Sekilas ‘Tradisi’ Kesesakan Di Musim Perayaan

Setiap kali tibanya menjelang Eidulfitri, kita seringkali mendengar keluhan dan rintihan daripada anak-anak perantau yang pulang ke kampung halaman masing-masing bagi meraikan salah satu daripada perayaan umat Islam tersebut bersama-sama keluarga tersayang. Masalah kesesakan jalan raya di musim perayaan ini bukanlah suatu yang baru, bahkan terjadi saban tahun dan telah dijangka oleh agensi-agensi terbabit. Bahkan perkara ini juga sudah diketahui umum sehinggakan seolah-olah sudah menjadi tradisi bagi umat Islam, khasnya mereka yang berada di perantauan demi mencari rezeki atau melanjutkan pelajaran. Fenomena ‘pulang beraya’ ini bukan hanya terjadi di negara ini, bahkan di segenap belahan dunia Islam. Pastinya kita pernah melihat imej umat Islam di seluruh dunia berpusu-pusu pulang ke kampung halaman. Persoalannya, mengapakah kemelut ini masih berulang-ulang saban tahun seolah-olah tiada penyelesaian bagi menanganinya?

Memang benar, pastinya usaha untuk menanganinya bukan suatu yang mudah. Namun setidak-tidaknya setelah berpuluh-puluh tahun “tradisi” kesesakan jalan raya di musim perayaan ini berulang sudah tentu pemerintah yang bertanggungjawab tidak akan membiarkan sahaja kemelut ini terus berulang. Selaku pihak yang bertanggungjawab ke atas kebajikan rakyat, sudah sewajarnya pemerintah perlu memikirkan strategi yang berkesan bagi menjamin keselamatan dan keselesaan rakyat.

Peningkatan aliran trafik di musim perayaan juga hadir dengan peningkatan statistik kemalangan melibatkan pengguna jalan raya saban tahun. Sudah pastinya pemergian insan tersayang akibat kemalangan jalanr aya menjadi suatu berita duka yang meragut kebahagiaan di saat meraikan hari kebesaran Islam setelah sebulan berpuasa. Tanpa mempersoalkan takdir yang berada di luar ruang lingkup yang dikuasai manusia, sewajarnya kita mengambil langkah yang sebaiknya bagi mengelakkan perjalanan pulang ke kampung halaman menjadi tragedi yang memilukan.

Sudah semestinya pemerintah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kemelut ini dan tidak sewajarnya membiarkannya daripada terus berlaku. Di zaman Khalifah Umar r.a., kita dapat menyaksikan betapa beliau begitu mengambil berat terhadap beban tanggungjawabnya sepertimana yang dinukilkan dalam dinukilkan oleh al-Sallabi di dalam bukunya “Umar ibn al-Khattab : Shaksiyyatuhu wa ‘Asruhu”. Diceritakan bahawa Umar pernah berkata kepada dirinya sendiri : “Jikalau seekor anak kambing mati di pinggir sungai Furat (kerana kehausan akibat gagal sampai ke Sungai Furat), sudah tentu aku takut Allah akan menghisab Umar kerana perkara tersebut”.

Dalam hal ini, pemerintah sewajarnya bertanggungjawab penuh dalam memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya. Namun bukannya dengan berurusniaga terhadap umat, sepertimana yang terjadi pada hari ini apabila kerajaan mengenakan tol kepada pengguna jalan raya. Lebih malang lagi, kesesakan jalan raya masih juga berlaku saban tahun meskipun rakyat dikenakan tol bagi menggunakan lebuhraya.

Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memastikan para pengguna jalan raya selamat sampai ke destinasi. Antaranya termasuklah kempen keselamatan jalan raya, nasihat perancangan jadual perjalanan, serta pelancaran operasi-operasi khas melibatkan agensi-agensi kerajaan. Namun langkah-langkah tersebut hanyalah bersifat penyelesaian simptomatik tanpa memperhatikan punca sebenar kepada berlakunya fenomena kesesakan jalanraya di musim perayaan ini. Tidak dinafikan kepentingan langkah-langkah tersebut, namun tanpa mengenalpasti punca permasalahan dan menyelesaikannya secara tuntas sudah tentu ‘tradisi’ ini pasti akan berterusan pada tahun-tahun mendatang.

Kerajaan telah membangunkan rangkaian jalan raya dan lebuh raya yang secara relatifnya baik (sekali lagi diberikan penekanan di sini, bahawa rakyat dituntut untuk membayarnya dengan dikenakan tol), namun dalam masa yang sama mutu pengangkutan awam juga sewajarnya diperbaiki dan dikembangkan. Langkah ini penting bagi menggalakkan pengguna jalanraya memilih pengangkutan awam, sekali gus mengurangkan jumlah kenderaan persendirian di jalan raya.

Dalam masa yang sama, kita juga wajar melihat persoalan yang lebih mendasar iaitu mengenai mengapa rakyat berhijrah ke luar bagi mencari pekerjaan. Adakah kerana pembangunan yang hanya tertumpu di kawasan-kawasan tertentu sahaja, sehingga menyebabkan penduduk di kawasan pedalaman dan luar bandar terpaksa berhijrah ke kota? Jika demikian, sudah tiba masanya untuk pemerintah melaksanakan pembangunan terancang yang tidak meminggirkan kawasan-kawasan lain dan hanya terfokus kepada negeri-negeri tertentu. Sejajar dengan pembangunan sains dan teknologi, seharusnya tidak menjadi halangan besar buat kerajaan untuk melaksanakan pembangunan secara adil dan memastikan peluang pekerjaan mencukupi buat semua yang layak.

Pokoknya, kesesakan jalan raya di musim perayaan bukanlah suatu lumrah yang perlu diterima seadanya. Benar, usaha menanganinya bukanlah suatu yang mudah. Namun ini bukanlah alasan bagi kerajaan untuk membiarkannya terus berulang saban tahun. Wallahua’lam.

Muhammad Fauzi
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia