Siang Kerja, Malam Pun Kerja

KUALA LUMPUR, 27 April – Ketua Penerangan UMNO yang baru, Ahmad Maslan berjanji akan bekerja siang dan malam demi membantu memperkukuhkan kembali UMNO.  Katanya, komitmen yang jitu diperlukan bagi memastikan UMNO terus relevan di mata dan hati rakyat. “Saya berjanji untuk melakukan yang terbaik dan mahu memastikan UMNO memainkan peranan bagi membantu Barisan Nasional (BN) menang lebih dua pertiga majoriti dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya pada sidang akhbar pada hari pertama beliau memasuki pejabatnya di Menara Dato’ Onn di sini hari ini. 

 
Ahmad, 43, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dilantik menjawat jawatan Ketua Penerangan menggantikan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib. Selain itu, Ahmad juga adalah Ketua Penerangan paling muda dalam sejarah UMNO. Katanya, antara usaha terpenting memperkukuhkan UMNO yang difikirkan ialah memperkenalkan Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi jentera penerangan semua peringkat. “Saya cadangkan Ketua Penerangan mempunyai KPI daripada segi jumlah program penerangan yang dibuat terutamanya oleh UMNO cawangan, bahagian, negeri dan pusat,” katanya.    Jelas Ahmad, pihaknya akan bermesyuarat bagi menentukan jumlah aktiviti penerangan yang perlu dipenuhi oleh jentera penerangan UMNO di semua peringkat bagi memastikan ia menepati KPI yang dikehendaki. Katanya, aktiviti penerangan di negeri-negeri yang kini dikuasai oleh pembangkang akan dipertingkatkan dengan lebih banyak lagi.  
 
Bagi mendekatkan diri dengan para ahli UMNO pula, katanya, beliau akan memikirkan beberapa kaedah yang luar biasa seperti bermalam di rumah-rumah peneroka setiap minggu.    “Saya ingin membuat kaedah-kaedah yang mungkin difikirkan remeh oleh orang lain,” jelas Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian itu. Namun katanya, kaedah-kaedah biasa seperti seminar, kursus, ceramah dan sebagainya tetap akan diteruskan kerana ia juga penting. Beliau juga bercadang untuk memberikan penekanan terhadap empat aspek media iaitu media bersemuka, media elektronik, bercetak dan maya.   “Saya mahu menjadikan kawasan yang gelap kepada samar dan kemudiannya terang,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia, 28/04/09

Kerja Siang Malam Untuk Apa?

Biasalah bila dapat jawatan baru yang sebelum ini mungkin tidak pernah diimpikan. Seperti mendapat tenaga baru, Ketua Penerangan UMNO yang baru ini nampaknya sanggup memberikan komitmen yang agak luar biasa apabila beliau berjanji akan bekerja siang dan malam untuk UMNO. Sayangnya komitmen  beliau itu diberikan untuk memperkukuhkan UMNO yang ashobiyyah.  Alangkah baiknya kalau Ketua Penerangan baru itu bekerja siang dan malam untuk mengubah UMNO dari sebuah parti politik ashobiyyah kepada parti politik yang berasaskan Islam. Sewajarnya, Ketua Penerangan baru UMNO itu cuba merenungi pengajaran dari kisah dakwah nabi Nuh kepada kaumnya, di mana baginda telah melakukan dakwah siang dan malam tanpa rasa jemu untuk menyeru kaumnya agar tunduk dan taat kepada perintah Allah SWT, firmanNya,

“(Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman)”. [TMQ Nuh (71): 5].

Renungilah juga komitmen dan pengorbanan yang diberikan oleh Nabi Muhammad SAW ketika melakukan dakwah untuk mengubah masyarakat arab jahiliyyah ketika awal Islam seorang diri hingga berjaya menzahirkan Islam mengatasi seluruh sistem kehidupan kufur saat itu. Baginda tanpa rasa jemu dan penat, siang dan malam, memikul tugas dakwah ini semata-mata untuk meraih keredhaan di sisi Allah SWT.