Sekolah Harapan Bukanlah Penyelesaian

 
sekolah-harapanSekolah Harapan : Penghuni lahirkan 82 bayi sejak September 2011

82 bayi telah selamat dilahirkan oleh para penghuni Sekolah Harapan, sebuah pusat pemulihan bagi remaja perempuan yang terlanjur sejak ia beroperasi di sini pada September tahun lalu.

Pengerusi sekolah berkenaan, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim berkata, daripada jumlah itu, bayi lelaki yang telah selamat dilahirkan ialah 53 orang manakala bakinya perempuan.

Katanya, seramai 64 bayi kini dipelihara oleh keluarga penghuni terbabit, 11 orang telah diserahkan kepada keluarga angkat, lima bayi masih bersama ibu masing-masing di sekolah berkenaan manakala seorang lagi dipelihara oleh ibu kandungnya yang telah berkahwin.

“Kami bersyukur kerana berjaya membantu menyelamatkan 82 nyawa bayi yang tidak berdosa sekali gus membendung gejala buang bayi.

“Apa yang lebih penting ibu bapa kepada penghuni sekolah ini sanggup menjaga cucu masing-masing walaupun anak itu dilahirkan di luar ikatan perkahwinan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
 
Menurutnya, sekolah itu setakat ini telah menerima 95 remaja dari seluruh negara dan pelbagai kaum sebagai penghuni.

“Walaupun kami menerima banyak permohonan daripada keluarga remaja perempuan yang terlanjur untuk mendapatkan perlindungan di sekolah ini, kami tidak dapat menerima semua kerana kemudahan yang ada hanya cukup untuk menampung 30 penghuni pada satu-satu masa.

Sumber : Kosmo 08/12/11

82 bayi dalam tempoh setahun ianya dilancarkan? Sesuai sekali dengan namanya sekolah harapan. Ianya seakan memberi harapan kepada para remaja yang  terlanjur untuk melahirkan anak, menyambung pelajaran sekaligus  menutup malu ibu dan ayah. Lihatlah bagaimana lemahnya pemahaman umat Islam terhadap permasalahan zina. Meskipun pada ‘kulit’nya ia kelihatan baik – para penghuni seolah-olah diberi layanan yang ‘istimewa’ – walhal hakikatnya, mereka telah melakukan keharaman yang besar di sisi Islam. Adalah suatu yang menyedihkan apabila pihak pengurusan sekolah ini terus memohon untuk menambah peruntukan bagi membesarkan sekolah untuk menampung bilangan remaja yang telah berzina dan mengandung. Tidakkah ini satu petanda bahawa perzinaan sudah semakin serius dan amat sukar dibendung? Jelas sekali ini bukan penyelesaian sebenar bagi membendung masalah pembuangan bayi mahupun perzinaan. Penyelesaian yang datang dari akal manusia ini adalah jauh bertentangan dari apa yang diperintahkan oleh Pencipta kita. Bukankah Allah Subhanahu wa Taala telah memuktamadkannya dalam Al-Quran,

 “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman siksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman” [TMQ An-Nur (24:2)].

Wahai kaum Muslimin! Jika keredhaan Allahlah yang kalian cari, janganlah dibiarkan keadaan ini berpanjangan. Kita tidak punya pilihan melainkan kembali kepada Islam dengan segera menegakkan kembali negara Islam yang akan menerapkan seluruh sistem Islam dalam segenap aspek kehidupan.  Dengan penerapan Islam yang syumul, masyarakat akan dapat hidup dalam nuansa ketaqwaan dan ini sudah pasti akan menjauhkan anak-anak muda dari terjebak dengan zina. Dan hukum hudud ke atas penzina akan dapat menjadi pencegah yang amat efektif bagi perbuatan yang hina ini. “Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman sebelum mereka menjadikan engkau (Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, (sehingga) kemudian tidak ada rasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang engkau berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya[TMQ An-Nisa’ (4:65)]