Siapakah pemimpin yang selayaknya dipercayai?

KUALA LUMPUR – Kepercayaan pengamal demokrasi di negara ini terhadap ke­pimpinan parti politik sama ada di pihak kerajaan ataupun pembangkang dilihat semakin menurun bermula sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan dijangka berterusan hingga­ PRU-14 tidak lama lagi.

Profesor di Jabatan Komunikasi Universiti Islam Antara­bangsa, Prof. Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid berkata, selain parti politik, pandangan rakyat terhadap institusi sosial juga semakin berkurangan.

Berita penuh: http://www.kosmo.com.my/negara/sindrom-kurang-percaya-pemimpin-1.642780

Komentar:

Kepercayaan mestilah hadir dengan asas yang kukuh. Sebagaimana kita mempercayai kewujudan Tuhan yang mencipta alam semesta serta pesuruh-Nya yang hadir membawa mukjizat, begitu jugalah rakyat memerlukan asas untuk mempercayai pemimpinnya. Adakah Islam membenarkan umatnya untuk tidak mempercayai pemimpin? Jawapannya tidak. Dalam Islam, pemimpin mestilah ditaati sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Uli al-Amri” (orang-orang yang memimpin) dari kalangan kamu” [TMQ An-Nisa (4):59].

Jika kita diwajibkan taat, sudah pasti mempercayai kemampuan pemimpin mengatur urusan rakyat dengan penuh ketakwaan juga merupakan satu tuntutan. Ketidaktaatan boleh membawa kepada perpecahan dalam kalangan umat dan sekali gus boleh membawa kepada bencana yang lebih dahsyat lagi. Sejarah telah menyaksikan pelbagai musibah yang menimpa umat Islam terdahulu akibat pengkhianatan dan ketidakpercayaan mereka terhadap pemimpin / Khalifah. Di samping itu, Islam telah meletakkan syarat ketaatan atas dalam perkara yang makruf dan melarang ketaatan dalam kemungkaran. Islam juga mengharamkan bughah (pemberontakan bersenjata) terhadap pemimpin yang sah di sisi syariat Islam.

Namun persoalan percaya atau tidak kepada pemimpin hari ini sebenarnya tidak relevan untuk dibincangkan kerana tiadanya pemimpin yang layak ditaati dan dipercayai di saat ini. Pemimpin-pemimpin yang ada sekarang ini bukanlah pemimpin yang bertepatan dengan maksud ulil amri yang dinyatakan dalam ayat  di atas. Pemimpin yang ada sekarang hanyalah pemimpin yang memimpin atas dasar kenegaraan dan bukannya berlandaskan syariat Islam. Maka, sememangnya layak jika mereka tidak dipercayai oleh rakyat.

Perkara pokok yang perlu lihat sebelum kita membincangkan tentang ketidakpercayaan rakyat kepada pemimpin, adalah bagaimana caranya untuk melantik seorang pemimpin yang layak ditaati dan dipercayai bukan sahaja oleh rakyat sesebuah negara, tetapi umat Islam di seluruh dunia. Sesungguhnya, pemimpin yang sejati di sisi Islam adalah seorang yang tegas dan berkemampuan memimpin dengan asas syariat Islam secara adil. Pemimpin inilah jua yang akan menyatukan umat Islam seluruh dunia di bawah kepimpinan tunggal dalam kerangka Khilafah Rasyidah.

Razi Salleh
Aktivis HTM