SN001 – Muhasabah Untuk Umat Islam – Antara Bencana, Musibah dan Azab

PDF

SN Keluaran 2005

SN

[SN001] “Saya tidak pernah melihat kejadian seperti ini”. Itulah diantara kata-kata Kofi Annan, Setiausaha PBB semasa sidang akhbar selepas melihat sendiri kesan kemusnahan bencana Tsunami yang melanda beberapa negara Asia pada 26 Disember 2004 lepas, (sumber berita al-jazirah). Peristiwa ini menjadi episod sedih yang begitu menyayat hati mewarnai peristiwa sepanjang tahun 2004 dan melakar sejarah sebagai bencana gempa bumi dan tsunami terburuk yang pernah berlaku dalam sejarah. Diberitakan di Aceh sahaja telah mengorbankan hampir 100 ribu orang dan menurut Pengarah Operasi Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, Peter Rees menjangkakan jumlah kematian akbit becana ini boleh mencecah lebih dari 100 ribu orang. Di Malaysia sahaja angka korban telah mencecah 67 orang dan memusnahkan harta benda bernilai jutaan ringgit.

Apa yang pasti keadaan yang berlaku ini tentu akan membuatkan kita berduka; sebagaimana kita seharusnya berduka atas ‘musibah’ yang menimpa saudara-saudara seaqidah kita di Afganistan, Iraq, Palestin, dan di negeri-negeri kaum Muslimin lain yang akhir-akhir ini sedang mengalami penindasan dan bahkan pembantaian oleh kafir penjajah, yakni AS dan para sekutunya. Di Iraq sahaja, sebagaimana dilaporkan oleh Lancet dalam saluran BBC, mangsa korban kebiadaban AS telah mencecah lebih dari 100 ribu nyawa suatu angka yang menyamai korban tsunami. Sebagai seorang muslim, memang sewajarnya kita berduka di atas korban gempa bumi dan tsunami yang berlaku, apatah lagi hampir sebagaian yang menjadi korban terdiri daripada saudara seaqidah kita baik di Malaysia, Indonesia, Thailand, Sri Lanka dan India. Hanya iringan doa dan ucapan, “Innâ lillâh wa innâ ilayhi râji‘ûn (Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan kita akan kembali kepada Allah)” yang paling layak kita ucapkan sebagai peringatan kepada diri sendiri akan kekerdilan kita sebagai makhluk ciptaan-Nya. SN pada keluaran kali ini sekadar ingin mengajak para pembaca untuk merenung kembali kepelbagaian ‘musibah’ yang ada untuk kita lebih mendekatkan diri Kepada-NYA.

Musibah Sebagai Ketentuan Allah

Sebagai seorang muslim, kita seharusnya menyedari bahawa segala musibah seperti gempa bumi, banjir, tsunami, ribut taufan, kemarau dan sebagainya, memang merupakan peristiwa alam ‘biasa’ yang sering melanda umat manusia. Musibah seumpama ini sebahagiannya merupakan suatu fenomena alam yang telah menjadi qadhâ’ (ketentuan) Allah, yang menunjukkan bahawa Allah SWT Maha Kuasa. Allah SWT berfirman:

“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan tidak pula pada diri kalian sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah swt” [Surah al-Hadid (57) : 22]

Musibah seperti ini bukanlah azab (hukuman) dari Allah swt ke atas manusia. Berbanding umat-umat terdahulu seperti umat nabi Nuh, nabi Luth, azab Allah swt bagi umat akhir zaman (umat nabi Muhammad saw) akan diterima diakhirat kelak bagi semua manusia yang melakukan kemaksiatan dan kemungkaran kepada-NYA.

Musibah Sebagai Ujian Allah

Akan tetapi, boleh jadi, musibah seumpama ini merupakan ‘ujian’ dari Allah swt untuk menguji tahap kesabaran dan sejauh mana tahap ketakwaan manusia. Allah swt berfirman:

“Sesungguhnya Kami akan menimpakan cubaan ke atas kalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan serta kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang jika ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Innâ lillâhi wa innâ ilaihi râji‘ûn.” [Surah al-Baqarah (2): 155- 156].

Di sinilah pentingnya kita, khususnya kaum muslimin yang menjadi korban tsunami, senantiasa bersabar dan pasrah sepenuhnya atas qadhâ’ (ketentuan) Allah swt. Anggaplah ini sebagai ‘cubaan’ dan ‘ujian’ dari Allah swt untuk menguji kesabaran dan ketaqwaan kita. Kita seharus yakin bahawa Allah swt senantiasa mencintai orang-orang yang sabar (Surah Ali Imran [3]: 146), bahkan Allah selalu bersama dengan orang-orang yang sabar (Surah al-Baqarah [2]: 153; Surah al-Anfal [8]: 46 dan 66) serta menjauhkan diri dari sikap berputus asa dan mengembalikan seluruh urusan tersebut kepada Allah swt.

Bagi kaum muslimin yang tidak ditimpa musibah ini, seharusnya dapat meringankan beban mereka yang ditimpa dengan memberikan bantuan dalam pelbagai bentuk mengikut kemampuan masing-masing. Kerajaan sebagai pemerintah tentu sahaja merupakan pihak yang paling berkewajiban dan paling bertanggungjawab dalam meringankan beban rakyat yang sedang ditimpa musibah ini. Pihak Kerajaan seharusnya dapat menyediakan keperluan asas yang sangat diperlukan pada saat ini seperti makanan, pakaian dan kemudahan kesihatan dengan kadar sesegera yang mungkin. Bukannya mengharapkan NGO, pihak swasta dan badan-badan kebajikan. Ini kerana urusan menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat adalah tanggungjawab pemerintah/negara, manakal sumbangan dan bantuan selain itu adalah atas nilai kemanusiaan dan membantu sesama muslim.

Musibah Sebagai Peringatan Allah

Sementara itu, sebahagian musibah lainnya adalah akibat tangan-tangan manusia yang senantiasa gemar melakukan kerosakan di muka bumi ini. Musibah seumpama ini lebih merupakan ‘peringatan’ bagi umat manusia baik yang mukmin mahupun yang kafir yang selama ini melanggar perintah Allah SWT agar mereka kembali ke jalan-Nya. Allah SWT berfirman:

Telah nampak kerosakan di darat dan dilaut akibat perbuatan tangan manusia,supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” [Surah ar-Rum (30): 41].

Menurut Imam Jalalain dan Imam Ibnu Katsir dalam menafsirkan bimâ kasabat aydînnâ (akibat perbuatan tangan manusia…) adalah perbuatan-perbuatan maksiat/kerosakan. Ertinya, pelbagai kerosakan di darat dan di laut yang menimpa manusia adalah akibat kemaksiatan/kerosakan yang dilakukan oleh manusia sendiri. Di samping itu, musibah juga boleh terjadi dalam bentuk kesempitan hidup yang sejak akhir-akhir ini dialami oleh umat manusia, khususnya kaum Muslimin. ‘Musibah’ seumpama ini lebih merupakan teguran’ sekaligus ‘ancaman’ ketika manusia yang berpaling dari peringatan-Nya. Allah SWT berfirman:

Siapa sahaja yang berpaling dari peringatan-Ku (al-Quran), maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta” [Surah Thaha (20): 124].

‘Musibah-musibah’ Lain

Bagi kita yang prihatin, sebenarnya sepanjang tahun 2004 sahaja terdapat banyak ‘musibah’, baik di dalam mahupun di luar negara, yang telah menimpa kaum Muslimin. Antara ‘Musibah’ tersebut berkaitan rapat dengan masalah politik, ekonomi, sosial-budaya, hukuman & perundangan dan keamanan. Sebahagian dari ‘musibah-musibah’ tersebut adalah seperti berikut:

Pertama, bidang politik. Yang paling menonjol adalah keadaan kaum Muslimin di luar negera. Di Palestin, Iraq, dan Afganistan pembantaian kaum Muslimin oleh tentera penjajah semakin menjadi-jadi. Di Iraq, contohnya, lebih dari 100 ribu penduduk awam menjadi mangsa akibat pencerobohan AS sejak Mac 2003. Rejim sekular juga menindas kaum Muslim di Uzbekistan, Chechnya, Filipina, India, Thailand, dan Timor Leste. Pada bulan Ramadhan yang lalu rejim Thailand menembak dan menyeksa kaum Muslim di Tak Bai sehingga 85 orang terkorban. Di Timor Leste 251 warga Muslim yang mendiami masjid an-Nur diusir oleh pemerintah setempat. Hal yang sama juga dialami oleh kaum Muslimin di Eropah dan AS yang sering diketepikan dan didiskriminasikan sejak Peristiwa 11 September 2001. Semua itu dan banyak lagi sebagai akibat dari propaganda perang melawan terorisme yang dilancarkan oleh AS. Sebagai umat Islam kita seharusnya menyedari bahawa slogan dan agenda ‘Perang Melawan Terorisme’ sebenarnya ditujukan khusus oleh AS untuk memerangi kaum Muslim yang tidak sehaluan dengan agenda Kapitalisme Global yang dicanangkan oleh AS. Di dalam negara sendiri, pihak pemerintah yang mendapat mandat baru untuk meneruskan kesinambungan pemerintahan sekali lagi, mula melakukan perubahan demi perubahan yang pastinya tidak disenangi oleh rakyat seperti kenaikan harga minyak petrol, tol, akhbar dan yang bakal menyusul di tahun baru 2005.

Kedua, bidang ekonomi. Kepesatan ekonomi, ketidakstabilan harga dan pelbagai masalah yang berkaitan dengan ekonomi yang melanda dunia saat ini secara sedar atau tidak telah dimonopoli dan dikawal oleh pihak Barat dengan idea kapitalisme mereka. Segala tindak tanduk mereka hanya berdasarkan manfaat. Yang jelas dari statistik, akibat menganuti idea kapitalisme ini jurang kemiskinan umat Islam semakin melebar dan kekayaan sumber bumi negeri-negeri kaum muslimin bertukar milik. Natijahnya, yang berjaya mengaut keuntungan hanyalah golongan kapitalis Barat. Sebagai contohnya menurut data terakhir yang dikeluarkan oleh Badan Pusat Statistik (BPS) Indonesia, sebanyak 17.2 % atau 37.4 juta rakyat Indonesia hidup di bawah garis kemiskinan (Republika, 24/12). Yang hidup di near line of poverty (sedikit di atas angka tersebut) jumlahnya lebih ramai. Dengan demikian, jumlah penduduk miskin dan di bawah kemiskinan tidak kurang dari 70 juta orang; yang pastinya sebahagian besarnya adalah kaum Muslimin Indonesia.

Ketiga, bidang sosial-budaya. ‘Musibah’ yang paling besar di bidang ini adalah semakin rosaknya acuan sosial-budaya masyarakat. Salah satunya adalah semakin liberalnya hubungan sosial dan semakin bebasnya budaya masyarakat. Pertambahan kes-kes pengguguran bayi, perzinaan, pelacuran, gaya hidup hedonisme adalah sedikit dari bukti rosaknya social masyarakat. Di bidang kebudayaan, hiburan pula tidak kurang hebatnya dengan kehadiran pelbagai bentuk rancangan realti TV. Siapa yang tidak pernah mendengar Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Who Will Win, dan pelbagai lagi bentuk hiburan yang sebenarnya menggalakkan masyarakat menuju ke arah liberalisme (kebebasan). Natijahnya, semua ini amat berpengaruh dalam membentuk kepribadian muslim.

Keempat, bidang hukum dan perundangan (sistem syari’ah). Yang paling menonjol adalah semakin giatnya usaha segolongan manusia yang melecehkan serta mencampakkan hukum-hukum Islam. Larangan pemakaian tudung di sekolah-sekolah di Perancis contohnya pastinya amat bertentangan dengan syari’at Islam. Kaum muslimin sendiri semakin melupakan kewajipan mereka untuk menerapkan sistem perundangan Islam, malah sebaliknya hilang dari pemikiran mereka bahawa mereka adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah swt dan wajib mengikuti segala seruan dan larangan yang telah ditetapkan ke atas mereka. Lihat sahaja cadangan dan hukuman yang diberikan ke atas beberapa isu hangat seperti kes ragut, pembunuhan dan rogol yang menggemparkan dan menaikan kemaharan masyarakat seketika dulu. Kemudian semua jari menunding kepada ibubaba (kesalahan) kerana lalai memerhatikan anak-anak mereka dan gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik. Kesalahan ini juga dibebankan kepada masyarakat kerana tidak prihatian dan sensitif terhadap jenayah yang berlaku disekeliling. Namun begitu, yang pasti punca segala jenayah dan kerosakan nilai moral/akhlak individu dan masyarakat adalah kerana penerapan sistem yang rosak (kapitalisme-demokrasi) tetapi tidak diambil perhatian walau sedikit pun.

Kelima, bidang keamanan. Yang paling jelas adalah semakin meningkatnya kes-kes rogol termasuk kanak-kanak, ragut, penipuan, rompakan dan pembunuhan, termasuk pembunuhan yang kejam. Tindakan jenayah ini jika dilihat dari statistik semakin meningkat setiap hari seperti mana yang sering dipertontonkan di kaca TV. Beberapa kempen dan tindakan yang diambil seperti kempen Malaysian for Peace tidak memberi sebarang impak sedikitpun samada diperingkat kebangsaan atau antarabnagsa, malah sebaliknya semakin bertambaha banyak tanah, harta dan nyawa umat Islam dihancurkan oleh mereka yang sememangnya membenci Islam. Pada masa yang sama kaum muslim di negara ini semakin rancak dan ghairah bergelut mengintai peluang menambah kekayaan dan melayari kesenangan hidup tanpa memperdulikan kesengsaraan dan pergelutan saudara seaqidah mereka yang lain.

Khatimah

Dari huraian ringkas di atas, maka jelaslah bahwa musibah (secara bahasa berarti sesuatu yang menimpa), sekurang-kuranya mencakupi: Pertama, yang berkaitan dengan fenomena alam ‘biasa’ yang merupakan qadhâ (ketentuan) Allah, boleh jadi merupakan ujian dari Allah swt untuk menguji kesabaran dan ketaqwaan umat manusia (Surah al-Baqarah [2]: 153; Surah al-Anfal [8]: 46 dan 66). Kedua, yang berkaitan dengan pelbagai kerosakan di darat dan di laut yang diakibatkan oleh perbuatan dan tangan-tangan manusia iut sendiri, merupakan teguran dari Allah swt agar mereka kembali ke jalan-Nya (Surah ar-Rum [30]: 41). Ketiga, yang berkaitan dengan kesempitan hidup, merupakan konsekuensi dari berpalingnya manusia dari peringatan Allah swt, yakni al-Quran-dengan kata lain, mereka berpaling dari syariat Allah swt (Surah Thaha [20]: 124).

Seluruh ‘musibah’ di atas sepatutnya menginsafkan dan menyedarkan kita, bahwa telah tiba saatnya untuk kita bertaubat kepada Allah SWT. Sebab, sebahagian besar musibah yang menimpa kita adalah akibat kurangnya kita menta’ati Allah swt dan bahkan mencampakkan syariat-NYA. Ini kerana kemaksiatan terbesar yang kita lakukan adalah kita telah berpaling dari peringatan Allah swt, yakni dengan mencampakkan syariat-Nya, maka taubat kita yang terbesar lagi sejati adalah kita kembali kepada syariat-Nya secara menyeluruh. Iaitu menjadikan Islam sebagai sistem yang mengatur hidup kita secara menyeluruh (bermasyarakat dan bernegara)

Wahai kaum muslim!, bersegeralah kita bertaubat dengan menerapkan segala perintah dan larangan Allah swt. Tetapi, semua ini tidak mungkin akan terwujud tanpa adanya kekuasaan dalam bentuk negara yang akan menerapkannya, iaitu sistem Khilafah Islamiyah. Sebab, syariat Islam tidak hanya berkaitan dengan aspek ubudiah (aspek ibadah dan kerohanian) seperti shalat, zakat, puasa, atau haji semata atau hanya berkaitan dengan masalah moral/akhlak sahaja. Tetapi meliputi segala hal dan perkara seperti dalam masalah muamalat, ekonomi, politik, pendidikan, sosial-budaya, hukum-hakam, keamanan dan sebagainya, dimana semua itu wajib dan hanya boleh diterapkan oleh institusi negara, yakni Khilafah Islamiah.

Oleh itu, marilah kita berusaha bersama-sama menerapkan kembali syari’at-NYA dengan menegakkan sistem Khilafah Islamiyah ala minjah nubuwah.

“Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan hanyalah kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakkal” [Surah at-Taubah (9): 51].

Wallâhu a‘lam bi ash-shawâb.