SERUAN SEBELUM YANG TERAKHIR.. DARIPADA HIZBUT TAHRIR KEPADA UMAT ISLAM SECARA UMUM DAN KEPADA AHLUL QUWWAH WAL MAN’AH SECARA KHUSUS

   الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه وبعد…

Segala puji bagi Allah, salawat dan salam semoga tercurah kepada Rasulullah SAW,  keluarga, sahabat dan siapa sahaja yang berwala’ kepada baginda.. wa ba’du…

Saudara-saudara yang dimuliakan,

Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh..

Kami menujukan seruan ini kepada kalian dalam suasana bulan Ramadhan yang penuh berkat, bulan puasa yang agung, yang dinyatakan oleh Allah SWT:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

“Bulan Ramadhan adalah bulan di mana al-Qur’an diturunkan di dalamnya sebagai petunjuk untuk umat manusia, serta penjelasan, berupa petunjuk dan pembeza [antara yang hak dan batil]” [Al-Baqarah (2):185]

Bulan yang juga telah disabdakan Nabi SAW dalam hadis Qudsi dari Abu Hurairah RA:

«قَالَ اللَّهُ: كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ، إِلَّا الصِّيَامَ، فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ…»

“Allah berfirman: Setiap amal perbuatan anak Adam itu untuknya, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untukKu dan Akulah yang akan membalasnya..” [HR Bukhari]

Dan dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

«إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ، وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ»

“Ketika bulan Ramadhan tiba, maka pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan pun dibelenggu” [HR Muslim]

Kami memohon kepada Allah yang Maha Agung dan Maha Kuasa agar hati-hati kalian dibuka untuk menerima seruan kami dan pendengaran-pendengaran kalian bersedia mendengar kami, sehingga kalian berkenan untuk menyahut seruan yang kami sampaikan. Dengan begitu, kalian akan menjadi orang-orang yang disebutkan Allah:

الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُولَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُولَئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَاب

“Orang-orang yang mendengarkan perkataan, lalu mengikuti yang terbaik darinya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah SWT. Mereka itulah orang yang diberi akal fikiran” [Al-Zumar (39):18]

Wahai saudara-saudara yang dimuliakan,

Tidak diragukan bahawa kalian mendengar dan menyaksikan pelbagai peristiwa yang telah dan sedang terjadi…Negara-negara kafir penjajah benar-benar telah mengerumuni kita, sehingga negeri kita menjadi sasaran semua puak yang tamak, menjadi buruan para pemburu, perpecahannya pun sudah tidak dapat disatukan lagi oleh pemersatu…Darah-darah kita tertumpah, kekayaan alam kita dijarah, tanah kita pun semakin mengurang bukan sahaja dari tepi-tepinya, malah dari jantungnya. Yahudi telah merampas tanah penuh berkah, Palestin, tanah Isra’ dan Mikraj, bumi kiblat pertama. Di sana, mereka mendirikan sebuah Negara. Mereka menebarkan kerosakan demi kerosakan ke atas tanah tersebut…Mereka menghalau dan mengusir penduduknya dari rumah-rumah mereka, menodai kehormatannya, membunuh dan menumpahkan darah penduduknya. Mereka terus-menerus menghujaninya dengan kerosakan..  

Amerika telah menumpahkan darah, mengoyak-ngoyak Iraq dan Afghanistan serta melakukan makar kepada kita di semua tempat. Amerika telah membahagi Sudan, melepaskan Timor Timur dari Indonesia, mendukung Yunani menguasai Cyprus…Manakala Britain pula bersama Amerika terlibat dalam semua kerosakan yang dilakukannya. Jika mampu melakukannya sendiri, nescaya Britain akan membunuh dan menumpahkan darah secara sendiri. Apabila tidak mampu, maka ia akan bersama Amerika dalam melakukan kejahatan, baik untuk menyaingi atau mendukung Amerika. Bersama dengan Amerika, Britain terlibat dalam pembantaian di Iraq, Afghanistan dan Libya…Manakala Perancis mengikuti mereka dalam tindakan pembantaian ini. Bersama dengan Amerika dan Britain, Perancis terlibat dengan kerjasama dalam satu aspek, dan dalam aspek yang lain, Perancis bertindak sendiri, seperti di Afrika Tengah…

Sedangkan Rusia pula dengan pembantaiannya di Cremia, Kaukasus, Chechnya dan Tatarstan…Begitu juga pembantaian oleh China di Turkmenistan dan permusuhannya terhadap Islam.. Diikuti dengan pembantaian oleh India di Kashmir. Saudaraku, apakah yang kalian ketahui tentang Kashmir? Mereka adalah kaum Muslimin yang diperintah oleh kaum Hindu, dengan pemerintahan yang penuh pembantaian dan jenayah…

Bahkan, negara-negara kecil pun ikut terlibat membantai kaum Muslimin! Itulah Myanmar. Myanmar telah berani membantai kaum Muslimin dan menodai kehormatan mereka. Kaum Buddha begitu berani melakukan hal ini ke atas kaum Muslimin…dan banyak lagi pembantaian lainnya yang dialami oleh kaum Muslimin..

Darah-darah ini tidak hanya ditumpahkan oleh kaum kafir penjajah sahaja, bahkan oleh ejen-ejen dan tali barut mereka, dari kaum Muslimin sendiri, yang begitu berani saling membunuh sesama sendiri, menumpahkan darah sesama sendiri dan bersekongkol bersama puak kuffar dalam pembantaian ini seperti tidak sedar bahawa pembunuhan yang dilakukan itu adalah sesama Muslim. Mereka menyangka bahawa mereka telah melakukan perkara yang benar. Muslim saling berbunuhan di Syria umpama musuh ketat. Muslim saling berbunuhan di Iraq, sebagaimana kelakuan orang-orang Jahiliyah dahulu…Muslim saling berbunuhan di Libya dengan sungguh kejam. Di Yaman, Muslim saling bunuh-membunuh dengan cukup menyedihkan…Seterusnya, pembunuhan sesama sendiri juga berlaku di Mesir dan Tunisia. Semuanya itu merupakan tindakan kejahatan yang belum pernah dilakukan sebelumnya oleh tangan-tangan kaum Muslimin, saling berbunuhan satu dengan yang lain…dan masih banyak kejahatan lainnya selain itu..    

Bukan hanya darah-darah yang mengalir dengan nyata yang sedang membasahi tubuh-tubuh kaum Muslimin, hasil tangan-tangan mereka sendiri dan tangan-tangan kaum kafir penjajah, tetapi juga darah dan pembunuhan yang tidak mengalirkan darah di tubuh, namun membutakan akal dan hati. Kaum kafir penjajah itu telah bekerja dengan sekeras-kerasnya melalui pelbagai media penyesatan, melakukan makar dan konspirasi dan segala bentuk kejahatan untuk melawan dakwah kepada Khilafah dan para pejuangnya. Ada kala dilakukannya sendiri dan ada kala dilakukan melalui tangan-tangan tali barut mereka.

Ketika langkah mereka gagal meraih tujuannya terhadap para pejuang Khilafah itu, dan mereka secara nyata gagal memalingkan kaum Muslimin dari kewajiban menegakkan Khilafah, malangnya ada segelintir kaum Muslimin yang bangkit untuk melakukan apa yang belum pernah dilakukan oleh kaum kafir penjajah sebelumnya. Mereka menganjurkan perjumpaan demi perjumpaan untuk memutar belitkan fakta dari gambaran yang sebenar. Mereka menyatakan bahawa Khilafah merupakan peristiwa sejarah, bukannya hukum syarak yang wajib, di dalam Islam…  

Kemudian segelintir yang lain pula bangkit. Mereka melakukan lebih dari itu dalam memerangi Khilafah. Mereka mengotori imej Khilafah dengan mengatasnamakan Khilafah. Mereka melakukan pelbagai pembantaian, dan kejahatan atas simbol Khilafah. Mereka telah memalingkan Khilafah daripada bentuknya yang sebenar. Mereka melakukan, atas nama Khilafah, pelbagai keburukan yang tidak pernah terlintas dalam benak manusia. Mereka telah melapangkan jalan bagi kaum kafir penjajah dan musuh-musuh Islam. Mereka telah membuka jalan agar pelbagai kejahatan tersebut dapat dieksploitasi, sehingga wajah Khilafah berhasil ditampilkan kepada orang ramai sebagai suatu kejahatan yang melebihi daripada segala kejahatan yang lain. Dengan begitu, orang ramai pun akhirnya membenci Khilafah. Orang ramai pun [diharapkan] akan menjauhinya, sehingga gambaran Khilafah (yang sepatutnya sangat dirindui dalam benak kaum Muslimin), justeru berubah menjadi kezaliman yang menyesakkan! Begitulah apa yang mereka lakukan…

Maka jadilah keadaan kaum Muslimin saat ini dalam kegelapan, saling menutupi satu dengan yang lain. Kegelapan ini bukan hanya akibat tangan-tangan kaum kafir penjajah, tetapi akibat tangan-tangan kaum Muslimin itu sendiri yang berganding dengan kafir penjajah, malah mungkin kesan tangan-tangan kaum Muslimin sendiri itu lebih besar. Mereka menyandarkan tindakan mereka ini kepada Islam. Hakikatnya, mereka telah menistakan Islam seraya mengibarkan slogan menentangnya, atau mereka menistakan Islam tetapi mengibarkan slogan atas nama Islam!!

Wahai kaum Muslimin amnya…Wahai Ahlul-Quwwah wal Man’ah khasnya..

Sesungguhnya keadaan kita sekarang telah mengulangi era Jahiliyyah dahulu di mana bangsa Arab hidup di dalamnya. Mereka saling berperang selama 40 tahun gara-gara seekor unta. Mereka mengubur hidup-hidup anak perempuan. Mereka membuat patung yang mereka pahat dengan tangan-tangan mereka, baik dari batu mahupun kayu, kemudian mereka sembah. Kadang-kadang mereka membuatnya dari buah kurma dan ketika mereka lapar, lalu mereka pun memakannya! Mereka mengelilingi gurun sahara bukan untuk mengembangkan perkara yang seharusnya mereka kembangkan untuk keluarga mereka atau orang-orang di sekitar mereka, apalagi mengembangkannya ke seluruh dunia…Manakala kaum yang sudah berperadaban menjadi pengekor negara-negara besar kala itu. Suku Muntherid [Kristian] di Iraq mengikuti kerajaan Parsi dan suku Ghasasaniyah di Syam mengikuti kerajaan Rom. Ketika kerajaan Rom diganggu oleh Parsi atau sebaliknya, maka suku Ghassasaniyah akan saling berperang melawan suku Muntherid. Begitulah keadaan bangsa Arab waktu itu. Mereka itu sama sahaja, baik Arab gurun mahupun Arab kota yang sudah berperadaban…Cuma Makkah telah dilindungi oleh Allah, tetap aman, meskipun banyak berhala sebanyak hari dalam setahun, yang mengelilinginya.

Begitulah kaum Arab gurun Jahiliyah. Mereka menumpahkan darah-darah mereka dengan tangan-tangan mereka. Mereka saling berbunuhan sesama mereka, bukan untuk sesuatu yang berharga, tetapi demi fanatisme yang penuh kebusukan…Mereka yang di kota dan berperadaban pun saling berbunuhan, kadang-kadang demi kepentingan yang menjadi cita-cita negara besar kala itu, sehingga mereka mereka pun terpecah-belah, yang tak bisa disatukan lagi oleh pemersatu dan mereka tak terbendung lagi dari pelbagai kejahatan besar oleh siapa pun. Keadaan mereka mirip dengan keadaan kita pada hari ini atau keadaan kita hari ini hampir sama dengan keadaan mereka ketika itu.

Meskipun begitu, para penguasa dan ketua-ketua suku mereka masih memiliki harga diri dan perasaan malu. Dua hal itu kini tidak ada lagi pada diri para penguasa dan pemuka di negeri kaum Muslimin. Buktinya adalah 40 orang lelaki yang diutus kaum Musyrikin untuk membunuh Rasulullah SAW di mana mereka berangkat pada malam hari ke kediaman Rasulullah SAW dan ketika mereka mendapati kediaman baginda SAW terkunci, mereka pun menunggu di sekitar kediaman baginda SAW hingga Rasul SAW membuka pintu rumahnya, barulah mereka cuba membunuh baginda SAW. Ini kerana harga diri mereka mencegah mereka menceroboh rumah orang, lalu memasukinya dengan paksa. Rasa malu mereka menghalangi mereka memasuki rumah orang, ketika penghuninya sedang tidur. Namun, para penguasa dan mata-mata mereka saat ini sudah terlalu biasa menyerang kehormatan, menceroboh rumah tanpa izin atau meminta izin. Mereka juga tidak lagi menggunakan topeng untuk menutupi muka mereka. Mereka menakut-nakuti kaum perempuan dan anak-anak. Mereka mengejutkan tidurnya, mereka menjadi resah kerana ketakutan. Itu semua kerana para penguasa dan mata-mata mereka saat ini telah kehilangan harga diri dan rasa malu. Tepat sekali sabda Rasulullah SAW:      

«… إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ»

“Jika kamu tidak lagi mempunyai rasa malu, maka lakukanlah apa yang kamu mahu” [HR Bukhari]

Wahai kaum Muslimin amnya.. Wahai Ahlul-Nusrah wal Man’ah khasnya..

Rasulullah SAW diutus dengan membawa Islam. Baginda telah berhasil membangkitkan bangsa Arab dari kejahiliyahan yang diselimuti kegelapan yang pekat itu. Baginda mengangkat mereka setelah mereka sebelumnya tersungkur, menegakkan mereka setelah sebelumnya mereka terduduk, membangkitkan mereka setelah sebelumnya mereka terlena. Mereka mulai berjihad di jalan Allah dan mengembangkan risalah yang agung, menyebarkan kebaikan dan keadilan ke seluruh dunia, di mana sahaja mereka berada…

Rasulullah SAW telah menghimpun orang-orang yang telah beriman di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam dan setelah beberapa tahun, baginda SAW mengumumkan mereka agar dapat berinteraksi dengan masyarakat, untuk menyampaikan kebenaran dengan lantang di hadapan mereka (masyarakat), melakukan pertarungan intelektual dan perjuangan politik. Mereka sama sekali tidak gentar dengan cacian pencaci, semata-mata kerana Allah..Mereka bersabar terhadap penganiayaan. Mereka melalui pelbagai kesulitan, tanpa kendur atau berganjak sedikit pun tekad mereka…

Bahkan, ketika tahun yang disebut Tahun Duka Cita sekalipun, yakni ketika Abu Thalib, bapa saudara Rasulullah SAW yang selama ini melindungi baginda dan ketika isteri baginda tercinta, Ummul Mukminin, Khadijah RA, yang selama ini telah memberi baginda tempat, telah dipanggil menghadap Allah SWT…di Tahun Duka Cita ini Allah memberikan kemuliaan kepada RasulNya SAW dengan dua hal yang di sana, terdapat kemuliaan dunia dan akhirat. Itu terjadi pada 10 tahun kenabian. Pertama; Allah SWT telah memuliakan baginda SAW dengan isra’ dan mikraj. Allah SWT telah memperjalankan baginda dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Baginda SAW pun dimikrajkan ke langit tertinggi dan Dia memberikan wahyu kepada hambaNya ini, apa yang telah Dia wahyukan…Kedua; Izin kepada Rasulullah SAW untuk mencari dukungan [nusrah] yang telah berhasil menyematkan mahkota Bai’at Aqabah Kedua, yang tak lain adalah Bai’at Nusrah, bai’at untuk memerintah. Itu terjadi pada bulan Dzulhijjah, tahun ke-13 kenabian.

Setelah itu, Rasulullah SAW berhijrah pada bulan Rabiul Awwal, tahun 1 H. Baginda SAW mendirikan Negara, lalu Islam dan kaum Muslimin pun menjadi mulia dan terhormat dan tentu ini merupakan peristiwa yang agung…sehingga, ketika kaum Muslimin hendak memulakan tarikh, Khalifah Umar RA mengumpulkan mereka, lalu mereka mengkaji masalah tersebut dan akhirnya mereka membuat kesimpulan bahawa momentum hijrah dan pendirian Negara itu merupakan peristiwa agung dan sangat agung, yang layak dijadikan sebagai permulaan tarikh Islam…

Begitulah, Negara Islam didirikan. Islam pun telah menyinari Jazirah Arab hingga sampai ke hujung-hujungnya. Setelah itu, ada Khilafah Rasyidah dan para Khalifah setelahnya. Futuhat demi futuhat semakin meluas. Kebaikan pun tersebar ke segenap penjuru dunia, dari timur hingga barat. Dari Indonesia, di bahagian timur, hingga ke samudera di bahagian barat. Andai saja, Mujahidin saat itu tahu, bahawa di balik samudera itu masih ada tanah, pasti mereka akan mengharunginya untuk membebaskan tanah itu, dan menyebarkan kebaikan di sana. Sebagaimana yang dikatakan oleh penuturnya, ‘Uqbah bin Nafi’ di mana beliau dengan kudanya memasuki pesisir Samudera Atlantik, seraya berkata:

اللَّهُمَّ لَوْ كُنْتَ أَعْلَمُ أَنَّ وَرَاءَ هَذَا الْبَحْرِ أَرْضًا لَخَضْتُهُ إِلَيْهَا

“Ya Allah, andai saja aku tahu, bahawa di balik laut itu ada sejengkal tanah, pasti aku akan menyeberanginya”

Dalam riwayat lain, beliau telah membawa kudanya memasuki air hingga sampai ke bahagian lehernya, lalu beliau berkata,

“Ya Allah, aku persaksikan kepadaMu bahawa aku tidak dapat melintasinya. Jika ada jalan untukku melintasinya, nescaya aku akan melakukannya”

Keadaan kaum Muslimin terus dibaluti kemuliaan demi kemuliaan, kehormatan demi kehormatan…Kaum kafir penjajah pun tahu bahawa penyebab kemuliaan kaum Muslimin adalah ketika mereka memerintah dengan Islam di bawah naungan Negara Khilafah dan Rayah al-‘Uqab, bendera “Lailaha Illa-Llah Muhammad Rasulullah.” Kaum kafir mengerahkan seluruh daya dan upaya untuk menghancurkan negara tersebut. Pemimpin kekufuran saat itu adalah Britain. Britain tahu persis, kerana itulah ia telah berusaha sejak permulaan abad ke-18 M hingga benar-benar berhasil menghancurkan Negara Khilafah di suku pertama abad ke-20 M, setelah menggunakan khidmat para pengkhianat Arab dan Turki untuk menjalankan misi itu…Hasilnya, kaum Muslimin pun telah terpecah-belah. Semua musuh Islam pun, mulai dari negara-negara besar hingga negara-negara kecil, dengan mudah menguasai negeri kaum Muslimin…! Ketika al-Quran diperlecehkan, mereka tidak bergerak. Ketika Rasul Islam, Muhammad SAW dinistakan, darah di ubun-ubun mereka tidak mendidih. Ketika kehormatan dan kesucian mereka dirampas, tentera kaum Muslimin tetap saja diparkir di berek-bereknya dan tak pernah digerakkan oleh para penguasa itu, kecuali untuk melawan rakyatnya sendiri. Mereka menjadi singa di hadapan orang-orang lemah dan menebarkan ketakutan kepada mereka, tetapi mereka menjadi pengecut di hadapan musuh, hingga keadaan kita seperti yang kita rasakan saat ini!!

Wahai kaum Muslimin amnya.. Wahai Ahlul-Quwwah wal Man’ah khasnya..

Sesungguhnya urusan ini tidak akan kembali baik, kecuali dengan apa yang dahulu menjadikannya baik. Caranya ialah dengan kembali memerintah dengan Islam dalam sebuah Negara Khilafah Rasyidah, di bawah naungan Rayah al-uqab [yakni bendera Rasulullah SAW] dengan jalan yang sama sebagaimana Rasulullah SAW telah menyampaikan risalah Islam, dengan membentuk sebuah kelompok yang dibangun atas dasar Islam, bukan atas dasar selainnya dan setelah itu, kelompok ini berinteraksi dengan umat, mencari dukungan daripada ahlu al-quwwah yang ada dan terus konsisten seperti itu sehingga Allah SWT memberikannya pertolongan dan ia berhasil mendirikan pemerintahan Islam dan Negara Islam. Inilah rahsia untuk urusan ini kembali menjadi baik. Hanya dengan cara ini sahajalah, umat ini akan keluar dari keterpurukannya, bangkit dari kejatuhannya, kembali berjaya setelah kegagalannya dan mengulangi kegemilangannya di masa lalu, iaitu dengan adanya Khilafah Rasyidah, yang akan menerapkan Islam di dalam negara dan mengembangkannya ke seluruh dunia melalui jalan dakwah dan jihad. Allah yang Maha Agung lagi Maha Bijaksana akan pasti menurunkan pertolonganNya:  

إِنَّا لَنَنْصُرُ رُسُلَنَا وَالَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ يَقُومُ الْأَشْهَادُ

“Sesungguhnya Kami pasti akan menolong para utusan Kami dan orang-orang yang beriman, dalam kehidupan di dunia dan Hari di mana saksi-saksi dibangkitkan” [Ghafir (40):51]

Betapa mendesaknya perjuangan untuk menegakkan Khilafah, bukanlah semata-mata kerana Khilafah itu merupakan jalan kemenangan secara realitinya, tetapi lebih dari itu, kerana yang paling utama ialah sesungguhnya Khilafah itu merupakan sebuah kewajipan yang agung, bahkan merupakan ibu dan mahkota segala kewajipan. Hanya dengannya, semua hukum syariat dapat ditegakkan, dan uqubat dapat dilaksanakan. Tanpanya, baik hukum mahupun uqubat, tidak akan dapat diterapkan di tengah-tengah umat manusia. Kaedah syarak menyebut,

وَمَا لاَ يِتُمُّ الْوَاجِبُ إِلاَّ بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ

“Suatu kewajiban tidak akan sempurna, kecuali dengan adanya sesuatu, maka sesuatu itu hukumnya wajib”

Mendirikan Khilafah dan mengangkat seorang Khalifah hukumnya fardhu, dan bukan sebarang fardhu, tetapi kefardhuan yang membuat siapa pun yang tidak berjuang untuk mewujudkannya, sedangkan dia mampu, akan menanggung dosa yang cukup besar, seolah-olah mati dalam keadaan Jahiliyah, yang menunjukkan betapa besar dosa yang dipikulnya:

«… وَمَنْ مَاتَ وَلَيْسَ فِي عُنُقِهِ بَيْعَةٌ، مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً»…

“Siapa saja yang mati sedangkan di pundaknya tidak ada bai’at [kepada Khalifah], maka dia mati dalam keadaan mati Jahiliyah” [HR Muslim]

Mendirikan Khilafah dan mengangkat seorang Khalifah hukumnya adalah fardhu. Ia bukan sebarang fardhu, kerana sejurus selepas kewafatan Rasulullah SAW, kaum Muslimin ternyata mendahulukan pengangkatan seorang Khalifah berbanding mengurus dan mengebumikan jenazah Rasulullah SAW. Ini membuktikan kepentingan dan keagungan kewajipan tersebut. Keseluruhan peristiwa ini membuktikan betapa besar dan pentingnya Khilafah, sehingga sahabat-sahabat besar memandang, bahawa menyibukkan diri dengan pengangkatan seorang Khalifah, lebih penting berbanding menyibukkan diri dengan urusan fardhu yang juga agung, iaitu menguruskan jenazah Rasulullah SAW.

Melalui Negara Khilafah, pelbagai futuhat berjaya dilakukan, di bawah kepemimpinan seorang Khalifah (Imam). Sabda Rasulullah SAW,

«… وَإِنَّمَا الإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ…»

“Imam itu laksana perisai, orang berperang di belakangnya, dan berlindung dengannya” [HR Muslim]

Khalifah dan Khilafah adalah perisai atau pelindung. Sesiapa yang mempunyai pelindung, dengan izin Allah, akhirnya dia akan menang. Hak-haknya tidak akan diabaikan, negerinya juga demikian. Musuh-musuhnya tidak akan berani mendekatinya. Semuanya ini dibuktikan oleh sejarah Khilafah. Di manakah Byzantium dengan Suljan [raja]-nya? Di manakah Madain dengan Kisranya? Siapakah yang telah melaungkan suara takbir di wilayah yang terbentang luas, dengan panjang dan lebarnya dari sebuah samudera ke samudera yang lain, kalau bukan Negara Islam, tentera Islam dan keadilan Islam? Andai saja, Khilafah ketika itu tahu, bahawa masih ada daratan di balik dua samudera, di timur dan di barat, pasti Khilafah akan menyeberangi lautannya, untuk menyeru kepada Allah, Dzat yang Maha Pengasih Lagi Penyayang, yang Maha Perkasa lagi Bijaksana.

Wahai kaum Muslimin amnya.. Wahai Ahlul-Quwwah khasnya..

Sebelum ini, Hizbut Tahrir telah menyeru kalian sebanyak dua kali:

•    Pertama, pada tanggal 20 Rabiul Awwal 1385 H, bersamaan 17 Ogos 1969 M atau lima puluh tahun yang lalu..

Itu merupakan seruan yang memberikan amaran, kerana terjadinya goncangan terhadap pemikiran Islam dan hukum-hukumnya ke atas kaum Muslimin yang faktanya direspons oleh kaum Muslimin pada ketika itu! Oleh kerana Hizbut Tahrir adalah pemimpin yang tidak akan membohongi warganya, maka Hizbut Tahrir telah berjuang sekuat tenaga untuk mengembalikan keyakinan umat kepada pemikiran dan hukum Islam. Alhamdulillah, usaha itu pun berhasil dengan hasil yang luar biasa.

•    Kami juga telah menyeru kalian untuk kedua kalinya pada tanggal 28 Rajab 1426 H, bertepatan dengan 2 September 2005 M, atau sepuluh tahun yang lalu…

Seruan ini disampaikan dalam suasana yang panas iaitu tatkala Barat, yang dipimpin oleh Amerika, menyaksikan kegoyahan keyakinan terhadap Khilafah yang mereka tanam di tengah-tengah kaum Muslimin tahun demi tahun, yang ternyata telah berhasil dipulihkan oleh Hizbut Tahrir bersama kaum Muslimin lain yang ikhlas berjuang. Hizbut Tahrir beserta Muslimin yang ikhlas, benar-benar telah berhasil menghilangkan kegoyahan keyakinan terhadap Khilafah yang ada pada majoriti umat Islam. Lalu, umat Islam pun terus melangkah ke arah perjuangan untuk menegakkan Khilafah. Ketika Barat menyaksikan fenomena tersebut, serangan mereka kepada Hizbut Tahrir semakin meningkat. Kadang-kadang, menggunakan tangan mereka sendiri. Kadang-kadang menggunakan tangan tali barut mereka. Mereka menambahkan beberapa siri peperangan, yang mereka isytiharkan sebagai Perang Salib, kerana kebencian mereka kepada Islam dan kaum Muslimin, seperti di Iraq dan Afghanistan. Maka, dalam seruan kedua Hizbut Tahrir pada tahun 2005 itu, kami menjelaskan permusuhan Barat, yang dipimpin oleh Amerika, terhadap Khilafah dan para pejuangnya secara khusus dan terhadap kaum Muslimin secara umum. Musuh-musuh Islam itu ingin menghadang langkah kaum Muslimin menuju Khilafah. Kemudian, Hizbut Tahrir menjelaskan, bahawa kaum Muslimin mampu mengalahkan Barat, selama kaum Muslimin berpegang pada hukum-hukum Islam, dan memurnikan agama mereka untuk Allah SWT semata-mata…Kaum Muslimin pun kembali kepada Allah SWT yang Maha Kuat lagi Perkasa..

•    Setelah kedua-dua seruan tersebut, maka seruan kali ini, sebelum yang terakhir, kami serukan kepada kalian wahai kaum Muslimin, tatkala Khilafah telah menjadi pandangan umum di tengah-tengah umat Islam..

Sesungguhnya tidak ada apa lagi yang tinggal kini sebelum tegaknya Khilafah, kecuali dengan izin Allah datangnya kaum Ansar, seperti mana kaum Ansar yang dahulu. Sesungguhnya tidak ada apa lagi yang tinggal kini sebelum tegaknya Khilafah, kecuali datangnya seorang Sa’ad bin Mu’adz, Sa’ad bin Mu’adz yang baharu…kesatria yang bersedia memenangkan agama mereka dengan menolong para pejuang Khilafah, dengan mendukung Hizbut Tahrir, dukungan yang bisa mengembalikan Khilafah Rasyidah utk kali yang kedua. Khilafah yang berdiri di atas manhaj kenabian, setelah zaman kediktatoran Mulkan Jabariyyan (kekuasaan diktator) di era kita, untuk mewujudkan janji Allah SWT sebagaimana firmanNya:

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ

“Allah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh di antara kalian, untuk memberikan kekuasaan [Khilafah] kepada mereka di muka bumi” [Al-Nur (24):55]

Seorang kesatria yang akan merealisasikan khabar gembira daripada Rasulullah SAW, setelah zaman kediktatoran Mulkan Jabariyyan, sebagaimana sabda baginda,

«… ثُمَّ تَكُونُ مُلْكًا جَبْرِيَّةً، فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ، ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا، ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةً عَلَى مِنْهَاجِ نُبُوَّةٍ»

“Kemudian akan ada kekuasaan yang diktator, ia akan ada dengan kehendak Allah dan akan tetap ada. Kemudian, Allah mengangkatnya, jika Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan muncul Khilafah di atas jalan kenabian” [HR Ahmad]

– Seruan sebelum yang terakhir ini kami sampaikan kepada kalian, tentunya kerana kami menginginkan kebaikan untuk kalian. Maka bersegeralah wahai kaum Muslimin. Bersegeralah wahai Ahlu al-Quwwah, merapatlah dalam barisan dakwah dan penolongnya. Bersegeralah berjuang menegakkan Khilafah bersama Hizbut Tahrir, bukan hanya sekadar menjadi penonton sahaja. Kebaikan dan pahala yang kalian dapatkan dengan bergabung dalam barisan dakwah pada hari ini, sudah pasti berbeza dengan kebaikan dan pahala ketika kalian bergabung dalam barisan ini setelah hari ini, meski pun semuanya ada kebaikan. Allah berfirman:

 لا يَسْتَوِي مِنكُم مَّنْ أَنفَقَ مِن قَبْلِ الْفَتْحِ وَقَاتَلَ أُوْلَئِكَ أَعْظَمُ دَرَجَةً مِّنَ الَّذِينَ أَنفَقُوا مِن بَعْدُ وَقَاتَلُوا وَكُلاً وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَى وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

“Tidaklah sama orang yang membelanjakan hartanya dan berperang, di antara kalian sebelum terjadinya penaklukan kota Makkah. Mereka itu kedudukannya sangat agung, dibanding dengan orang yang membelanjakannya dan berperang setelahnya. Masing-masing Allah janjikan kebaikan dan Allah Maha Tahu apa yang kalian lakukan” [Al-Hadid (57):10]

– Seruan sebelum yang terakhir ini, kami tujukan kepada kalian wahai kaum Muslimin, maka janganlah kalian takut, kecuali kepada Allah yang Maha Mulia lagi Maha Berkuasa. Janganlah kalian katakan, “Amerika akan berdiri menghadapi kita, dan Barat di belakangnya, jika kami memberikan dukungan kepada anda.” Kerana, sesungguhnya Amerika dan Barat akan hancur. Kekuatan mereka akan berkecai di hadapan orang yang beriman, yang memberikan tempat dan pertolongan:

وَكَانَ حَقًّا عَلَيْنَا نَصْرُ الْمُؤْمِنِينَ

“Merupakan kepastian bagi Kami [Allah] untuk menolong orang-orang Mukmin” [Al-Rum: 47]

Seruan sebelum yang terakhir ini, berisi peringatan kami kepada kalian akan kemuliaan kalian dan kehinaan musuh-musuh kalian. Kalian adalah orang Muslim, yang mengimani Allah sebagai Rabb [Tuhan] dan mengimani Islam sebagai agama, serta Muhammad sebagai Nabi…Kalian menjadi kuat kerana pertolongan Tuhan kalian:

لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ

“Tidak ada satu kekuatan pun kecuali pada Allah SWT” [Al-Kahfi (18):39]

Kalian menjadi mulia kerana agama kalian:

وَلِلَّهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِ وَلِلْمُؤْمِنِينَ…

“Hanya milik Allah, segala kemuliaan, juga Rasul-Nya dan orang-orang Mukmin” [Al-Munafiqun (63):8].

Kalian adalah anak-cucu Khulafa’ Rasyidin, anak-cucu para penakluk Andalusia, penyebar peradaban Islam di sana…kalian adalah anak-cucu Khalifah al-Mu’tasim, yang telah memimpin tentera untuk menyahut jeritan seorang wanita yang dizalimi oleh orang Rom, yang menjerit, “Wa Mu’tashimah..!” [Wahai Mu’tasim]…kalian adalah anak-cucu Harun al-Rasyid yang menjawab surat Raja Rom, kerana Raja Rom itu telah membatalkan perjanjiannya dengan kaum Muslimin, dengan tentera yang Raja Rom itu saksikan sendiri, sebelum dia menerima surat jawapannya…kalian adalah anak-cucu sang pembela agama, Salahuddin al-Ayyubi, yang menundukkan tentera Salib…kalian adalah anak-cucu Quthuz dan Baibars yang mengalahkan Tatar…kalian adalah anak-cucu Muhammad al-Fatih, pemimpin muda yang mendapat kemuliaan dari Allah, kerana telah berhasil membebaskan Konstantinopel, sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW…:

«… فَلَنِعْمَ الْأَمِيرُ أَمِيرُهَا، وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ»

“Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya” [HR Ahmad]

Kalian adalah anak-cucu Khalifah Sulaiman al-Qanuni, yang diminta tolong oleh Perancis untuk membebaskan rajanya yang menjadi tawanan…kalian adalah anak-cucu Khalifah Salim III, yang di masanya, Amerika Syarikat terpaksa membayar bayaran tahunan kepada walinya di Aljazair untuk mengizinkan kapal-kapal Amerika melintasi Laut Mediterranean dengan aman…kalian adalah anak-cucu Khalifah Abdul Hamid yang tidak bisa dipujuk dengan jutaan emas yang ditawarkan oleh Yahudi untuk membantu perbendaharaan negara dan yang tidak tunduk sedikitpun oleh tekanan antarabangsa yang berhasil mereka galang untuk melawannya agar mengizinkan Yahudi tinggal di Palestin. Beliau mengatakan dengan kata-katanya yang sangat masyhur,

إِنَّ عَمَلَ المُبْضِعِ فِي بَدَنِي لَأَهْوَنُ عَلَيَّ مِنْ أَنْ أَرَى فَلَسْطِيْنَ قَدْ بُتِرَتْ مِنْ دَوْلَةِ الْخِـلَافَةِ… فَلْيَحْتَفِظِ الْيَهُوْدَ بِمَلاَيِيْنِهِمْ … وَإِذَا مُزِّقَتِ دَوْلَةُ الْخِـلاَفَةُ يَوْماً فَإِنَّهُمْ يَسْتَطِيْعُوْنَ آنِذَاكَ أَنْ يَأْخُذُوْا فَلَسْطِيْنَ بِلاَ ثَمَنٍ

“Sesungguhnya tertancapnya pisau bedah di badanku lebih ringan bagiku berbanding aku melihat Palestin dipisahkan dari Khilafah…Yahudi itu boleh simpan sahaja berjuta-juta keping wang mereka.. Jika suatu hari nanti Khilafah telah dihancurkan, saat itu mereka boleh mengambil Palestin tanpa bayaran sedikit pun”

Sesungguhnya beliau rahimahu-Llah adalah seorang yang berpandangan jauh, sehingga inilah yang terjadi setelah Khilafah runtuh. Para penguasa talibarut Barat telah membiarkan Palestin dan menyerahkannya kepada Yahudi. Bahkan, para penguasa itu menjaganya untuk Barat…Sang Khalifah ini, meskipun konspirasi kaum kafir terhadapnya dan terhadap Negara Islam begitu keras, tetapi Britain yang ketika itu merupakan super power, terpaksa meminta maaf secara resmi kepada kedutaan Khilafah di London, kerana salah seorang warga negaranya menyebarkan sesuatu yang dianggap menyerang Islam di akhir abad ke-19 (1890 M). Namun, pada hari ini, ketika al-Qur’an yang mulia, firman Tuhan semesta alam, dinistakan oleh Barat yang kafir dan Yahudi, tidak ada permintaan maaf, walaupun sedikit, dari pihak mereka, meskipun penistaan demi penistaan terjadi. Ini kerana, kaum Muslimin tidak mempunyai Khalifah yang menjadikan al-Qur’an menjadi Perlembagaan dan yang menggerakkan segala kekuatan yang dimiliki negara, untuk menghukum kaum kafir yang menistakan al-Quran…

Begitulah Khilafah. Begitulah umat Islam di bawah naungan Khilafah…Para Khalifah itu adalah nenek moyang kalian wahai kaum Muslimin. Itulah reaksi kehebatan mereka dan kalian adalah anak-cucu mereka. Marilah bersegera menggenggam kebenaran yang telah mereka ikuti, maka ikutilah kebenaran itu. Marilah bersegera meraih kemuliaan yang mereka ukir dan ukirlah kemuliaan itu..

– Seruan sebelum yang terakhir ini, kami tegaskan kepada kalian, sebagaimana yang kami tegaskan sebelumnya, bahawa kalian dengan izin Allah mampu mengalahkan musuh-musuh kalian. Negara-negara kafir penjajah yang tampaknya besar itu sesungguhnya amat lemah. Benar, mereka mempunyai senjata yang banyak, tetapi mereka tidak memiliki para kesatria. Senjata tanpa kesatria pasti tidak berkesan, ketika berhadapan dengan sekelompok kaum Mukminin yang dipersenjatai dengan senjata walaupun tidak seberapa. Namun, kelompok Mukminin ini mempunyai kekuatan yang luar biasa..

Inilah fakta yang dibuktikan oleh peperangan Khilafah tatkala menghadapi musuhnya, kaum kafir. Kehebatan persenjataan secara fizik semata-mata tidak akan memenangi peperangan melawan kaum Muslimin, meski pun senjata fizik kaum Muslimin sangat sedikit. Ini kerana kaum Muslimin mempunyai akidah yang kuat dan benar, yang mampu membekali mereka dengan potensi peperangan yang tidak bisa dijangkau oleh para Taghut, khususnya Amerika, pada hari ini.. Dengan izin Allah, Amerika dan Barat akan menyaksikan dengan mata kepala mereka, ketika fajar Khilafah sudah menyingsing, Khilafah akan terus mara, dengan kemenangan demi kemenangan, sehingga para Taghut itu akan kembali menyorok ke lubang persembunyian mereka. Itu pun, kalau mereka masih mempunyai lubang persembunyian..

 وَلَتَعْلَمُنَّ نَبَأَهُ بَعْدَ حِينٍ

“Kalian pasti akan mengetahui beritanya, tidak lama lagi..” [Sadd (38):88]

– Seruan sebelum yang terakhir ini kami tujukan kepada kalian wahai kaum Muslimin! Kami menyerukan kalian untuk memberikan dukungan, maka bergabunglah bersama orang-orang yang sebelumnya terlebih dahulu telah memberikan dukungan kepada Hizbut Tahrir. Kami hulurkan tangan kami kepada kalian, maka sambutlah, dan bergabunglah bersama Ahli Man’ah kami. Sebab, bahtera ini hampir saja akan berlalu, maka bersegeralah mengikuti pelayaran kami:

وَيَقُولُونَ مَتَى هُوَ قُلْ عَسَى أَنْ يَكُونَ قَرِيبًا

“Mereka mengatakan, “Bilakah itu? Katakanlah [wahai Muhammad], boleh jadi itu sudah dekat” [Al-Isra’ (17):51]

Kami yakin dengan pertolongan Allah SWT:

وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ*بِنَصْرِ اللَّهِ يَنْصُرُ مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ

“Pada hari itu, orang-orang Mukmin pun berbahagia, kerana pertolongan Allah. Dia menolong siapa saja yang Dia kehendaki. Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengasih” [Ar-Rum (30):4-5]

Wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh..

Jumaat Pertama, bulan Ramadhan 1436 H
HIZBUT TAHRIR