Bapa Mertua Presiden HTM Kembali Ke Rahmatullah

Innalillahi wa inna ilaihi raji’un…Sekalung takziah buat Presiden Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman, ibu mertua, isteri, anak-anak serta keluarga beliau dengan kembalinya bapa mertua beliau Al-Marhum Hj. Md Nor Bin Abu Omar ke rahmatullah pada hari Sabtu 26hb Jun 2010. Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.
Al-Marhum Hj. Md Nor, 66, meninggal di Wad Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) lebih kurang jam 4.15 petang.  Pada 21hb lepas, Allahyarham telah pun dikejarkan ke wad yang sama akibat pendarahan usus dan telah ditahan beberapa hari di wad sebelum dibenarkan keluar pada 24 Jun. Bagaimanapun, pada tengahari 26 Jun lepas,beliau mengadu sakit perut dan mengalami pendarahan sekali lagi. Beliau terus dibawa dengan ambulan dan dikejarkan ke bahagian kecemasan PPUM dan disahkan meninggal 3 jam kemudian.

Allahyarham di masa hayatnya merupakan seorang yang tidak pernah lekang belajar di dalam kelas-kelas Hizbut Tahrir dan sering mengikuti ceramah-ceramah anjuran Hizbut Tahrir. Dalam keadaan kesihatan beliau yang tidak menentu di masa hayatnya, beliau tidak pernah jemu memberi sokongan dalam semua bentuk yang terdaya, kepada isteri, menantu-menantu dan anak cucu-anak cucunya terhadap perjuangan menegakkan Islam dan mengembalikan semula Daulah Khilafah di bumi Allah ini.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan beliau di kalangan para solihin, asy-syuhada’ wal anbiya’. Amin ya Rabbal Alamin.