Seminar Sistem Pemerintahan Khilafah
Pembentang Kertas Kerja bertajuk ‘Sistem Pemerintahan Khilafah’ pada seminar Penghayatan Islam anjuran Hizbut Tahrir Malaysia, Abu Aiman, berkata, sistem pemerintahan itu telah diperkenalkan Rasulullah SAW sejak tertubuhnya negara Islam di Madinah pada tahun pertama Hijrah dan ia terus dipraktikkan sehinggalah keruntuhannya, yang didalangi oleh Mustafa Kamal Ataturk, pada tahun 1342 di Turki.
“Sistem pemerintahan Islam ini mempunyai ciri dan sifat yang berbeza daripada sistem pemerintahan yang ada sekarang mahupun yang terdahulu kerana ia ditegakkan berasaskan akidah Islamiyyah.
“Selain itu, ia juga berfungsi menerap, memelihara syariat serta memperluaskan lagi syiar Islam ke seluruh dunia,” katanya pada seminar itu di sini.
Menurut Abu Aiman, pelbagai permasalahan yang wujud hari ini berlaku disebabkan system Khilafah tidak lagi diamalkan oleh masyarakat.
Akibatnya, kata beliau, umat Islam hari ini mengalami kemunduran, kesengsaraan hidup, malah terus terhina berbanding umat dan bangsa lain.
Katanya, satu-satunya penyelesaian terhadap segala permasalahan ini adalah dengan meneruskan semula kehidupan Islam seperti yang telah dilaksanakan selama lebih 1300 tahun di bawah sistem pemerintahan Khilafah.
Sementara itu, pembentang kertas kerja yang bertajuk ‘Sistem Ekonomi Islam’, Ridhuan Hakim, berkata, sistem ekonomi Islam yang berasaskan akidah Islamiyyah amat perlu diwujudkan hari ini.
Katanya, sistem ini akan mendominasi dan akan melenyapkan sistem ekonomi kapitalisme yang selama ini diamalkan di seluruh dunia.
“Sistem kapitalisme yang diamalkan sepanjang dua abad terakhir ini hanya mendatangkan kesengsaraan, kesempitan hidup dan menjejaskan kehidupan berikutan aturannya yang merupakan sistem ekonomi buatan (akal) manusia”.
“Islam memiliki elemen ekonomi yang mampu menjamin keperluan asas serta membuka peluang bagi umat manusia memanfaatkan harta untuk memenuhi keperluan hidup”, katanya.
Beliau berkata, sistem ekonomi Islam bukan sahaja sesuai bagi umat Islam, bahkan ia sesuai untuk seluruh umat manusia kerana Islam dan sistem yang diturunkan oleh Allah SWT melalui sunnah Nabi Muhammad SAW adalah merupakan sistem yang diturunkan untuk umat manusia.