Said Dali, anggota Hizbut Tahrir kembali ke rahmatullah

“Ayah rebah semasa membentangkan sejadah untuk solat maghrib berjemaah bersama kami”, jelas salah seorang anak Said Dali bin Kanja Ahmad, anggota Hizbut Tahrir yang menghembuskan nafas terakhirnya pada 26 Mac lepas. Al-marhum meninggalkan tiga orang anak dan seorang isteri. Arwah merupakan seorang yang mudah didekati dan disenangi oleh rakan-rakan.

Setelah rebah sebelum sempat menunaikan solat maghrib, anak-anak beliau lalu memanggil jiran untuk membantu. Beliau kemudian terus dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia setiba di hospital.

Said Dali yang lebih mesra dengan panggilan Abang Ali, 52, tinggal di Pasir Gudang, Johor dan menyertai Hizbut Tahrir pada tahun 2001. Beliau merupakan seorang yang komited dengan dakwah di sepanjang hidupnya. Walaupun mengidap sakit jantung, tetapi perjuangannya untuk menegakkan Khilafah tidak pernah luntur. 

Hizbut Tahrir Malaysia dengan ini merakam takziah di atas pemergian beliau dan mendoakan semoga beliau ditempatkan bersama para syuhada’, as-siddiqin wa as-solehin. Amin ya Rabbal alamin.