Satu Gadis, Kebebasan Didahulukan Dan Nafsu Syaitan Diutamakan
Beliau berkata, pada mulanya mangsa menemui dua suspek dikenalinya yang datang dengan dua buah motosikal pada pukul 9.15 malam. “Mangsa kemudian membonceng salah sebuah motosikal dan dibawa ke sebuah ladang kelapa sawit,” katanya ketika dihubungi hari ini. Menurut Yahaya lagi, sebaik tiba di kawasan ladang itu kira-kira pukul 9.30 malam, muncul pula 13 lagi mat rempit daripada kumpulan berkenaan. “Mangsa kemudian diraba, kaki dan tangannya dipegang lalu dirogol bergilir gilir di tempat kejadian sehingga menyebabkan kecederaan teruk di bahagian kemaluannya,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia, 19/04/09
Satu Malaysia….Satu Gadis, Kebebasan Didahulukan Dan Nafsu Syaitan Diutamakan
Belum sampai sebulan rakyat Malaysia dimenterakan dengan slogan ‘Satu Malaysia! Rakyat didahulukan! Pencapaian diutamakan!’ oleh seorang rakyat Pekan, geng Mat Rempit di Pekan telah menyeru kepada slogan yang lain pula dengan menjadikan seorang gadis mangsa mereka apabila idea kebebasan didahulukan, nafsu buas diutamakan. Akhirnya, kehendak syaitan diikuti, redha Allah SWT ditolak tepi.
Sejak kebelakangan ini, terlampau banyak kes jenayah yang melibatkan geng Mat Rempit telah berlaku. Semalam sahaja, 2 kes ragut di Kuala Lumpur diberitakan telah dilakukan oleh kumpulan ini. Di manakah ketua Pemuda UMNO saudara KJ yang dulu pernah turun padang untuk ‘mentarbiah’ para pemuda Mat Rempit ini? Inilah natijah yang dapat kita saksikan apabila hubungan lelaki dan wanita itu tidak diatur dengan hukum syara’, sebaliknya kebebasan dijadikan panduan. Jika si gadis itu memiliki ketakwaan sebagai seorang muslimah yang tunduk kepada tuntutan Islam nescaya dia tidak akan melakukan hubungan dengan lelaki yang bukan mahramnya. Namun, laporan akhbar di atas memanifestasikan kebebasan hidup umat Islam hari ini yang didasari oleh sistem yang sekular.
Sampai bilakah kita akan terus mendengar kisah-kisah “bodoh” seperti ini? Sampai bila kehidupan kita ini akan dibelenggu dengan kebimbangan? Apa yang pasti, semua ini akan terus berlaku selagi kehidupan Islam tidak diterapkan ditengah-tengah individu, masyarakat mahupun negara. Adalah merupakan suatu yang wajar dan wajib bagi Najib untuk mengubah slogannya kepada ‘Satu Khilafah, Syara’ Didahulukan, Redha Allah Diutamakan’ dan seterusnya menerapkan Islam yang kaffah untuk benar-benar menyelesaikan dan merongkai 1001 macam permasalahan umat Islam hari ini.