Sama ada PETROS mahupun PETRONAS, Hak Rakyat Harus Dikembalikan

Berita:

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyangkal laporan sebuah laman web yang menyamakan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dengan 1Malaysia Developmet Berhad (1MDB). Abang Johari ketika berucap pada perasmian Limbungan Fabrikasi Demak di Jalan Bako dekat sini hari ini, menegaskan bahawa laporan tersebut adalah tidak benar dan berniat jahat.

“PETROS adalah tidak sama dengan 1MDB seperti yang ditulis oleh laman web berkenaan. PETROS adalah badan berkanun. Seperti yang saya katanya, kita mempunyai pengurusan yang telus dan PETROS hanya sebuah organisasi yang ditubuhkan oleh Kerajaan Sarawak untuk memastikan orang Sarawak dapat menyertai sektor huluan dan hiliran industri minyak dan gas.

Sumber: https://www.utusanborneo.com.my/2019/03/04/jangan-samakan-petros-dengan-1mdb

Komentar:

Isu berkaitan royalti minyak memang sering dikumandangkan oleh pelbagai pihak, terutamanya negeri-negeri pengeluar minyak dan gas di Malaysia. Sebagai salah sebuah negeri pengeluar terbesar minyak dan gas di Malaysia, pemimpin tempatan di negeri Sarawak sering mengutarakan tuntutan royalti ini agar mendapat lebih banyak bahagian berbanding sejumlah 5% yang diperoleh selama ini. Tuntutan itu akan lebih nyaring dikumandangkan di kala pilihan raya negeri yang bakal diadakan tidak lama lagi. Terbaru, dengan penguatkuasaan cukai jualan minyak dan gas sebanyak 5% oleh kerajaan negeri terhadap syarikat-syarikat minyak yang menjalankan operasi di Sarawak, ia diharap bakal “menambah” jumlah pendapatan kerajaan negeri. Penubuhan PETROS oleh Kerajaan Negeri Sarawak pula bukanlah penyelesaian kepada masalah sebenar, tetapi ia bakal mengulangi kitaran kepincangan pengurusan pemilikan umum ini.

Apa yang ramai terlepas pandang mengenai isu ini ialah berkaitan dengan pemilikan sumber asli ini. Dalam Islam, pemilikan sumber asli ini merupakan sebahagian daripada pemilikan umum iaitu setiap rakyat berhak untuk menikmati manfaat yang diperoleh daripadanya. Sumber asli yang banyak di Sarawak, dan juga di negeri-negeri lain haruslah dikongsikan bersama setiap rakyat. Namun begitu, pengurusannya terletak di bawah tanggungjawab pemerintah dan merupakan satu keharaman sekiranya ia tidak ditakbir urus dengan cara yang ditetapkan oleh Islam. Dengan mengenakan cukai jualan sebanyak 5% kepada syarikat minyak dan gas yang beroperasi di Sarawak tidak akan menjadikan manfaat yang ada pada hak milik umum ini akan kembali kepada rakyat. Hal ini demikian kerana, pemerintahlah yang sepatutnya mengelolakan hak milik umum ini dan mengagihkan manfaat yang diperoleh daripadanya kepada rakyat dan bukannya sekadar mengutip cukai daripada syarikat-syarikat ini. Ia bukanlah terbatas kepada industri minyak dan gas semata-mata, tetapi juga terhadap pemilikan umum yang lain seperti kekayaan yang dihasilkan daripada kayu balak, arang batu, dan segala hasil bumi yang lain. Lebih buruk sekiranya apa yang dilakukan oleh pemerintah Sarawak sekarang hanyalah sekadar modal politik untuk menarik sokongan daripada rakyat menjelang pilihan raya.

Ir. Yusuf Muhammad, P.Eng
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia

Get real time updates directly on you device, subscribe now.