Serangan Terhadap Muslimah di Kanada

Gambar UM 060116Dalam beberapa bulan yang lalu, kita telah menyaksikan peningkatan mendadak ke atas serangan terhadap Islam khususnya para Muslimah. Penderaan lisan, hijab direntap, ugutan bunuh dan serangan fizikal; kesemua ini hanyalah sebahagian daripada jenayah yang dilakukan terhadap saudara-saudara perempuan Muslim kita di seluruh Kanada. Sesungguhnya tindakan ini berpunca daripada histeria Islamofobia yang melanda Kanada. Kesemua ini berlaku hanya kerana kepatuhan para Muslimah ini kepada agama Islam dengan memakai hijab. Contohnya, enam orang Muslimah di Universiti McMaster telah dipaksa berpindah dari rumah mereka selepas didapati ada sebilah pisau tertancap di dinding dalam rumah mereka. Hal ini berlaku apabila salah seorang wanita – yang dilahirkan di Kanada – telah diserang oleh dua lelaki selepas dia mengambil anak-anaknya dari sekolah. Dia telah ditendang bertubi-tubi di perut, ditumbuk di muka dan dipanggil sebagai “pengganas” serta disuruh ‘kembali ke negaranya”.

Sejak bertahun-tahun sepanjang Stephen Harper memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Kanada,  telah berlaku peningkatan yang berterusan ke atas retorik anti Muslim. Harper dan Parti Konservatif ketika pilihan raya Persekutuan Kanada pada tahun 2015 telah menjadikan pakaian wanita Islam sebagai bola sepak politiknya untuk meraih kemenangan dan memenangi undi perkauman Kanada. Meskipun telah berlaku propaganda anti Muslim selama ini, rakyat Kanada masih lagi mengekalkan nilai-nilai keterlibatan sosial dan toleransi dengan mencampakkan Stephen Harper dan Parti Konservatifnya dari tampuk kekuasaan. Rakyat Kanada secara efektif mengatakan “Tidak” kepada politik pecah-belah untuk meraih kuasa.

Namun begitu, kebencian terhadap Islam yang ditimbulkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini masih belum lenyap. Media masih lagi menggambarkan Islam dalam posisi negatif dan gagal untuk mengenal pasti bahawa ia adalah satu masalah berdasarkan kepada keputusan undian sebanyak 32 peratus yang diraih oleh Harper atau orang-orang yang menyokong Donald Trump. Golongan yang menelan mesej beracun ini tidak hanya berpuas hati dengan mengundi individu-individu seperti itu, sebaliknya mereka sanggup menyerang saudara-saudara perempuan kita secara lisan dan fizikal!

Sebagai umat Islam yang tinggal di Barat, kita tidak boleh menanggung ketakutan dalam diam atau lebih buruk lagi, berkompromi, dalam agama kita. Sebagai contoh, kita tidak boleh meninggalkan kewajipan-kewajipan yang terbeban di bahu kita – sama ada menunaikan solat di tempat kerja atau memakai hijab. Secara jelas, hijab adalah pakaian wanita dalam Islam sebagaimana firman Allah SWT:

(وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ)

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang [biasa] nampak daripadanya dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada-dada mereka” [Al-Nur (24):31].

Kita hendaklah terus berpegang teguh kepada akidah Islam dan mematuhi kewajipan-kewajipan dalam Islam; sebagaimana Rasulullah SAW, para sahabat dan generasi awal yang beriman kepada Allah di Mekah berpegang teguh kepada deen mereka walaupun mereka berdepan dengan penyeksaan yang sangat hebat dari orang-orang Quraisy. Muslimin dan Muslimat hendaklah ingat akan keteguhan syahidah pertama dalam Islam iaitu Sumayyah RA yang menanggung penyeksaan yang amat dahsyat kerana menjadi seorang Islam dan dia tidak sekali-kali keluar dari agamanya, malah lebih menyukai kematian daripada berkompromi terhadap akidah Islam. Oleh itu, kita hendaklah memiliki keberanian dalam suasana yang sulit sebegini. Allah SWT berfirman:

(إِنَّمَا ذَٰلِكُمُ الشَّيْطَانُ يُخَوِّفُ أَوْلِيَاءَهُ فَلَا تَخَافُوهُمْ وَخَافُونِ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ)

“Sesungguhnya mereka itu tidak lain hanyalah syaitan yang menakut-nakutkan [kamu] dengan sekut-sekutunya, kerana itu janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku, jika kamu benar-benar orang yang beriman” [Ali Imran (3):175].

Kita tidak boleh membiarkan agenda yang didalangi oleh pihak media memberitahu orang ramai apakah pengertian Islam menurut definisi mereka. Sebaliknya, kita hendaklah mengerahkan jiran-jiran, rakan-rakan sekerja dan para pelajar dari kalangan rakyat Kanada untuk bercakap dengan mereka mengenai Islam. Ramai rakyat Kanada tahu bahawa, tindakan menjadikan kaum wanita sebagai sasaran keganasan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Oleh kerana itu, para Muslimah (berbanding Muslimin) akan lebih mudah untuk melibatkan orang-orang tersebut untuk membuatkan mereka memiliki kesedaran tentang Islam.

Tambahan pula, para Muslimah yang bangga menutup aurat kerana mematuhi hukum syarak, akan dapat menghilangkan persepsi negatif dengan menunjukkan contoh kepada umum bahawa pakaian mereka adalah satu bentuk ketaatan kepada Allah SWT. Melibatkan banyak pihak (dalam mempromosikan Islam) dan tampil dengan yakin akan dapat menghilangkan stereotaip negatif berkenaan Islam dan juga wanita Islam.

Ramai orang merasa keliru dengan retorik yang mereka dengar dari pihak media. Mereka tidak dapat mengaitkan propaganda menentang Islam dengan realiti kaum Muslimin dan Muslimah yang mereka kenali, yang mematuhi syariat Islam di tempat umum. Kita sepatutnya menjangka akan dihujani dengan soalan-soalan yang keras dan penuh emosi. Malah, kita sepatutnya menerima dengan tangan terbuka peluang-peluang untuk mengadakan diskusi-diskusi terbuka dalam suasana saling menghormati. Kita perlu bersedia untuk meningkatkan pengetahuan kita dalam agama dan mengambil tahu hal ehwal semasa di tempat kita untuk menjawab persoalan-soalan yang dikemukakan oleh orang ramai dan menjadi duta-duta Islam secara efektif dengan melakukan hal-hal berikut:

  • Melibatkan masyarakat yang lebih luas tentang Islam – Apabila media melakukan serangan terhadap Islam, kita hendaklah bersedia untuk melibatkan kalangan non-Muslim yang kita kenali dan melakukan diskusi dengan mereka tentang Islam. Bagaimana pun, dari bersikap menunggu, sebaiknya kita bersikap proaktif dengan melibatkan orang-orang yang kita kenali untuk berdiskusi tentang Islam.
  • Membetulkan pemahaman mereka tentang Islam – Apabila bercakap tentang keganasan, kita hendaklah menjelaskan bahawa pembunuhan ke atas orang-orang awam yang tidak berdosa adalah haram. Kita juga hendaklah bersedia untuk berdiskusi tentang isu-isu wanita. Sebagai contoh, kita hendaklah menerangkan bahawa pemakaian hijab oleh saudara-saudara perempuan Islam kita adalah salah satu bentuk ketundukan dan kepatuhan kepada Sang Pencipta dan bukan kerana ia disuruh oleh kaum lelaki dan melakukan diskusi tentang bagaimana Islam mengatur hubungan antara lelaki dan wanita dengan jalan yang dapat menumbuhkan keharmonian dalam keluarga.

Situasi yang dialami oleh saudara-saudara perempuan di Kanada dan di negara-negara Barat secara umumnya adalah akibat ketiadaan seorang pelindung. Para Muslimah khususnya sangat perlukan seorang Khalifah; seperti Khalifah Mu’tasim rahimahullah yang telah mengerahkan seluruh tenteranya demi menjaga keselamatan dan maruah seorang Muslimah yang dicabuli oleh tentera-tentera Rom. Hanya melalui Khalifah urusan umat Islam lelaki dan perempuan akan terjamin dan diatur dengan baik. Semoga Allah SWT memberikan perisai kepada umat ini dan melindungi umat ini dari segala malapetaka. Sabda Rasulllah SAW,

«إِنَّمَا الْإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِه»

“Sesungguhnya Imam (Khalifah) itu adalah laksana perisai, di mana orang-orang akan berperang di belakangnya dan menjadikannya sebagai pelindung (bagi dirinya)” [HR Muslim].

Hizbut Tahrir Kanada
26/12/2015