Sedikit nasihat kepada mereka yang ingin menasihati pemerintah
Nasihat merupakan satu amalan mulia yang dituntut oleh Islam. Malah Islam itu sendiri merupakan agama nasihat. Memang banyak nas yang memerintahkan agar kita saling menasihati sesama Muslim dan lebih utama jika nasihat itu diberikan kepada pemerintah.
Para ulama terdahulu sering menasihati dan memuhasabah pemerintah, tetapi mereka tidak pernah bekerjasama dengan pemerintah dalam kezaliman mereka. Malah sebahagian mereka dibunuh oleh pemerintah hanya semata-mata kerana nasihat dan muhasabah yang diberikan. Begitulah mulia dan ‘tajam’nya lisan para ulama sehingga pemerintah tidak tahan dengan tusukan nasihat tersebut, lalu memenjara dan membunuh para ulama yang ikhlas itu. Ulama seperti itu wujud sehingga ke hari ini dan tidak putus kita mendengar kisah iktibar para ulama ini yang syahid di tangan penguasa hanya akibat melontarkan kata-kata kebenaran di hadapan penguasa yang zalim.
Itulah ‘ulama akhirat’ yang ternyata berbeza dengan ‘ulama dunia’ yang ada pada hari ini. Berapa ramai yang bergelar ‘ulama’ pada hari ini yang bekerja dengan pemerintah dan bertugas membenarkan (mengiyakan) apa sahaja yang dibuat oleh pemerintah dengan mendapat habuan dunia yang cukup lumayan. Pendek kata kewujudan mereka hanyalah sebagai cop mohor ‘halal’ kepada semua tindakan pemerintah, walaupun tindakan pemerintah tersebut jelas-jelas haram dan bertentangan dengan syarak.
Selain itu, terdapat juga ulama yang tidak berkhidmat dengan pemerintah tetapi berusaha untuk mendekati pemerintah. Jika niatnya adalah untuk menasihati kezaliman pemerintah, maka itu merupakan suatu yang baik, malah wajib dilakukan. Namun, jika niatnya adalah untuk kepentingan duniawi, maka kita serahkan sahaja urusannya kepada Allah.
Perkara pokok yang perlu diingat oleh ulama yang ingin menasihati pemerintah ialah, nasihat itu hendaklah dilakukan semata-mata atas dasar Islam dan untuk kepentingan umat Islam, bukan untuk selainnya. Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW,
الدِّينُ النَّصِيحَةُ قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ :لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ
“Agama itu adalah nasihat.’ Kami (para sahabat) bertanya, ‘Untuk siapa?’ Rasul SAW menjawab, ‘Untuk Allah, kitabNya, RasulNya, para Imam (pemimpin) kaum Muslimin dan kaum Muslimin umumnya” [HR Muslim].
Sesungguhnya kesalahan dan dosa terbesar pemerintah ialah apabila tidak menerapkan hukum Allah. Menerapkan hukum selain yang diturunkan oleh Allah SWT, seperti menerapkan hukum demokrasi, merupakan satu kezaliman yang nyata. Atas dasar ini, kewajipan bagi para ulama ialah menasihati dan melakukan muhasabah kepada pemerintah agar mencampakkan sistem demokrasi buatan manusia dan menggantikannya dengan penerapan hukum Allah secara kaffah.
Tidak ada gunanya, malah bukanlah dikatakan nasihat yang Islami jika ada alim ulama yang kononnya ingin menasihati pemerintah, tetapi dalam masa yang sama mahukan agar pemerintah mengekalkan sistem demokrasi, kerana hakikatnya sistem demokrasi buatan manusia inilah yang menjadi punca kepada segala kerosakan dan kezaliman.
Justeru, nasihat dan muhasabah yang wajib diberikan itu hendaklah murni atas dasar Islam semata-mata. Jika kita tidak setuju dengan GST atau tol, maka kita wajib memuhasabah pemerintah bahawa GST dan tol itu haram kerana merupakan cukai dan perampasan harta yang diharamkan oleh Islam. Jika kita tidak setuju dengan kenaikan harga minyak maka kita wajib muhasabah pemerintah bahawa minyak adalah termasuk al-milkiyyah al-ammah (milik umum) yang merupakan hak rakyat yang ditetapkan oleh Islam. Jika kita menolak penetapan harga barangan yang tinggi di pasar, maka kita muhasabah pemerintah bahawa sebarang penetapan harga (ihtikar) adalah bertentangan dengan syarak.
Begitu juga jika kita tidak setuju dengan undang-undang yang zalim seperti SOSMA, POTA, Akta Perhimpunan Aman, Rang Undang-undang MKN dan sebagainya, maka kita muhasabah pemerintah atas dasar undang-undang tersebut semuanya bertentangan dengan Islam. Begitulah seterusnya, segala nasihat kita wajiblah berdasarkan Islam dan demi kepentingan kaum Muslimin, bukannya menasihati pemerintah atas dasar undang-undang tersebut bertentangan dengan demokrasi, hak asasi manusia, hak kebebasan dan seumpamanya.
Kerana itulah, dalam Islam, dua hal yang mesti berjalan seiring iaitu niat dan tindakan, yang kedua-duanya mesti hendaklah syar’ie, barulah diterima oleh Allah SWT. Niat hendaklah ikhlas semata-mata kerana Allah (bukan kerana kepentingan diri, manusia atau dunia) dan tindakan hendaklah bertepatan dengan syarak.
Jika niat tidak ikhlas, walaupun tindakan (perbuatan)nya betul, maka ia tidak akan diterima oleh Allah SWT. Banyak hadis yang membicarakan hal ini.
Manakala jika niatnya betul dan ikhlas kerana Allah SWT, tetapi tindakan (perbuatan)nya tidak bertepatan dengan syarak, maka ia juga tidak diterima oleh Allah SWT. Contohnya orang yang ikhlas berniat puasa pada hari raya, maka hal ini adalah haram kerana bertentangan dengan syarak. Begitu juga orang yang ikhlas berniat untuk membantu orang lain melunasi hutang ribanya, hal ini juga diharamkan oleh Islam.
Samalah halnya orang yang ikhlas niatnya ingin menasihati pemerintah agar mengurangkan kadar cukai atau tol atau menurunkan harga minyak. Semua ini bertentangan dengan Islam kerana cukai atau tol bukanlah untuk dikurangkan, tetapi wajib dihapuskan kerana ia bertentangan dengan Islam.
Begitulah juga jika seseorang itu ikhlas ingin menasihati pemerintah agar meluluskan undang-undang hudud dengan cara mengundi melalui suara majoriti di Parlimen. Walaupun ikhlas niatnya, tetapi tetap haram dilakukan kerana dalam Islam, hudud bukanlah untuk diluluskan oleh manusia dengan suara majoriti, tetapi wajib diterapkan oleh pemerintah, walau majoriti manusia tidak bersetuju sekalipun.
Justeru, menasihati dan memuhasabah pemerintah itu memang wajib dilakukan, tetapi janganlah sampai bekerjasama atau bersekongkol dengan pemerintah dalam pemerintahan demokrasi yang merupakan sistem kufur yang diharamkan oleh Islam. Manakala nasihat itu wajiblah diberikan, bukan sekadar dengan niat yang ikhlas, tetapi dengan tindakan (perbuatan) yang benar/sesuai dengan tuntutan syarak.
Maka para ulama dan siapa sahaja yang ingin menasihati dan memuhasabah pemerintah, beringatlah agar niat dan tindakan itu sejalan dengan apa yang dikehendaki oleh Allah, bukannya sejalan dengan apa yang dikehendaki oleh diri sendiri atau manusia lain, apatah lagi sejalan dengan apa yang dikehendaki oleh pemerintah yang zalim tersebut.
Sesiapa sahaja, apatah lagi para alim ulama yang ingin mendekatkan diri dengan pemerintah atas alasan ingin menasihatinya, maka ingatlah akan hadis ini,
“Barangsiapa yang mendatangi pintu-pintu penguasa, maka ia telah membuat kerosakan dan barangsiapa yang semakin dekat dengan penguasa, maka ia semakin bertambah jauh (jaraknya) dengan Allah” [Musnad Ahmad No. 8481].
Hadis ini mengingatkan kita bahawa dalam rangka membangun sebuah pemerintahan, pemimpin yang berkuasa mestilah senantiasa diawasi oleh umat. Pengawasan tersebut tidak akan dapat berjalan dengan efektif, kecuali apabila umat memiliki kedudukan yang bebas dari ‘kongkongan’ penguasa, sehingga mereka tidak akan terpengaruh oleh pelbagai ‘kebaikan’ dan pemberian penguasa tersebut. Kedudukan yang bebas ini tidak akan dapat diwujudkan sekiranya umat dan para alim ulama sering mencari muka atau suka menempel atau mengampu penguasa tersebut.
Hadis di atas memberikan satu peringatan penting tentang kerosakan yang boleh timbul secara semulajadi daripada sebuah kekuasaan dan dosa orang yang cuba menghampirinya. Kepemimpinan adalah satu tanggungjawab yang amat besar, bukan sahaja bagi orang-orang yang memikulnya, malah bagi orang-orang yang berusaha untuk berada dekat dengan penguasa demi memperoleh sejumlah manfaat. Hal ini dapat disaksikan di sepanjang perjalanan sejarah Islam sehinggalah kini, ketika ada orang yang memulai usahanya dengan tujuan menasihati dan memuhasabah pemerintah, tetapi akhirnya dia justeru memperkukuh kedudukan pemerintah dan membantu di dalam kezaliman pemerintah tersebut.
Oleh yang demikian, umat Muhammad SAW yang ikhlas dan berhati-hati, hendaklah senantiasa mewarisi ‘tradisi’ para ulama yang berusaha menjaga jarak mereka dengan pemerintah, agar mereka tetap bebas dari pengaruh pemerintah, sehingga mereka tetap dapat memberikan nasihat dan muhasabah kepada pemerintah secara bebas dan tanpa pengaruh apa pun dari pemerintah. Di antara para ulama yang terkenal dengan sikap ini ialah Imam Syafie, Abu Hanifah, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Nawawi, Ibnu Taimiyah dan ramai lagi.
Perlu difahami bahawa yang dimaksud dengan “dekat” dengan penguasa dalam hadis di atas, bukanlah bermaksud dekat dari segi jarak secara fizikal, tetapi memberikan sebuah petunjuk bahawa orang-orang yang dekat (hubungannya) dengan penguasa, lalu mereka tidak melakukan muhasabah atas kesalahan dan kezaliman penguasa, sebaliknya mendukung dan meneguhkan lagi kedudukan penguasa tersebut, maka mereka itu sesungguhnya telah jauh dari Allah.
Ramai ulama muktabar di masa lalu yang memegang jawatan sebagai qadhi di mahkamah negara dan lain-lain jawatan, namun mereka tetap sahaja menjaga “jarak” dengan penguasa, dalam ertikata bahawa mereka tetap memuhasabah setiap kesalahan dan kezaliman yang dilakukan oleh penguasa dan tidak membiarkan diri mereka terjerumus ke dalam pengaruh kekuasaan pemerintah. Inilah yang semestinya dicontohi oleh ulama yang ingin menasihati pemerintah pada hari ini.
Wallahu a’lam.