Seminar Hijrah Dan Pengorbanan Berjaya Membawa Erti Sebenar Maal Hijrah
Seminar Hijrah dan Pengorbanan dengan tema “Berkorbanlah Anda Sebelum Anda Dikorbankan” ini telah berjaya mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari para muslimat di kawasan sekitar Setiawangsa dan Keramat.
Seminar yang bermula pada jam 830pagi hingga 1230 tengahari ini telah dipengerusikan oleh Puan Aishah dan menampilkan dua orang ahli panel iaitu Ustazah Ummu Hajjar, wakil IKIN, serta seorang aktivis HTM, Ustazah Hajjah Ummu Kalsom. Seminar ini telah dimulai dengan alunan bacaan ayat-ayat suci Al Quran Nur Kareem dari Surah Al Hajj ayat 23 hingga 37 oleh Ustazah Mujahidah. Intipati kepada ayat-ayat yang dibacakan ini menceritakan tentang ibadah haji dan korban serta keutamaan berusaha menegakkan syariat Allah bagi orang yang benar-benar bertakwa.
Majlis diteruskan dengan pembentangan pertama penuh bersemangat yang bertajuk “Berkorban dan Terkorban” oleh Ustazah Ummu Hajjar yang menjelaskan didalam rumusan pembentangannya bahawa permasalahan dan kehinaan umat Islam pada masa kini perlukan perhatian semua muslimat yang hadir untuk membela dan mengembalikan kemuliaan umat terutamanya golongan wanita muslimah. Sesungguhnya, perubahan yang diidamkan ini memerlukan muslimah untuk berhijrah dari pemikiran jahiliyyah kepada pemikiran yang berteraskan akidah Islamiyyah dan berkorban masa dan harta untuk mendalami tsaqafah Islam, dalam usaha murni menghentikan lebih ramai bilangan muslimah yang terkorban dek kekejaman sistem Sekular Kapitalisme yang diterapkan ketika ini.
Pada slot pembentangan kedua pula, Ustazah Hajjah Ummu Kalsom berjaya menarik perhatian hadirin dengan tajuk “Pengertian Hijrah dan Peranan Umat Islam Masa kini”. Beliau turut menyeru para hadirin untuk bersama-sama menghayati erti penghijrahan yang sebenar dan mengimbas kembali bagaimana besarnya pengorbanan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan para sahabat baginda ketika mereka berhijrah ke Madinah dan segala keperitan dan kesusahan ini dihadapi semata-mata berlandaskan ketakwaan mereka mematuhi perintah Allah SWT dan demi kelansungan dakwah dan syiar Islam ke seluruh pelusuk dunia. Beliau juga menegaskan bahawa hijrah dan pengorbanan itu adalah dua perkara yang amat terkait seandainya kesedaran dan fikrah Islam yang dimiliki oleh umat pada masa kini ingin di realisasikan sebagai suatu mabda’ agar Islam dapat diterapkan secara Kaffah, sekaligus menghapuskan kemaksiatan yang berleluasa terhadap Allah oleh penerapan sistem sekular kapitalisme pada ketika ini.
Pameran isu-isu semasa berkenaan wanita dan kaunter jualan buku-buku tsaqafah Islam juga mendapat sambutan menggalakkan apabila para peserta dilihat berpusu-pusu memilih buku yang diinginkan sebaik majlis tamat.
Bertepatan dengan tema seminar pada kali ini, kedua-dua pembentang telah berjaya menjelaskan kepada muslimat yang hadir bahawasanya erti hijrah sebenar adalah meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah SWT, termasuk meninggalkan sistem kufur dan digantikan dengan sistem Islam yang syumul, namun ianya adalah satu perkara yang sememangnya memerlukan pengorbanan samada dari segi harta, masa bahkan nyawa. Manakala penegakan Syariah dan Khilafah sahajalah menjadi satu-satunya jalan untuk mengembalikan kegemilangan umat Islam di seluruh dunia pada hari ini. Semoga seminar yang dihadiri ini memberikan pengertian penuh bermakna kepada hadirin dalam sambutan lembaran baru Maal Hijrah 1431 yang bakal menjelma tidak lama lagi.
Di kesempatan ini, pihak MHTM dan IKIN ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga terutamanya kepada pihak jawatankuasa Masjid Muaz Bin Jabal yang sanggup berkorban masa memberikan bantuan dan kerjasama bagi menjayakan seminar ini serta kepada para hadirin yang turut berkorban masa melapangkan diri untuk hadir dan memeriahkan majlis ini. Begitu juga kepada semua warga kerja yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam merealisasikan seminar yang dirancangkan ini.
Mudah-mudahan segala amal bakti yang dicurahkan, diredhai Allah serta diberikan ganjaran di akhirat kelak sebagai satu usaha murni membantu menegakkan kembali Syariat Allah dimuka bumi ini sebagaimana firmanNya : “Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu” [TMQ Muhammad (47) : 7] Wallahu’alam