MHTM ajak Muslimah kepada Hijrah yang sebenar

BANDAR BARU BANGI 15 November – Sempena tahun baru Hijrah yang baru sahaja tiba, Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) meneruskan siri Diskusi Muslimah dengan memilih tajuk “Hijrah Muslimah: Dari Sekular Menuju Islam”. Diskusi kali ini menampilkan Ustazah Ummu Hajar dan Dr. Ainul selaku ahli panel manakala Puan Sumayyah selaku moderator dibantu oleh Puan Sabariah.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan disusuli dengan tayangan video mengenai penolakan Barat terhadap Islam yang terhasil dari pemikiran mereka yang memisahkan agama dari kehidupan. Video juga memaparkan pandangan beberapa tokoh terhadap persoalan sama ada Malaysia sebuah Negara Islam atau sekular.

Panel pertama, Dr. Ainul terlebih dahulu menjelaskan makna sekular dengan merujuk kepada sejarah permulaannya iaitu gerakan pembaharuan di Eropah ketika masyarakat mula bangkit memperjuangkan pemisahan peranan gereja terhadap pengaturan kehidupan masyarakat dan negara. Ummu Hajar selaku panel kedua meyakinkan lagi pemahaman peserta dengan realiti di Malaysia sendiri yang meletakkan Perlembagaan Malaysia, hasil buah tangan Suruhanjaya Reid sebagai undang-undang tertinggi negara dan meletakkan perundangan Islam di bawahnya. Selanjutnya Ummu Hajar menjelaskan kepada hadhirat ciri-ciri sebuah Negara Islam di mana undang-undangnya hendaklah Islam sepenuhnya dan keamanan negara tersebut hendaklah berada di tangan kaum Muslimin.

Kedua-dua ahli panel turut menjelaskan makna sebenar hijrah dan pengertian di sebalik peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dan umat Islam dari Mekah ke Madinah.  Para peserta juga diingatkan dengan kewajipan berdakwah sebagaimana firman Allah dalam surah Ali-Imran: 110 yang bermaksud “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ru, dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah.” Ahli panel turut membacakan hadis tentang perumpamaan umat Islam di dalam sebuah kapal di mana sekiranya penumpang di bahagian atas kapal tidak menegah penumpang di bahagian bawah dari melubangi tempat mereka untuk mengambil air, pasti kapal akan karam dan semua penumpang akan menerima padahnya.

Diskusi dihangatkan lagi dengan sesi soal jawab. Dari soalan yang dilontar menunjukkan para peserta inginkan perubahan yang hakiki iaitu perubahan kepada sistem Islam secara kaffah. Kepada soalan apakah langkah pertama yang perlu dilakukan oleh seorang Muslimah untuk berhijrah, Ummu Hajar menyarankan agar para Muslimah memulainya dengan belajar dan memahami agama Islam dengan lebih mendalam. Dalam masa yang sama Muslimah juga perlu terlibat di dalam politik dan mengambil tahu urusan masyarakat. Beliau turut mengajak hadhirat untuk bersama-sama dengan MHTM dalam perjuangan yang mulia untuk menegakkan syariah dan Khilafah. Dr. Ainul juga turut mengingatkan bahawa Islam itu datang dalam keadaan asing dan akan kembali asing, maka berbahagialah orang-orang yang asing sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW.

Sebagai kesimpulan, ahli panel menjelaskan bahawa satu-satunya solusi terhadap masalah masyarakat ialah dengan penerapan Islam secara kaffah dan ini hanya dapat dilaksanakan dengan tertegaknya kembali Daulah Khilafah. Di mana penghijrahan yang terbaik adalah menukarkan sistem sekular yang kufur kepada sistem Islam yang lengkap dan sempurna. Diskusi diakhiri dengan bacaan doa memohon kepada Illahi agar Daulah Khilafah kembali tertegak secepat mungkin agar umat ini dapat kembali hidup dengan sistem Islam dan sejahtera di bawah naungan seorang Khalifah.