Thailand cuba teknik missionaries

YALA, Thailand 16 Julai – Tentera Thailand didakwa semakin kerap menggunakan kem “pendidikan semula” yang kontroversi untuk mengindoktrinasikan golongan muda Islam bagi menghalang mereka menyertai kumpulan pemisah di selatan negara.

Para pegawai dan pejuang pemisah Thai berkata, beberapa orang suspek yang ditahan di wilayah-wilayah di selatan dipaksa menjalani program pendidikan semula sejak meletusnya konflik berdarah di selatan negara itu sejak Januari 2004.

Pada tahun lalu, usaha-usaha kerajaan untuk memaksa golongan pemuda Islam Thai menghadiri kem-kem itu berakhir di mahkamah.

Di kem-kem tersebut, apa sahaja boleh diajar, termasuk sejarah Thailand hinggalah kepada latihan pekerjaan.

Pada Oktober lalu, beberapa orang hakim telah memerintahkan tentera supaya membebaskan 85 pemuda Islam untuk menjalani apa yang disifatkan sebagai kursus pekerjaan.

Undang-undang yang dipinda Disember lalu membenarkan tentera menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang baru dikuatkuasakan untuk menahan rakyat sehingga enam bulan tanpa didakwa.

– AFP

Sumber: Utusan Malaysia 17/07/08

Ulasan:

Tidak puas dengan pembunuhan yang dilakukan ke atas umat Islam, kini tentera Thailand menggunakan teknik untuk menghapuskan “pemikiran Islam” dari kalangan umatnya. Usaha mereka di dalam mengindoktrinasikan golongan muda Islam ini dimulakan setelah mereka dapati usaha memerangi umat Islam secara fizikal umat Islam menemui kegagalan.

Walaupun telah berapa banyak usaha menangkap dan membunuh umat Islam di Selatan Thailand dilakukan oleh mereka, namun ternyata golongan umat Islam yang menentang kezaliman tetap wujud dan semakin ramai. Justeru, mereka nampaknya telah memulakan cara baru untuk melemahkan perjuangan umat Islam. Cara bari ini sebenarnya tidak ubah seperti apa yang telah dilakukan oleh Barat terhadap umat Islam.

Dahulu tentera Salib berusaha selama lebih kurang 200 tahun untuk menghancurkan umat Islam dengan peperangan fizikal, namun mereka tetap menemui kegagalan. Menyedari hakikat bahawa umat Islam tidak akan dapat dikalahkan dengan kekuatan fizikal, maka Barat kemudian merubah cara perjuangan mereka kepada perjuangan “pemikiran”. Mereka mula mengaktifkan golongan missionaries dan orientalis untuk meracuni pemikiran umat Islam. Ternyata mereka akhirnya berjaya mengalahkan umat Islam setelah mereka berjaya mempengaruhi “pemikiran” umat Islam dengan cara berfikir mereka. Akhirnya, kekuatan umat Islam dan kekuatan Islam itu sendiri berjaya dihancurkan.

Kini, nampaknya Thailand mencuba cara yang sama untuk menghapuskan umat Islam dengan cuba memasukkan pemikiran-pemikiran kufur mereka ke dalam pemuda-pemuda Islam. Lebih buruk, usaha mereka ini dilakukan secara paksa, di mana golongan pemuda Islam telah diambil secara paksa dari rumah-rumah mereka untuk mengikuti kursus-kursus yang sebenarnya adalah usaha kerajaan Thailand untuk memasukkan pemikiran kufur mereka ke dalam tubuh umat Islam.

Apa yang menambah malang lagi nasib umat Islam di selatan Thailand adalah tidak adanya seorang pun dari 57 pemimpin Islam yang menganggotai OIC, yang sanggup menolong mereka, malah Perdana Menteri Malaysia sendiri, yang hanya bersebelahan dengan Thailand dan selaku pengerusi OIC hanya berpangku tubuh melihat umat Islam di selatan Thai diperlakukan dengan kejam oleh kerajaan Thailand. Tidak ada lagi harapan yang tinggal kepada kaum Muslimin di selatan Thailand, kecuali dengan terwujudnya seorang Khalifah, yang akan memimpin Daulah Khilafah dan seterusnya akan menyelamatkan mereka dari kekejaman kerajaan kuffar Thailand.