SN 573 – Pandora Papers: Semoga Menjadi Nafas Terakhir Kapitalisme

SN573

22 Oktober 2021 M / 15 Rabiul Awal 1443 H

 

Setelah terbongkarnya Panama Papers yang mengejutkan dunia kira-kira lima tahun yang lalu, kini dunia digemparkan pula dengan pembongkaran Pandora Papers, sebuah siasatan yang membabitkan kira-kira 600 wartawan daripada 150 organisasi media di 117 buah negara, berdasarkan pembocoran 11.9 juta dokumen sulit melibatkan 2.9 terabytes data, daripada 14 syarikat khidmat kewangan di seluruh dunia. Tercatat kira-kira 330 ahli politik dan 130 jutawan dari seluruh dunia yang terlibat dalam Pandora Papers, yang cuba melarikan diri daripada cukai. Di Malaysia, tercatat seramai 12 individu termasuk empat ahli politik yang terlibat yang cuba “menyembunyikan” aset bernilai ratusan juta dolar. Antara pemimpin Malaysia yang tersenarai ialah Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Zainal Abidin, Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, dan mantan Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin. Siasatan yang dipanggil ‘Pandora Papers’ itu dilakukan oleh Konsortium Antarabangsa bagi Wartawan Penyiasatan (ICIJ).

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima empat laporan berhubung pendedahan Pandora Papers mengenai dakwaan pengaliran wang negara ini ke luar negara secara haram. Dilaporkan sebanyak RM1.8 trilion wang negara yang telah dibawa keluar, dan polis kini sedang menjalankan siasatan ke atas beberapa orang yang terkait. Selain menjadi siasatan terbesar di dunia setakat ini, Pandora Papers juga dikatakan merupakan skandal cukai terbesar dalam sejarah peradaban manusia karena mengungkap kesepakatan rahsia dan aset tersembunyi orang-orang kaya di lebih dari 200 buah negara. Apa yang pasti ialah Pandora Papers telah mendedahkan wajah dan sifat sebenar para penguasa dan ahli-ahli politik di seluruh dunia, tidak kira dunia Barat, dunia Timur mahu pun dunia Islam.  Mereka membuat undang-undang dan memaksakan cukai ke atas rakyat sehingga rakyat sangat terbeban dengannya, tetapi dalam masa yang sama, mereka melarikan jutaan kekayaan yang telah mereka rampas daripada rakyat, bagi mengelak cukai. Betapa buruk dan jahatnya para penguasa seperti ini!

Bobroknya Kapitalisme-Demokrasi

Pandora Papers mendedahkan rahsia umum akan kerakusan penguasa, ahli politik dan para Kapitalis, tidak kira di negara mana pun mereka berada. Mereka membolot harta negara, dan menimbunkannya untuk kepentingan peribadi atau keluarga mereka. Mereka memiliki kekayaan yang sangat luar biasa hasil jawatan, kuasa atau pengaruh yang mereka miliki dalam sesebuah negara.

Sedangkan pada masa yang sama berapa ramai rakyat yang terpaksa membanting tulang dan bermandi peluh saban hari untuk mencari sesuap nasi. Mereka bukan sahaja tidak mempedulikan golongan bawahan, malah mereka akan terus menyedut darah golongan bawahan sehingga kering selagi boleh.

Jika dahulu bilangan penguasa dan ahli politik yang korup boleh dibilang dengan jari, kini tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kesemua mereka adalah korup. Jika dahulu sebahagian mereka masih merasa malu apabila kejahatan mereka terdedah, kini mereka kelihatan berlumba-lumba untuk melakukannya. Dengan kuasa dan pengaruh yang mereka miliki, semua kejahatan tersebut boleh dilakukan dengan cukup mudah.

Jika semua kejahatan ini dilakukan di Barat oleh golongan kafir, kita boleh memahaminya dengan mudah kerana orang-orang kafir tidak memiliki hukum agama, dan tujuan hidup mereka hanyalah untuk mencari sebanyak mungkin kesenangan duniawi. Ironinya, hal yang sama, malah lebih buruk berlaku di dunia Islam. Para penguasa dan politikus Muslim yang korup ini bukanlah terlalu jahil untuk mengetahui bahawa mencuri dan merompak hak rakyat itu haram, bahawa rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa itu haram, bahawa pengkhianatan dan kezaliman itu haram, namun mereka tidak peduli akan semua keharaman tersebut. Mereka mengabdikan hidup kepada kekayaan, bukannya mengabdi kepada Allah (swt).

Persoalan penting untuk disedari oleh umat Islam ialah, bagaimanakah para penguasa dan politikus ini boleh memiliki kekayaan yang sangat luar biasa, dan bagaimanakah mereka boleh melarikan diri daripada cukai dengan sangat mudah? Jawapannya ialah kerana sistem! Sistem kapitalisme-demokrasi inilah yang telah membenarkan hak rakyat dan kekayaan negara diratah dan ditarah semahunya oleh pemerintah dan ahli politik. Sistem inilah yang telah  memberi jalan dan laluan mudah untuk mereka menjadi billionaire dengan cara yang ‘sah’ di sisi undang-undang walaupun jelas haram di sisi Islam. Sistem inilah yang telah mewujudkan para penguasa dan politikus seperti ini.

Sistem kapitalisme-demokrasi telah menghancurkan kehidupan manusia secara besar-besaran. Golongan elit akan sentiasa berada di atas dan golongan yang tidak berduit akan sentiasa berada di bawah. Mengatasnamakan “dari rakyat oleh rakyat dan untuk rakyat”, realitinya rakyat sentiasa ditindas dan diperbodohkan dalam sistem ini. Golongan elitlah yang menguasai dan mengawal segalanya daripada pemerintahan, undang-undang, ekonomi, kekayaan negara hatta pemikiran rakyat sekali pun dikawal oleh mereka.

Tidak ada siapa pun yang dibenarkan menentang sistem demokrasi dan siapa sahaja yang menentangnya akan dicop ekstrem dan pengganas. Malah siapa sahaja yang cuba menggantikan sistem demokrasi dengan sistem Islam akan dituduh radikal, ekstrem dan pengganas.

Begitulah berjayanya Barat dalam memasarkan dan memaksakan sistem demokrasinya ke dunia Islam. Maka tidak hairanlah jika sistem demokrasi yang berasal dari ideologi kapitalisme ciptaan Barat ini telah melahirkan pelbagai kerosakan, melahirkan penguasa-penguasa dan ahli politik yang diktator dan korup, melahirkan manusia yang gila kuasa, gila pangkat, gila harta, hipokrit, mementingkan diri sendiri dan bermentaliti Barat. Sistem ini telah mewujudkan masalah kemiskinan, jenayah, gejala sosial dan lain-lain, di samping masalah besar lain yang menghancurkan, melemah dan memecah-belahkan umat Islam seperti assabiyyah, wathaniyyah, liberalisme, pluralisme, feminisme, hedonisme dan sebagainya.

Disebabkan oleh sistem kapitalisme-demokrasi inilah, wujudnya pelbagai skandal besar dunia seperti yang terbongkar melalui Pandora Papers ini. Di bawah demokrasi, para pemimpin dan ahli politik yang korup lebih mementingkan harta-benda berbanding nyawa manusia. Melalui sistem ini, 90% kekayaan negara dibolot dan dimiliki oleh 10% penduduk, manakala sisanya sebanyak 10% dikecapi oleh 90% penduduk. Di bawah sistem ini juga, perompak kekayaan negara sering terlepas dari undang-undang manakala pencuri yang mencuri sekilo gula atau setin susu untuk meneruskan kehidupannya sering ditangkap dan dipenjara. Inilah realiti kehidupan dalam sistem demokrasi yang “dipersembahkan” kepada kita setiap hari.

Islam Sebagai Solusi

Sesungguhnya kekejaman, pengkhianatan dan kerosakan yang berlaku di dunia akibat penguasa dan politikus yang ada, sudah sampai ke kemuncaknya. Boleh dikatakan sudah tidak ada lagi bentuk kejahatan yang tidak mereka lakukan, semuanya sudah dilakukan. Mereka masih dapat bertahan dengan segala kejahatan tersebut kerana masih ada rakyat yang menyokong mereka atau tidak nampak apa yang mereka lakukan.

Dalam Islam, siapa pun, apatah lagi penguasa, yang telah merampas hak rakyat dan kekayaan negara, telah melakukan keharaman dan dosa. Apabila mereka menimbunkan harta yang mereka rampas itu, maka bertambah-tambah lagilah dosa mereka. Menimbun harta atau wang (kanz al-mal), walaupun mungkin terdapat manfaat kepada penimbunnya di dunia, sesungguhnya merupakan satu dosa besar dan balasannya ialah neraka, sebagaimana firman-Nya:

“Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka, (bahawa mereka akan mendapat) seksa yang pedih, pada hari dipanaskan emas perak itu dalam neraka jahanam, lalu dibakar dengannya dahi mereka, rusuk dan belakang mereka (lalu dikatakan) kepada mereka: “Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah sekarang (akibat dari) apa yang kamu simpan itu” [TMQ at-Taubah (9): 34-35].

Sesungguhnya dunia ini mesti kembali kepada sebuah sistem yang datangnya dari wahyu, yang dipimpin oleh pemimpin yang beriman dan bertakwa. Manusia secara umumnya, dan umat Islam secara khususnya, mesti kembali kepada sebuah sistem di mana penimbunan harta diharamkan dan orang-orang akan membayar zakat untuk membersihkan dirinya serta sentiasa termotivasi untuk membelanjakan hartanya ke jalan Allah, atas kesedaran dan keyakinan bahawa harta benda yang mereka miliki itu tiada nilainya di akhirat kelak jika tidak digunakan untuk jalan Allah di dunia.

Sesungguhnya manusia memerlukan sebuah sistem yang menilai kemiskinan bukan berdasarkan angka, tetapi berdasarkan terpenuhinya keperluan asas atas setiap individu yang ada dalam negara. Manusia memerlukan sebuah sistem yang mana pemerintah yang korup tidak akan terlepas daripada hukuman, di hadapan sebuah mahkamah dan hakim yang adil yang berhukum dengan hukum Allah (swt), bukannya hakim yang korup, penerus hukum penjajah dan mementingkan duniawi. Manusia memerlukan sebuah sistem, yang mana sumber kekayaan negara akan dapat dinikmati secara sama rata oleh setiap warganegara tanpa mengira pangkat, jawatan, jantina, warna kulit, tempat tinggal dan sebagainya.

Manusia memerlukan sebuah sistem yang penguasanya tidak akan menyentuh makanan jika mengetahui ada rakyatnya yang tidak mempunyai makanan. Manusia memerlukan sebuah sistem sebagaimana yang telah dibawa dan diterapkan oleh Rasulullah (saw) dan para Khulafa’ ar-Rasyidin. Manusia memerlukan sebuah sistem yang dicipta oleh Pencipta manusia itu sendiri, dan sekali gus diredhai-Nya. Inilah sistem Islam – sistem Khilafah – sebuah sistem yang diperlukan dan wajib ke atas manusia, sebuah sistem yang akan membawa kesejahteraan kepada manusia bukan sahaja di dunia, tetapi di akhirat, bagi mereka yang meyakini hari pertemuan dengan Rabbnya. Inilah satu-satunya solusi untuk manusia bagi menggantikan sistem yang korup pada hari ini.

Sesungguhnya kerosakan ideologi Kapitalisme dengan sistem pemerintahan demokrasi yang dibawanya sudah amat terang lagi bersuluh. Kerosakan ideologi yang lahir dari akal manusia ini sudah tidak dapat diperbaiki lagi. Segala bisul, kudis dan kurap di wajahnya yang selama ini berjaya disembunyikan melalui solekannya yang tebal, kini telah terdedah satu per satu.  Begitu juga dengan segala penyakit mematikan yang ada di seluruh tubuhnya yang disembunyikan selama ini, sudah pun terbongkar.

Semoga dengan terdedahnya Pandora Papers ini, ia menjadi nafas terakhir untuk ideologi kapitalisme, sebelum ia berkubur dengan hinanya di hadapan para penganutnya sendiri, dan diganti dengan ideologi Islam yang akan membawa rahmat ke seluruh alam, di bawah naungan Khilafah.

Khatimah

Wahai para penguasa dan politikus yang korup, dan yang tidak berhukum dengan hukum Allah! Pada hari ini baru beberapa kertas catatan dunia yang terbuka, yang memaparkan secebis kejahatan yang kalian lakukan. Ingatlah bahawa di padang mahsyar kelak, seluruh kitab catatan akan terbuka, sebagaimana Dia (swt) telah mengingatkan kita,

“Dan diletakkanlah kitab, lalu kamu akan melihat orang-orang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata: “Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya, dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis), dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang jua pun” [TMQ al-Kahfi (18): 49].

Maka menyesal dan bertaubatlah sekarang selagi nyawa di kandung badan, kerana di padang mahsyar kelak, penyesalan sudah tidak ada gunanya.

Wallahu a’lam.

 

Download PDF