SN 578 – 100 Hari Tanpa Penerapan Hukum Allah

SN578

03 Disember 2021 M / 28 Rabiul Akhir 1443 H

 

Pada 28 November lepas genaplah 100 hari acara pengangkatan sumpah Perdana Menteri Malaysia yang ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Walaupun tidak ada apa-apa yang istimewa dengan bilangan 100 hari ini, namun kebelakangan ini sudah menjadi amalan untuk seseorang pemimpin atau sesebuah kerajaan itu “dinilai” pada 100 hari pertama pemerintahan mereka. Ismail Sabri telah memperkenalkan slogan “Keluarga Malaysia” dalam pentadbirannya, sebuah slogan yang penuh retorik, tidak ubah seperti slogan Perdana Menteri-Perdana Menteri sebelum ini. Tiga teras utama yang digariskan di bawah konsep Keluarga Malaysia-nya ialah Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran. Teras ini akan menjunjung nilai-nilai Keluarga Malaysia berpaksikan Keluhuran Perlembagaan Persekutuan seperti yang telah termaktub dalam Rukun Negara. Itulah apa yang cuba diketengahkan oleh Ismail Sabri, yang tujuannya tidak lain kecuali bagi mempercantik dan mempertahankan kekuasaannya.

Hakikatnya, kerajaan Keluarga Malaysia merupakan penjenamaan semula yang sekali gus merupakan kesinambungan kepada “kerajaan gagal” yang diwarisi oleh Ismail Sabri daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin. Boleh dikatakan hampir seratus peratus barisan kabinetnya dihiasi dengan muka-muka lama dan segala polisi lama juga turut diteruskan. Umum mengetahui bahawa penjenamaan semula ini dibina setelah ‘gencatan senjata’ antara kerajaan dan pembangkang di saat kedua-dua pihak menemui jalan buntu dalam menyelesaikan perebutan kuasa sesama mereka. Walaupun barisan kabinet Ismail Sabri lebih kecil sedikit berbanding sebelumnya, namun legasi “scheme of things” yang dikatakan menjadi percaturan Muhyiddin bagi mengekalkan sokongan, dengan menyogok jawatan-jawatan menteri, melantik penasihat yang bertaraf menteri dan juga jawatan besar dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), diteruskan oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke-9 itu.

“Pencapaian” 100 Hari

Selain melantik kabinet “kitar semula” sebagai langkah kompromi dengan rakan sekutu, Idris Ahmad, yang juga Naib Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama), sebuah pelantikan yang dilihat bakal mencalar imej PAS dalam masa yang sama. Ini kerana kerusi Menteri Agama sudah dikenal sebagai kerusi panas di Malaysia yang menjadi perhatian bukan sahaja daripada golongan Muslim, malah termasuk non-Muslim. Daripada hari pertama pelantikannya, Menteri Agama sudah pun diserang kerana semasa menjadi pembangkang, beliau adalah antara pimpinan PAS yang begitu lantang menghentam kerajaan, malah dengan yakin dapat merubah UMNO hanya dalam masa beberapa hari sahaja jika berkuasa. Ternyata apa yang berlaku ialah sebaliknya apabila beliau telah berjaya diubah oleh UMNO dalam sekelip mata, dan sejak dilantik, beliau terus menjadi penyokong dan pengampu kepada kerajaan sekular UMNO sehingga sekarang.

Pada 2 Oktober 2021, bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said dilantik sebagai Penasihat Khas Undang-undang dan Hak Asasi Manusia kepada Perdana Menteri. Tidak sampai dua minggu kemudian iaitu pada 12 Oktober, Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan pula dilantik sebagai Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri (PMO). Terbaru pada 27 November, Pengerusi UMNO Kedah, yang juga bekas Menteri Agama, Jamil Khir Baharom dilantik sebagai penasihat agama kepada Perdana Menteri. Kos untuk setiap penasihat dikatakan berjumlah RM50,000 sebulan.

Bayangkan dalam situasi telah ada menteri yang memegang portfolio agama, ekonomi dan undang-undang, Ismail Sabri tetap melantik penasihatnya di bidang-bidang tersebut dengan kos yang bukannya sedikit! Bukan sekadar itu, kerajaan juga bersetuju mengekalkan tiga pemimpin parti politik sebagai duta khas kepada Perdana Menteri yang bertaraf menteri, melalui mesyuarat pertama kabinet pada 1 September 2021. Mereka ialah Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tiong King Sing dan Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak Richard Riot Jaem. Bayangkan semua ini terjadi di saat rakyat masih terkial-kial mencari sesuap nasi dengan kais pagi makan pagi kais petang makan petang!

100 Hari Tanpa Penerapan Islam

Rata-rata media penjilat kerajaan melaporkan kejayaan 100 hari Ismail Sabri dalam menangani pandemik Covid-19 dengan penurunan kes daripada 20,000 kepada 5,000 sehari. Selain itu, ahli parlimen Bera itu turut dipuji dengan pencapaian menstabilkan politik negara, khususnya apabila beliau berjaya membawa pembangkang ke meja rundingan dan seterusnya berjaya memeterai gencatan politik bersama pembangkang. Beliau turut dipuji kerana berjaya memulihkan ekonomi apabila sektor perniagaan dan sempadan negeri dibuka sedikit demi sedikit.

Kita tidak menafikan kepentingan menangani pandemik, dan ia sememangnya kewajipan pemerintah untuk berbuat demikian. Kita juga tidak menafikan kestabilan politik dan ekonomi sebagai suatu yang penting, dan pemerintah memang bertanggungjawab untuk menstabilkannya. Namun perlu difahami bahawa kewajipan menerapkan hukum Allah adalah lebih utama dan mengatasi segala-galanya. Malah, dengan penerapan hukum Allah-lah segala masalah pandemik, kestabilan negara dan masalah-masalah lainnya akan dapat diselesaikan dengan izin-Nya.

Sebagai Muslim, kita harus faham bahawa kayu ukur sesebuah kejayaan itu seharusnya dinilai dengan Islam, bukan selainnya. Kayu ukur kita ialah Al-Quran dan As-Sunnah. Inilah kayu ukur sebenar untuk menilai kejayaan seseorang di dunia dan juga akhirat. Jika seseorang itu menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan dan amalan dalam kehidupannya, maka inilah kejayaan hakiki untuknya. Begitulah juga dalam bidang pemerintahan, kejayaan seseorang pemimpin itu adalah dinilai berdasarkan penerapannya terhadap Al-Quran dan As-Sunnah dalam keseluruhan pemerintahannya.

Persoalannya, sejak hari pertama hingga hari ke-100, apakah Perdana Menteri Malaysia yang ke-9 (dan kabinetnya) telah menerapkan keseluruhan Al-Quran dan As-Sunnah dalam pemerintahan mereka? Apakah ada usaha, walaupun sekecil-kecilnya ke arah itu?  Jawapannya sudah amat terang lagi bersuluh! Perlembagaan yang diberi oleh penjajah masih dikekalkan; sistem demokrasi yang jelas bertentangan dengan Islam masih dikekalkan; ekonomi kapitalisme berteraskan ribawi masih dikekalkan; segala undang-undang ciptaan manusia masih dikekalkan. Dengan kata lain tidak ada sedikit pun usaha untuk merubah semua itu dan tidak kelihatan sedikit pun usaha untuk menerapkan hukum Allah secara kaffah dalam 100 hari pertama pemerintahan Perdana Menteri Malaysia yang ke-9 ini.

Dalam ucapan awalnya semasa membentuk kabinet, Ismail Sabri telah meminta rakyat menjadi juri untuk memberikan markah kepada para menteri atas prestasi mereka dalam tempoh 100 hari memerintah. Maka disini bolehlah kita katakan bahawa markah kosong pun tidak layak untuk diberi, kerana markah yang lebih layak untuk mereka ialah negatif. Mereka tidak menerapkan hukum Allah sebagaimana yang diperintahkan-Nya, dan ini adalah satu isu yang fatal, baik di dunia apatah lagi di akhirat. Maka sudah pasti apa yang paling layak untuk mereka dapat dalam 100 hari ini ialah kemurkaan Allah. Na’uzu billah min zalik.

Rasulullah Mengatur Negara Dengan Islam

Sebaik sahaja tiba di Madinah dan berjaya menegakkan Daulah Islam, antara langkah awal yang dilakukan oleh Rasulullah (saw) ialah membina masjid yang berfungsi bukan sahaja sebagai tempat ibadah, tetapi juga sebagai pusat pemerintahan dan pentadbiran negara, serta pusat di mana segala persengketaan atau permasalahan diselesaikan. Rasulullah (saw) juga mempersaudarakan antara kaum Muhajirin dan Ansar dengan sebuah persaudaraan yang luar biasa sifatnya dan membawa pengaruh serta kesan yang sangat besar kepada masyarakat dan negara.

Seperkara lagi yang dilakukan oleh Rasulullah (saw) di awal pemerintahan baginda ialah menyediakan sebuah Sahifah (piagam) yang mengatur dan mengikat keseluruhan penduduk Madinah baik Muslim mahupun non-Muslim (Zimmi). Sahifah itu merupakan manhaj yang mengatur interaksi antara kaum Muslimin dan orang-orang kafir khususnya kabilah-kabilah Yahudi yang terdapat di sekitar Madinah. Sahifah ini dengan jelas mengikat keseluruhan penduduk Madinah dengan Islam, dan dengan Islam semata-mata.

Teks Sahifah itu diawali dengan kalimah, “Bismillahirrahmanirrahim. Ini adalah perjanjian dari Muhammad Nabi (saw) antara kaum Mukminin yang beragama Islam dari kalangan Quraisy dan Yatsrib serta orang-orang yang mengikuti mereka. Kaum Mukminin, satu dengan lainnya telah bergabung dan berjuang bersama-sama. Sesungguhnya mereka adalah umat yang satu, yang berbeza dengan seluruh umat manusia lainnya..” Dalam Sahifah ini, Rasulullah (saw) telah membezakan antara kaum Muslimin dengan kaum kafir dari sudut kesatuan, walaupun tinggal dalam satu negara.

Dalam Sahifah tersebut diperuntukkan dengan jelas akan hubungan antara kaum Muslimin dengan kaum Yahudi yang diatur berdasarkan hukum Islam, dan berlandaskan ketundukan kaum kafir kepada kekuasaan Islam, serta kewajipan mereka untuk mempertahankan Daulah Islam. Selain itu, Sahifah turut memaktubkan bahawa segala perselisihan yang timbul di antara pihak-pihak kepada perjanjian, yang dikhuatiri akan merosakkan perjanjian, maka tempat kembalinya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya.

Turut termaktub ialah tanggungjawab kaum Yahudi yang tidak boleh menjalin kerjasama dengan kafir Quraisy dan tidak boleh memberi pertolongan kepada mereka. Mereka disyaratkan tidak boleh keluar dari Madinah kecuali dengan izin Rasulullah (saw) atau dengan kata lain izin negara. Mereka diharam merosakkan kehormatan kota Madinah, baik dengan memerangi atau memberi bantuan kepada siapa pun yang memerangi Islam. Siapa pun yang melanggar perjanjian tersebut, maka Rasulullah-lah yang akan menyelesaikannya.

Demikianlah antara isi Sahifah yang dibuat oleh Rasulullah (saw) dalam mengatur interaksi antara warganegara dan dalam menjaga Daulah Islam. Apa yang terang lagi bersuluh ialah segala hukum Jahiliah tidak lagi berlaku, dan kesemuanya diganti dengan hukum Islam. Di sepanjang pemerintahan baginda (saw), hukum Allah (swt) telah diterapkan sepenuhnya tanpa tertangguh sedikit pun setiap kali turunnya wahyu. Hukum kufur dan orang-orang kafir tidak ada tempat sedikit pun dalam pemerintahan negara.

Inilah teladan yang wajib diikuti oleh siapa pun yang berkuasa yakni wajib mengatur urusan rakyat dan negara dengan Islam. Persoalannya, adakah Perdana Menteri Malaysia telah menjadikan Rasulullah (saw) sebagai teladan dalam pemerintahannya? Rasulullah membina negara dan membuat Sahifah berteraskan Al-Quran, serta menghapuskan segala hukum Jahiliah. Malangnya Perdana Menteri membina negara dengan konsep Keluarga Malaysia berteraskan Perlembagaan yang diberikan oleh kuffar penjajah serta mengekalkan segala sistem dan undang-undang penjajah. Lebih malang, umat Islam menyaksikan bagaimana parti Islam yang bersekongkol dalam pemerintahan, yang selama puluhan tahun begitu lantang melaungkan penerapan Islam, ternyata terus hanyut dalam pemerintahan sekular bersama sekutunya UMNO dan Bersatu.

Khatimah

Allah (swt) mewajibkan pemerintah untuk menerapkan hukum-Nya dan Dia telah menegaskan siapa pun yang tidak berbuat demikian akan termasuk ke dalam golongan zalim dan fasiq, malah boleh termasuk ke dalam golongan kafir dalam keadaan tertentu jika menolaknya. Menerapkan hukum Allah merupakan amanah terbesar dan terberat yang dipikul oleh seseorang penguasa, dan berdosa besarlah penguasa yang tidak berbuat demikian. Penguasa wajib menerapkan hukum Allah pada hari pertama lagi sejak ia berkuasa, bukannya pada 100 hari pertama, bukan juga pada setahun pertama. Sesungguhnya hukum Allah itu wajib diterapkan selama-lamanya oleh mana-mana penguasa pun, dan ia wajib diterapkan secara kaffah. Melihat kepada track record, sesungguhnya sudah tidak ada harapan lagi untuk kita menyaksikan penerapan Islam melalui penguasa sekular yang sedia ada. Satu-satunya harapan ialah dengan menegakkan kembali Negara Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah. Wallahu a’lam.

 

Download PDF