Seminar Anjuran MHTM Sempena Memperingati Kejatuhan Daulah Islam di Bangi

Mini seminar MHTM 2011BANDAR BARU BANGI 5 Mac 2011 – Mengingati kembali peristiwa kejatuhan Daulah Khilafah pada 87 tahun yang lalu, Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) dengan kerjasama Khilafah Centre telah menganjurkan mini seminar bertemakan ‘Kejatuhan Sistem Islam: Bermulanya Episod Luka Kehidupan Wanita’

Seminar kali ini dimulai dengan bacaan ayat-ayat suci al Quran dari surah an Nur ayat 54-57 oleh adik Aisyah. Pada kali ini telah ditampilkan dua orang ahli panel iaitu Ustazah Hajjah Husna Abdul Rahman dan Ustazah Hajjah Ummu Hajar.  Husna selaku ahli panel pertama dalam pembentangannya telah menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan Khilafah.  Seterusnya kaitan Khilafah dengan tarikh 3 Mac 1924 (28 Rejab 1342H).  Beliau kemudiannya mengimbau kembali peristiwa-peristiwa yang mengambarkan bagaimana keadaan para muslimah yang senantiasa dipelihara dan dilindungi dibawah sistem Khilafah dan keadaan nasib muslimah selepas runtuhnya Daulah Khilafah.

Sesungguhnya, siri-siri penindasan yang menimpa kaum muslimah sehingga ke hari ini cukup jelas menunjukkan bahawa para muslimah kini sedang melalui episod luka dalam kehidupan mereka. Beliau turut memaparkan slide-slide yang mengandungi keratan beritadan gambar peristiwa derita kaum muslimah di seluruh dunia hari ini, yang sungguh  menyayat hati dan menyentuh perasaan hadirin sehingga ada diantara mereka yang mengalirkan air mata. Husna tidak hanya berhenti dengan cerita-cerita duka muslimah yang seperti tiada kesudahanya, tanpa memberikan solusi terhadap masalah tersebut.  Penawar bagi penderitaan ini tidak lain adalah dengan menerapkan kembali syariah Islam di bawah naungan Khilafah.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi anak-anak kecil dan remaja mengibarkan al liwa’ dan ar rayyah iaitu bendera dan panji-panji Daulah Khilafah dengan diiringi nasyid. Sedikit sedutan dari video ‘Ila Mata‘ yang memaparkan penderitaan umat Islam diseluruh dunia selepas kejatuhan Khilafah ditayangkan kepada para hadirin semasa sesi rehat.

Ustazah Hajjah Ummu Hajar, selaku ahli panel kedua pula telah menyentuh mengenai peranan muslimah dalam usaha menegakkan kembali Khilafah.  Ummu Hajar mengingatkan para muslimah khususnya, bahawa sistem demokrasi yang diterapkan pada saat ini tidak mampu mensejahterakan muslimah.  Menyedari hakikat ini muslimah seharusnya mengambil bahagian bersama-sama memperjuangkan kembali agar tertegaknya syariah dan Khilafah, kerana Khilafah sahajalah satu-satunya institusi yang akan mampu menerapkan hukum syara’ secara keseluruhan serta berupaya menjamin kesejahteraan muslimah dan seluruh manusia di dunia hari ini.  Ummu Hajar meletakkan empat asas peranan muslimah iaitu, sebagai daie/pendakwah, ahli gerakan Islam, ahli siyasah dan sebagai seorang ibu yang berideologi.  Beliau kemudiannya menjelaskan setiap satu bahagian dengan lebih terperinci.  Seminar diakhiri dengan sesi soal jawab dan bacaan doa oleh adik Hidayah.

Di kesempatan ini juga pihak MHTM selaku penganjur program kali ini, ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada muslimah yang hadir untuk sama-sama memeriahkan seminar.  Seminar ini merupakan siri pertama dan akan diteruskan lagi di kawasan-kawasan lain.  Apa yang diharapkan semoga seminar ini dapat menyuntik semangat kepada para muslimah khususnya untuk sama-sama berusaha menegakkan kembali Daulah Khilafah yang telah sirna semenjak 87 tahun yang lalu.  Sesungguhnya kembalinya Khilafah bagi kali keduanya itu adalah sesuatu yang dijanjikan oleh Allah SWT sepertimana yang dikhabarkan oleh SAW ” ….akan datang kembali kekhilafahan atas manhaj kenabian..” [HR Ahmad]

Mini Seminar MHTM 2011
 
 
Mini Seminar MHTM 2011

Mini Seminar MHTM 2011

Mini Seminar MHTM 2011