Sengsaranya Mahasiswa dalam Sistem Kapitalisme

alt69,573 pelajar diperintah bayar balik pinjaman PTPTN
TEMERLOH 12 Nov. – Seramai 69,573 pelajar yang meminjam dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah diperintah agar membayar balik pinjaman mereka oleh mahkamah sehingga Oktober lepas. 

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamad Said berkata, jumlah itu antara 104,083 peminjam yang disaman kerana gagal menjelaskan pinjaman mereka. 

“Tindakan mahkamah ini terpaksa dilakukan setelah pelajar terbabit gagal membayar balik pinjaman walaupun selepas dihubungi dan diberikan peringatan berkali-kali oleh PTPTN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Bee Yong, Kerdau hari ini.  Ismail, yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau, berkata, sehingga September lepas, PTPTN hanya berjaya memungut RM2.74 bilion iaitu 48.34 peratus berbanding RM6.2 bilion, jumlah yang sepatutnya diperoleh.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 8,143 pelajar yang disenarai hitam Jabatan Imigresen membayar balik pinjaman mereka membabitkan kutipan kira-kira RM146 juta.  Katanya, jumlah itu masih rendah berbanding 132,801 pelajar yang disenarai hitam dan tidak boleh keluar negara kerana tidak menjelaskan pinjaman. – Bernama

Sumber : Utusan Malaysia: 12/11/11
 

Sengsaranya Mahasiswa dalam Sistem Kapitalisme
Nampaknya isu PTPTN masih tidak selesai dan terus menghantui para pelajar yang “dipaksa” meminjam dengannya. Semakin hari semakin terserlah kesempitan hidup dalam dunia kapitalisme ini walaupun hakikatnya dunia ini adalah luas. Belum sempat melepaskan lelah penat belajar, kini kejahatan sistem kapitalisme yang diterapkan oleh pemerintah sekular terus menghambat dan menghantui para pelajar yang dikejar dan diburu oleh pihak mahkamah kerana gagal menjelaskan pinjaman pelajaran mereka. Inilah kebusukan yang terserlah dalam sistem kufur yang diterapkan oleh pemerintah hari ini. Justeru itu sudah sampai masanya golongan yang ditindas oleh PTPTN ini terutamanya golongan mahasiswa untuk bangkit bagi mengubah sistem kufur ini. Ini termasuklah dalam bidang pendidikan yang sewajibnya disediakan secara percuma oleh pemerintah.

Wahai para mahasiswa! Apakah nadi-nadi kamu masih lagi berdenyut atau telah berhenti sehinggakan kamu berdiam diri dengan kezaliman yang dipaksakan oleh pemerintah sekular kepada kamu selama ini. Jika nadi kamu masih berdenyut, maka sudah sampai masanya untuk kamu bergerak mengubah keadaan yang rosak ini kepada Islam.

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. [TMQ al-Anbiyaa’ (21): 107].

Sistem komunisme sudah berkubur dan kini ideologi kapitalisme sedar menuju ke penghujung hayatnya. Sehingga kini terbukti dan ternyata para pemimpin yang berkuasa hari ini telah mencampakkan Islam dari kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Sudah sampai masanya kita membuang para pemimpin sekular ini dan menegakkan semula kehidupan Islam dengan menegakkan kembali Khilafah yang akan menerapkkan Islam ke dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara.

Lihat: SN108 – PEMBIAYAAN PENDIDIKAN : TANGGUNGJAWAB SIAPA?