Samseng: rakyat sudah muak penjelasan kerajaan

Gambar UL 230415Insiden pergaduhan dan pembunuhan yang berlaku di Bandar Bukit Mewah, Kelang beberapa hari lepas tidak harus dipandang ringan. Dalam kejadian pada pukul 1.45 pagi itu yang dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan kawalan keselamatan, lima samseng bertindak menyerang tujuh pengawal keselamatan sebelum membakar hidup-hidup salah seorang daripada mangsa.

Lebih menyedihkan, mangsa yang terbunuh, Muhammad Ridzhuan Che Bi, 26, baru dua bulan mendirikan rumah tangga, manakala enam rakannya cedera ditetak menggunakan senjata tajam dan seorang berada dalam keadaan parah.

Dalam perkembangan yang sama, Zahid mengakui terdapat penglibatan kongsi gelap dan samseng dalam syarikat kawalan keselamatan di negara ini.

Berikutan itu, arahan serta-merta dikeluarkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, untuk mengenal pasti lokasi panas kepada aktiviti gengsterisme yang akan diperangi habis-habisan. Pada masa yang sama, beliau turut mengarahkan polis memburu hingga ke lubang cacing kumpulan samseng yang terlibat dalam insiden tersebut.

Sekali diketuk sekali berbunyi, itulah ibarat jawapan kerajaan kepada masalah gengsterisme ini. Jika tidak berlaku sebarang kejadian, maka kerajaan diam sahaja. Bila telah berlaku pembunuhan dan pergaduhan, maka baru kerajaan berbunyi.

Usaha untuk menghapuskan kongsi gelap dan samseng ini hanya indah khabar dari rupa. Kita masih ingat satu ketika dulu puluhan senarai kongsi gelap dikeluarkan oleh kerajaan dan ungkapan yang sama kita dengar yakni polis akan buru mereka hingga ke lubang cacing. Apa jadi? Ternyata hingga kini tidak kedengaran satu kongsi gelap pun yang dah berkubur ditanam kerajaan. Malah dengan pengakuan Zahid yang adanya kongsi gelap dalam syarikat kawalan keselamatan menunjukkan yang kerajaan masih tetap berkompromi dengan mereka walaupun kerajaan tahu mengenainya.

Kerana itu, tidak hairanlah kalau kita mendengar terlalu banyak khabar yang menyatakan bahawa polis dan orang-orang politik sendirilah yang melindungi banyak kongsi gelap dan samseng ini, sebab itu mereka dapat melakukan aktiviti semahu mereka.

Nampaknya sudah tiada tempat selamat lagi di Malaysia ini. Kes pembunuhan, ragut, rogol, culik, curi, rompakan dan lain-lain sudah menjadi santapan harian warganegara. Bukan sahaja di luar rumah, malah di rumah pun kita merasa tidak selamat dengan meningkatnya kes pecah rumah di sana-sini. Bahkan di taman perumahan kita sendiri pun hampir tidak putus kes ragut dan pecah rumah yang kita dengar dan saksikan sendiri.

Sesungguhnya segala kerosakan ini tidak dapat dipisahkan dari kerosakan pemimpin dan sistem yang diamalkan pada hari ini. Sistem demokrasi-kapitalisme pada hari ini hanya melahirkan pemimpin yang buruk yang mementingkan diri sendiri dan melahirkan segala macam kerosakan dan jenayah. Penjenayah besar dan terancang sering terlepas dari undang-undang kerana penguatkuasaan undang-undang yang longgar, malah dilindungi oleh mereka yang berkuasa. Ini membuktikan yang undang-undang kufur yang diterapkan pada hari ini ternyata gagal membendung masalah ini, sebaliknya menyuburkannya lagi.

Rakyat sudah muak dengan jawapan kerajaan ingin membanteras kongsi gelap, samseng dan jenayah kerana realiti penyelesaiannya tidak pernah kita saksikan. Sebaliknya, rakyat hidup dalam ketakutan dari hari ke hari dengan jenayah dan segala bentuk kerosakan yang berlaku di sekitar kita. Tidak ada lagi pemimpin yang menjaga rakyat sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah SAW,

“Pemimpin itu pemelihara dan ia akan ditanya (dihisab) darihal pemeliharaan (rakyat)nya” [HR Bukhari].

Di akhirat nanti, kita bukan hanya akan mendakwa penjenayah di atas kejahatan yang mereka lakukan, namun kita juga akan mendakwa para pemimpin yang tidak menjaga kita semua sehingga penjenayah boleh melakukan sewenangnya kepada kita.

[sumber: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/buru-samseng-hingga-lubang-cacing-8211-zahid-1.82846 ; http://www.utusan.com.my/berita/nasional/samseng-terlibat-dalam-syarikat-kawalan-keselamatan-zahid-1.82965]