Serangan Amerika-Yahudi ke atas Iran dan Kesan-kesannya.. Kegilaan Kegagalan Berturut-turut

Keanehan watak Presiden Amerika, Donald Trump, tidak lagi tersembunyi daripada sesiapa pun. Tahap keangkuhan dan kesombongannya menimbulkan persoalan mengenainya: adakah dia normal atau adakah dia taksub dengan kehebatan dan kebesaran dirinya sendiri? Nampaknya ketaksubannya ini telah mendorongnya mengeluarkan kenyataan dan tindakan gila yang menjerumuskan dirinya dan Amerika ke dalam kejahatan dirinya sendiri dan dasar-dasarnya yang bodoh…

Pembohongan dan percanggahannya menjadi semakin banyak dan nyata, sehinggakan keangkuhannya – dalam tuntutan, ancaman, dan percanggahannya – menjadi bahan ketawa dan ejekan para pemerhati, serta menimbulkan kehairanan bagaimana lelaki seperti ini boleh menjadi presiden sesebuah negara.

Percanggahan selalunya menunjukkan kegagalan, dan jika ia berulang dan bertambah banyak, ia menunjukkan kegagalan yang besar dan satu kebuntuan. Inilah yang semakin jelas dalam pendirian Amerika di bawah Trump, dalam perang yang sedang berlaku menentang Iran.

Telah menjadi nyata bahawa Amerika setakat ini telah kehilangan banyak kepercayaan daripada negara-negara Teluk terhadapnya, dan juga kehilangan sebahagian pengaruhnya ke atas mereka.

Kehilangan ini terutamanya memberi kelebihan kepada Iran. Ini kerana Iran dengan itu memperoleh kawalan secara beransur-ansur ke atas negara-negara Teluk.

Harus diingat bahawa perang ini belum berakhir, dan pengakhirannya adalah rumit. Jika diandaikan terdapat persetujuan untuk menghentikannya, ia hanya akan bersifat sementara seperti perjanjian bulan Jun yang lalu. Walau apa pun keadaannya, kerugian Amerika akan terus berderetan dan bertompok. Kerugiannya yang paling penting – pada akhirnya – adalah pada pengaruhnya di rantau ini, dan dalam menghalang ‘Israel’ – walaupun sebahagian – dengan menahan tangannya (daripada bertindak bebas).

Antara sebab utama kerugian ini adalah kerugian besarnya pada masa kini dalam perang ini – insya-Allah – yang tidak akan terhad kepada kekalahan dalam perang sahaja, sebaliknya ia akan menjadi kejatuhan strateginya yang dibawa oleh Trump ke rantau ini.

Kegagalan strategi, terutamanya bagi negara seperti Amerika, bukanlah perkara yang remeh atau biasa. Khususnya kegagalan pada saat ini. Kerana ia adalah kegagalan selepas rantaian strategi yang gagal sejak era kepresidenan Bush Jr. pada tahun 2001 hingga kini, yang sentiasa berubah akibat kegagalan satu demi satu.

Kegagalan berturut-turut dalam strategi ini menjadikan pemerintah sebenar Amerika Syarikat dan pembuat dasarnya menilai semula dan mengubahnya berkali-kali. Bermula dari Bush Jr. yang mengisytiharkan perang salib ke atas Islam, menggelar Islam sebagai keganasan secara terbuka dan kasar, serta mengisytiharkannya sebagai perang dunia di bawah slogan “sama ada bersama kami atau bersama pengganas”.

Kegagalan ini berlanjut sehingga ke Obama yang mengubah hal itu secara drastik dan datang untuk berdamai dengan dunia Islam serta melawat ibu kota-ibu kota utamanya: Kaherah, Ankara dan Jakarta, memperdaya umat Islam dengan ucapan-ucapan persahabatan dan cinta (dan harus diambil perhatian bahawa dia sengaja mengelak daripada melawat Arab Saudi)…dan untuk memberi tekanan kepada ejen-ejennya agar mengurangkan beberapa tekanan ekonomi dan keselamatan ke atas rakyat, dan memberi mereka sedikit kebebasan.

Lalu perkara ini membawa kepada revolusi-revolusi yang didominasi oleh unsur Islam serta tuntutan kepada Khilafah dan pemerintahan berlandaskan Islam. Telah terbukti secara muktamad kepada Amerika dan pentadbirannya bahawa revolusi-revolusi ini bukanlah satu peralihan demokrasi seperti yang mereka sangkakan pada awalnya. Justeru, tempoh pemerintahan Obama merupakan satu kegagalan strategik yang menambah kepada kegagalan pendahulunya, Bush Jr.

Kemudian mereka membawa masuk Trump selepas Obama dengan strategi yang bertentangan dengannya dalam banyak hal. Namun Trump juga gagal, dan kegagalannya jelas apabila dia dengan keangkuhan, kesombongan, dan tingkah lakunya yang pelik telah bertembung dengan kebanyakan negara di dunia.

Trump mencipta keretakan dalam banyak hubungan kesepakatan (alliance) Amerika Syarikat, mencetuskan rasa tidak puas hati, pengunduran, dan pemutusan hubungan antara Amerika dengan organisasi-organisasi antarabangsa, serta dengan Eropah dan NATO – sebuah badan yang mewakili wibawa, keteguhan, dan intipati sebenar kekuatan Barat dan kawalannya ke atas sistem global.

Trump bertindak mendekati Rusia dengan mengorbankan Eropah, namun gagal dengan dasar-dasarnya yang penuh dengan perangkap samar yang dibawanya; dia kehilangan Eropah tanpa memenangi Rusia, dan tidak akan memenanginya.

Trump tidak mencapai sebarang kemajuan dalam menghadapi kebangkitan atau menyekat China. Dia turut mencetuskan perselisihan dengan Iran, yang mula menghentikan kerjasamanya dengan Amerika dan memelihara kepentingannya sendiri. Trump menjadi contoh yang ideal dalam menjauhkan orang lain, mencipta musuh dan lawan, serta dalam merosakkan kedudukan dan memudaratkan kepentingannya sendiri.

Maka ‘Deep State’ (Negara Dalaman) telah menjatuhkannya dan membawa Joe Biden ke kekuasaan untuk melaksanakan strategi alternatif yang bertentangan. Tidak lama selepas itu, Biden mengumumkan pemulihan hubungan kukuh dengan Eropah dan pakatan Barat, serta pertembungan dengan Rusia, yang diprovokasinya untuk mencetuskan perang yang meletihkan terhadapnya.

Namun, Biden gagal dalam hal itu dan dalam kebanyakan isu luar Amerika. Era pemerintahannya mencatatkan kegagalan besar yang mengejutkan elit pemerintah Amerika, kerana ia adalah kegagalan dalam banyak isu. Antaranya, sebagai contoh, Taliban merampas kembali pemerintahan di Afghanistan selepas melalui 20 tahun penjajahan dan perancangan untuk mengukuhkan ketundukan Afghanistan kepada Amerika. Hasilnya, Biden dan Amerika menjadi bahan ketawa dunia dan rakyat Amerika sendiri, di mana mereka menyindirnya dan Amerika, kerana memerlukan masa 20 tahun dan sejumlah trilion dolar hanya untuk “menggantikan Taliban dengan Taliban”.

Ini merupakan tamparan yang sangat besar dan mengejutkan bagi Amerika di samping menelan kos yang sangat tinggi…diikuti pula dengan kegagalan mencapai objektif perang Rusia-Ukraine yang direka oleh Amerika sendiri, yang merupakan salah satu isu atau bahan terpenting dalam strategi Biden.

Kemudian berlaku pula kegagalan besar dan mengejutkan yang mempunyai kesan negatif global terhadap Amerika dan entiti Yahudinya – iaitu kegagalan untuk mencapai objektif Amerika dan entiti Yahudi di Gaza. Antara rantaian isu dan dasar yang gagal dalam strategi Biden ialah kegagalan percubaan untuk membendung kebangkitan China dan mengehadkan perluasan perdagangannya…ditambah lagi dengan kegagalan bersama Iran dalam dasar yang dikenakan oleh pendahulunya, Trump, yang membatalkan perjanjian nuklear dan memaksa Iran kepada perjanjian alternatif yang cuba menyekat dan melemahkannya…

Begitulah terbuktinya rentetan kegagalan pada tahap strategi, iaitu pada tahap dasar-dasar serantau dan antarabangsa – yang secara relatifnya bersifat jangka panjang – untuk pentadbiran Amerika yang silih berganti, dan bukannya pada pelan tempatan atau cabang.

Ini memberi amaran mengenai kejatuhan status antarabangsa Amerika, kerana ia telah mencuba semua alternatif yang ada, dan semuanya membawa kepada kegagalan serta menambah masalahnya. Sementara itu, musuh-musuhnya sedang mara. Musuh-musuhnya bersifat global, iaitu China, Rusia dan “Islam politik” yang berakar umbi dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia.

Apa yang ditakuti oleh Amerika dan Barat pada masa ini, yang mereka anggap berbahaya dan semakin menghampiri, adalah kebangkitan China, pakatan Rusia-China, dan organisasi-organisasi yang bergabung dengan mereka. Jika boleh diungkapkan, ia adalah “Timur lawan Barat”, selain ancaman yang lebih besar, iaitu aspirasi politik umat Islam terhadap Khilafah dan pemerintahan berlandaskan Islam, yang semakin meluas dalam kalangan umat Islam di dunia.

Ungkapan “Timur lawan Barat” mempunyai realiti sebenar yang diperbaharui pada hari ini. Ia adalah konflik lama yang muncul kembali hari ini disebabkan kemerosotan pengaruh Amerika dan Barat berdepan dengan kebangkitan serta kemajuan China, dan penyebaran pengaruh Rusia walaupun secara perlahan.

Ia juga disebabkan oleh kelemahan kesepaduan serta kemerosotan beransur-ansur yang semakin pantas dalam persefahaman antara Amerika di satu pihak, dengan Eropah serta negara-negara Barat lain di pihak yang satu lagi. Ini – sekali lagi – berhadapan dengan kebangkitan China dan pakatan sekuat keluli antara China dan Rusia, serta dasar-dasar pakatan, kerjasama, kebangkitan, dan pengembangan antara mereka dan dengan negara-negara serta organisasi lain seperti negara-negara BRICS.

Kegagalan berturut-turut pentadbiran Amerika ini adalah besar dan menelan belanja yang tinggi. Ia adalah kegagalan bagi segala apa yang dihasilkan oleh kepintaran politik dan kepimpinan Amerika dari segi alternatif dalam dasar dan strategi.

Apabila penggal Biden berakhir dengan kegagalan besar yang telah dijelaskan tadi, timbul keraguan tentang bagaimanakah strategi alternatif seharusnya dibentuk, dan seterusnya siapakah individu yang sesuai untuk menjadi Presiden: Biden atau Trump? Demokrat yang perlu meneruskan atau menghampiri dasar Biden? Atau Republikan yang perlu meneruskan atau menghampiri dasar Trump?

Pada mulanya, ‘Deep State’ telah memilih untuk mengekalkan Biden, kemudian mereka melihat perlunya menggantikan Biden dengan naibnya Kamala Harris disebabkan umur dan kelemahannya. Kemudian mereka mengubah pilihan kepada Trump. Ini adalah bukti kukuh mengenai kebuntuan dan kekurangan pilihan dalam pelan serta strategi penyelesaian.

‘Deep State’ mendapati dirinya di penghujung penggal Biden berhadapan dengan dua strategi yang bertentangan, yang kedua-duanya telah diuji dan gagal, dan tiada pilihan ketiga. Iaitu, mereka tidak menemui apa-apa melainkan mencuba kembali apa yang telah dicuba, kerana mereka pada dasarnya tiada alternatif sebagai satu strategi. Maka mereka membawa masuk Trump, dengan keangkuhannya yang semakin memuncak, kesombongan, keegoan, dan pembohongannya…yang mana ini telah disedari dan dirasai oleh setiap pemerhati.

Dan saya tegaskan, kegagalan Trump turut berlaku dalam semua isu yang diuruskannya dalam penggal semasanya:

  • Betapa dia bercakap besar tentang penyelesaian untuk Ukraine dan Rusia!!! Tetapi dia gagal, dan tidak mendapat apa-apa selain terpaksa bersetuju dengan segala tuntutan Rusia. Kegagalannya bertambah dengan perselisihannya bersama Eropah, dan penolakan Ukraine terhadap tuntutannya…
  • Dia begitu bongkak untuk mengambil alih Greenland namun gagal, dan dia mengulangi percubaan itu, lalu gagal lagi dengan teruk.
  • Dia juga begitu bongkak untuk mengambil alih Kanada… lalu gagal, dan mengulangi percubaan namun gagal!!!!
  • Manakala kegagalannya di Gaza adalah lebih nyata dan besar, di mana dia telah mengumumkan niatnya untuk membeli Gaza, kemudian menutup topik tersebut dalam keadaan gagal…
  • Dia mahu mencapai kemenangan mutlak ke atas Gaza, perkara itu ditegaskan olehnya dan Netanyahu, namun mereka berdua gagal…
  • Dia mahu mengusir penduduk Gaza dan menegaskan perkara itu, serta mendakwa bahawa ia pasti akan berlaku, tetapi ia tidak berlaku. Maka ini menjadi satu kegagalan dalam rentetan kegagalannya yang panjang…
  • Dia juga telah mengumumkan pentadbiran pemerintahan bagi Gaza di bawah pimpinan Tony Blair, namun gagal… dan topik itu terkubur.
  • Dia terpaksa menghentikan peperangan secara rasmi di bawah tekanan antarabangsa dan masyarakat global, dan ini merupakan kegagalan serta penghinaan bagi Amerika dan kedudukannya.
  • Kemudian dia mengumumkan penubuhan sebuah majlis yang dinamakannya Majlis Keamanan (Board of Peace) untuk mentadbir Gaza, bongkak dengannya, menggubal undang-undang untuknya dan meletakkannya di bawah pimpinannya, namun nasibnya adalah kegagalan…
  • Dengan ini, strategi alternatifnya – dan mungkin yang terakhir bagi ‘Deep State’ – telah pun gagal sejak bulan-bulan pertama pemerintahannya…

Maka dia beralih kepada pilihan tindakan ketenteraan berskala besar untuk menyelamatkan strateginya dan menyelamatkan dirinya. Dia menyerang Iran pada Jun 2025 melalui pangkalan tentera terbesarnya di rantau ini, iaitu ‘Israel’, dan serangan itu berakhir dengan kegagalan yang teruk, di mana pada pengakhirannya dia terpaksa mempertaruhkan serangan besar-besaran untuk mungkin menamatkan program nuklear Iran dan memaksa Iran menyerah kalah, seperti mana yang dikatakannya.

Dia membangga diri bahawa dia telah mencapai matlamatnya daripada serangannya ke atas loji-loji nuklear tersebut, namun kemudiannya terbongkar bahawa dia berbohong dan serangan-serangan itu serta perang 12 hari tersebut jelas gagal secara memalukan dan memudaratkan kedudukan Amerika.

Kemudian, Trump dan entiti Yahudi menyediakan perancangan besar dan bersejarah untuk menghapuskan Iran, projek nuklearnya, senjata-senjatanya, serta sumber kekuatannya, lalu mereka menunggu peluang yang sesuai untuk serangan besar-besaran dengan senjata terkini dan paling kuat…namun inilah hasil yang disaksikan oleh dunia, yang membuktikan kegagalan besar selepas berlalu kira-kira 12 hari, dan dunia menyaksikan besarnya pembohongan serta percanggahan Amerika di bawah Trump, sebagaimana dunia juga menyaksikan betapa bongkaknya Trump yang gila.

Ya, peperangan masih belum tamat, dan tiada sesiapa pun di dunia ini yang boleh mengetahui atau menentukan bagaimana kesudahannya kelak, atau milik siapakah kemenangan di dalamnya.

Walau bagaimanapun, dapat disimpulkan dan ditegaskan bahawa kegagalan Amerika yang berturut-turut ini mengesahkan bahawa Amerika telah gagal dalam sebahagian besar atau kesemua dasarnya sejak lebih suku abad yang lalu sehinggalah sekarang. Ia sedang menuju kemunduran, cengkamannya semakin longgar, dan pengaruhnya semakin lemah di rantau ini.

Perkara ini meninggalkan kelompangan, di mana peranan terbesar untuk mengisinya mungkin akan digalas oleh Iran dan Turki, dan ruang akan terbuka luas untuk lebih banyak aktiviti Rusia dan China di rantau tersebut.

Ini bermakna terdapat perubahan yang sedang dan akan berlaku pada situasi antarabangsa di rantau tersebut dan juga di dunia. Ini membenarkan penjelasan dan jangkaan sebelum ini bahawa kesan daripada “Taufan Al-Aqsa”, yang mana paling utamanya ialah peluasan skop peperangan dari Gaza ke seluruh rantau, adalah peristiwa yang menentukan nasib dan kelangsungan:

  1. Ia amat menentukan nasib Iran; ia akan menghancurkan Iran jika Amerika dan ‘Israel’ menang, dan akan menjadikan Iran sebuah negara yang rapuh serta gagal seperti Lubnan, Syria, Libya, dan Sudan…ia akan mengukuhkan pengaruh Amerika-Barat di rantau ini dan dunia, memaksakan dominasi ‘Israel’ ke atas rantau ini dan menjadikannya sebagai polis yang mengawalnya, menjadi pihak berkuasa, penentu undang-undang dan kuasa penyerang tanpa sekatan atau pemantauan, khususnya untuk menghapuskan “Islam politik” dan menghina segala perkara yang berkaitan dengan Islam atau Arab.
  2. Ia juga menentukan nasib Amerika Syarikat; kerana kegagalannya dalam peperangan ini akan mengesahkan peleraian cengkamannya ke atas rantau ini serta menambah kelemahannya. Ia juga akan mengukuhkan kemerdekaan penuh Iran daripadanya, serta tindakannya sebagai entiti yang setara dengan Amerika. Ini akan membawa kepada kemerosotan pengaruh Amerika secara beransur-ansur di rantau ini, dan kemudian di dunia. Kemerosotan ini akan mencipta kekosongan yang mungkin akan diisi oleh pihak lain seperti yang telah dinyatakan.
  3. Pengunduran Amerika secara beransur-ansur akan mempunyai impak yang kuat dan pantas ke atas kewujudan entiti Yahudi di rantau ini; oleh yang demikian, perang ini merupakan perang kelangsungan hidup bagi entiti Yahudi. Perkara inilah yang pernah diperkatakan ketika berlakunya operasi “Taufan Al-Aqsa” yang diberkati pada 7 Oktober.

Saya ulangi: Jika perang ini dihentikan tanpa Amerika dan Yahudi mencapai kemenangan seperti yang dibanggakan oleh Trump, maka situasi serantau di kawasan ini akan berubah secara drastik. Perubahan itu akan menyebelahi dua kuasa serantau iaitu Iran dan Turki. Mungkin juga terdapat peranan bagi Arab Saudi bersandarkan kepada kedudukannya, keluasannya, keupayaan kewangan dan agamanya, serta hubungannya di dunia Islam dan penyebaran pengikut-pengikutnya di seluruh dunia.

Adapun ‘Israel’, walaupun ia merupakan sebuah kuasa serantau yang kelihatan besar pada masa ini, ia tidak akan lagi mempunyai peranan serantau ketika itu, kerana ia akan menjadi lemah, merosot dan lenyap seiring dengan kemerosotan Amerika di rantau ini. Ini kerana nyawa Israel bergantung sepenuhnya kepada Amerika.

Begitu juga, tidak akan wujud lagi sebarang pengaruh yang berkesan di rantau ini bagi mana-mana negara Eropah, kerana kejatuhan kedudukan antarabangsa Amerika bermaksud kejatuhan bagi seluruh blok Barat. Ia merupakan perubahan global dalam landskap antarabangsa, tentang siapakah yang akan menjadi negara nombor satu di dunia? Dan siapakah pula yang akan berada di kedudukan kedua?

Sesungguhnya di dalam hati terdapat pelbagai persoalan. Antaranya ialah satu persoalan yang jawapannya amat menyakitkan iaitu: Di manakah kedudukan kita sebagai umat Islam dalam mencorakkan peristiwa-peristiwa ini dan apakah peranan kita? Apakah peranan kita dalam mencorakkannya atau mempengaruhinya? Bukan sekadar bertindak balas terhadapnya atau hanya sekadar menjadi bahan bakar kepadanya.

Ditulis oleh: Mahmoud A. Hassan (Abu Abed)

https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=26040880278925931&id=100002919431991&mibextid=wwXIfr&rdid=3jzdcPRt5ofGO8vn#