SN067 – KELAKUAN LUCAH – Apakah Asas Ukurannya?

PDF

SN Keluaran 2006


logo SN




[SN067] Umat Islam di Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan satu isu yang menyentuh emosi mereka apabila baru-baru ini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting mengeluarkan kenyataan melarang pihak berkuasa tempatan (PBT) menghantar pegawai penguatkuasa untuk mengintip pasangan yang berdua-duaan di taman rekreasi. Katanya, ini adalah kerana PBT hanya boleh menghantar pegawai penguatkuasa setelah menerima aduan daripada orang awam mengenai kelakuan sumbang pasangan di tempat tersebut. “Tindakan menghantar penguatkuasa untuk mengambil tindakan (hanya boleh dilakukan) setelah aduan diterima mengenai pasangan yang melakukan aksi melampau seperti berbogel atau melakukan aktiviti seks”. “Saya menegaskan, tindakan tidak boleh diambil terhadap pasangan yang hanya berpegangan tangan”, tambahnya lagi. Sehubungan itu, Datuk Seri Ong Ka Ting mengarahkan semua Yang Dipertua Majlis Perbandaran memaklumkan kepada pegawai penguatkuasa supaya tidak mengintip pasangan yang berdua-duaan di taman-taman rekreasi. Beliau memberitahu, ini adalah selaras dengan keputusan Kabinet dan Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) yang mahu definisi berkelakuan lucah dan sumbang diguna pakai secara seragam oleh semua PBT untuk mengelakkannya disalah tafsir. [UM 17/04/06].

Isu ini dilihat timbul dari tindakan Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh mendakwa dua pelajar sebuah universiti iaitu Ooi Kean Thong, 25, dan Siow Ai Wei, 23, di atas tuduhan berkelakuan tidak sopan di taman awam pada 2 Ogos 2003 yang lalu. Apabila kenyataan dari Datuk Seri Ong Ka Ting ini timbul maka banyaklah pihak termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) khususnya yang beragama Islam menyuarakan pandangan mereka terhadap kenyataan tersebut. Apa yang jelas dari komen-komen yang diberikan adalah, wujud perbezaan pendapat dalam menentukan apa yang dimaksudkan dengan ‘kurang sopan’ meskipun secara umumnya, pendapat-pendapat ini memanifestasikan perasaan Islami yang ada pada masyarakat Muslim Malaysia. Minggu ini, Sautun Nahdhah akan membincangkan isu yang amat penting ini – apakah yang seharusnya menjadi asas dalam menentukan apa yang dianggap ‘lucah’ atau ‘kurang sopan’.

BAIK, BURUK, TERPUJI DAN TERCELA.

Penilaian sesuatu perbuatan itu samada ianya lucah ataupun tidak adalah terkait rapat dengan status perbuatan tersebut. Bagi kita umat Islam, sebenarnya, persoalan baik atau buruk, terpuji atau tercelanya sesuatu perbuatan itu perlulah dikembalikan kepada hukum syara’ semata-mata. Apabila kita membenarkan aqal manusia untuk menentukan status dan hukum sesuatu perbuatan, samada ianya baik ataupun buruk maka sudah tentulah akan timbul perselisihan, pertentangan dan perbedaan pendapat yang acapkali dipengaruhi oleh keadaan, masa dan ruang tertentu. Inilah hakikat aqal manusia yang diciptakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sebagai contoh, lebih 40 tahun yang lalu, di Barat, perbuatan homoseksual adalah perbuatan yang dikira salah dari segi undang-undang tetapi kini tidak lagi. Malah negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom telah mewartakan undang-undang yang mengiktiraf perkongsian hidup pasangan sejenis ini sebagai ‘perkongsian sivil’ di mana hak dan kelebihan yang dinikmati di bawahnya adalah serupa dengan perkahwinan biasa.

Majoriti manusia pada hari ini menjalankan kehidupan mereka dengan melakukan tindakan tanpa matlamat yang jelas. Mereka melakukan sesuatu perbuatan tanpa ukuran (miqiyas) tertentu. Akibatnya mereka melabelkan sesuatu yang mereka suka sebagai baik dan sesuatu yang mereka tidak suka sebagai buruk. Seterusnya, apa-apa yang menghasilkan faedah dilabelkan sebagai baik dan apa-apa yang mendatangkan kemudharatan diistilahkan sebagai buruk. Orang-orang kafir menafsirkan baik dan buruk dalam istilah keseronokan dan penderitaan yang mereka alami. Yang menyedihkan adalah, oleh kerana ramai orang Islam tidak sedar akan ukuran (miqiyas) yang betul untuk sesuatu tindakan, mereka juga telah melakukan kesilapan yang sama. Akibatnya, mereka melakukan tindakan yang buruk dengan memikirkannya sebagai baik dan meninggalkan perbuatan baik dengan memikirkannya sebagai buruk. Sebagai contoh, ramai wanita Islam yang menyanyi di hadapan khalayak ramai dalam keadaan tidak menutup auratnya dengan betul (seperti memakai baju kebaya atau baju kurung) dan memperlihatkan kejelitaannya, berkeyakinan bahawa dia telah berpakaian secara sopan. Namun hakikatnya (mengikut pandangan syara’), wanita tersebut telah melakukan dosa kerana memperlihatkan aurat dan kejelitaannya kepada orang yang bukan mahramnya.

Wanita Islam ini melakukan perkara tersebut kerana ia tidak mengambil ukuran (miqiyas) yang betul dalam menilai tindakannya. Sekiranya beliau sedar dan memahami ukuran hakiki dalam melakukan sesuatu perbuatan, sudah tentu ia tidak akan melakuan perbuatan yang bertentangan dengan prinsip yang telah beliau isytiharkan (syahadahkan) dan aqidah yang telah diyakini kebenarannya (Islam). Oleh yang demikian, miqiyas yang betul bagi setiap perbuatan haruslah difahami oleh setiap individu supaya masing-masing dapat menilai sesuatu tindakan secara hakiki sebelum melakukannya. Islam sebagai ideologi lengkap yang diturunkan Allah kepada umat manusia adalah satu-satunya asas yang wajib dijadikan miqiyas dalam membezakan antara yang baik dan yang buruk secara jelas. Oleh yang demikian, apa-apa yang dinilai oleh syara’ sebagai baik adalah baik dan apa-apa yang dinilai sebagai buruk adalah buruk secara hakiki. Miqiyas ini adalah suatu yang bersifat tetap/baku. Justru itu, untuk menilai perbuatan seseorang, kita mestilah menghubungkannya kepada apa yang dibenarkan dan apa yang dilarang oleh syara’. Penilaian terhadap perbuatan yang baik (khair), buruk (sharr), terpuji (hassan) dan tercela (qabih) tidak boleh disandarkan kepada aqal manusia. Bahkan, manusia bergantung keseluruhannya dalam hal ini kepada wahyu.

“…boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah Subhanahu wa Ta’ala maha mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” [TMQ Al-Baqarah : 216].

Wahai umat Islam ! Sesungguhnya nilai sesuatu perbuatan itu haruslah dikembalikan kepada hukum syara’. Hanya Allahlah yang berhak menentukan kriteria baik atau buruk, serta kriteria terpuji atau tercela bagi setiap perbuatan manusia. Dialah Al-Hâkim yang memutuskan semua itu. Kembalilah kepada Islam dalam menentukan nilai setiap perbuatan yang kita lakukan di dalam kehidupan kita. Cukuplah bagi kita mengambil hanya apa yang datang dari Tuhan yang menciptakan kita. Janganlah kita menjadikan nafsu kita sebagai ukuran dalam menentukan kriteria-kriteria tersebut. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah. Dia menerangkan mana yang benar dan Dialah Pemberi keputusan yang paling baik. [TMQ al-An‘am 57].

Apabila Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasul Sallallahu ’alaihi wa Sallam telah menetapkan sesuatu perbuatan itu sebagai baik (khair) atau buruk (syarr), terpuji (hassan) atau tercela (qabih) maka itulah setepat-tepat penilaian.

MAKSIAT WAJIB DICEGAH.

Islam memandang masyarakat sebagai kumpulan individu yang memiliki pemikiran dan perasaan yang sama, serta interaksi di antara mereka diatur oleh suatu aturan (nizhâm) yang tertentu . Kehidupan bermasyarakat di dalam Islam adalah diumpamakan seperti penumpang yang berada di dalam sebuah kapal. Ini digambarkan oleh Rasulullah Sallallahu ’alaihi wa Sallam dalam hadithnya.

Perumpamaan orang-orang yang mencegah berbuat maksiat dan yang melarangnya adalah seperti kaum yang menumpang kapal; sebahagian dari mereka berada di bahagian atas dan yang lain berada di bawah. Jika orang-orang yang berada di bawah memerlukan air, mereka mestilah melalui orang-orang yang berada di bahagian atasnya. Lalu mereka berkata andai sahaja kami lubangi kapal pada bahagian kami tentu kami tidak akan menyakiti orang-orang yang berada di atas kami tetapi jika yang demikian dibiarkan oleh orang-orang yang berada di atas (pada hal mereka tidak menghendaki) maka binasalah seluruhnya dan jika dikehendaki dari tangan mereka keselamatan maka akan selamatlah semuanya” [HR Bukhari].

Inilah gambaran yang diberikan oleh Rasulullah berkenaan dengan tanggunggjawab umat Islam untuk melaksanakan kewajiban amar ma’ruf dan nahi mungkar samada secara individu, masyarakat dan negara. Sekiranya kewajiban ini tidak dilakukan atau diabaikan maka sudah barang pasti akan berlaku kerosakan di dalam struktur kehidupan bermasyarakat sepertimana yang berlaku pada hari ini. Kerosakan ini dapat kita saksikan dalam berbagai aspek kehidupan hari ini – sosial, ekonomi, pendidikan dan lain-lain.

Seperti yang telah diperjelaskan, nilai sesuatu perbuatan itu ditentukan oleh hukum syara’. Oleh yang demikian, di dalam konteks hukum Islam, perbuatan dua pelajar bukan Islam (Ooi Kean Thong, 25, dan Siow Ai Wei, 23) berpeluk dan bercium di Taman KLCC pada 2 Ogos 2003 yang lepas tetap dianggap salah walaupun peguam bela kedua-duanya mempertahankan tindakan anak guamannya [UM 05/04/06]. Dalam persoalan ini isunya bukanlah cinta ataupun kebebasan hidup. Bukan juga isu hak individu atau hak asasi manusia mengikut pandangan aqal manusia. Apa yang menjadi persoalan adalah hukum syara’ yang wajib diterapkan oleh negara. Di dalam Islam, seseorang kafir yang menjadi warga negara Daulah (kafir zimmi) perlu terikat dengan peraturan Daulah dalam hal-hal yang telah ditetapkan oleh negara kecuali dalam masalah aqidah dan ibadah. Justeru itu mana-mana tindakan yang boleh merosakkan kepentingan masyarakat sudah pasti akan dihalang oleh pihak pemerintah yang bertanggungjawab secara penuh untuk menjaga urusan umat ini. Oleh yang demikian, tidaklah wajar bagi pihak pemerintah untuk hanya mengambil tindakan setelah insiden perbuatan yang melampau berlaku kerana keharaman perbuatan tersebut amatlah jelas. Tindakan yang bersifat pencegahan haruslah diambil. Islam tidak mengenal kebebasan bertingkahlaku secara mutlak seperti yang dilaungkan oleh Barat, yang berarti bahwa setiap orang bebas untuk melepaskan diri dari segala macam ikatan dan dari setiap nilai keruhanian, akhlak dan kemanusiaan. Dengan kata lain, bebas bertingkahlaku, termasuk melakukan kemaksiatan. Kebebasan ini menetapkan bahawa setiap orang dalam tingkahlakunya dan kehidupan peribadinya berhak untuk berbuat apa saja yang sesuai dengan kehendaknya, sebebas-bebasnya, tanpa boleh ada larangan, baik dari negara atau pihak lain terhadap perilaku yang disukainya.

Pandangan seperti ini amatlah berbeza dengan Islam. Dalam konteks zina, misalnya, Allah berfirman: “Janganlah kamu mendekati zina” [TMQ al-Isra 32]

Allah Subhanahu wa Ta’ala juga berfirman:

“Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat” [TMQ An-Nûr 2]

Oleh yang demikian, idea kebebasan dengan konotasi kebebasan mutlak tanpa batas bagi setiap individu adalah bertentangan dengan hukum-hukum Islam; seluruhnya merupakan idea-idea, peradaban, peraturan, dan undang-undang kufur. Islam hanya mengenal hukum syara’ dalam menetapkan status dan hukum sesuatu perbuatan.

Persoalan hubungan di antara lelaki dan wanita di dalam kehidupan bermasyarakat adalah menyentuh persoalan sistem sosial di dalam Islam, yang mana Islam sebagai suatu mabda/ideologi yang sempurna telah secara jelas mengatur hubungan ini berdasarkan kepada tuntutan syara’. Islam telah menentukan hukum-hukum yang bersifat praktikal dan khusus untuk sistem pergaulan/interaksi (an-nizhâm al-ijtimâ’i). Sistem interaksi/ pergaulan adalah sistem yang mengatur interaksi/pergaulan lelaki dan wanita serta mengatur hubungan yang timbul sebagai akibat dari interaksi/pergaulan yang terjadi, termasuk segala sesuatu yang terkait dengan hubungan tersebut.

Sistem interaksi ini mengatur berbagai hubungan antara lelaki dan wanita dan berbagai implikasi yang muncul dari interaksi tersebut. Sebagai contoh, di bawah adalah beberapa ketetapan yang wujud di dalam sistem ini.

1. Islam telah memerintahkan kepada manusia, baik lelaki dan wanita untuk menundukkan pandangan [an-Nur [24]: 30-31].

2. Islam memerintahkan kepada wanita untuk mengenakan pakaian secara sempurna, tudung dan jilbab, iaitu pakaian yang menutup seluruh tubuhnya, kecuali wajah dan kedua telapak tangannya [an Nur [24]: 31] dan [al-Ahzab [33]: 59].

3. Rasulullah bersabda (yang artinya): Tidak dibolehkan seorang wanita yang beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan hari akhirat untuk melakukan perjalanan selama sehari semalam, kecuali jika disertai mahramnya. [HR. Bukhari dan Muslim].

4. Rasulullah juga bersabda (yang artinya): Tidak diperbolehkan seorang lelaki dan seorang wanita berkhalwat, kecuali jika wanita itu disertai mahramnya [HR. Muslim].

5. Islam melarang wanita untuk keluar rumahnya kecuali dengan izin suaminya.

6. Islam sangat menjaga agar dalam kehidupan khusus hendaknya jamaah (komuniti) kaum wanita terpisah dari jamaah (komuniti) kaum lelaki; begitu juga di tempat umum, seperti masjid, pasar, dan lainnya.

7. Islam sangat menjaga agar hubugan kerjasama antara lelaki dan wanita hendaknya bersifat umum dalam masalah muamalah; bukan hubungan yang bersifat khusus seperti saling mengunjungi antara wanita dengan lelaki yang bukan mahramnya atau berjalan-jalan bersama.

Dalam sebuah pemerintahan Islam yang hakiki (Daulah Islam/Khilafah), Khalifah memiliki peranan yang jelas dalam menerapkan seluruh hukum yang berkaitan dengan sistem pergaulan lelaki dan wanita. Ini dibangunkan dengan:

1. Sikap tegas pemerintah yang tidak pandang bulu dalam menegakkan hukuman ke atas perbuatan perlanggaran hukum yang didahului dengan tindakan pencegahan (berupa pendidikan dan amar ma’ruf nahi mungkar). (Lihat, misalnya, surah an-Nur [24]: 2).

2. Seluruh hukuman di dalam Islam wajib diterapkan oleh negara sehingga hukum tentang pergaulan ini menjadi satu bahagian yang sepadu dengan sistem hukuman yang berlaku. Perlaksanaan hukuman Islam ini akan mewujudkan dua fungsi: (a) jawabir (penebus dosa di akhirat); (b) zawajir (pencegahan bagi orang lain untuk berbuat yang serupa). Ini tidak kita dapati di dalam sistem hukuman kapitalisme-sekular seperti yang wujud pada hari ini.

Wahai Kaum Muslimin!

Sejarah kegemilangan Islam telah membuktikan kepada kita bahawa penerapan Islam secara kaffah (termasuk sistem pergaulan di dalam Islam) secara berindividu, bermasyarakat dan bernegara [al-Baqarah:208] telah berjaya melahirkan individu-individu/tokoh-tokoh yang mempunyai syakhsiah Islamiyyah yang cukup unggul walaupun sebelum itu mereka merupakan individu yang kufur kepada Allah. Mereka menjadi hebat kerana mereka berpegang teguh kepada Islam dan menjaga penerapannya. Namun hari ini, dengan dominasi sistem kapitalisme ke atas kita, ’hero-hero’ yang dilahirkan hanyalah ’hero-hero’ yang masyhur dengan kemaksiatan dan kelalaian.. Oleh itu, tidak hairanlah apabila laporan dari kajian yang dilakukan oleh Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) dan Jemaah Islah Malaysia (JIM) mencatatkan jumlah anak luar nikah di Malaysia sebanyak 68,000 di sepanjang tahun 2005 dan kebanyakannya terdiri dari umat Islam [KOSMO 19/04/06]. Wahai umat Islam yang dirahmati Allah, sesungguhnya hanya dengan menegakkan Daulah Khilafahlah hukum Islam yang suci akan dapat dilaksanakan secara sepenuhnya. Definisi yang jelas, membezakan apa yang baik dan buruk dapat di realisasikan melalui penerapan Islam yang kaffah ini. Dan dengannyalah kehidupan mulia yang diredhai Allah dapat dikembalikan secara hakiki. wallahua’lam