Sekatan Israel: PBB gagal setujui kompromi
NEW YORK 25 Jan. – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi gagal mempersetujui satu kenyataan kompromi bagi mendesak ditamatkan sekatan Israel ke atas Genting Gaza dan dihentikan serangan roket ke selatan negara Yahudi itu.
Para duta dan pakar yang terlibat dalam rundingan sepanjang hari semalam bersetuju melakukan satu lagi percubaan hari ini bagi mengatasi bantahan Amerika Syarikat (AS) terhadap teks yang telah diterima oleh 14 anggota lain dalam Majlis Keselamatan.
“Kami masih gagal mencapai persetujuan dan berdasarkan perkembangan rundingan setakat ini harapan nampak tipis.
“Namun Presiden (Majlis) meminta kami mencuba lagi esok,” kata Duta Afrika Selatan ke PBB, Dumisani Kumalo.
AS selaku sekutu kuat Israel mendakwa bahawa sekatan Israel yang melumpuhkan Genting Gaza adalah tindakan mempertahankan diri daripada serangan roket yang dilancarkan dari wilayah pentadbiran Hamas itu.
Selepas berunding dengan Washington, delegasi AS di sini mengemukakan beberapa pindaan secara lisan, termasuk tuntutan supaya dibebaskan askar Israel, Gilad Shalit yang ditawan oleh pejuang Palestin di Gaza pada 2006 dan kutukan terhadap segala bentuk keganasan.
Namun kebanyakan pindaan itu dianggap tidak relevan dan tidak wajar oleh negara-negara Arab yang merasakan Majlis perlu bertindak terhadap “hukuman menyeluruh” yang dikenakan oleh Israel ke atas seluruh 1.5 juta penduduk Gaza.
“Kami berpendapat sukar untuk mendapat hasil daripada rundingan itu,” kata Timbalan Duta AS, Alejandro Wolff.
Duta Israel, Dan Gillerman pula menyifatkan perbahasan itu sebagai “membuang masa dan hanya memanfaatkan Hamas.”
Kenyataan beliau itu dibidas oleh pemerhati Palestin ke PBB, Ryad Mansour.
“Israel perlu mengambil perhatian bahawa 14 anggota Majlis Keselamatan yang sebahagiannya termasuk sahabat Israel menyatakan krisis kemanusiaan di Gaza tidak boleh dibiarkan,” tegas Ryad.
Duta Syria ke PBB, Bashar Jaafari menuduh AS cuba mempolitikkan isu kemanusiaan itu dan “cuba menggambarkan mangsa sebagai penyerang dan penyerang sebagai mangsa.”
Beliau memberi amaran bahawa jika Wahington berjaya menyekat konsensus mengenai kenyataan tidak mengikat itu, negara-negara Arab dijangka mengubah teks berkenaan menjadi resolusi dan mencabar AS supaya memvetonya.
– AFP
Sumber: Utusan Malaysia 26/01/08
Ulasan:
Sepertimana telah diduga, AS akan memveto apa jua keputusan PBB yang tidak memihak kepada Israel atau dengan perkataan yang lebih tepat, AS akan terus memastikan umat Islam ditindas dan terus dibunuh oleh Israel. Itulah kehendak AS.
Apa yang menyedihkan ialah pemimpin kaum Muslimin yang begitu ramai yang ada saat ini yang mana tidak ada seorang pun yang sanggup membantu Palestin, walhal mereka semunya bergabung di bawah 57 buah negara yang dinamakan OIC. Harapan tetap diletakkan di bawah PBB, walaupun sudah jelas lagi nyata yang PBB hanyalah kuda tunggangan AS yang digunakan untuk membunuh umat Islam. Beginilah kejahatan dan pengkhianatan yang dilakukan oleh penguasa kaum Muslimin ke atas umat Islam hari ini.
Sementara semua pihak menyandarkan harapan resolusi PBB yang tidak tahu bila, dalam masa yang sama rakyat Palestin terus menderita dan para pemimpin kaum Muslimin yang ada hanya akan tetap berdiam diri dan menyaksikan penderitaan umat Islam dengan duduk di kerusi empuk di depan televisyen.
Sesungguhnya masalah umat Islam di Palestin tidak akan dapat diselesaikan oleh badan kufur PBB. Umat Islam di sana sedang diperangi oleh Israel. Maka satu-satunya jalan untuk melawan golongan Yahudi musuh Allah ini adalah dengan jihad. Para pemerintah kaum Muslimin wajib melancarkan jihad ke atas Israel untuk menyelamatkan saudara-saudara kita di sana dan seterusnya membebaskan tanah yang diberkati ini dari golongan kuffar. Malangnya kita yakin para pemerintah ini akan terus berpeluk tubuh dan mengejar kekayaan dunia, kuasa, pangkat dan harta, dari berjihad di jalan Allah. Justeru, satu-satunya jalan yang tinggal adalah dengan kita berusaha menegakkan Khilafah yang mana Khalifah nanti Insya Allah akan menggerakkan para tentera yang dimilikinya untuk menyelamatkan umat Islam di Palestin dan mengembalikan semula tanah Palestin ke pangkuan umat Islam.