Sekularisasi menanam benih rasuah

Berita:

PULAU PINANG 10 Jan. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan menahan lebih ramai individu bagi membantu siasatan projek terowong dasar laut yang dirancang Kerajaan DAP Pulau Pinang kerana disyaki terdapat keraguan dalam urusan pertukaran tanah melibatkan dua lot tanah yang dinilaikan melampaui harga pasaran.

Sumber: utusan.com.my – 11 Januari 2018

Komentar:

Kerajaan dilihat sedang giat menjalankan aktiviti membanteras rasuah seperti mana yang diberitakan melalui media cetak mahupun elektronik. Sejak akhir-akhir ini ramai individu yang ditangkap kerana rasuah, dan kerajaan bersungguh-sungguh membuktikan yang mereka komited dalam menangani masalah ini.

Sememangnya Islam sendiri melarang aktiviti rasuah sebagaimana hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amru:

لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي

Allah melaknat mereka yang memberi rasuah dan penerima rasuah. [HR Ahmad, Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah]

Imam Ahmad juga meriwayatkan daripada Tsauban, dia berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ وَالرَّائِشَ ، يَعْنِي الَّذِي يَمْشِي بَيْنَهُمَا

“Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantara keduanya, yakni orang yang berjalan di antara keduanya.” [HR Ahmad]

Namun begitu, jika ditelusuri dengan lebih mendalam, akan timbul persoalan berkaitan tindakan kerajaan tersebut. Apakah kerajaan benar-benar komited atau hanya sekadar melepaskan batuk di tangga atau bermotifkan politik? Persoalan ini timbul, kerana kerajaan dilihat seperti ‘memilih bulu’ dalam penangkapan tersebut memandangkan pesalah tersebut dari pihak pembangkang sedangkan lebih ramai perasuah di pihak kerajaan tidak diambil tindakan.

Sesungguhnya rasuah ini telah menjadi sebati mengalir dalam darah daging pemimpin kerajaan itu sendiri. Lihat sahaja ketika musim pilihanraya, berjuta wang diagihkan kepada ahli parti yang disebut sebagai ‘duit kopi’ bagi mendapatkan undi yang banyak. Lantas bagaimana kerajaan ingin memerangi rasuah sedangkan mereka sendiri mengamalkannya? Apakah rasuah itu menjadi ‘halal’ jika pelakunya mendapat restu kerajaan?

Akal yang waras pasti menemukan bahawa benih rasuah itu tumbuh mekar kerana sistem sekular yang digunapakai oleh negara kita sekarang. Dalam sistem sekular, kehidupan ini harus meraih manfaat sebanyaknya dan matlamat harus dicapai walau dengan apa cara sekalipun, meskipun caranya bertentangan dengan syariat Islam. Oleh itu tidak hairanlah kerajaan memilih bulu dalam penangkapan tersebut.

Sekiranya kerajaan benar-benar ingin memerangi rasuah, seharusnya sistem sekular yang melahirkan rasuah itu sendirilah yang harus diubah dahulu. Selanjutnya harus diganti dengan sistem Islam yang akan menerapkan segala hukum Allah yang pastinya pelaku rasuah akan diadili tanpa mengira apakah aliran politiknya mahupun ketinggian jawatannya.

Ibnu Shams
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia