Seruan Pemuda Pejuang Khilafah

Bersempena dengan bulan Rejab, bulan di mana runtuhnya Khilafah Islamiyyah yang terakhir di Istanbul, Turki, barisan pemuda yang bergabung dengan Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) mengambil inisiatif untuk mengadakan konvoi bermotorsikal dan mengadakan seruan bagi mengingatkan kaum Muslimin akan pentingnya penegakan semula Daulah Khilafah demi menerapkan hukum Allah secara kaffah di muka bumi ini.
Barisan pemuda pejuang Khilafah ini telah mengadakan usaha tersebut pada hari Sabtu 4 Jun 2011 di sebuah pasar malam di Danau Kota (Up Town). Risalah Sautun Nahdhah juga telah diedarkan ketika seruan itu berlangsung. Alhamdulillah, respons yang diterima daripada orang ramai sangat memberangsangkan walaupun terdapat segelintir golongan yang tidak berpuas hati dan meminta agar seruan tersebut dihentikan.
Halangan seumpama ini sememangnya telah berlaku ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW ketika baginda berdakwah di sebuah pasar. Ahmad mengeluarkan dari Rabi’ah bin Ibad yang berasal dari Bani Ad-Dail, yang dahulunya seorang Jahiliyah lalu masuk Islam, dia berkata,

“Aku pernah melihat Rasulullah SAW semasa Jahiliyah di pasar Dzul-Majaz,bersabda, ‘Wahai manusia, ucapkanlah La Ilaha Illallah, nescaya kalian akan beruntung”. Sementara pada saat yang sama orang-orang berkerumun di sekeliling baginda. Di antara mereka ada seseorang yang buruk mukanya dan rambutnya dijalin satu, berkata, ‘Dia adalah orang yang murtad dan pendusta!” Orang itu selalu mengekori baginda SAW ke mana sahaja baginda pergi. Aku bertanya kepada orang-orang tentang gerangan siapakah orang itu. Mereka menjawab, ‘Dia adalah bapa saudara beliau, Abu Lahab” [Kitab Hayatus Sahabah, m/s 35]

Konvoi seruan bertemakan “Bulan Rejab: Malapetaka Runtuhnya Khilafah” ini juga telah dilakukan sebelum ini di Masjid India, Jalan Chow Kit, Bukit Bintang dan beberapa kawasan lain lagi di Lembah Klang.

Konvoi ini juga dilakukan dengan tujuan untuk mengajak umat Islam di Malaysia agar bersama-sama memenuhi Konferens Kebangkitan Khilafah 2011 yang akan diadakan di Dewan Bakawali, Puri Pujangga, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 26 Jun 2011 ini. Semoga dengan usaha ini, semakin ramai umat Islam di Malaysia akan menyedari betapa pentingnya penegakan kembali Negara Khilafah agar hukum Allah dapat ditegakkan secara menyeluruh di dalam kehidupan kita, Amin.
 

alt

alt

alt

alt