SN077 – MAHATHIR VS PAK LAH – Ikuti Penyelesaian Islam
SN Keluaran 2006
[SN077] Pada 13hb April 2006 kerajaan telah membatalkan projek pembinaan jambatan ‘indah’ untuk menggantikan tambak Johor. Kontraktor yang dilantik, Gerbang Perdana Sdn Bhd (GPSB), diarah memberhentikan kerja-kerja pembinaan yang telah dimulakan sejak awal tahun. YAB Perdana Menteri dalam kenyataan akhbar menyatakan “Keputusan kerajaan telah dibuat selepas mengambilkira suara dan sentimen rakyat Malaysia secara keseluruhannya terutama berkenaan pembekalan pasir dan ruang udara”. Peristiwa ini mendapat berbagai reaksi di kalangan rakyat Malaysia; ada yang menyokong dan ada yang membangkang. Tengku Razaleigh Hamzah dalam reaksinya kepada Malaysia Today mengatakan – “Memalukan!”. Baginya, persoalan ini membabitkan maruah dan kedibiliti sesebuah negara. Beliau mempersoalkan bagaimana keputusan boleh dibuat bagi meluluskan projek tanpa mengambilkira soal perundangan. Keputusan ini juga dikatakan akan merugikan rakyat kerana kerajaan terpaksa membayar gantirugi yang cukup besar kepada kontraktor.
Perkembangan ini menyebabkan Tun Dr. Mahathir memberikan reaksi beliau yang panjang lebar dalam surat terbukanya bertarikh 25hb April 2006. Beliau menyanggah alasan kerajaan dengan mengatakan bahawa ianya telah disalahertikan secara sengaja. Beliau juga mengatakan bahawa Singapura memang pandai berdolak-dalik (merujuk kepada Lee Kuan Yew) dalam rundingan sedangkan persetujuan telah dibuat antara beliau dengan PM Singapura, Goh Chok Tong. Bagi menguatkan ketidaksetujuan beliau, Dr. Mahathir juga menyertakan fakta-fakta yang menyimpulkan bahawa Kerajaan Malaysia telah gagal mempertahankan kedaulatan negara dan menyebabkan kerugian berbilion ringgit wang rakyat .
Sebagaimana kita tahu, di antara punca ‘krisis’ antara Mahathir dan Pak Lah ini adalah disebabkan oleh beberapa dasar yang telah ditetapkan oleh PM lama, kini telah ’dirombak’ oleh PM baru. Melihat kepincangan beberapa dasar baru yang ditetapkan, maka ’melentinglah’ bekas orang nombor satu negara ini, dan sehingga sekarang masih belum reda, malah dilihat semakin parah. Sautun Nahdhah kali ini bukanlah bertujuan untuk mengulas isu-isu/pertikian di atas tetapi ingin membawa kaum Muslimin sekalian melihat bagaimanakah Islam menyelesaikan masalah sebegini. Kami juga membawakan pedoman yang telah ditunjukkan oleh para Khulafa-ur-rashidun semasa mereka menaungi Daulah Khilafah satu masa dulu. Semoga para pemimpin sekarang dibukakan hati oleh Allah untuk mengikuti ’bintang-bintang’ ini dan seterusnya mengambil petunjuk Allah di dalam pemerintahan mereka.
Perubahan Kepimpinan Di Dalam Islam
Merujuk kepada Sistem Pemerintahan Islam yang telah ditegakkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dan diwarisi serta diteruskan oleh para sahabat baginda, kita dapati bahawa Sistem Pemerintahan Islam tegak di atas empat prinsip iaitu,
(1) As-siyadah li asy-syar’i (Kedaulatan milik syara’) : Maksudnya, segala perkara yang hendak dilakukan hendaklah mengikut hukum syara’. Dalam konteks pemerintahan, undang-undang yang diterapkan hendaklah undang-undang Islam.
(2) As-sulthah li al-ummah (Kekuasaan milik umat) : Maksudnya hak untuk melantik seseorang pemimpin (khalifah) adalah di tangan umat yang dilakukan melalui proses bai’at. Tidak sah naiknya seorang pemimpin jika tidak melalui proses ini.
(3) Mengangkat seorang Khalifah hukumnya fardhu bagi seluruh kaum Muslimin : Maksudnya wajib mengangkat hanya seorang pemimpin (khalifah) bagi umat Islam seluruh dunia dan haram bagi kaum Muslimin mempunyai lebih dari seorang pemimpin (khalifah). Rasulullah bersabda
”Jika dibaiat dua orang khalifah, maka bunuhlah yang terakhir” [HR Muslim]
(4) Hanya Khalifah yang berhak melakukan tabanni (adopsi/terima pakai) hukum-hukum syara’ : Maksudnya di atas khalifahlah hak untuk mentabanni hukum mengikut ijtihadnya sendiri atau ijtihad-ijtihad mujtahid lain yang ingin ditabanninya. Dia juga berhak membuat undang-undang dasar (Perlembagaan) dan semua undang-undang lain di dalam mengatur (ri’ayah) Daulah.
Prinsip yang ke-4 di atas sebenarnya menyentuh tetang perubahan kepimpinan. Di dalam sejarah pemerintahan Islam kita menyaksikan bahawa pemimpin datang dan pergi, tetapi Sistem Islam tidak pernah diubah atas alasan apa sekalipun. Allah telah menyempurnakan agama ini sehingga tidak perlu ada tambahan dari manusia untuk melengkapkannya. Walaupun telah berlaku ratusan pertukaran pemimpin (khalifah) di dalam Islam, tidak seorang pun dari mereka merubah undang-undang Allah. Mereka memerintah berdasarkan kitabullah dan Sunnah RasulNya. Setiap kali berlaku perubahan kepimpinan, para khulafa-ur-rashidun mentabbani hukum mengikut ijtihad mereka. Bagi yang diperintah (rakyat) pula, mereka memahami bahawa mereka perlu taat kepada apa sahaja hukum yang ditabanni oleh khalifah, walaupun bertentangan dengan pendapat/ijtihad mereka. Selagi yang ditabanni adalah hukum syara’, maka tidak perlu ada yang menentangnya.
Semasa Saidina Abu Bakar menjadi Khalifah, beliau telah mentabanni hukum talak dengan menetapkan bahawa apabila seorang suami menjatuhkan talak tiga (pada perceraian pertama) ke atas isterinya, maka yang dikira hanyalah talak satu, bukannya tiga. Tetapi semasa Saidina Umar menjadi Khalifah, ia mentabanni hukum yang lain berkenaan talak, iaitu jika seorang suami menjatuhkan talak tiga (pada perceraian pertama) maka jatuhlah talak tiga. Inilah dua pendapat yang berbeza yang diterapkan di sepanjang pemerintahan masing-masing. Hal ini tidak menjadi masalah kerana semua sahabat adalah mujtahid dan sebagai khalifah, mereka berhak mentabanni hukum mengikut ijtihad masing-masing. Semua pendapat mereka adalah Islami dan bertepatan dengan hukum syara’.
Dalam isu pembahagian harta rampasan perang (ghanimah) pula, Saidina Abu Bakar ketika beliau menjadi Khalifah, membahagi ghanimah secara sama rata di kalangan muharribun (mereka yang menyertai perang). Hal ini sama seperti yang dilakukan di zaman Rasulullah. Tetapi ketika zaman kekhilafahan Saidina Umar, ghanimah tidak diberikan sama rata. Umar memberi bahagian yang lebih banyak kepada sahabat-sahabat yang masuk Islam lebih awal berbanding mereka yang kemudian memeluk Islam. Walaupun hukum yang ditabanni berbeza di kalangan para khulafa’, tetapi tidak ada seorang pun dari mereka yang menentang perkara ini. Masing-masing memahami bahawa apa yang ditabanni adalah hukum syara’. Oleh yang demikian hal ini telah menjadi Ijma’ Sahabat (kesepakatan para sahabat berkenaan suatu hukum) iaitu salah satu sumber hukum di dalam Islam.
Dalam hal ini, Ijma Sahabat menjadi nas kepada kita tentang dua perkara, pertama, mentabanni hukum syara’ dalah hak khalifah dan kedua, wajib ke atas seluruh rakyat untuk mentaatinya. Dari sini, para ulama telah mengeluarkan dua qaidah syara’ yang masyhur iaitu, “Amru al imam yarfa’u al khilaf” yang bermaksud perintah Imam (Khalifah) menghilangkan perbezaan pendapat dan “Amru al imam naafidzun” yang bermaksud perintah imam wajib dilaksanakan.
Khalifah juga mempunyai hak untuk mentabanni ijtihad orang lain. Mereka dibolehkan untuk tidak mengubah polisi Daulah sebagaimana yang telah ditetapkan atau ditabanni oleh khalifah sebelumnya. Hal seperti ini pernah berlaku di zaman pemerintahan Saidina Uthman ibn Al-Affan dimana semasa beliau menerima bai’at dari Abdurrahman bin ’Auf setelah kewafatan Umar, beliau telah bersetuju untuk meneruskan polisi pemerintahan sebagaimana yang telah dijalankan oleh Umar.
Demikianlah penyelesaian bagi perselisihan pendapat yang melibatkan hukum syara’ di mana Khalifah berhak mentabanni hukum untuk diterapkan bersesuaian dengan ijtihadnya sendiri atau ijtihad orang lain. Namun begitu, jika sesuatu perkara itu bukan melibatkan hukum syara’ maka ia akan diletakkan di bawah perkara yang memerlukan kepakaran atau pendapat ramai. Ini termasuk isu-isu teknikal dan strategi yang bersifat mubah.
Muhasabah Ke Atas Pemerintah Adalah Kewajipan Yang Utama
Salah satu keindahan di dalam Islam adalah adanya konsep muhasabah. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberikan hak kepada setiap individu muslim mahupun jemaah/gerakan untuk melakukan muhasabah ke atas saudaranya. Dalam konteks ini, muhasabah ke atas pemerintah adalah jauh lebih utama berbanding ke atas individu atau jemaah. Ini adalah kerana pemerintah adalah orang yang diamanahkan oleh Allah untuk menerapkan hukumNya sekaligus menjaga kemaslahatan semua warganegara. Oleh kerana pemerintah adalah orang yang ditugaskan menjaga hak Allah dan juga hak umat, maka sedikit sahaja penyimpangan oleh pemerintah bermaksud ia telah melakukan maksiat/dosa dan pada masa yang sama akan menjejaskan seluruh warganegara. Ini adalah berbeza dengan maksiat yang hanya dilakukan oleh seseorang individu. Oleh yang demikian, Islam telah meletakkan muhasabah ke atas pemerintah sebagai kewajipan yang agung dan sekiranya ia (orang yang melakukan muhasabah) gugur di dalam berbuat demikian, maka gugurnya adalah sebagai Sayyidu as-syuhada’ (penghulu para syahid). Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,
”Penghulu para syuhada adalah Hamzah ibn Abdul Muthallib dan seseorang yang berhadapan dengan penguasa yang zalim lalu ia menasihati penguasa tersebut, kemudian ia dibunuh (oleh penguasa tersebut).” [HR Hakim]
Wahai kaum Muslimin! Itulah kewajipan dan kemuliaan yang Allah berikan kepada kalian. Wajib bagi kalian untuk menasihati penguasa yang zalim dan ganjaran bagi mereka yang berbuat demikian adalah lebih baik dari seluruh dunia dan seisinya. Inilah janji Allah kepada kalian. Justeru, tegurlah sesiapa sahaja yang berbuat zalim di kalangan kalian. Siapakah orang lebih zalim dari pemerintah yang tidak berhukum dengan hukum Allah? Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,
”Dan barangsiapa yang tidak menerapkan hukum dengan apa yang Allah turunkan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” [TMQ al-Maidah:45].
Oleh yang demikian, sekiranya mana-mana penguasa kaum Muslimin yang telah melakukan kesalahan, memaksiati Allah, merampas hak-hak rakyat, mengabaikan kewajipan-kewajipan terhadap rakyat atau memerintah dengan hukum kufur maka wajib hukumnya bagi rakyat atau gerakan Islam untuk bangun menegur seterusnya meluruskan pemerintah tersebut.
Imam Muslim meriwayatkan hadis dari Umi Salamah, bahawa Rasulullah Sallallahu ’alaihi wa Sallam bersabda, ”Akan ada para pemimpin yang kalian mengetahui kemakrufan dan kemungkarannya, maka sesiapa sahaja yang membencinya dia akan bebas (dari dosa), dan siapa sahaja yang mengingkarinya dia akan selamat. Tetapi siapa sahaja yang redha dan mengikutinya (dia akan celaka).” Mereka bertanya: ”Tidakkah kita perangi saja mereka?” Baginda menjawab: ”Tidak selama mereka masih menegakkan solat (hukum Islam)”.
Dalam riwayat Imam Muslim yang lain,
”Maka, siapa sahaja yang membencinya, dia akan terlepas (dari dosa). Dan siapa sahaja yang mengingkarinya dia akan selamat. Tetapi, siapa sahaja yang rela dan mengikuti (akan celaka)”
Rasulullah Sallallahu ’alaihi wa Sallam memerintahkan kepada kita agar mengingkari atau tidak taat kepada pemimpin yang telah melakukan kemungkaran atau maksiat kepada Allah. Sesiapa yang mahu selamat mestilah mengingkari perbuatan pemimpin tersebut, sedangkan yang redha dan mengikuti akan celaka. Untuk tidak mentaati pemimpin yang salah maka wajib dilakukan muhasabah terhadap mereka. Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan di dalam firman-Nya:
”Hendaklah ada di antara kalian sekelompok umat yang mengajak kepada kebaikan (Islam) serta menyeru kepada kemakrufan dan mencegah kemungkaran, mereka itulah orang-orang yang beruntung ”
[TMQ Ali-Imran: 104]
Ayat ini dan banyak ayat lain juga memerintahkan kita untuk menyeru kepada kemakrufan dan mencegah kemungkaran dan disertai dengan qarinah (indikasi/tanda) yang menunjukkan kepada jazm (ketegasan) yang membawa implikasi wajib, seperti ditunjukkan dalam penghujung ayat
”mereka itulah orang-orang yang beruntung”.
Di dalam ayat lain di gambarkan sebagai ”
sebaik-baik umat” [TMQ Ali-Imran: 110]
dan
”gembirakanlah orang-orang mukmin ini” [TMQ At-Taubah:112].
Khatimah
Di dalam Sistem Kapitalis, setiap tindakan yang diambil oleh pemimpin adalah menjurus kepada pemenuhan kehendak peribadi atau kelompok (kroni). Pemikiran sekular yang dibawa oleh Ideologi Kufur ini mengajarkan bahawa tujuan hidup adalah untuk mencapai kepuasan jasmani/material semaksima mungkin. Ideologi Kapitalis tidak pernah memandang bahawa agama adalah sebagai pengatur kehidupan, baik di dunia mahupun akhirat. Mereka mengiktiraf kewujudan agama tetapi agama mesti dipisahkan dari kehidupan (faslu ad-din anil hayah). Wahai kaum muslimin! Kami ingin mengingatkan kalian bahawa agama dan kehidupan tidak boleh dipisahkan. Allah Maha Mencipta dan Maha Mengatur. Dia menciptakan Deenul Islam, mencipta manusia, alam serta kehidupan dan mengatur segala-galanya. Apabila kita meyakini bahawa Allah adalah Maha Pengatur, maka kita wajib mengambil segala peraturan yang Allah cipta.
Sebagai seorang muslim, kita yakin bahawa jika kita mengambil aturan Allah, maka Allah akan redha kepada kita dan InsyaAllah kita akan meraih syurgaNya. Sebaliknya, jika kita tinggalkan aturan Allah, maka murka Allah jualah yang akan menimpa dan nerakalah balasannya. Na’uzubillah min zalik. Oleh itu wahai kaum muslimin, kembalilah kepada aturan Islam, yang penuh dengan kesempurnaan dan keindahan. Sememangnya manusia akan berselisih dan berbeza pendapat, baik itu sesama individu, jemaah/gerakan atau pemimpin sekalipun. Tetapi agama Allah ini diciptakan olehNya untuk menyelesaikan segala masalah manusia. Jika terjadi perselisihan atau perbezaan, ingatlah akan firman Allah
”Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Qu’ran) dan (sunnah) Rasul(Nya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian…” [TMQ an-Nisa’:59]
Rasulullah telah mengingatkan kita bahawa jika kita benar-benar berpegang kepada dua perkara yang baginda tinggalkan (kitabullah dan sunnah baginda) nescaya kita tidak akan sesat selama-lamanya. Mafhum mukhalafah (fahaman sebaliknya) dari perkataan Rasulullah ini adalah, jika umat Islam meninggalkan kitabullah dan sunnah baginda, maka umat Islam akan hidup di dalam kesesatan selama-lamanya. Saudaraku, lihatlah di sekitar kalian, adakah umat Islam telah mengambil apa yang Nabi kita tinggalkan? Di Malaysia, setelah hampir 50 tahun kita merdeka dari penjajah kufur, adakah kita benar-benar telah mengikuti Al-Qur’an dan As-Sunnah? Adakah undang-undang Allah yang kita terapkan? Adakah sunnah Rasulullah yang kita amalkan? Atau kita masih terbelenggu dengan undang-undang kufur ciptaan British dan pemikiran-pemikiran kufur mereka? Fikirkanlah wahai kaum muslimin! Kembalilah kepada apa yang Rasulullah telah tinggalkan kepada kalian. Contohilah zaman generasi yang terbaik, generasi khulafa-ur-Rashidun, generasi tabi’in, tabi’it tabi’in dan orang-orang yang mengikuti mereka. Inilah generasi yang menerapkan sistem Islam, yang memerintah dengan Sistem Pemerintahan Islam yakni Sistem Khilafah. Sistem inilah yang kita semua rindui, sistem yang akan kembali menerajui dunia sedikit masa lagi. INSYA-ALLAH!
SERUAN HIZBUT TAHRIR
Tidakkah ini masanya bagi para pemerintah merasa malu (walau sekali) kerana mengecewakan Palestin!? Bukankah ini masanya untuk darah para tentera menggelegak demi mencapai kemenangan?
Wahai kaum Muslimin,
Baru-baru ini seorang askar Yahudi telah ditangkap dalam peperangan. Dia tidak diculik dari rumahnya, namun begitu, Negara Yahudi telah memporak porandakan dunia demi menyelamatkannya dan menganggapnya sebagai masalah yang amat penting.
Ribuan orang-orang kita dari kalangan lelaki, orang-orang tua, wanita dan kanak-kanak ditangkap dan dipenjarakan, kehormatan kita dicerobohi dan tempat suci kita dinodai. Malapetaka menimpa kita siang dan malam angkara golongan Yahudi la’natullah, namun kesemuanya ini tidak dianggap oleh pemerintah kita sebagai masalah besar dan penting yang patut mereka selesaikan. Malah mereka langsung tidak berkata dengan haq (benar) dalam masalah ini. Sebaliknya para pemerintah kaum muslimin bertindak sebagai orang tengah sambil menadah tangan berdoa agar askar Yahudi kembali dengan selamat dan sihat walafiat!
Negara Yahudi yang telah merampas Palestin, merasakan dirinya bertanggungjkawab menguruskan hal ehwal rakyatnya dan tidak berdiam diri demi (kepentingan) mereka. Kepentingan/urusan setiap orang Yahudi adalah kepentingan/urusan Negara, keresahan mereka adalah keresahan Negara. Oleh sebab itulah kehilangan seorang Yahudi merupakan masalah besar baginya sehingga semua keupayaan (kekuatan) Negara dikerahkan untuk mencarinya.
Sebaliknya negara-negara kita adalah negara (yang dipimpin oleh) raja-raja dan presiden yang mana apabila pemimpin menghadapi masalah, seluruh rakyat mesti berfikir tentang mereka (para pemimpin). Jika negara serta rakyatnya musnah, tetapi pemimpin masih terselamat, ini dianggap sebagai kemenangan yang besar!! Peperangan dengan Yahudi merupakan bukti yang jelas menunjukkan bahawa Palestin dan kawasan sekelilingnya masih dijajah, namun para pemerintah kaum Muslimin tidak menganggapnya sebagai kekalahan kerana pemimpin mereka masih selamat! Bagi mereka, ini merupakan kekalahan bagi Yahudi kerana (Yahudi) tidak dapat mengapa-apakan para pemimpin!
Wahai kaum Muslimin,
Bukankah ini masanya bagi para pemerintah ini merasa malu dengan keburukan yang mereka lakukan? Mereka menjadi orang tengah di antara Yahudi dan kaum Muslimin untuk menyelamatkan seorang askar penjajah (Yahudi) yang ditawan ketika peperangan, ketika mereka tidak terdorong untuk menyelamatkan ribuan tawanan dari tangan Yahudi, apatah lagi bergerak untuk menyelamatkan orang-orang Palestin dari tangan Yahudi!
Tidakkah ini masanya untuk darah yang mengalir dalam tubuh para tentera kaum muslimin menggelegak dan bergerak untuk membantu Palestin dan umat di sana serta mengharapkan salah satu dari dua perkara (kemenangan atau mati syahid), daripada memberi tabik hormat (kepada para pemimpin yang mengkhianati kaum Muslimin) di perbarisan!!
Tidakkah para tentera kaum Muslimin mengingati segala jenayah yang telah dilakukan oleh Yahudi di Palestin dan juga pencabulan serta kemusnahan ke atas tempat-tempat suci Islam. Tidakkah mereka (para tentera kaum Muslimin) mengingati bagaimana bumi suci ini dibasahi dengan darah para pejuang Islam yang tidak sejengkal pun tersisa tanpa menyaksikan debu-debu dari kuda-kuda para Mujahid (orang yang berjihad) dan darah mulia para syuhada’?
Tidakkah para tentera kaum muslimin mengingati konspirasi pemerintah-pemerintah mereka dengan Yahudi, diamnya pemerintah ini dengan jenayah yang mereka lakukan, penindasan mereka ke atas orang-orang yang ikhlas di kalangan umat, ketundukan mereka kepada penjajah kuffar yang diketuai oleh Amerika, yang membantu Yahudi dengan wang, senjata dan tentera. Para penjajah kuffar merasa selamat dan berpuas hati kerana kepentingan mereka di negara-negara kita dijamin dan dilindungi oleh pemerintah-pemerintah ini.
Justeru, tidakkah ini masanya bagi pemerintah-pemerintah ini merasa malu, walau sekali, kerana mengecewakan Palestin?
Wahai kaum Muslimin,
Pepatah ada mengatakan: ”Kemudharatan boleh membawa kepada kemanfaatan”. Insiden penangkapan askar Yahudi itu telah menghasilkan dua manfaat,
Pertama: Pertelingkahan di kalangan pertubuhan-pertubuhan yang hampir-hampir mencetuskan perang saudara, telah terhenti. Peristiwa penangkapan askar Yahudi itu telah membawa keamanan (di kalangan pertubuhan-pertubuhan tersebut) yang kita harap akan terus berkekalan.
Kedua: Yang lebih penting lagi, peristiwa penangkapan askar Yahudi itu telah mengganggu persidangan akhbar di antara Presiden dan Perdana Menteri (Palestin), di mana mereka akan mengumumkan kelulusan mereka ke atas Dokumen Banduan (Prisoners’ Document), yang mengiktiraf dua Negara di Palestin, satu untuk Yahudi di atas wilayah yang dirampas pada tahun 1948, dan satu lagi untuk rakyat Palestin di atas wilayah yang dirampas pada tahun 1967, atau sebahagian darinya!! (Pengiktirafan) Ini merupakan tamparan hebat (ke atas Palestin) jika mereka sedar.
Sesungguhnya Palestin tidak boleh dibahagi dua (satu Negara Yahudi dan satu Negara Palestin). Palestin adalah tanah yang diberkati dan merupakan sebahagian penting daripada tanah Islam. Memberi sejengkal darinya adalah satu jenayah dan melakukan penawaran ke atasnya adalah satu pengkhianatan. Palestin dan seluruh penduduk yang berada di dalamnya adalah merupakan satu amanah ke atas seluruh kaum Muslimin.
’Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan janganlah kamu khianati amanah (yang telah dibebankan ke atasmu) sedangkan kamu mengetahuinya’ [TMQ Al-Anfal: 27]
Hizbut Tahrir 15 Jumadil Akhir 1427 30 June 2006