SN045 – Kapitalisme Ideologi Terakhir?

PDF

SN Keluaran 2005

SN045 - Kapitalisme Ideologi Terakhir?

[SN045] Setelah runtuhnya Komunisme, Kapitalisme merupakan satu-satunya ideologi yang masih berkuasa di dunia. Ketika itu tiada pesaing ideologi lain yang kelihatan akan muncul pada masa akan datang. Francis Fukuyama dengan yakin mengatakan bahawa Kapitalisme adalah penghujung evolusi ideologi manusia, atau bentuk sistem pemerintahan manusia yang terakhir, di mana beliau menggelarkannya sebagai ‘the end of history’ – tidak ada ideologi lain akan muncul setelah itu. Dengan tanggapan ini maka tamatlah peluang bagi ideologi lain untuk bangun semula. Namun hakikatnya, adalah terlalu awal bagi Fukuyama untuk berkesimpulan begitu. Sekiranya beliau menunggu beberapa dekad lagi mungkin beliau tidak akan membuat pernyataan yang memalukan itu.

Hari ini, kita boleh menyaksikan betapa umat manusia secara umumnya telah menolak ideologi Kapitalisme. Yang terbaru, kira-kira 20,000 penentang Bush dan APEC menunjuk perasaan di Seoul bagi membantah kehadiran pemimpin negara ekonomi terbesar itu. Mereka menentang globalisasi dan melihat APEC sebagai platform bagi meneruskan agenda Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang hanya menguntungkan pihak tertentu sahaja. Sebelum itu, 100 ketua kesatuan berkata, mereka akan membantah APEC dan kehadiran Bush. Malah di mana saja Bush berada, umat manusia akan mengadakan demonstrasi, memanifestasikan kebencian mereka terhadap polisi-polisi kapitalis Bush dan dunia Barat secara umum.

Penyebaran Kapitalisme

Mungkin ramai yang beranggapan bahawa Bush dan kuncu-kuncunya telah berjaya menyebarkan kapitalisme – kekalahan Afghanistan dan pilihanraya ’demokratik’ yang pertama di sana, penduduk Palestin yang telah memilih pemimpin yang lebih moderat, Abu Abbas yang lebih cenderung untuk bekerjasama dengan “Israel”, penduduk di Iraq yang sebelum ini begitu berani menentang pencerobohan tentera Amerika telah turun mengundi – merupakan antara manifestasi seolah-olah kapitalisme telah mula menunjukkan buah di tanah-tanah kaum muslimin. Di Lebanon, berlaku demonstrasi jalanan yang menuntut pengunduran tentera Syria dan memansuhkan kerajaan pro-Syria. Tunas-tunas ’demokrasi’ juga dilihat seolah-olah telah mula merebak ke kerajaan diktator di Riyadh dan Kaherah melalui reformasi ’demokrasi’nya. Ditambah pula dengan peristiwa Revolusi Ros di Georgia, Revolusi Oren di Ukraine dan Revolusi Tulip di Kyrgyzstan. Selain itu, kita juga menyaksikan bagaimana Damsyik dan Tehran dikenakan tekanan oleh Barat, terutamanya Amerika. Kita di sini juga tidak kurang hebatnya, isu pilihanraya kecil DUN Pengkalan Pasir mendapat perhatian yang begitu besar – setiap hari ada sahaja berita yang disiarkan di media. Adakah ini semua menunjukkan semua umat Islam telah benar-benar terpengaruh dan menerima pakai ideologi Kapitalisme dengan hati yang terbuka?

Kesemua peristiwa ini, tidak kira yang berlaku di tanah kaum muslimin ataupun di Barat kelihatan seolah-olah menunjukkan demokrasi-kapitalisme sedang bergerak maju ke hadapan. Oleh itu tidak hairanlah sekiranya kita melihat para penyokong agenda Bush merasa begitu selesa. Presiden Bush dalam ucapannya baru-baru ini di Universiti Pertahanan Kebangsaan dengan angkuh telah menyatakan; “Jutaan orang mendapat kebebasan mereka, dan jutaan lagi akan mengecapi impian kebebasan mereka yang tidak boleh diketepikan. Semboyan kebebasan telah dibunyikan. Dan semboyan tersebut tidak menyeru untuk menyerah kalah”

Benarkah Kapitalisme Sedang Maju Kehadapan?

Meskipun gambaran di atas seolah-olah menunjukkan bahawa Kapitalisme akan terus menguasai dunia, ada pendapat yang menyatakan sebaliknya – bahawa setelah September 11, Kapitalisme sedang menuju kehancuran. Namun ini dipandang tidak relevan oleh Bush, Blair dan penyokongnya. Bagi mereka, semua peristiwa ini membuktikan kewajaran keputusan Bush menceroboh Iraq. Sekiranya kita mendalami setiap peristiwa yang digambarkan sebagai kejayaan penyebaran Kapitalisme ini, kita akan dapati ia membuktikan hal yang sebaliknya – bahawa umat sudah menolak idea-idea Barat. Hakikatnya, Kapitalisme sedang menuju keruntuhan. Keruntuhan yang dimaksudkan di sini bukanlah dari sudut ketenteraan tetapi dari sudut politik dan ideologi.

Pernyataan bahawa Kapitalisme sedang bergerak kehadapan sebenarnya sedang dipertikaikan terutamanya oleh pemikir-pemikir Barat sendiri. Bagi mereka, apa yang dapat dilihat setelah September 11 adalah sebenarnya bertentangan dengan prinsip-prinsip dan nilai demokrasi Barat. Perang anti-keganasan didakwa sebagai peperangan untuk mempertahankan kebebasan – bukan sahaja sebagai tindakbalas akibat dari ribuan yang terkorban di WTC tetapi juga dianggap sebagai mempertahankankan nilai-nilai Barat – nilai yang telah lahir sejak berkurun lamanya akibat dari penentangan kaum filosof dan intelektual Barat terhadap pemerintahan kukubesi, pemerintahan beraja, fasisme dan komunisme. Namun, setelah 9/11 mereka telah melakukan perkara yang sebaliknya. Mereka telah meninggalkan prinsip asas yang mereka agung-agungkan itu dan memijaknya dengan kaki-kaki mereka sendiri.

Media kerapkali mendedahkan banyak kejadian-kejadian yang melibatkan penahanan tanpa bicara, penyiksaan kejam, perlecehan seksual, penyiasatan secara kejam dan ganas dan lain-lain lagi yang melibatkan tentera-tentera penjajah kafir Barat. Amerika telah menahan lebih 83,000 warga asing di Teluk Guantanamo di sepanjang tempoh empat tahun kempen antikeganasannya di Afghanistan. Dianggarkan 14,500 orang masih ditahan oleh AS, khususnya di Iraq [BH, 18/11/05]

Di AS, penggubalan undang-undang Patriot dan yang terkini, kerajaan pimpinan Blair yang telah mengeluarkan empat bil bagi Undang-undang anti-pengganas yang baru merupakan manifestasi keruntuhan Kapitalisme yang memakan diri mereka sendiri. Bil ini antara lain mengatakan:

1) Membolehkan penahanan suspek pengganas selama 90 hari (sebelum ini 14 hari)
2) Membolehkan kerajaan mengharamkan pertubuhan bukan pengganas
3) Mengharamkan segala seruan yang bertujuan menjatuhkan pemerintahan dictator Barat
4) Melayan demonstrasi aman seperti pengganas

Dengan bil ini, polis boleh menahan sesiapa sahaja yang disyaki pengganas tanpa sebarang pembelaan meskipun tanpa sebarang bukti yang nyata – dan Barat mendakwa bahawa mereka mensucikan hak individu!!!

Tony Blair mengatakan bahawa kebebasan awam yang paling agung adalah hak untuk hidup dan menjaga keselamatan bangsa. Jika hak untuk hidup benar-benar merupakan suatu hak yang sangat penting, mereka sebenarnya tidak perlu berperang untuk mempertahankan prinsip asas ini dan meletakkan anak-anak mereka dalam risiko ditengah-tengah konflik peperangan. Justifikasi ‘menjaga keselamatan bangsa’ adalah hujjah lapuk yang sejak dahulu digunakan oleh pemerintah-pemerintah diktator dan kukubesi. Ia digunakan secara berterusan oleh semua rejim diktator dari Harare, Pyongyang hinggalah yang terbaru di Thailand untuk mempertahankan polisi kukubesi mereka.

Sebenarnya, manifestasi ’kemenangan’ dan pengaruh Barat adalah merupakan bibit-bibit keruntuhan ideologi mereka yang mereka sendiri tidak sedari.

Pilihanraya Bukan Bukti

Adalah merupakan suatu yang diketahui umum bahawa pilihanraya yang diadakan di bumi kaum Muslimin sebenarnya tidak bebas dan adil. Pilihanraya baru sahaja diadakan di Afghanistan, Palestin, Iraq dan ribuan rakyat keluar mengundi. Walaubagaimanapun pilihanraya-pilihanraya ini sebenarnya dikuasai oleh Barat – jelasnya, ia diadakan ketika mereka berada di bawah kawalan penjajah. Hakikatnya, pilihanraya seperti ini adalah tidak sah, kerana pilihanraya untuk membentuk kerajaan atau kepimpinan ini masih dikawal oleh kuasa penjajah luar. Di Iraq sebagai contoh, undang-undang Pentadbiran Transisi di Iraq dibuat bertujuan untuk melarang parti yang tidak sekular daripada terlibat di dalam pilihanraya. Pemerintahan Mesir pula telah menahan lebih dari dua ratus pendukung kelompok pembangkang Ikhwanul Muslimin, sebelum dimulakan pemilihan tahap kedua. Calon dari Ikhwanul Muslimin tampil sebagai calon bebas dalam pemilihan tahap pertama, dan mereka berjaya mendapatkan tiga puluh empat kursi, lebih dua kali ganda dibandingkan dengan kerusi parlimen sebelumnya [BBC, 20/11/05]. Ini adalah bagaikan perlawanan yang peraturannya telah ditetapkan untuk memastikan keputusan yang dikehendaki. Oleh itu adalah tidak memeranjatkan apabila pemimpin sekular yang pro-Barat terpilih di Kabul, Gaza dan Baghdad.

Pilihanraya juga tidak boleh dianggap sebagai kejayaan penyebaran ideologi Kapitalis. Ini adalah kerana pilihanraya bukanlah keunikan politik Barat. Ia boleh juga datang dari ideologi lain. Jutaan umat Islam yang turun mengundi tidak boleh dilihat sebagai tanda sokongan kepada ideologi sekular-demokrasi. Mereka terdorong melakukannya lebih kerana penolakan terhadap pemerintahan diktator dan penindasan. Daripada kajiselidik yang diterbitkan pada Februari 2005 oleh Pusat Pengajian Stategik (CSS), Universiti Jordan, menunjukkan bahawa terdapat jurang perbezaan yang besar dalam penerimaan idea politik Barat. Daripada jawapan kepada soalan-soalan kajiselidik yang ditanyakan, ramai yang tidak setuju dengan Barat; orang Arab mempercayai bahawa nilai akhlak mereka sangat bertentangan dengan budaya Barat. Mereka melihat dasar luar Barat adalah untuk kepentingan diri Barat sendiri dan tidak menghormati kedaulatan negara lain. Barat juga dilihat sebagai mengenakan polisi mereka ke atas negara lain dengan cara yang merendahkan kemuliaan negara tersebut. Pandangan ini juga dikongsi oleh bukan sahaja negara Arab tetapi juga Brazil, Korea Selatan dan Rusia. Hasil kajian ini juga menunjukkan bahawa dua pertiga responden di Jordan, Mesir dan Palestin tetap percaya hanya Syari’ahlah satu-satunya sumber perundangan dan sepertiga lagi percaya bahawa Syari’ah patut menjadi sumber perundangan. Terlalu sedikit yang berpandangan bahawa Syari’ah tiada peranan dalam pemerintahan.

Tambahan pula, perubahan iklim politik dunia Islam bukanlah produk selepas berlakunya pencerobohan Iraq atau perkembangan ideologi Kapitalis. Di Palestin, ia berlaku kerana kematian Arafat, bukannya disebabkan tertangkapnya Saddam. Demonstrasi di Beirut adalah tindakbalas kemarahan atas kematian bekas Perdana Menteri, Rafiq Hariri bukannya hasil dari mereka menyaksikan proses pilihanraya di Iraq dan pemilihan presiden Afghanistan adalah hasil penjajahan secara ketenteraan dari luar, bukannya akibat dari perubahan ‘demokrasi’.

Agenda Sebenar Amerika dan Barat

Agenda sebenar Amerika di dunia Islam bukanlah untuk menyebarkan kebebasan dan demokrasi seperti yang didakwanya. Hakikatnya, apa yang mereka lakukan adalah untuk menjaga kepentingan mereka sendiri serta menghalang daripada golongan Muslim yang ikhlas (yang mereka gelar sebagai puak radikal yang dahagakan darah) daripada menegakkan Islam yang hakiki. Objektif terakhir Barat, terutamanya Amerika bukanlah untuk memberi kehidupan yang lebih baik bagi rakyat Iraq atau Afghanistan; mereka hanya ingin menetapkan strategi bagi menjaga kestabilan, keselamatan dan penguasaan mereka ke atas dunia. Ia boleh dibuktikan dari dua sebab: Pertama, nyawa rakyat negara lain tiada nilai di mata Amerika. Yang dipentingkan adalah keuntungan mereka sahaja. Lantas, kebaikan untuk siapa? Sudah tentu bukan untuk rakyat Iraq atau Afghanistan. Kedua, menggembar-gemburkan bahawa pelancaran peperangan anti-keganasan ini adalah atas nama kebebasan dan kemanusiaan – namun terus menutupi agenda sebenar mereka. Perbelanjaan sebanyak AS$300 bilion itu sebenarnya adalah sebagai sebuah pelaburan – bagi mendapatkan buruh yang murah, kos komoditi rendah dan jaringan pasaran yang luas. Inilah tujuan mereka yang sebenarnya – penjajahan dan menjaga kepentingan ekonomi mereka.

Halangan dan ancaman kepada pencapaian visi Amerika termanifestasi pada kelompok alternatif yang menyerukan kejatuhan rejim-rejim diktator boneka dunia Islam. Untuk menghalang kelompok ‘radikal’ ini dari mengambilalih kuasa, satu paradigma baru perlu diwujudkan di Timur Tengah supaya keadaan boleh menjadi kondusif untuk menjaga kepentingan utama Amerika. Pilihanraya dengan proses yang terkawal merupakan salah satu jalan terbaru mereka. Mereka mempromosikan ilusi kebebasan dan hak pemilihan rakyat sedangkan pada waktu yang sama menentukan siapa yang akan menjadi pemimpin boneka yang boleh mereka perkotak-katikkan. Model ini telah dijalankan di Pakistan dengan Musharafnya dan Hamid Karzai di Afghanistan. Iraq dan Mesir akan mengikut jejak yang sama sepertimana yang telah dikatakan oleh Seamus Milne.

Khatimah

Kapitalisme bukanlah ideologi terakhir. Kita kaum Muslimin wajib meyakini bahawa Islam adalah mabda’ yang tertinggi dan tiada ideologi lain yang lebih baik daripadanya. Ia akan bangkit semula sebelum hari kiamat nanti. Hadis riwayat Imam Ahmad dan Baihaqi memberikan isyarat lima tahapan perjalanan sejarah umat Islam.

1) Zaman Nubuwwah – zaman kenabian.
2) Zaman Khilafah ‘ala Minhaj Nubuwwah
3) Mulkan Adhan – Penguasa yang menindas
4) Mulkan Jabbariyyan – Penguasa sekular
5) Kembali zaman Khilafah ‘ala Minhaj Nubuwwah

Dengan izin Allah Subhanahu wa Ta’ala, Islam akan muncul semula dan memimpin dunia dengan sistem kehidupan yang diredhaiNya.

Wallahua’lam