Siapa tanggung dosa 4500 remaja hamil luar nikah setiap tahun?

"KUALA

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Subramaniam mengesahkan purata 18,000 remaja di Malaysia hamil setiap tahun dan mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kerajaan dan daripada jumlah itu, 25 peratus atau kira-kira 4,500 kes membabitkan remaja yang mengandung luar nikah. Katanya lagi, Kaji Selidik Kesihatan Pelajar Berasaskan Sekolah Global kendalian Kementerian Kesihatan pada 2012 membabitkan remaja berusia 13 hingga 17 tahun di seluruh negara, mendapati 50.4 peratus yang ditemui mengaku mengadakan hubungan seks kali pertama sebelum usia 14 tahun.

Walaupun statistik dari segi agama tidak diberikan, namun umum mengetahui bahawa bilangan tertinggi adalah daripada remaja Muslim. Perzinaan yang berlaku dalam kalangan remaja, apatah 50.4 peratus belum mencecah 14 tahun dari kaji selidik di atas, bukanlah satu perkara yang boleh dipandang remeh.

Perzinaan bukan sahaja merupakan perbuatan keji dan terkutuk serta dosa, malah secara realitinya ia boleh menghancurkan institusi keluarga dan sekali gus menggambarkan kehancuran institusi masyarakat dan negara. Di samping itu, ia akan mengundang azab Allah ke atas manusia secara keseluruhannya, na’uzubillah min zalik. Rasul SAW pernah bersabda,

“Jika zina dan riba berleluasa di suatu negeri, maka sungguh mereka telah menghalalkan atas mereka azab Allah” [HR al-Hakim, al-Baihaqi dan al-Thabrani].

Hadis ini menjelaskan bahawa jika zina dan riba telah menyubur di tengah-tengah masyarakat, maka itu sesungguhnya mengundang azab Allah SWT. Keberkatan akan tercabut dari masyarakat. Sebaliknya keburukan dan kerosakan akan menimpa masyarakat itu selama mereka tidak berusaha mencegah perbuatan zina dan riba tersebut.

Hadis di atas juga didukung oleh sejumlah hadis lain yang senada. Di antaranya hadis dari Aisyah ra di mana Rasulullah SAW bersabda,

“Umatku akan terus berada dalam kebaikan selama belum menyebar di tengah mereka anak (hasil) zina. Jika di tengah mereka menyebar anak (hasil) zina maka Allah SWT hampir meratakan azab ke atas mereka” [HR Ahmad].

Kita semua maklum bahawa statistik di atas hanyalah yang direkodkan sahaja dan tidak termasuk yang di luar rekod. Itu belum lagi mengambil kira jumlah keseluruhan kes zina (tidak hanya dalam kalangan remaja) di Malaysia. Sejak sekian lama, perbuatan zina dan riba sudah menjadi darah daging dalam masyarakat yang ada pada hari ini dan kita sudah melihat berapa banyak malapetaka yang menimpa masyarakat dan negara kita. Sampai bila kita mahu mengambil pelajaran dan berusaha untuk keluar darinya ?

Sememangnya penzina sudah pasti bersalah dengan apa yang mereka lakukan dan mereka wajib dihukum (uqubat) menurut Islam. Namun, negara yang tidak menghukum mereka menurut Islam, juga turut bersalah dan menanggung dosa besar. Negara (pemerintah) yang membuka seluas-luas pintu untuk berlakunya perzinaan, dengan sistem demokrasi yang mereka terapkan, tidak akan terlepas dari kesalahan dan dosa sedikit pun.

Manakala masyarakat dan setiap individu Muslim yang tidak melakukan apa-apa usaha untuk mencegah dari berlakunya perzinaan dan tidak melakukan apa-apa usaha untuk memastikan penzina dihukum dengan uqubat Islam, turut menanggung “dosa pelaburan” di atas kelalaian mereka.

Sesungguhnya kita memerlukan sebuah negara, yang bukan sahaja akan menghukum penzina dengan hukuman Islam, tetapi negara yang tidak mengamalkan ajaran kebebasan sebagaimana ajaran demokrasi sekarang; negara yang mewajibkan penduduknya menjaga akhlak, mewajibkan mereka menutup aurat, memisahkan lelaki dan perempuan agar tidak berlakunya ikhtilat yang diharamkan Islam; negara yang menjaga keselamatan penduduknya; negara yang menutup semua pintu ke arah perzinaan dan riba; negara yang menjaga kesucian wanita dan negara yang akan menerapkan Islam secara kaffah. Itulah negara Khilafah ala minhaj nubuwah yang sedang diusahakan oleh Hizbut Tahrir di seluruh dunia, sebuah negara yang diwajibkan oleh Allah SWT ke atas kita semua.

Sesiapa sahaja yang tidak berusaha mewujudkan negara tersebut, yang hanya dengannya hukum Allah dapat dilaksanakan secara kaffah, maka sesungguhnya dia telah menanggung “dosa pelaburan” dengan pelbagai kes zina, riba dan segala kemaksiatan yang berlaku sekarang. Na’uzubillah min zalik.

Sumber : Berita Harian