Skim i-Suri – Adakah syarie?

Berita:

Caruman bulanan e-Kasih RM40 untuk i-Suri diteruskan

Dalam usaha untuk memperluaskan liputan kepada sektor tidak formal, Kerajaan akan meneruskan caruman bulanan sebanyak RM40 bagi setiap caruman minimum RM5 setiap bulan ke dalam akaun suri rumah i-Suri KWSP.

Sumber berita: http://www.astroawani.com/berita-bisnes/belanjawan-2019-inklusif-untuk-kesejahteraan-sosial

Komentar:

I-Suri merupakan skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diwujudkan khusus untuk para isteri yang tidak berkerja dan hanya menguruskan rumah tangga sepenuh masa. Pihak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan dalam belanjawan 2019 bahawa kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM 45 juta untuk kegunaan skim tersebut dalam kerangka membantu para suri rumah di Malaysia untuk mempunyai simpanan kewangan masa depan. Skim itu yang telah dilancarkan pada Ogos 2018 telah mendapat sambutan yang memberangsangkan oleh rakyat Malaysia malahan ia dilihat sebagai satu langkah yang bijak demi menaiktaraf peranan suri rumah di negara ini. Secara umum, skim I-Suri sama seperti skim KWSP yang diwajibkan kepada pekerja lain dan tiada perbezaan dalam konsepnya.

Persoalan yang paling mendasar bagi I-Suri malahan KWSP itu sendiri ialah, adakah ia suatu akad simpanan atau akad pelaburan? Sekiranya ia salah satu daripada keduanya, apakah ia mematuhi hukum syarak berkenaan dengannya? Sekiranya KWSP ini ialah akad simpanan (wadi’ah), maka Islam menggariskan bahawa pihak penyimpan tiada hak untuk melarang pihak yang menyimpan daripada mengeluarkan duit simpanan mereka. Manakala sekiranya KWSP ialah akad pelaburan (mudharabah) dan melibatkan syirkah (persekutuan/kerjasama), iaitu pelabur memberikan modal kepada mudharib (pengelola pelaburan), maka akadnya perlulah jelas dan mematuhi  rukun-rukun syirkah iaitu adanya ijab dan qabul yang jelas, dua pihak yang saling berakad dan objek yang dikenakan akad ke atasnya serta mematuhi hukum syarak yang berkaitan syirkah mudharabah.

Sekiranya kita meneliti KWSP berdasarkan kaca mata di atas, dapat dipastikan bahawa KWSP merupakan konsep yang tidak syarie kerana terdapat pertindihan dua akad (simpanan vs pelaburan) yang berjalan serentak dan Islam telah mengharamkan adanya dua akad dalam satu akad. Malahan sekiranya ia merupakan akad simpanan maka simpanan tersebut tidak syarie kerana realitinya wang simpanan di dalam KWSP tidak boleh dikeluarkan sesuka hati oleh pihak yang menyimpan sehinggalah mereka mencapai had umur tertentu. Sekiranya ia akad pelaburan, maka akad pelaburannya juga tidak syarie kerana akadnya tidak jelas (berapa % yang dipersetujui, rincian perniagaan atau tiada rincian, dan lain-lain) dan tiada kesepakatan antara dua pihak (pelabur dan pengelola) sama ada melalui bentuk bertulis mahupun secara verbal. Orang awam hanya mengetahui bahawa duit simpanan mereka dilaburkan kerana ia dinyatakan oleh pihak KWSP, namun urusan tersebut hanyalah sekadar ‘untuk informasi’ sahaja dan tidak lebih daripada itu.

Oleh sebab itu, kita sebagai Muslim seharusnya sedar bahawa dalam sistem kapitalisme ini segala bentuk muamalat tidak didasarkan kepada syariat Islam, akibatnya pertindihan akad seperti ini selalu berlaku kerana manfaat ialah ukuran yang utama. Malahan kebatilan ini tidak hanya berlaku pada akad, tetapi kandungan muamalat itu sendiri adakalanya tidak syarie. Pendek kata, sudah sampai masanya untuk kita menggantikan sistem ekonomi yang penuh dosa ini kepada sistem ekonomi yang diredhai oleh Allah SWT, iaitu sistem ekonomi Islam.

Shah Sinan
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia