Siri Jelajah Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia Mengangkat Isu PKRS

MHTM jelajah 4 buah negeri.

Bersempena dengan Siri Jelajah Malaysia Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) 2011, MHTM dengan kerjasama Khilafah Centre telah mencatat sejarah apabila buat julung-julung kalinya  Seminar Muslimah bertajuk ‘Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Kesihatan (PKRS): Tindakan Sesaat atau Penyelesaian yang Tepat’ berjaya dianjurkan bermula bulan Julai 2011 yang lalu. 

Siri Jelajah Malaysia ini dianjurkan bertujuan untuk menarik perhatian umat Islam di Malaysia ini tentang pengenalan dan pelaksanaan subjek khas Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) di sekolah- sekolah seluruh Malaysia. Visi seminar ini adalah untuk memberi gambaran sebenar tentang kewajaran dan keberkesanan PKRS dalam pandangan Islam.

Sepanjang bulan Julai dan awal Ogos, MHTM telah menjelajah empat buah negeri iaitu Kuala Lumpur pada 10 Julai, Terengganu pada 16 Julai, Kelantan pada 30 Julai dan Perak pada 14 Ogos. Seminar di setiap negeri tersebut menampilkan barisan panel pembentang masing-masing. Di Kuala Lumpur, pembentangnya merupakan Dr. Farnaza selaku AJK MHTM Cawangan Kuala Lumpur dan Ustazah Amani selaku aktivitis MHTM. Di Kuala Terengganu, dua pembentang dari pantai barat semenanjung Malaysia dijemput khas iaitu Puan Rozita dan Uztazah Ain, kedua-duanya merupakan aktivis MHTM. Manakala, seminar di Kota Bharu menampilkan Cik Syamsiyah selaku aktivis MHTM dan juga Dr. Ema Yunita  selaku Ketua MHTM Cawangan Kelantan. Di Ipoh, sekali lagi Dr.Farnaza tampil sebagai pembentang bersama dengan Ustazah Hajah Husna selaku AJK Pusat MHTM.

Pada setiap seminar, panel pertama menjelaskan realiti dan fakta masalah gejala sosial yang tidak pernah berkesudahan. Inilah yang membawa kepada pengenalan silibus PKRS, atau nama lainnya pendidikan seks, dalam kurikulum sekolah sebagai salah satu usaha untuk membendung masalah tersebut. Namun, ia hanya merupakan tindakan sesaat yang tidak mampu menyelesaikan akar permasalahan. Ini adalah kerana sejarah telah membuktikan bahawa pendidikan seks yang telah mula diperkenalkan di sekolah pada tahun 1989 secara menumpang dalam subjek-subjek lain gagal mengawal peningkatan aktiviti gejala sosial.

Pembentang juga membawakan bukti-bukti yang menunjukkan bahawa pendidikan seks di Barat, tempat ‘kelahirannya’, juga telah menemui kegagalan. Kesimpulannya, silibus PKRS atau pendidikan seks bukanlah satu penyelesaian yang tepat bagi umat Islam dalam menyelesaikan masalah sosial kerana akar permasalahannya adalah sistem kehidupan sekular kapitalis yang mengatur umat Islam itu sendiri.

Panel kedua pula menjelaskan bahawa Islam merupakan penyelesaian kepada gejala sosial ini. Islam memandang naluri seksual (gharizah al-nau’) yang wujud dalam diri manusia merupakan fitrah bagi manusia dan Islam jugalah yang mempunyai aturan dalam mengatur kawalan dan pemenuhan naluri tersebut. Ibu bapa berkewajipan untuk mendidik anak-anak dengan mengajarkan hukum Islam. Pendidikan di sekolah mestilah berlandaskan aqidah Islam dalam menjayakan misi penciptaan manusia sebagai hamba Allah dan Khalifah Allah di muka bumi. Proses pendidikan dalam masyarakat pula berjalan melalui interaksi mu’amalah sehari-harian yang selalu bersuasana amar ma’ruf dan nahi munkar.

Pembentang juga menegaskan bahawa negara berkewajipan untuk menetapkan polisi pendidikan sesuai dengan  Islam dari landasan hingga kurikulumnya, menutup rapat setiap tempat maksiat dan melindungi rakyat dari perkara-perkara yang dapat membangkitkan naluri seksual dalam kehidupan umum. Kesimpulannya, jika institusi negara berjaya memastikan seluruh penerapan hukum Islam tersebut, maka manusia akan sentiasa hidup dalam keimanan tanpa masalah sosial. Jika berlaku juga, ia pasti tidak akan berleluasa dengan adanya sistem hukuman (uqubat) Islam yang akan diterapkan oleh Negara.

Peserta turut dihidangkan dengan beberapa tayangan video menarik. Para peserta juga menunjukkan keprihatinan mereka terhadap isu yang dibincangkan apabila mereka mengutarakan beberapa persoalan dan pendapat pada sesi soal jawab.

Di kesempatan ini, MHTM ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada jawatankuasa program dan semua peserta yang berjaya menghadiri seminar ini. Semoga Allah menilai usaha kalian sebagai amal soleh. 
 

PKRS Kuala Lumpur

PKRS Kuala Lumpur

PKRS Kuala Lumpur

PKRS Kelantan

PKRS Kelantan

PKRS Kelantan

PKRS Perak

PKRS Perak

PKRS Perak