Sedikit sorotan ‘pencapaian’ kerajaan perpaduan Melayu-Islam 2021

Semenjak bergabungnya tiga parti yang didominasi oleh orang-orang Melayu, termasuklah PAS, dan mereka berjaya membentuk kerajaan melalui jalan tebuk atap, mereka kelihatan bangga menggelarkan diri mereka sebagai kerajaan Melayu-Islam.

Walaupun cara mereka “merampas” kuasa dikecam oleh banyak pihak, tetapi terdapat banyak juga pihak yang meletakkan harapan agar kerajaan Melayu-Islam ini dapat memartabatkan Islam, sebagai menebus Islam yang telah “dihakis” oleh kerajaan Pakatan Harapan, yang mereka dakwakan.

Persoalannya, adakah kerajaan perpaduan Melayu-Islam ini berjaya mengembalikan Islam yang telah “terhakis” itu? Atau ia hanya sekadar berjaya memainkan sentimen keMelayuan dan keIslaman?

Wujudkah perbezaan terhadap kedudukan Islam di bawah kerajaan sekarang berbanding kerajaan Pakatan Harapan, atau sebenarnya tidak ada apa-apa perbezaan pun antara keduanya?

Untuk menjawab persoalan ini, mari kita sama-sama melihat sedikit ‘pencapaian’ mereka sepanjang tahun 2021 ini.

Antara tuntutan utama PAS terhadap kerajaan semasa menjadi pembangkang ialah untuk melaksanakan hudud, dan secara khususnya ingin melaksanakan RUU 355. Realitinya apabila menjadi kerajaan, perkara ini bukan lagi menjadi keutamaan PAS, apatah lagi UMNO atau BERSATU. Isu RUU 355 terus tenggelam dibawa arus, dan PAS juga terus hanyut bersamanya.

Isu Adib juga sudah tenggelam padahal dahulu PAS begitu lantang melaungkan keadilan untuk Adib, kerana melihat kegagalan kerajaan PH menangani isu tersebut. Nampaknya isu ini semacam menjadi “tunggangan” sahaja untuk membangkitkan sentimen orang-orang Melayu dalam rangka menjatuhkan kerajaan PH.

Begitu juga dengan isu arak dan perjudian yang memanas sepanjang 2021. PAS bukan sahaja gagal untuk membendung kedua-dua keharaman ini dalam negara, malah “mempertahankannya” hingga sekarang

Nama arak “Timah” juga terus dipertahankan oleh kerajaan Melayu-Islam walaupun orang Melayu-Islam telah menzahirkan kesensitifan dan kekecewaan mereka terhadap nama ini. Hal ini sungguh memalukan, tetapi ternyata kerajaan Melayu-Islam sudah tidak punya rasa malu.

Langkah kerajaan perpaduan Melayu-Islam yang telah menambah kekerapan cabutan khas nombor ekor daripada 8 kali setahun pada 2020 kepada 22 kali setahun pada 2021 juga boleh menjadi kayu ukur “pencapaian” mereka dalam memartabatkan Islam. Peningkatan cabutan khas judi lebih dari 100% ini jelas menunjukkan bahawa faktor ekonomi dan poket lebih penting  bagi mereka daripada mematuhi perintah Allah dan Rasul-Nya.

Kini, dengan kedudukan Menteri dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama yang dipegang oleh PAS, membuktikan dengan sejelas-jelasnya bahawa parti Islam terbesar di Malaysia ini tidak mampu atau gagal untuk memartabatkan Islam, kerana mereka hanya meneruskan sahaja apa yang sedia ada, dan langsung tidak ada apa-apa perubahan terhadap penerapan Islam di negara ini.

Perlembagaan dan undang-undang penjajah masih terus dipertahankan oleh PAS dan oleh kerajaan Melayu-Islam. Perlembagaan dan undang-undang penjajah masih menjadi sumber perundangan utama negara, yang lebih tinggi berbanding Al-Quran dan As-Sunnah. Inilah kegagalan terbesar mereka, sebagaimana kegagalan kerajaan PH sebelum ini!

Wallahu a’lam.