Siapa Pembela Islam?

altSiapa Pembela Islam?
 
KUALA LUMPUR 14 Ogos – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini secara rasmi mengumumkan mengambil alih tugas Pas untuk menjadi benteng mempertahankan kesucian agama Islam.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, keputusan tersebut terpaksa dibuat walaupun badan itu bukan pertubuhan politik kerana Pas yang selama ini mendakwa parti Islam dan pernah bercita-cita mahu menubuhkan negara Islam, gagal berbuat demikian.

Menurut Ibrahim, sejak bekerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas tidak lagi mementingkan soal agama, sebaliknya apa yang dikejar oleh parti itu adalah undi, sehingga sanggup membisu dan menghalalkan apa sahaja perbuatan yang dilakukan oleh musuh Islam.

‘‘Perkasa dengan rasminya mulai hari ini akan mengambil alih tugas Pas dalam membela dan mempertahankan agama Islam. Ini kerana Pas sekarang bukan lagi sebuah parti yang berteraskan Islam. Ia sanggup menghalalkan apa sahaja demi undi.

“Walaupun Perkasa bukan sebuah parti tetapi kami memutuskan untuk mengambil tanggungjawab tersebut kerana dewasa ini kesucian agama Islam sedang diancam dari pelbagai sudut oleh musuh-musuh agama,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Antara bukti Pas memperjudikan agama demi ‘membeli’ undi adalah tindakan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong keputusan kerajaan DAP Pulau Pinang melarang penggunaan pembesar suara untuk bacaan al-Quran dan kuliah agama di masjid.

Pada masa sama, beliau berkata, Nik Abdul Aziz serta pucuk pimpinan Pas sehingga sekarang juga gagal menyatakan pendirian menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memeriksa Gereja Methodist Damansara Utama yang dikatakan cuba memurtadkan 12 individu Islam.
 
 
 Sumber : Utusan Online, 15/08/2011
 
Siapakah sebenarnya pejuang Islam?

Amat sedih apabila melihat isu berkaitan Islam dan umat Islam telah menjadi agenda perbalahan dalam arena politik di dalam Sistem Pemerintahan Demokrasi. Wahai umat Islam! Apalagi yang hendak diperkatakan tentang hal ini? Sudah jelas bahawa Sistem Demokrasi tidak boleh digunapakai di dalam usaha untuk menegakkan agama Allah ini. Hanya dengan menegakkan semula Khilafah Islam melalui tareqah perjuangan Rasulullah akan dapat memadamkan segala kekalutan dan sandiwara perbalahan yang berlaku pada hari ini. Kini, persoalan siapakah yang sebenarnya layak memperjuangkan Islam hendak dijadikan persoalan dan agenda perbalahan. Sepatutnya setiap individu umat Islam seharusnya memainkan peranan di dalam membela Islam dan bukan sekadar menjadi pemerhati setia. Setiap daripada kita akan dipersoalkan oleh Allah di hari akhirat kelak, iaitu tentang apakah yang kita lakukan apabila Islam dihina, direndah-rendahkan dan aqidah umat Islam terancam? Apakah jawaban kita nanti!

Manakala persoalan tentang PAS atau Perkasa, iaitu yang manakah layak memperjuangkan Islam, ini sebenarnya tidak harus timbul. Persoalan yang perlu ditanya adalah, adakah apa yang dilakukan oleh sesuatu pertubuhan atau parti itu berlandaskan dalil dan nas syarak? Persoalan ini boleh dijawab sekiranya kita merujuk kepada Al Quran dan Hadis Rasulullah SAW.

Bagi Perkasa, suatu pertubuhan yang matlamat dan asas perjuangannya adalah untuk memperjuangkan bangsa sendiri di tanah sendiri jelas bertentangan dengan Hadis Rasulullah SAW yang berbunyi:

“Bukan termasuk kalangan ummatku orang yang mengajak pada asabiyah, dan bukan termasuk kalangan umatku orang yang berperang atas dasar asabiyah, dan bukan termasuk kalangan umatku orang yang mati atas dasar asabiyah.” [HR Abu Dawud].

Sejarah telah membuktikan bahawa Islam bukan milik sesuatu bangsa walaupun mereka adalah bangasa Arab. Khulafa Rasyidiin hanya berlangsung tidak lebih dari seratus tahun di bumi Arab Hijaz. Selebihnya sejarah Khilafah Islam didukungi oleh Khilafah Abbasiyyah (asalnya di bumi Parsi). Selebihnya berlangsung dengan pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah di Asia Minor (Turki) selama 7 abad lamanya, iaitu separuh daripada jangka hayat Khilafah sendiri sebelum diruntuhkan pada tahun 1924. Dan kemungkinan terdirinya Khilafah semula di luar daripada tanah Arab bukannya suatu yang tidak boleh berlaku, sekiranya Allah mengizinkan, wa Allahu A’lam.

Bagi PAS, suatu parti politik yang asas perjuangannya adalah Islam, pakatan yang dilakukan dengan parti kufur dan sekular itu sebenarnya telah menyebabkan pemimpin and ahli-ahlinya berada di dalam keadaan serba-salah dan ia umpama telah ‘memerangkap diri sendiri’. Walaupun alasannya adalah untuk menjatuhkan kepimpinan kerajaan BN yang dikepalai oleh UMNO, ia dlihat telah menjadikannya terjerat di dalam banyak isu yang melibatkan Islam dan umat Islam. Bahkan, Allah SWT telah pun memperingatkan kita tentang hal itu, firmanNya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang beriman janganlah kamu mengambil bapa-bapa kamu dan saudara-saudara kamu menjadi ketua, jika mereka suka kepada kekufuran daripada iman, siapa yang melantik mereka menjadi ketua, maka mereka adalah orang-orang zalim”
[TMQ: at-Taubah: 23].

“Janganlah orang-orang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang beriman. Barangsiapa yang berbuat demikian nescaya lepaslah dia dari pertolongan Allah, kecuali mereka yang memelihari diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan terhadap dirinya dan hanyalah kepada Allah kamu akan kembali”. [TMQ: al-Imran: 28].

Seharusnya, jika kita menelusuri sirah perjuangan Islam di Mekah, kita akan mendapati bahawa Rasulullah SAW dan para sahabat tidak pernah pun melakukan kompromi atau berlemah-lembut dengan mana-mana pihak di dalam menyampaikan perkara yang hak di dalam usaha menegakkan agama Allah ini. Maka itulah hal yang seharusnya dilakukan oleh semua parti,gerakan dan pertubuhan Islam yang ada pada hari ini.

 “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka”. [TMQ: an-Nuur: 55]

Wa Allahu A’lam.