Semua Muslim Sudan wajib diselamatkan oleh tentera kaum Muslimin

Dengan konflik yang melanda Sudan sekarang ini, semua negara sedang sibuk menyelamatkan warganegara masing-masing yang berada di negara itu, dengan berusaha mengeluarkan mereka secepatnya dengan pelbagai cara. Demikianlah laporan berita saban hari sejak konflik mula menegang.

Pertempuran antara tentera Sudan yang diketuai oleh Al-Burhan, dan pasukan separa tentera yang diketuai oleh Hemedti, telah pun memasuki minggu kedua dengan angka korban menghampiri 300 orang, manakala lebih 3,000 dilaporkan cedera setakat ini.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menyatakan yang misi menyelamat rakyat Malaysia berada dalam keadaan kritikan kerana pihak-pihak yang bertelagah tidak mematuhi gencatan senjata. Bagaimana pun perkembangan terbaru menyaksikan rakyat Malaysia telah berjaya dibawa keluar.

Sudan sudah agak lama berada dalam konflik dengan rampasan kuasa yang berlaku beberapa kali, dan percubaan pemimpin negara tersebut untuk menubuhkan kerajaan gabungan antara tentera dan awam untuk dilihat lebih demokratik. Jauh sebelum itu konflik di Sudan menyaksikan terpecahnya Sudan kepada dua bahagian iaitu Sudan Selatan dan Utara.

Hakikatnya, konflik di Sudan tidak berlaku begitu sahaja kecuali terdapat Amerika di belakangnya yang mencaturkan negeri kaum Muslimin tersebut untuk kepentingan mereka. Malah, kedua-dua pemimpin tentera yang sedang bertelagah tersebut jelas merupakan ejen Amerika yang telah sengaja menimbulkan konflik dalam rangka memenuhi redha Amerika.

Dalam konteks pertempuran yang sedang meletus di Sudan ini, kita perlu memahami bahawa:

Pertama: Pergaduhan atau pertempuran yang berlaku adalah di antara dua pasukan Muslim yang merupakan sebuah perbuatan yang tercela di sisi Islam. Pertempuran yang menumpahkan darah ini adalah haram dalam apa jua keadaan pun. Darah yang tertumpah di jalan-jalan di Khartoum dan beberapa bandar lain di Sudan adalah darah umat Islam, yang haram untuk ditumpahkan. Siapa pun yang melakukan pembunuhan ke atas Muslim telah melakukan jenayah yang terkutuk. Allah (swt) berfirman,

وَمَنْ يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا

“Dan barangsiapa yang membunuh seorang Mukmin dengan sengaja maka balasannya ialah Jahanam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan melaknatnya serta menyediakan azab yang besar baginya” [An-Nisa’ (4): 93].

Kedua: Muslim Malaysia atau Muslim mana pun yang ada di Sudan bukanlah “warga asing” yang berada di “negara asing.” Sebaliknya, mereka adalah Muslim yang tinggal di negara mereka sendiri kerana Sudan merupakan negara kaum Muslimin, sebagaimana Mesir, Palestin, Arab Saudi, Turki, Pakistan dan lain-lain. Status dan situasi mereka sama sahaja dengan status dan situasi rakyat Sudan lainnya di sisi Islam. Apa yang sedang berlaku ke atas rakyat Sudan, juga sedang berlaku ke atas mereka sebagai Muslim, tanpa perbezaan sedikit pun darihal darah dan kemuliaan.

Justeru, menjadi kewajipan atas setiap negara kaum Muslimin, khususnya para tentera, untuk menyelamatkan dan melindungi mereka semuanya, daripada pihak-pihak yang kehausan darah yang sedang berebut kuasa di Sudan. Tanggungjawab Malaysia bukanlah hanya memindahkan warga Malaysia, Pakistan memindahkan warga Pakistan, Turki memindahkan warga Turki dan seterusnya, dengan tidak mempedulikan rakyat Sudan yang juga sedang berhadapan dengan kematian. Kesucian darah kaum Muslimin tidak ada bezanya di sisi Allah, walau apa pun bangsa mereka!

Ketiga: Menjadi kewajipan atas Malaysia dan kesemua negeri kaum Muslimin, untuk membantu Sudan, dengan memegang tangan kedua-dua puak yang sedang berperang ini, lalu mendamaikannya, sebagaimana perintah Allah (swt):

وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا ۖ فَإِنْ بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَىٰ فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّىٰ تَفِيءَ إِلَىٰ أَمْرِ اللَّهِ ۚ فَإِنْ فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا ۖ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

“Dan sekiranya dua golongan dari kaum Mukminin itu berperang, hendaklah kamu damaikan antara kedua-duanya! Tetapi sekiranya satu pihak melanggar perjanjian terhadap yang lain, hendaklah yang melanggar perjanjian itu kamu perangi sampai kembali kepada perintah Allah. Kalau ia telah kembali, damaikanlah antara kedua-duanya menurut keadilan, dan hendaklah kamu berlaku adil; sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil” [Al-Hujarat (49): 9].

Pendamaian antara kedua-dua puak yang sedang berperang ini bukannya mudah untuk dilakukan, kecuali dengan kekuatan tentera. Apatah lagi memandangkan hakikat bahawa Amerika berada di belakang konflik ini. Kedua-dua pemimpin tentera di Sudan ini perlu dihentikan jenayah mereka, sebagaimana perlu dihentikan ketaatan mereka kepada Amerika. Mereka telah menumpahkan darah sesama Muslim dalam mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh kafir penjajah, yang diketuai oleh Amerika.

Tindakan segera sekarang ini bukanlah dengan negeri-negeri kaum Muslimin mengeluarkan warganegara masing-masing, sedangkan dalam masa yang sama membiarkan puak-puak yang bertelagah terus menumpahkan darah sesama mereka, dan menumpahkan darah orang awam yang tak berdosa, tetapi memerlukan penggemblengan tentera dari seluruh negeri kaum Muslimin untuk menghentikan pertempuran, sebagaimana perintah Allah dalam ayat di atas!

Keempat: Negara kaum Muslimin wajib memutuskan segala hubungan dengan Amerika, dan PBB yang menjadi tunggangan Amerika. Begitu juga dengan ejen-ejen Amerika yang perlu “dihapuskan” segera agar kaum Muslimin tidak lagi dikuasai oleh para penjahat, yang hanya berkuasa demi memenuhkan kehendak musuh Allah (swt).

Kita sedar bahawa pemimpin kaum Muslimin dan tentera mereka tidak akan mematuhi perintah Allah, dan tidak pernah sanggup untuk memainkan peranan yang mulia dan penuh heroik ini, namun demikian kita tetap wajib melakukan muhasabah terhadap mereka. Mereka seharusnya takut dengan firman Allah (swt):

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انْفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الْأَرْضِ ۚ أَرَضِيتُمْ بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ ۚ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ * إِلَّا تَنْفِرُوا يُعَذِّبْكُمْ عَذَابًا أَلِيمًا وَيَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيْئًا ۗ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Wahai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah akan menyeksa kamu dengan seksaan yang pedih dan digantinya (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudaratan kepada-Nya sedikit pun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu” [At-Taubah (9): 38-39].

Sudah berapa banyak konflik yang menimpa negeri kaum Muslimin yang diakibatkan oleh kafir penjajah dan ejen-ejen mereka. Namun, kesemua pemerintah kaum Muslimin yang ada tidak pernah bergerak untuk mentaati Allah dan Rasul-Nya dengan mengerahkan tentera untuk menyelamatkan umat ini. Mereka hanya “mensucikan” sempadan palsu yang dilukis oleh kafir penjajah ke atas mereka. Mereka “mensucikan” kemerdekaan dan kedaulatan negara masing-masing yang hakikatnya hanyalah sebuah kemerdekaan dan kedaulatan yang penuh khayalan yang diberikan oleh penjajah.

Atas dasar itu, mereka menganggap Sudan dan rakyatnya sebagai umat Islam yang terpisah, yang tidak perlu dibantu atau diselamatkan. Mereka menyifatkan pertempuran di Sudan sebagai perkara dalaman Sudan yang tidak perlu mereka campuri. Mereka tidak menghiraukan perintah Allah untuk mendamaikan dua pasukan Mukmin yang berperang, dan mereka tidak pernah mempedulikan bahawa umat Islam adalah umat yang satu, yang mana keamanan mereka (umat Islam) adalah satu, dan perang mereka adalah satu.

Selagi ada musuh-musuh Allah (swt) dan ejen-ejen mereka di muka bumi ini, maka selagi itulah dunia ini tidak akan aman, dan darah kaum Muslimin akan terus mengalir tanpa hak.

Justeru, satu-satunya cara yang tinggal kini hanyalah dengan tegaknya Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah untuk kali yang kedua, yang akan mengembalikan semula maruah dan kesucian darah kaum Muslimin, mempersatukan negeri-negeri kaum Muslimin di bawah satu pemerintahan serta mengembalikan keamanan dunia sebagaimana dahulunya.

Inilah yang sedang dilakukan oleh Hizbut Tahrir, dan diserukan oleh Hizbut Tahrir kepada seluruh umat Islam secara umum, dan kepada tentera secara khusus, agar mendukung dan bersama-sama berganding bahu dalam perjuangan ini, dan seterusnya memberikan nusrah (pertolongan) agar Khilafah segera berdiri. Dengan izin-Nya, sesungguhnya kembalinya al-Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah untuk kali yang kedua sudah amat dekat.

Wallahu a’lam.