SN037 – RAMADHAN DAN TANGGUNGJAWAB MENERAPKAN ISLAM SECARA KAFFAH
SN Keluaran 2005
[SN037] Bulan Ramadhan tiba lagi. Bulan yang penuh rahmat, keberkatan dan pengampunan. Di bulan inilah, diturunkanNya al-Quran ke langit dunia (Baitul Izzah) yang kemudiannya di turunkan ke dunia secara beransur-ansur selama 23 tahun. Bulan yang di dalamnya terdapat suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Di bulan ini syaitan-syaitan dibelenggu. Sesiapa sahaja yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan didasari keimanan dan hanya mengharapkan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala, ia akan bersih dari dosa sepertimana ia dilahirkan. Pada bulan ini juga, setiap pahala dilipatkaligandakan oleh Allah hingga tujuh ratus kali ganda, bahkan lebih dari itu. Bulan Ramadhan juga merupakan bulan sabar, bulan jihad, dan bulan kemenangan. Sejarah membuktikan kepada kita bahawa pada bulan Ramadhan inilah Allah Subhanahu wa Ta’ala memberikan pertolonganNya kepada kaum muslimin dengan kemenangan dalam pembebasan kota Mekkah (futuh Makkah), perang Badar dan berbagai kemenangan lain seperti penaklukan Andalusia (kini Sepanyol dan Portugis). Bukan itu sahaja, bulan Ramadhan juga merupakan bulan membaca al-Quran, bulan mengeluarkan zakat fitrah, bulan memakmurkan masjid, bulan taubat kepada Allah, bulan islah antara sesama kaum muslimin, bulan silaturrahim, menolong mereka yang memerlukan, bulan menjaga lisan dan perbuatan, bulan pembaharuan dan pengukuhan iman, serta bulan penyucian hati dan akal fikiran. Itulah bulan Ramadhan, bulan yang semua waktunya merupakan kemuliaan dan keutamaan.
Dalam kita menghayati keutamaan dan kemuliaan bulan Ramadhan ini, terdapat juga suatu perkara yang tidak kurang keutamaan dan keagungannya; perkara yang setiap kali kita dimuliakan Allah dalam melalui bulan Ramadhan, kita masih hidup tanpanya – iaitu kembalinya kaum muslimin menjadi umat yang satu (ummatan wahidah) ibarat satu tubuh, diterapkannya seluruh hukum Allah Subhanahu wa Ta’ala dan kaum muslimin berpegang teguh kepada al-Quran sebagai tali Allah Rabbul‘Alamin, serta memikul risalah Islam untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan jahiliyyah menuju cahaya Islam. Perkara ini, yang merupakan ibu kepada semua kefardhuan masih belum kelihatan. Dengan ketibaan Ramadhan ini, Sautun Nahdhah ingin mengungkap ruh kefardhuan ini agar kita, kaum muslimin, dalam menghayati keutamaan bulan yang mulia ini, akan memperteguhkan usaha untuk merealisasikan kefardhuan yang dianggap Imam Shafie sebagai ibu segala kefardhuan.
Membentuk Ketaqwaan
Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengaitkan puasa bulan Ramadhan dengan ketaqwaan, sepertimana firmanNya:
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” [TMQ al-Baqarah(2):183]
Berkaitan dengan hal ini Allah Subhanahu wa Ta’ala juga telah menegaskan di dalam firmanNya:
“Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, takut kepada Allah dan bertaqwa kepadaNya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan.” [TMQ An Nur(24): 52]
Berdasarkan hal ini, seperti yang dinyatakan oleh Imam Al Ghazali, dapat difahami bahawa dengan adanya ketaqwaan dalam diri setiap muslim, ia akan memiliki perasaan takut yang amat sangat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan oleh itu ia akan sedar bahawa hakikat hidupnya hanyalah untuk berbakti dan tunduk kepadaNya, serta membersihkan hati dan perbuatan dari segala dosa [Minhajul ‘Abidin].
Taqwa bukan setakat bersifat kesedaran dalaman namun, taqwa seharusnya ditunjukkan dengan hati, lisan dan perbuatan. Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan kita agar mengikuti seluruh ajaran yang dibawa oleh Rasul dan mencegah diri dari seluruh larangan yang disampaikan oleh Rasul. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Apa sahaja yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah; dan bertaqwalah kepada Allah….” [TMQ al-Hasyr(59): 7]
Oleh itu, taqwa merupakan ketaatan sepenuhnya kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan cara mengikuti setiap hukum dan aturanNya yang diwahyukan kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Berkaitan dengan persoalan ini, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. Tetapi, jika kamu tergelincir (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah, bahwasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” [TMQ al-Baqarah (2): 208 – 209]
Ibnu Katsir menjelaskan bahawa sebahagian orang-orang Yahudi yang masuk Islam menyangka bahawa keimanan mereka tidak terjejas sekalipun mereka masih mengimani sebahagian kandungan Kitab Taurat. Namun, Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan bahawa masuk ke dalam iman mengharuskan beriman kepada seluruh wahyu (yakni seluruh mabda’ atau ideologi Islam) yang telah diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Jika tidak, bererti ia telah mengikuti syaitan yang sebenarnya merupakan musuh yang nyata. Itulah yang menjadi asbabun nuzul surah al Baqarah[2]: 208-209. Ibnu Katsir menerangkan lagi tentang ayat ini dengan menyatakan bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan kepada kaum beriman yang meyakini kebenaran Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam untuk mengambil seluruh ajaran Islam dan syari’atnya, melakukan semua perintahNya dan meninggalkan apa pun yang Dia larang’. [Tafsirul Qur‘anil ‘Azhim]. Jelas, bulan Ramadhan merupakan masa yang terbaik bagi umat Islam samada secara individu mahupun kolektif untuk menjadi orang-orang yang melakukan ketaatan penuh kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan menjalankan hanya hukum dan aturan-aturanNya. Ramadhan membentuk mukmin yang taat sepenuhnya kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam, serta bersedia untuk menjalankan Islam secara kaffah baik dalam hal ‘aqidah mahupun hukum-hukum lainnya (ibadah, makanan, minuman, pakaian, sosial, politik, ekonomi dan budaya) seperti yang telah disebutkan. Mereka bersedia untuk mengikuti wahyu Allah Subhanahu wa Ta’ala yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menurunkan wahyu berupa al-Quran dan inilah sumber hukum yang wajib dijadikan pemimpin dan panduan kehidupan orang-orang yang beriman.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala :
“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu (bayyinat) dan pembeda / furqan (antara haq dengan bathil”
[TMQ al-Baqarah (2): 185]
Ayat ini menjelaskan bahwa Al Quran diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala Maha Pengasih sebagai petunjuk bagi manusia yang mengimaninya, merupakan hujah-hujah yang jelas bagi mereka yang memahaminya. Ia bersih dari kebathilan dan kesesatan. Ia juga merupakan pembeza antara haq dengan bathil, halal dengan haram. [Tafsirul Quranil ‘Azhim]. Seperti yang telah difahami, al-Quran bukanlah merupakan sekumpulan pengetahuan, sebaliknya ia merupakan petunjuk hidup. Al-Quran tidak sekadar dibaca dan difahami tetapi harus diamalkan dalam kehidupan seharian. Bahkan, Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam dalam berbagai hadisnya menegaskan bahawa siapapun yang berpegang pada al-Quran dan as-Sunnah tidak akan tersesat selama-lamanya. “Kami mendengar dan kami patuh!”- itulah prinsip yang menjadi pegangan. Alangkah ruginya orang-orang yang memahami al-Quran tetapi tidak mahu mengamalkannya. Orang seperti ini adalah umpama sepohon pokok yang tidak berbuah. Di dalam al-Quran, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberikan sebuah perumpamaan sebagai pengajaran. FirmanNya:
“Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tiada memikulnya (tidak mengamalkan isinya) adalah seperti keledai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amat buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan aya- ayat Allah itu. Dan Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.” [TMQ al-Juma’ah (62):5]
Sesungguhnya orang-orang terdahulu yang diberikan Taurat tetapi mereka tidak menerapkannya disamakan dengan keldai, binatang yang suaranya adalah yang paling hodoh. Sekalipun ayat ini menjelaskan tentang kaum Yahudi yang diberi Taurat, namun dari pernyataan, ‘Amat buruk perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu’, dapat difahami bahawa ia juga merujuk kepada siapa sahaja yang mempunyai wahyu tetapi tidak melaksanakannya. Tidak dapat dibayangkan, apabila ada orang yang mengatakan kepada kita “Anda ini seperti keldai!”, tidakkah kita tersinggung? Apa perasaan kita? Apatah lagi sekiranya yang menyatakan perumpamaan itu adalah Allah Subhanahu wa Ta’ala yang kita harapkan keredhaanNya! Orang yang beriman, bertaqwa dan rindu akan redha Allah Subhanahu wa Ta’ala sudah pasti akan menitiskan air mata apabila disebut sebegitu oleh Dzat yang diharapkan pengampunan dariNya.
Oleh itu, jelaslah, bahawa pada bulan Ramadhan, Allah Subhanahu wa Ta’ala bukan sekadar memerintahkan kewajiban berpuasa dan bertaqwa, tetapi juga menurunkan al-Quran sebagai sumber aturan untuk mencapai ketaqwaan tersebut.
Hubungan taqwa dengan Al-Quran
Bulan Ramadhan dianggap sebagai bulan taqwa dan bulan pada dimana turunnya al-Quran yang menjadi petunjuk bagi mereka yang bertaqwa. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala :
“Alif laam miim. Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.”
[TMQ al-Baqarah (2):1-2]
Dalam ayat lain, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Dan al-Quran itu adalah kitab yang Kami turunkan, yang diberkati, maka ikutilah ia dan bertaqwalah agar kamu diberi rahmat.” [TMQ al-An’aam (6):115]
Ayat ini menjelaskan, betapa mereka yang bertaqwa akan sentiasa mengikuti apa sahaja yang diwahyukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam al-Quran mahupun as Sunnah yang juga diperintahkan untuk diikuti. Ringkasnya, Ramadhan merupakan pencetus dan momentum pembentukkan manusia taqwa yang akan melaksanakan Islam secara kaffah. Ramadhan, sebagai pencetus momentum ini merupakan bulan yang diturunkanNya al-Quran – yang berisi berbagai bentuk penyelesaian bagi permasalahan manusia dan di dalamnya juga terdapat sumber aturan bagaimana untuk menegakkan Islam secara kaffah. Dengan kata lain, bulan Ramadhan yang mulia ini sewajarnya dijadikan aspirasi dan momentum yang akan menggoncangkan jiwa kaum muslimin dalam mengusahakan penerapan Islam secara kaffah di bawah naungan Al Khilafah.
Renungan
Setiap tahun Ramadhan datang. Dan tahun ini Ramadhan sekai lagi menemui umat Islam. Sejak British dan sekutunya menghancurkan Daulah Khilafah pada 3hb Mac 1924 yang lalu, sudah 81 tahun kaum muslimin tidak memiliki pemimpin yang dapat menyatukan dan memimpin umat. Ertinya, sudah 81 kali Ramadhan tiba dan kaum muslimin hidup bukan di atas syariat Islam, terkerat-kerat menjadi lebih 50 buah serpihan negara-negara kecil; ukhuwwah Islamiyah terus menerus berada di dalam keadaan yang sangat tipis, terjajah dan dihina oleh imperialis kafir. Sementara itu, para penguasa di negeri kaum muslimin masih kuat ketaatannya kepada negara-negara kafir Barat imperialis. Pemikiran, perasaan dan sistem hidup kaum muslimin diambil bulat-bulat dari rujukan yang bukan berlandaskan Islam. Ketika al-Quran diabaikan, pandangan Mills, Montesquieu, Rousseau, Hegel, Plato, Aristotle dan filosof-filosof kafir lainnya dianggap lebih hebat, terkini dan sesuai dengan zaman berbanding daripada ajaran al-Quran. Disatu sisi yang lain, mereka yang inginkan kehidupan Islam secara kaffah mendapat banyak tentangan. Ramai di kalangan mereka yang dihumban ke penjara oleh penguasa muslimin hanya kerana mereka memperjuangkan Islam. Pada masa yang sama, Iraq, Palestina dan tanah kaum muslimin yang lainnya masih terus diserang dan dicengkam oleh tentera kafirin. Bahkan di negeri-negeri majoriti muslim pun, kaum kafir bermaharajalela!.
Bulan ini juga adalah bulan al-Quran, bulan membaca, mengkaji, menghayati, merenungi, dan mengamalkan al-Quran. Oleh itu, memang sepatutnyalah umat Islam merenungkan ayat-ayat al-Quran.
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah” [TMQ Imran (3):110]
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu sehinggalah kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: ‘Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)’. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu” [TMQ al Baqarah (2):120]
“Barangsiapa mencari agama selain agama Islam sebagai deen (ideologi, sistem hidup), maka sekali-kali tidaklah akan diterima (deen itu) daripadanya dan dia di akhirat termasuk orang yang rugi.”
[TMQ Ali Imran (3):85]
“…pada hari ini telah Ku-sempurnakan untuk kamu deenmu dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Ku-redhai Islam itu jadi deen bagimu….” [TMQ al-Maidah (5):3]
“….Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka
mereka itu adalah orang-orang kafir” [TMQ al-Maidah (5):44]
“….Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang zalim” [TMQ al-Maidah (5):45]
“….Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka
mereka itu adalah orang-orang fasik” [TMQ al-Maidah (5):47]
“Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Maidah (5) : 50]
Dari ayat-ayat di atas jelaslah kepada kita bahawa, kita diperintahkan untuk menyelesaikan berbagai persoalan hidup hanya dengan Islam secara kaffah. Jika Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam telah berjaya membangkitkan bangsa yang buta huruf menjadi umat peneraju dunia melalui al-Qur’an, bilakah kita pula dapat mengembalikan kegemilangan ini?
Wallahu muwaffiq ila aqwamit thariiq!