SN030 – Hiroshima Dan Nagasaki – Memori Kerakusan Barat
SN Keluaran 2005
[SN030] Pada 6hb dan 9hb Ogos yang lalu, dunia mengingat kembali sejarah pengeboman Hiroshima dan Nagasaki yang amat dahsyat. Kesan kehancuran yang telah dialami oleh penduduk di dua buah bandar Jepun itu telah menyedarkan manusia akan kehodohan akhlak dan kekejaman yang sanggup dilakukan oleh manusia ke atas manusia yang lain. Atas dasar perikemanusiaan, ramai individu telah memperingati hari bersejarah ini dengan mengadakan pelbagai majlis dan rapat-rapat umum di merata-rata tempat dari Amerika Syarikat hinggalah ke Nagasaki, Jepun.
Aktivis-aktivis Anti-Nuklear dan Anti-Perang tidak ketinggalan mengadakan demonstrasi secara terbuka dengan melaungkan slogan-slogan keamanan, penolakan senjata nuklear dan peperangan secara amnya. Dengan demonstrasi dan pelbagai aktiviti ini, mereka berharap agar rakyat dunia terutamanya pemimpin-peminpin yang berkuasa dapat menghidupkan dunia yang aman damai dan bebas dari peperangan dan penggunaan senjata pemusnah besar-besaran.
Dari satu sudut, kemurnian hati mereka dalam menjalankan usaha sebegini mungkin tidak perlu dipertikaikan dan dapat dilihat sejajar dengan naluri kemanusiaan yang ada dalam diri insan yang waras akal fikirannya. Walaubagaimanapun, mungkin juga kita perlu merenung sejenak dan menilai, adakah ini tindakan terbaik yang dapat kita rangka dan laksanakan? Adakah terdapat kaedah-kaedah lain yang lebih molek dan lebih berkesan dalam usaha untuk membina sebuah masyarakat dunia yang boleh hidup dalam suasana yang aman dan tenteram? Kita juga mungkin perlu menilai kembali emosi kita terhadap peristiwa-peristiwa berdarah seperti ini; sama ada ianya disalurkan pada jalan yang betul. Adakah kita memahami keadaan sebenar di sebalik kejadian yang telah berlaku? angkara Siapakah ini? Apakah punca permasalahannya dan apakah jalan penyelesaian yang paling sesuai untuk dunia?
Sautun Nahdhah kali ini ingin mengajak pembaca yang bijaksana menilai isu senjata nuklear, senjata pemusnah besar-besaran dan perjuangan manusia bagi mendapatkan keamanan dan kebebasan. SN juga mengajak pembaca untuk menyadari bahawa negara-negara barat dan senjata pemusnah besar-besaran yang mereka miliki adalah satu ancaman yang nyata bagi umat manusia seantero dunia.
Memori Hiroshima dan Nagasaki
Pada hari Isnin tanggal 6 Ogos 1945, tanah Jepun di Hiroshima telah digegarkan dengan ledakan sebutir bom atom yang diberi nama ‘Little Boy’. Bom tersebut telah dijatuhkan oleh tentera Amerika Syarikat dengan menggunakan pesawat pengebom ‘Enola Gay’ jenis B-29 Superfotress yang dipandu oleh Lt. Col. Paul Tibbets. Tiga hari kemudian, tanggal 9 Ogos detik 11.02 pagi, bom atom yang kedua, ‘Fat Man’ telah digugurkan di Nagasaki oleh pesawat yang dipandu oleh Major Charles W. Sweeney dari pasukan 393rd Bombardment Squadron.
Letupan di Hiroshima telah mengorbankan lebih 66,000 nyawa dan menyebabkan lebih 69,000 orang lagi cedera. Nasib yang serupa telah menimpa penduduk Nagasaki dimana lebih 39,000 terkorban dan 25,000 orang tercedera. Letupan kedua-dua bom atom tersebut telah memaksa Jepun menyerah kalah kepada Pakatan Kuasa Bersekutu yang kemudiannya dikatakan membantu dunia dalam usaha menamatkan Perang Dunia Ke-2.
Biarpun kerajaan Amerika Syarikat telah mengetahui letupan bom nuklear yang bakal digunakan akan menyebabkan kemusnahan yang amat dahsyat, mereka masih tetap membuat keputusan untuk menjatuhkan dua bom atom di Nagasaki dan Hiroshima tersebut untuk menunjukkan kepada dunia kuasa pemusnah yang dimiliki oleh Amerika.
Pada masa itu, Amerika memberi 2 alasan untuk menyerang Jepun dengan bom atom. Pertama, serangan terus ke atas tanah Jepun akan menyebabkan korban jiwa yang banyak seperti di dalam perang Iwo Jima dan Okinawa. Kedua, ia akan menjadi satu penamat perang yang diperlukan kerana tentera Jepun tidak bersedia untuk menyerah kalah.
Setelah Jerman menyerah kalah dalam bulan Mei, adalah sangat jelas pada penilaian semua pihak bahawa Jepun yang pada masa itu sudahpun terlalu lemah akan turut kalah. Di akhir tahun 1945, Jepun telah kehabisan kapal terbang untuk menyerang mahupun bertahan. Pesawat Amerika boleh terbang ke mana-mana yang mereka kehendaki dan menjatuhkan bom sesuka hati mereka. Bandar-bandar seperti Tokyo, Nagoya, Osaka, Kobe dan Yokohama musnah akibat pengeboman ini. Hakikatnya, Jepun sudah tewas dan hampir menyerah kalah. Jabatan Luar Jepun telahpun secara rasmi memaklumkan kepada Rusia pada 13hb Mei 1945 bahawa Maharaja Jepun ‘sangat inginkan keamanan’ dengan Kuasa Bersekutu. Mengikut adat Bushido (kod ketenteraan Jepun), kewajiban untuk taat adalah seperti mewajibkan keberanian; sekiranya Maharaja menerima kekalahan ini, sudah tentu perintah ini akan dijalankan segera dan dipersetujui secara total oleh tentera Jepun. Rusia walaubagaimanapun telah menolak gerakan diplomatik ini atas sebab-sebab strategik kerana mengikut Perjanjian Yalta, ia akan berperang dengan Jepun tiga bulan selepas kekalahan Jerman dan mereka ingin meraih keuntungan dari itu. Perisikan Amerika mengetahui rancangan diplomatik ini namun Projek Manhattan diteruskan juga. Mereka bimbang Jepun akan menyerah kalah sebelum bom tersebut boleh digunakan. Dua kota di Jepun yang dipilih itu dibiarkan tanpa sebarang pengeboman ke atasnya untuk dijadikan sebagai sasaran ujian.
Hakikatnya, pembunuhan dan pemilihan sasaran orang awam pada masa itu telah dianggap melanggar Konvensyen Geneva. Ramai pegawai-pegawai atasan di dalam tentera bersekutu tidak bersetuju dengan tindakan tersebut. Field Marshal Montgomery menulis di dalam ‘History of Warfare’, “Menjatuhkan 2 bom ke atas Jepun pada bulan Ogos 1945 adalah tidak diperlukan dan saya fikir adalah tidak wajar ia dilakukan. Penggunaan bom tersebut merupakan satu kesilapan politik yang besar dan merupakan contoh terbaik keruntuhan etika perlakuan perang”. Admiral Leahy, Ketua Staf untuk Presiden Truman pula mengatakan, “Pada pandangan saya, penggunaan senjata kejam ini ke atas Nagasaki dan Hiroshima tidak mendatangkan sebarang kelebihan material kepada kita dalam peperangan ini. Pihak Jepun sudahpun kalah dan sudahpun bersedia untuk menyerah kalah akibat dari sekatan yang efektif dan pengeboman konvensional. Sebagai pihak yang pertama menggunakan bom ini, kita telah melakukan etika yang serupa dengan Zaman Kegelapan. Saya tidak dididik untuk berperang dengan cara ini. Peperangan tidak boleh dimenangi dengan membunuh kanak-kanak dan wanita”.
Hipokrasi Amerika dalam isu senjata nuklear dan kimia
Dalam isu senjata nuklear khususnya, PBB tidak mempunyai taring dalam memastikan perlaksanaan undang-undang berhubung isu nuklear dilakukan secara adil dan saksama. PBB sentiasa tunduk dan akur dengan kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan sekutunya sehingga negara-negara ini boleh bertindak sesuka hati dalam isu ini. Sebagai contoh, Amerika Syarikat dan sekutu kuatnya Britain, menggunakan isu senjata pemusnah besar-besaran yang kononnya dimiliki oleh Iraq serta keinginan Iraq untuk memiliki senjata nuklear bagi membolehkan mereka (Amerika dan sekutunya) menceroboh Iraq pada tahun 2003. Walhal, pada masa yang sama mereka sendiri memiliki sejumlah senjata nuklear yang cukup untuk memusnahkan planet ini berulang kali.
Dalam konteks ini, keberkesanan usaha dunia untuk mengawal penghasilan dan penggunaan senjata nuklear melalui pelbagai perjanjian dan resolusi boleh dipertikaikan. Ini adalah kerana keikhlasan kuasa-kuasa yang memiliki teknologi tersebut boleh diragui, terutamanya Amerika Syarikat, Britain dan Israel. Acap kali hipokrasi mereka termanifestasi apabila kita menyaksikan bahawa komitmen mereka dalam perjanjian-perjanjian tertentu lebih dipengaruhi oleh kepentingan sendiri daripada kepentingan sejagat. Perjanjian-perjanjian seperti ‘Nuclear Non-Proliferation Treaty’, ‘Comprehensive Test Ban Treaty’ dan ‘Immediate Range Nuclear Forces Treaty’ dilihat lebih memihak dan lebih mengukuhkan lagi kekuasaan kuasa-kuasa nuklear dan melemahkan mereka yang belum lagi memasuki kelab elit tersebut. Ianya sama sekali tidak akan melemahkan kedudukan Amerika sebagai negara yang berupaya menggugat keamanan mana-mana negara dengan memulakan serangan senjata nuklear. Malahan Amerika terus berusaha untuk membina senjata nuklear baru dan ini dapat dilihat dalam tindakannya apabila ia secara unilateral melepaskan diri dari ‘Anti Ballistic Missile Treaty’ dengan Kesatuan Soviet dalam usahanya untuk membina sebuah sistem pertahanan peluru berpandu – namun begitu sehingga hari ini, Amerika masih lagi mengutuk Iran dan Korea Utara kerana melepaskan diri dari perjanjian-perjanjian nuklear dan menghalang negara-negara lain dari memperoleh senjata nuklear.
Dalam isu senjata kimia pula, dunia sekali lagi dipermainkan oleh Amerika Syarikat demi kepentingan mereka sendiri. Pada tahun 1972, Presiden Richard Nixon mengumumkan bahawa Amerika telah menghentikan program senjata kimia dan biologi. Ini bukanlah kerana Amerika prihatin akan kebajikan orang lain, tetapi disebabkan pentadbiran Nixon bimbang monopoli Amerika terhadap senjata kimia tidak dapat dipertahankan. Amerika percaya bahawa mereka tidak lagi dapat mengawal mana-mana negara lain yang ingin memiliki senjata seperti ini. Senjata kimia jauh lebih murah dan lebih senang dibuat berbanding senjata nuklear. Dengan demikian, memang sukar bagi Amerika untuk mengekalkan monopoli mereka ke atas teknologi senjata kimia. Lanjutan dari keputusan Amerika terhadap senjata-senjata ini, Konvensyen Senjata Biologi (BWC) telah diluluskan pada 10hb April 1972, dan berkuat kuasa pada 26hb Mac 1975, manakala Konvensyen Senjata Kimia diluluskan pada 13hb Januari 1993 dan berkuat kuasa pada 29hb April 1997. Sama seperti perjanjian pengawalan senjata nuklear, perjanjian senjata kimia dan biologi memihak kepada Amerika. Majlis Keselamatan PBB boleh menyiasat tentang pengaduan, tetapi kuasa ini tidak pernah digunakan. Peraturan mengundi Majlis Keselamatan memberikan kepada China, Perancis, Rusia, United Kingdom dan Amerika kuasa veto ke atas keputusan Majlis Keselamatan, termasuk untuk menjalankan penyiasatan ke atas BWC. Pada bulan Julai 2002, Amerika telah menolak satu penguatkuasaan protokol perjanjian ini kerana bimbang keputusan itu akan merugikannya.
Barat dan Putar Belit Mereka
Bukanlah sesuatu yang baru apabila kita melihat negara-negara kapitalis memutar belitkan semua perkara bagi mencapai matlamat yang mereka kehendaki. Keuntungan duniawi sentiasa menjadi faktor utama dalam mengambil apa sahaja tindakan tanpa memikirkan kesannya ke atas orang lain. Firman Allah Subhanahu wa Taala,
“Dan sesungguhnya mereka ada yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia bukanlah dari kitab itu. Dan mereka pula berkata: ‘(Bahawa) ia adalah (datangnya) dari sisi Allah’, padahal ia bukanlah dari sisi Allah; dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka berdusta).” [TMQ Ali Imran, 3:78]
Selepas peristiwa 9/11, kita dapat melihat bagaimana Amerika dan sekutu-sekutunya yang lain mengheret rakyat di Afghanistan dan Iraq ke dalam kancah peperangan yang telah mengorbankan ribuan nyawa. Semuanya dilakukan atas nama keamanan dan kebebasan. Malah slogan ‘keamanan’, ‘keadilan’ dan ‘kebebasan’ telah digunakan di merata-rata tempat bagi menjustifikasikan tindakan-tindakan ketenteraan.
Menilai rentetan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku, mereka yang berfikir pasti dapat melihat bahawa slogan keamanan dan kebebasan sering dieksploitasi oleh negara-negara kapitalis dalam memenuhi kepentingan ekonomi dan politik negara masing-masing. Di manakah keikhlasan kuasa-kuasa barat dalam memperjuangkan kebebasan dan hak asasi rakyat di Afghanistan dan Iraq sedangkan pada masa yang sama mereka menyokong dan menaikkan rejim-rejim zalim seperti Islam Karimov di Uzbekistan, Idi Amin di Uganda serta Saddam Hussein dan rejimnya yang merupakan bekas haiwan peliharaan kesayangan Amerika Syarikat sewaktu era perang Iran-Iraq. Tindakan mereka memerangi kumpulan pengganas Al-Qaeda dan kumpulan-kumpulan pengganas yang lain dalam kempen peperangan anti-keganasan juga merupakan sesuatu yang amat melucukan. Sebagai satu contoh, sekitar tahun 1981 dan 1985, Amerika Syarikat sendiri, menerusi Agensi Perisikan Pusat (CIA) telah melatih dan membekalkan senjata serta dana kepada tentera puak pengganas Contra di Nicaragua yang telah membunuh seramai 3,346 kanak-kanak dan telah membunuh ibubapa kepada 6,236 orang kanak-kanak [Dianna Melrose, ‘Nicaragua: The Threat of a Good Example’, Oxfam, Oxford 1985, muka 26].
Kesimpulan
Sesungguhnya manusia yang waras akal fikirannya sentiasa menginginkan keamanan dan kesejahteraan hidup. Walaubagaimanapun, manusia juga dijadikan oleh Allah Subhanahu wa Taala dengan naluri mempertahankan diri (survival instinct). Pemuasan naluri ini dengan cara yang salah atau tanpa batasan akan menyebabkan berlakunya penindasan kepada insan yang lebih lemah. Secara semulajadi, yang kuat akan mengatasi yang lemah, yang bijak akan menguasai yang kurang bijak dan seterusnya.
Peperangan, perampasan hak, penjajahan dan sebagainya adalah manifestasi kepada naluri ini. Kebebasan dalam pemenuhan naluri ini akan menjadikan manusia sanggup untuk melakukan apa sahaja bagi mencapai matlamat hidupnya. Maka tidak hairanlah, Amerika yang mendokong ideologi kapitalisma sanggup menggunakan bom atom ke atas Nagasaki dan Hiroshima tanpa mengira nyawa dan penderitaan yang bakal dialami oleh penduduk kedua bandar itu. Amerika dan kuncu-kuncunya juga tanpa segan silu mengambil tindakan unilateral mengheret rakyat Iraq ke kancah peperangan hanya kerana minyak dan pengukuhan kuasa politik mereka di wilayah Asia Tengah.
Islam membekalkan manusia dengan sebuah ideologi lengkap yang mampu menyelesaikan kesemua permasalahan manusia yang wujud akibat dari manifestasi naluri-naluri manusia, termasuklah naluri mempertahankan diri. Syariah telah menetapkan bahawa tanggungjawab untuk menjaga nyawa, maruah dan keselamatan umat terletak di batu jemala Khilafah dan wajib dilaksanakan dalam konteks sebuah Daulah Islamiyyah. Dari Abu Hurairah radiallahuanhu, Rasulullah sallallahu alihi wasallam telah bersabda,
“Sesunggunya Imam (Khalifah) itu adalah merupakan perisai dimana kamu berjuang dengannya dan dilindungi olehnya.” [Hadith riwayat Muslim]
Dari segi keselamatan, ketenteraan dan peperangan, Jihad adalah tariqah yang digunakan oleh Daulah bagi merungkai rintangan dalam menyebarkan agama Allah ke seluruh dunia dan bukanlah bermatlamat untuk memusnahkan musuh dan merampas hak manusia yang lain. Daulah juga perlu memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin dengan mengupayakan segala yang termampu untuk melengkapkan tentera-tentera Islam dengan kelengkapan ketenteraan yang terbaik agar mampu menggerunkan musuh dan bukan hanya sekadar untuk tujuan pertahanan pasif semata-mata, sesuai dengan firmanNya,
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan apa sahaja kekuatan yang kamu sanggup dan dan kuda-kuda yang ditambat (siap sedia) untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh.” [TMQ Al Anfal, 8:60]
Wahai kaum muslimin yang mulia!!! Sesungguhnya budak si pengembala itu telah lama menipu kita dengan pembohongan yang amat nyata malah terbukti kepalsuannya. Adakah kita masih lagi mahu mempercayainya yang hanya memikirkan keuntungan duniawinya sendiri semata-mata?