Semangat Hijrah

Penetapan peristiwa hijrah sebagai permulaan tahun Islam dimulakan semasa zaman Khalifah Umar al-Khattab RA. Permulaan kiraan tahun Hijriyyah dibuat berdasarkan peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah. Ketetapan Khalifah Umar bin al-Khattab RA tersebut, yang kemudiannya disepakati oleh para sahabat RA, sudah semestinya memiliki makna yang cukup besar. Peristiwa hijrah baginda SAW dari Mekah ke Madinah adalah momentum penting dalam lintasan sejarah perjuangan Islam dan kaum Muslimin. Dengan hijrah itulah masyarakat Islam terbentuk buat pertama kalinya. Melalui hijrah itu juga, Islam sebagai sebuah ideologi dan sistem berjaya ditegakkan dalam bentuk institusi negara, yakni Daulah Islamiyah di Madinah al-Munawwarah.

Sehubungan itu, makna dan semangat hijrah itu penting untuk difahami dengan mendalam serta direalisasikan dalam rangka menggerakkan perubahan masyarakat pada hari ini. Dengan sedemikian, akan terwujud kembali masyarakat Islam yang diselubungi keberkatan dan keredhaan Allah SWT.

Pengertian Hijrah Dari Sudut Bahasa

Hijrah dari sudut bahasa bermaksud berpindah dari suatu tempat ke tempat yang lain, dari suatu keadaan ke keadaan lain (Lisan al-‘Arab, V/250; Al-Qamus al-Muhith, I/637). Menurut Rawas Qal’ahji dalam Mu’jam Lughah al-Fuqaha’, hijrah bermakna keluar atau berpindah dari satu negeri ke negeri yang lain untuk menetap di situ. Menurut al-Jurjani dalam At-Ta’rifat, hijrah adalah meninggalkan negeri yang berada di tengah kaum kuffar dan berpindah ke Darul Islam. Rasulullah SAW pernah bersabda:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ

“Muslim itu adalah orang yang menjadikan Muslim yang lain selamat dari lisan dan tangannya. Orang yang berhijrah itu adalah orang yang meninggalkan apa saja yang telah dilarang oleh Allah” [HR Bukhari, Abu Daud, an-Nasa’i, Ahmad].

Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitab Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, dan juga al-’Alqami yang dikutip di dalam ‘Aun al-Ma’bud, menjelaskan bahawa hijrah itu terbahagi kepada dua iaitu zahirah dan bathinah. Hijrah bathinah adalah meninggalkan apa sahaja yang diperintahkan oleh hawa nafsu yang selalu memerintahkan keburukan (nafsu al-ammarah bi as-su’) dan seruan syaitan. Manakala hijrah zahirah pula adalah lari menyelamatkan agama dari fitnah (al-firar bi ad-din min al-fitan).

Ibnu Rajab al-Hanbali dalam Fath al-Bari Syarhu Sahih al-Bukhari menjelaskan, asal dari hijrah adalah meninggalkan dan menjauhi keburukan untuk mencari, mencintai dan mendapatkan kebaikan. Hijrah secara mutlak dalam as-Sunnah ditransformasikan kepada makna ‘meninggalkan Darul Syirik (kufur) menuju Darul Islam. Maka asal hijrah adalah meninggalkan apa sahaja yang telah dilarang Allah iaitu kemaksiatan, termasuklah meninggalkan negeri syirik untuk menetap di negara Islam. Dengan demikian, hijrah yang sempurna (hakiki) adalah meninggalkan apa sahaja yang telah dilarang Allah SWT, termasuklah meninggalkan Darul Syirik (kufur) menuju Darul Islam.

Dari sudut syarie pula, menurut para fuqaha’, pengertian hijrah adalah ‘keluar dari Darul Kufur menuju Darul Islam [an-Nabhani, Asy-Syakhsiyyah al-Islâmiyyah, II/276]. Darul Islam adalah suatu wilayah (negara) yang menerapkan syariah Islam secara menyeluruh dalam segala aspek kehidupan dan keamanannya berada sepenuhnya di tangan kaum Muslimin. Sebaliknya Darul Kufur adalah wilayah (negara) yang tidak menerapkan syariah Islam dan keamanannya tidak berada di tangan kaum Muslimin walaupun majoriti penduduknya beragama Islam. Pengertian hijrah ini diambil berdasarkan fakta hijrah Nabi SAW sendiri dari Mekah (yang pada saat itu merupakan Darul Kufur) ke Madinah (yang kemudiannya menjadi Darul Islam).

Berdasarkan semua itu, hijrah mungkin sahaja boleh dimaknakan sebagai sebuah momentum perubahan dari kemaksiatan menuju ketaatan, dari segala bentuk kejahilan menuju Islam, dan dari masyarakat Jahiliyah menuju masyarakat Islam.

Justeru, dapatlah dirumuskan bahawa perubahan ke arah Islam dan pembentukan masyarakat Islam itulah yang menjadi intipati semangat hijrah. Maka sudah pasti semangat hijrah sebegini sangat relevan untuk kita realisasikan pada hari ini di tengah-tengah kehidupan kita selaku umat Islam.

Jahiliyyah Moden

Sekiranya dibandingkan, keadaan masyarakat moden pada hari ini sangat mirip dengan keadaan masyarakat Jahiliyyah sebelum berlakunya hijrah, bahkan lebih teruk dalam beberapa hal. Antara ciri utama masyarakat Jahiliyyah adalah kehidupan mereka diatur dengan aturan dan sistem Jahiliyyah buatan manusia. Dalam masyarakat Quraisy, aturan dan sistem kemasyarakatan dibuat oleh para pemimpin kabilah. Urusan tersebut diputuskan melalui pertemuan para pembesar dan pemimpin kabilah di Dar an-Nadwah. Keadaan yang sama juga berlangsung pada saat ini. Kehidupan umat Islam pada hari ini diatur dengan aturan dan sistem buatan manusia yang digubal oleh segelintir pihak dengan mengatasnamakan rakyat.

Dalam aspek ekonomi pula, terdapat riba, manipulasi, penipuan dalam timbangan, penimbunan harta, eksploitasi oleh pihak yang mempunyai kekuatan ekonomi terhadap mereka yang lemah ekonominya, pengumpulan harta kekayaan pada sebahagian kecil manusia dan sebagainya. Semua ini mewarnai kehidupan ekonomi masyarakat Jahiliyyah sebelum hijrah. Hal yang sama juga mewarnai kehidupan ekonomi moden pada hari ini. Penipuan ekonomi berleluasa. Harta juga terkumpul pada sebahagian kecil manusia. 1 peratus individu menguasai lebih daripada 60% kekayaan yang ada. Seorang boleh menguasai tanah seluas ratusan ribu hektar, bahkan ada yang lebih dari sejuta hektar. Riba bermaharajalela, bahkan di saat ini riba menjadi asas kepada sistem ekonomi, dan negara menjadi salah satu pengamal utamanya.

Dari aspek sosial, masyarakat Jahiliyyah sebelum hijrah diketahui mempunyai krisis moral yang luar biasa. Mabuk, pelacuran dan kekejaman berleluasa dalam masyarakat. Anak-anak perempuan yang baru lahir dibunuh, bahkan ditanam hidup-hidup. Keadaan sosial masyarakat Jahiliyyah dahulu, juga banyak berlaku dalam masyarakat moden hari ini. Bayi-bayi yang lahir hasil daripada perzinaan dibuang hidup-hidup. Jika dahulu, hanya bayi perempuan sahaja yang dibunuh, kini tiada lagi bezanya, bayi lelaki dan perempuan sama-sama “dibunuh”.

Dalam aspek politik dan situasi internasional, bangsa Arab Jahiliyyah bukanlah sebuah bangsa yang istimewa. Dua negara kuasa besar pada waktu itu, Parsi dan Rom, sama sekali tidak melihat bangsa Arab sebagai sebuah kekuatan politik yang wajar diberikan perhatian. Begitu juga dengan keadaan negara-negara umat Islam pada hari ini, tidak diberikan perhatian sedikitpun, melainkan hanya dijadikan sasaran penjajahan oleh kuasa-kuasa besar. Kekayaan sumber bumi dijarah oleh negara-negara kuasa besar dan para kapitalis. Penjajahan masih berlaku, meskipun dalam bentuk yang berbeza. Perusahaan asing, khususnya dari negara kufur dan dimiliki oleh orang-orang kafir dijemput masuk sehingga mendominasi ekonomi dan kekayaan negara.

Maka, sangat tepat jika keadaan kehidupan saat ini disebut sebagai Jahiliyyah moden. Meskipun maju dari sudut sains dan teknologi, namun peraturan dan sistemnya tetap berpaksikan peraturan dan sistem Jahiliyyah buatan manusia.

Semangat Hijrah Masa Kini

Hakikat kejahilan masyarakat ini perlu diubah agar terbentuk masyarakat Islam, sebuah masyarakat yang perasaan, pemikiran dan peraturan mereka diatur oleh Islam sepenuhnya. Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda. Di sinilah letaknya kepentingan semangat hijrah yang bertunjangkan perubahan dari kemaksiatan menuju ketaatan, dari segala bentuk kejahilan menuju Islam, dan dari masyarakat Jahiliyyah menuju masyarakat Islam. Inilah yang perlu diwujudkan pada hari ini.

Perubahan tentu tidak akan datang begitu sahaja. Perubahan itu mesti diusahakan.  Allah SWT berfirman:

… إِنَّ اللَّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ …

“…Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum hingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri…” [TMQ ar-Ra’d (13): 11].

Satu-satunya langkah bagi merealisasikan semangat hijrah itu tidak lain adalah dengan berjuang untuk membentuk masyarakat Islam sepertimana yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA setelah berlakunya hijrah ke Madinah. Masyarakat di Madinah terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, puak, warna kulit dan sebagainya. Meskipun demikian, kepelbagaian dalam masyarakat itu mampu diatur dan dikendalikan dengan baik melalui penerapan syariah Islam secara kaffah ke atas semua warganegara.

Oleh itu, kunci dalam mewujudkan masyarakat Islam tidak lain adalah melalui penerapan syariah Islam secara kaffah ke atas semua warga dalam Daulah Islam.

‘Ala kulli hal, marilah kita bersama-sama menyahut seruan Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ

“Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul jika Rasul menyeru kalian menuju suatu yang memberikan kehidupan kepada kalian” [TMQ al-Anfal (8): 24].

Wallahua’lam

(Disunting daripada Buletin Dakwah Kaffah Edisi 007)

Sumber buletindakwahkaffah.wordpress.com