Serangan Udara AS Di Syria – Rencana Jahat AS Dan Pengkhianatan Para Penguasa Muslim Terhadap Umat

Krisis di Syria dan Iraq telah menjadi semakin meruncing semenjak Presiden AS, Barack Obama meluluskan operasi serangan udara terhadap kumpulan bersenjata Islamic State (IS) pada 10 September yang lalu. Dilaporkan sebanyak lebih 194 kawasan telah menjadi sasaran serangan udara yang berlangsung sejak 23 September yang lalu. Serangan udara tersebut turut dibantu oleh beberapa negara sekutu AS termasuklah lima buah negeri-negeri Arab iaitu Arab Saudi, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Bahrain. Di samping misi serangan udara, tentera laut AS turut melancarkan peluru berpandu Tomahawk daripada kapal-kapal perang di sekitar Laut Merah dan Laut Arab.

Tindakan serangan udara ini menimbulkan keraguan dari segi motifnya kerana sasaran serangan tersebut ditujukan kepada kumpulan-kumpulan bersenjata termasuklah yang tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan IS. Bahkan kebanyakan sasaran tersebut terletak di wilayah yang tidak dikuasai oleh kumpulan IS. Lebih menyedihkan lagi apabila kumpulan pemerhati hak asasi manusia Syria melaporkan bahawa terdapat hampir 50 orang yang terdiri daripada orang awam dan pejuang Jabhat an-Nusrah terkorban hasil daripada serangan udara di wilayah utara Syria dekat bandar Kfar Daryan pada hari pertama serangan.[1] Jelas di sini bahawa tindakan AS bukan sekadar mensasarkan kumpulan IS semata-mata, sebaliknya ia turut menyerang kumpulan-kumpulan bersenjata yang menentang rejim al-Assad tanpa mempedulikan korban awam yang dijustifikasikan sebagai ‘collateral damage’.

Bagi mengukuhkan lagi justifikasi ke atas serangan udara ini, AS turut melaporkan kewujudan ‘kumpulan Khurasan’ yang dikatakan terdiri daripada militan al-Qaeda yang pernah berperang di Afghanistan. Namun, kewujudan kumpulan ini sangat diragui kerana tidak dapat dibuktikan oleh mana-mana pihak. Bahkan kewujudan kumpulan ini tidak pernah diketahui umum sebelum ini sehinggalah apabila diperkenalkan Amerika baru-baru ini. Sungguh meragukan apabila kewujudan kumpulan yang dikatakan hanya mempunyai keanggotaan mencecah 50 orang sahaja dijadikan justifikasi terhadap serangan udara berskala besar di samping mensasarkan kumpulan IS.[2]

Siri serangan udara ini juga telah membantu rejim Assad untuk terus kekal berkuasa kerana ia mensasarkan kumpulan-kumpulan penentang Assad. Sangat ironi apabila AS dan sekutunya bersungguh-sungguh untuk menghapuskan IS, tetapi pada masa yang sama membiarkan rejim Basyar yang telah mengganas terhadap rakyatnya sendiri sepanjang empat tahun semenjak merebaknya revolusi Arab Spring di negara tersebut. Jelaslah bahawa objektif utama serangan AS bukanlah atas dasar kemanusiaan, sebaliknya didorong oleh agenda tertentu demi menjamin kepentingan AS di rantau tersebut.

Di sebalik retorika Obama dan kecaman terhadap rejim Bashar al-Assad, ternyata bahawa polisi jangka pendek AS dalam kemelut ini menjurus ke arah mengekalkan Assad lantaran kegagalan AS dalam mencari dan mewujudkan kerajaan sekular demokratik alternatif sebagai pengganti. Rumusan ini dibuat berdasarkan beberapa perkara.

Pertama, hakikat bahawa serangan udara ini mensasarkan kumpulan-kumpulan penentang Assad sebagaimana yang telah dinyatakan.

Kedua, berdasarkan ucapan Obama sewaktu perhimpunan agung PBB baru-baru ini yang menyeru agar gencatan senjata dan perjanjian damai dicapai antara pihak yang bertelagah, khasnya di Syria (“These steps must be followed by a broader truce. Nowhere is this more necessary than Syria,”) [3]. Dalam ertikata lain, Obama berusaha untuk mencapai kompromi antara Bashar dan kumpulan penentangnya yang moderat agar kelompok mujahidin yang ikhlas tidak berjaya menggulingkan rejim dan menerapkan pemerintahan Islam yang sebenar. Dalam masa yang sama, tindakan ini juga merupakan antara bentuk kompromi terhadap Rusia, China dan Iran yang menyokong kelestarian rejim Assad.

Selain itu, serangan udara AS semata-mata sudah semestinya tidak akan mampu menghapuskan kumpulan IS secara berkesan kerana mereka bergerak secara gerila dan bukannya seperti tentera konvensional. Sebaliknya, serangan udara tersebut hanya mampu untuk menyekat kemaraan IS sahaja. Sementara itu, AS menyerahkan operasi ketenteraan darat kepada Peshmerga dan tentera Iraq yang menerima bantuan logistik daripada AS. Tindakan ini boleh menyebabkan krisis di Iraq berlarutan dan mengukuhkan lagi pemecahan Iraq kepada tiga wilayah, sejajar dengan polisi AS melalui projek Timur Tengah Baharu (New Middle East).[4]

Dalam pada itu, sokongan dan bantuan daripada negara-negara kaum Muslimin dalam operasi AS ini turut menunjukkan hipokrasi para penguasa Muslim yang tunduk patuh kepada arahan AS. Mereka menyerang kumpulan IS atas arahan AS, namun tiada sebutir peluru pun ditembak ke arah entiti haram Israel sewaktu Gaza diserang pada Ogos lalu.

Wahai kaum Muslimin, sampai bilakah kalian ingin terus diperkotak-katikkan dalam percaturan politik antarabangsa tanpa sebarang pembelaan? Sedarlah kalian bahawa kita diharamkan daripada saling berbunuhan sesama Muslim, sebagaimana yang ditegaskan dalam hadis berikut,

“Apabila dua orang Muslim berbunuh-bunuhan dengan pedang maka pihak yang membunuh dan yang terbunuh kedua-duanya masuk neraka. Abu Bakrah bertanya, ‘Wahai Rasulullah, orang yang membunuh memang masuk ke neraka, tetapi bagaimana pula orang yang terbunuh juga masuk ke neraka?’ Jawab baginda, ‘Kerana ia berniat dengan bersungguh-sungguh hendak membunuh lawannya’.”
[HR Bukhari dan Muslim].

Berhentilah daripada terus menjadi tali barut kuasa kuffar, dan halakanlah muncung-muncung senjata kalian kepada musuh Allah dan musuh Rasul. Raihlah kemuliaan dengan mencampakkan para penguasa Muslim yang khianat dan tegakkan semula Khilafah di atas manhaj kenabian. Wallahua’lam.

Sumber:

[1] First US Airstrike Kills Civilians

[2] Is the Khorasan group as dangerous as the White House claims?

[3] Barack Obama’s Speech to the UN

[4] Plans for Redrawing the Middle East: The Project for a “New Middle East”