keamanan dan kesejahteraan kepada kanak-kanak.

Selain isu-isu di atas, isu rasuah turut menjadi antara isu hangat pada tahun 2021. Isu rasuah di negara kita terus menjadi isu tahunan atau isu bulanan  yang  tidak menunjukkan apa-apa tanda bahawa kerosakan intergriti ini akan berakhir. Pelbagai cara  dilakukan oleh pemimpin negara dalam usaha menghentikan rasuah, namun kes rasuah bukan sahaja tidak dapat diselesaikan, malah semakin berleluasa bahkan turut subur di barisan kepimpinan negara. Sesuatu yang amat mustahil untuk diselesaikan selagi kita hidup dalam sistem buatan manusia yang mendidik manusia menjadi hamba dunia, tidak takut dengan ancaman Allah akibat suburnya sifat tamak.

Pada tahun lalu juga, sekali lagi berlaku pertukaran kerusi Perdana Menteri tanpa pilihan raya apabila Tan Sri Muhyiddin Yasin meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri kelapan pada bulan Ogos. Keadaan politik yang tidak stabil bagi sesebuah negara hanya akan menambahkan lagi keperitan dan kepayahan rakyat dalam menjalani kehidupan seharian. Pertukaran pemimpin tanpa berubahnya sistem sememangnya tidak dapat menjamin kehidupan rakyat Malaysia yang lebih baik. Lebih memburukkan keadaan apabila hutang negara terus bertambah hingga mencecah RM1.02 trilion.

Semua ini memberi mesej bahawa sistem sekular yang sedang diguna pakai oleh para pemimpin hari ini gagal membawa kesejahteraan hidup kepada seluruh rakyat. Sistem Sekular ini hanya menjadikan kehidupan rakyat semakin sempit seperti yang kita lihat pada hari ini. Benarlah firman Allah dalam surah at-Taha bahawa kehidupan manusia menjadi sempit apabila kita berpaling daripada-Nya.

“Dan barang siapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sungguh, dia akan menjalani kehidupan yang sempit, dan Kami akan mengumpulkannya pada hari Kiamat dalam keadaan buta,” [TMQ Taha (20);124].

Refleksi Perjuangan Dakwah Saat ini

Peristiwa lalu telah memberikan banyak sekali iktibar buat kita. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh negara, NGO dan pelbagai pihak ke arah perubahan yang lebih baik namun pengakhirannya adalah kegagalan. Rakyat Malaysia terus dihimpit dengan pelbagai masalah. Pertukaran pemegang jawatan pada peringkat kepimpinan yang silih berganti tetap tidak mampu mewujudkan perubahan sebagaimana yang diharapkan, malah politik kita semakin bercelaru, ekonomi semakin merosot, masalah sosial juga kian meruncing,  bilangan murid yang ketinggalan dalam pendidikan kian bertambah dan sebagainya. Bukan itu sahaja, generasi muda semakin hilang arah dan terpengaruh dengan budaya hedonisme.

Iktibar yang patut kita ambil ialah perubahan yang boleh mewujudkan perubahan hakiki tidak cukup hanya bermodalkan semangat atau kesedaran tentang kerosakan sistem semata-mata. Namun, kesedaran yang perlu ada ialah tentang ke mana perubahan itu harus diarahkan. Inilah yang disebut sebagai kesedaran ideologi. Kita tidak hanya sedar akan pentingnya menggantikan orang dan sistem yang rosak, malah memahami bahawa sistem pengganti yang baik dan seharusnya diperjuangkan itu hanyalah sistem yang ditetapkan oleh al-Khaliq, iaitu sistem Islam. Ya, perjuangan kita perlu berfokus kepada pelaksanaan sistem Islam dan bukan selain daripadanya.

Rasulullah SAW telah memberikan contoh kepada kita tentang cara untuk melakukan sebuah perubahan yang hakiki. Sejak baginda diutus menjadi Rasul, aktiviti utama baginda ialah dakwah dan amar makruf nahi mungkar. Baginda mengajak masyarakat agar menerapkan aturan Allah SWT dan bahkan memperjuangkannya. Dakwah yang dilakukan oleh baginda SAW bukan semata-mata berorientasikan pada perubahan individu tetapi berorientasikan pada perubahan sistemik. Baginda mengubah sistem politik, sistem perundangan, sistem ekonomi, dan sistem sosiobudaya yang jahil ke arah sistem Islam yang sempurna.

Ketika Rasulullah SAW melakukan perubahan, baginda menerapkan Islam secara kaffah (menyeluruh) dengan menegakkan Daulah Islam di Madinah. Daulah Islam inilah yang secara efektif dapat menerapkan syariah Islam secara kaffah sekaligus mampu menyingkirkan pelbagai sistem dan kehidupan jahiliyah.

Bulan Ramadan Adalah Bulan Futuhat Dan Kemenangan

Sejarah telah mencatat bahawa fuhuhat dan kemenangan perkembangan peradaban Islam dicapai dan terjadi pada bulan Ramadan. Antara perangnya ialah Perang Badar al-Kubra (2 H),  Pembebasan Kota Makkah  (8 H), Pembukaan Kota  Andalusia “Al-Jazirah al-Hadhra” di Eropah (88 H), Penaklukan Kota Amuriah (223 H),  Pertempuran Hiththin (584 H), Perang A’in Jaluth (658 H) hingga Pertempuran “Bilath asy-Shuhada” ketika kaum Muslim tiba di tembok Francis  (1400 H).

Rahsia kemenangan demi kemenangan yang diperoleh kaum Muslim adalah apabila Islam diterapkan secara menyeluruh dalam kehidupan. Mereka memiliki kekuatan penuh. Mereka memiliki negara yang menerapkan Islam secara keseluruhan dalam aspek kehidupan. Semasa Rasulullah SAW hidup, kemenangan itu diperoleh ketika baginda menjadi ketua negara dan semasa kaum Muslim hidup dalam  naungan Khilafah Islamiyah dengan pimpinan seorang khalifah.

Hanya dengan kepemimpinan politik Islam ini (Khilafah) dan dipimpin oleh seorang khalifah, Islam akan dapat diterapkan dan diamalkan dengan sempurna. Ini kerana, kemuliaan kaum Muslim terletak pada pengamalan dan pelaksanaan Islam. Sebaliknya, tanpa sistem Khilafah, banyak sekali hukum Islam yang diabaikan dan tidak dapat dilaksanakan yang akhirnya membawa kepada kesengsaraan kepada umat. Kekuatan dan potensi umat Islam pada masa ini juga tidak kelihatan. Umat Islam duduk pada kedudukan yang rendah.

Khatimah

Oleh yang demikian, untuk memastikan kejayaan sebuah perubahan, tidak ada cara lain yang boleh kita lakukan melainkan melakukan segala yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW iaitu melakukan amar makruf nahi mungkar dan menggantikan sistem rosak yang selama ini menjadi landasan dalam mengatur seluruh aspek kehidupan. Kita perlu optimis pada kemenangan hakiki, iaitu penerapan seluruh syariat Islam dan tertegaknya semula Khilafah. Ini merupakan janji Allah. Namun, kemenangan ini perlu diusahakan dan diperjuangkan dengan sekuat tenaga. Perjuangan ini memerlukan keimanan yang tinggi daripada para pejuangnya. Perjuangan ini juga memerlukan keikhlasan yang menuntut para pejuangnya agar berusaha keras dan bersungguh-sungguh. Maka kita tidak boleh hanya diam menunggu tetapi turut serta dan menyumbangkan seluruh potensi yang dimiliki untuk merealisasikannya. Semoga Ramadan kali ini terus menjadi momentum kepada seluruh umat Islam agar menggembleng tenaga dan berganding bahu dalam melakukan perubahan hakiki menuju kemenangan hakiki.

Firman Allah SWT, “Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolong dan meneguhkan kedudukan kalian” [TMQ Muhammad (47): 7].

Wallahua’lam

Sumber rujukan

1) Astro Awani (18/2/2021) – Laporan Khas: Sindiket keldai akaun: Rela atau paksa?

2) Astro Awani (8/5/2021) – Daging Oh Daging: Harga makanan ruminan meningkat, apa puncanya?

3) Utusan (12/7/2021) – Keadilan Buat Adik Bella

4) SH (19/7/2021)- Dulu bagi rasuah tengah laut, sekarang semua online

5) BH (16/8/2021)- Muhyiddin letak jawatan Perdana Menteri

6) SH (29/10/2021)- Hutang luar Malaysia RM1.02 trilion sehingga akhir Jun 2021

7) HM (1/12/2021)- 1,076 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan hingga September