Sia-sia Harapkan PBB
BEIRUT: Negara Arab dan Barat menyuarakan kemarahan semalam selepas Russia dan China menggunakan veto dalam resolusi di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendesak Presiden Syria, Bashar al Assad supaya menyerahkan kuasa.
Bagaimanapun di Damsyik, sebuah akhbar tempatan Syria, memuji tindakan Russia dan China sambil menyifatkan keputusan kedua-dua negara bakal menjadi pemangkin untuk mempercepatkan pembaharuan.
Akhbar harian Tishrin adalah media cetak tunggal negara itu yang menyiarkan pandangan mengenai keputusan kedua-dua negara menggunakan kuasa veto ke atas resolusi itu.
Duta Amerika ke PBB, Susan Rice berkata beliau ‘jijik’ dengan undi itu yang dibuat sehari selepas aktivis mendakwa yang pasukan Syria mengebom bandar Homs, membunuh lebih ramai orang awam dalam pertumpahan darah paling buruk sejak 11 bulan kebangkitan.
Semua 13 anggota Majlis Keselamatan mengundi menyokong resolusi yang mendesak Assad menyerahkan kuasa kepada timbalannya, menarik balik tentera dari kawasan bandar dan memulakan peralihan demokrasi.
Russia berkata, resolusi itu berat sebelah dan akan mendorong pertukaran rejim. Syria adalah sekutu Moscow di Asia Barat, tempat pangkalan udara Russia dan pelanggan senjatanya.
Majlis Kebangsaan Syria yang mewakili kumpulan pembangkang utama, berkata pihaknya menyalahkan Moscow dan Beijing kerana bertanggungjawab terhadap tindakan pembunuhan yang semakin meningkat.
Satu-satunya negara Arab dalam Majlis Keselamatan, Maghribi menyuarakan penyesalan dan kekecewaan dengan veto itu.
Dutanya, Mohammed Loulichki, berkata Arab tiada hasrat untuk mengabaikan pelannya.
Perdana Menteri Tunisia, Hamadi Jebali menggesa semua negara memutuskan hubungan diplomatik dengan Syria berikutan keganasan di negara itu.
“Kita perlu mengusir duta Syria dari Arab dan negara lain. Rakyat Syria tidak mengharapkan kenyataan panjang dari kita, apa yang mereka perlukan adalah bantuan dan tindakan yang konkrit..apa yang kita boleh lakukan ialah memutuskan hubungan dengan rejim Syria,” katanya kepada panel perbincangan Asia Barat mengenai keselamatan di Munich, Jerman.
Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu, berkata Russia dan China tidak mengundi berdasarkan realiti semasa, sebaliknya menggunakan logik seperti ketika era Perang Dingin.
Menteri Luar Mesir, Mohamed Amr, berkata Liga Arab akan mengadakan pertemuan Sabtu ini bagi membuat penilaian selanjutnya selepas undi di Majlis Keselamatan itu.
Utusan PBB Syria, Bashar Ja’afari mengkritik resolusi dan penajanya termasuk Arab Saudi dan tujuh lagi negara Arab berkata negara berkenaan yang menghalang wanita daripada menyertai perlawanan bola tiada hak untuk menyebarkan demokrasi kepada Syria.
Penduduk di Homs keluar ke daerah Baba Amro bercakap menerusi telefon mengutuk veto Russia -China manakala sebahagian lagi melaungkan: “Mati, lebih baik berbanding penghinaan.”
Di SANAA, aktivis Yaman dan pemenang Anugerah Nobel Keamanan, Tawakkul Karman, berkata Russia dan China bertanggungjawab ke atas pembunuhan di Syria dan mendesak kerajaan mengusir duta Syria.
Di JORDAN, pemimpin Ikhwanul Muslimin negara itu, Hammam Said menggesa umat Islam dan negara Arab memulaukan barangan China sambil menyifatkan keputusan itu menunjukkan penentangan kedua-dua negara ke atas umat Islam.
“Umat Islam dan Arab wajar memulaukan barangan Russia dan China tanda sokongan ke atas rakyat Syria yang mahukan kebebasan dan maruah mereka dikembalikan,” katanya. – Agensi/Reuters
Mengharap kepada PBB tetapi terlupa kepada Khilafah
Sememangnya sudah menjadi kelaziman hari ini bahawa umat Islam seolah-olah tidak merasa bersalah apabila terus menaruh harapan kepada badan-badan dunia yang dibentuk oleh golongan kuffar sebagai tempat untuk menyelesaikan masalah umat Islam. Golongan yang lantang mempertahankan tindakan seperti itu lebih dikenali sebagai golongan ‘moderat’ atau Islam dengan merujuk kepada acuan Barat dan kepimpinan golongan kuffar yang sememangnya melanggar perintah Allah dan RasulNya.
“Janganlah orang orang beriman mengambil orang-orang kafir sebagai wali (pelindung) dan meninggalkan orang-orang beriman” [TMQ: al-Imran: 28]
“Wahai orang-orang beriman janganlah kamu melantik bapa-bapa kamu dan saudara-saudara kamu menjadi ketua, jika mereka suka kepada kekufuran daripada iman, siapa yang melantik mereka sebagai ketua, maka mereka adalah orang-orang yang zalim” [TMQ: at-Taubah: 23]
Umat Islam mungkin telah terlupa bahawa PBB yang sebenarnya bertanggungjawab di dalam pembentukan negara Israel di Palestin selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Umat Islam juga telah lupa peranan tentera pengaman PBB yang bersubahat dengan tentera Serbia di dalam pembunuhan beramai-ramai umat Islam Bosnia di Srebanica pada tahun 1995. Umat Islam juga telah lupa bagaimana resolusi-resolusi yang terus menerus mengutuk keganasan Israel ke atas Gaza dan Tebing Barat langsung tidak mengajar sikap biadap Israel, bahkan Israel bertambah angkuh dan tidak mahu tunduk kepada undang –undang antarabangsa. PBB tidak pernah mempunyai rekod yang baik di dalam membela atau mempertahankan nasib umat Islam.
Kesemua ahli tetap Majlis Keselamatan PBB mempunyai sejarah yang panjang di dalam menyerang umat Islam. Begitu juga dengan Russia dan China sendiri yang terlibat di dalam serangan ke atas umat Islam, seperti jenayah China di dalam wilayah Turkestan Timur (Xinjiang) dan jenayah Russia di Chechnya dan pencerobohan di Afghanistan.
Setiap kali ada umat Islam mahu kembali kepada perhukuman Allah dan RasulNya untuk menyelesaikan kesemua masalah umat Islam dengan merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah RasulNya, maka mereka akan dilabel oleh orang kafir sebagai golongan ‘radikal’ dan ‘extremis’ yang sangat merbahaya. Mereka adalah golongan ‘radikal’ dan ‘extremis’ disebabkan tidak merujuk kepada hukum-hakam Barat untuk menyelesaikan permasalahan umat Islam. Ya, memang sukar untuk menentang pandangan-pandangan umum sedemikian tetapi itu sahajalah caranya untuk menyelamatkan umat Islam daripada terus-menerus menjadi sasaran keganasan golongan kuffar. Moga-moga bertambahlah golongan ‘radikal’ dan ‘ekstremis’ yang berjuang untuk mengembalikan kehidupan Islam yang dapat menyelamatkan umat Islam daripada menjadi sasaran keganasan golongan kuffar.
Wa Allahu A’lam.
Rujukan : Berita Harian