Slogan “Melayu Cemerlang” Tetap Berbau Ashobiyyah
BESUT 20 Jun — Slogan Umno ”Hidup Melayu” dicadang diubah kepada ”Melayu Cemerlang” agar relevan dengan suasana dan perkembangan negara masa kini. Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, dalam era inovasi dan kreativiti, slogan Melayu Cemerlang diyakini lebih sesuai untuk menggerakkan orang Melayu supaya mampu bersaing dengan bangsa-bangsa lain yang kini lebih ke hadapan. “Slogan Hidup Melayu lebih menjurus kepada membina asas perjuangan dan kekuatan bangsa Melayu di era sebelum dan selepas kemerdekaan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kepimpinan Wanita Dalam Organisasi di Bangunan Umno Bahagian Besut di Jerteh, hari ini. Slogan baru itu dicadangkan oleh Umno Bahagian Besut. Bagaimanapun menurutnya, suasana kini telah banyak berubah dan usaha berterusan memperkasa dan memartabatkan orang Melayu perlu dibuat menerusi pendekatan yang lebih realistik. — Bernama
Sumber: Utusan Malaysia 20/06/10
Apa Sahaja Slogan Yang Digunakan Ianya Tetap Dicemari Ashobiyyah
Nampaknya UMNO dan ashobiyyah masih terus tidak dapat dipisahkan. Umum mengetahui bahawa asas penubuhan UMNO itu sendiri adalah perkauman/ashobiyyah. Maka dengan itu adalah tidak menghairankan kita apabila slogan yang berbau ashobiyyah akan terus hidup dalam pemikiran ahli-ahlinya sedangkan ikatan tersebut adalah ikatan yang jelas-jelas diharamkan oleh Islam melalui lisan nabi Muhammad SAW. Adalah sesuatu yang menyedihkan apabila para pemimpin yang memimpin UMNO saat ini masih terus bergelumang dengan idea kufur tersebut.
Wahai para pendokong dan pejuang ashobiyyah! Wahai seluruh ahli UMNO! Sedarlah bahawa mana mungkin kamu boleh mendakwa bahawa kamu adalah umat nabi Muhammad SAW di akhirat kelak jika semasa di dunia ini kamu masih berbangga dengan seruan-seruan kufur itu. Wahai seluruh ahli UMNO! Bagaimana kelak kamu akan mengharapkan syafaat Rasulullah SAW di akhirat jika kamu masih terus bergelumang dengan seruan dan perjuangan ashobiyyah. Wahai para pejuang ashobiyyah! Perhatikanlah hadis Rasulullah mengenai kejelekan ashobiyyah yang diharamkan. Sabda Rasulullah SAW: ”Bukanlah dari kalangan kami orang yang menyeru kepada Ashobiyyah, dan bukannya dari kami orang yang berperang atas dasar Ashobiyyah dan bukanlah dari kalangan kami orang yang mati kerana Ashbobiyyah” [Riwayat Abu Daud XIII/25]. Untuk itu sudah sampai saatnya UMNO membuang fahaman ashobiyyah dari perjuangan mereka dan memperjuangkan Islam secara kaffah. Sudah tiba saatnya Islam itu dijadikan asas sebagai ikatan antara kamu dan bukannya ikatan perkauman Melayu.