SN117 – KONFLIK ANTARA AGAMA
SN Keluaran 2007
Adakah Kita Perlu Sebuah Mahkamah Perlembagaan Khas?
[SN117] Isu konflik di antara agama nampaknya tidak akan pernah selesai. Kes-kes yang menimbulkan keidakpuasan hati di kalangan penganut agama selain Islam sering bermunculan. Kali ini ia diungkitkan pula oleh Parti Gerakan Bahagian Wilayah Persekutuan. Berucap setelah pembukaan konvensyennya di Kuala Lumpur, ketuanya, Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata, “Many non-Muslims feel that their rights are gradually being eroded. As drafted in the Federal Constitution by our founding fathers, Malaysia is a secular state, although Islam is our official religion”. “There is a problem and it exists, yet there are some in the administration who pretend that it doesn’t.” (“Ramai orang bukan Islam merasakan bahawa hak mereka semakin terhakis. Sebagaimana dirangka di dalam Perlembagaan Persekutuan oleh bapa-bapa kemerdekaan, Malaysia adalah Negara Sekular, walaupun Islam adalah agama rasminya. Terdapat masalah dan ia memang wujud, tetapi terdapat sebahagian dari kalangan pentadbir yang bersikap pura-pura bahawa masalah ini tidak wujud”).
Sehubungan itu, beliau menggesa agar diwujudkan sebuah Mahkamah Perlembagaan Khas untuk menangani “grey areas” (perkara-perkara yang tidak jelas) berhubung agama dan isu-isu lain. Katanya, “this was needed in view of the increasing number of infringements of religious rights and the family and basic rights of non-Muslims.”
(“Kewujudan Mahkamah ini perlu memandangkan peningkatan jumlah pencabulan hak-hak agama dan keluarga serta hak-hak asasi golongan bukan Islam”) [NST 02/04/07].
Beberapa Perkembangan Sebelum Ini
Cadangan ini hanyalah manifestasi dari rasa tidak puas hati penganut bukan Islam yang merasakan bahawa mereka sentiasa ditindas dan hak mereka sering dinafikan. Ini bukanlah kali pertama, dan bukan juga kali ke-10, sudah terlalu banyak kejadian ‘panas’ ini berulang. Kita tentu tidak lupa dengan kes Lina Joy, M. Moorthy, Nyonya Tahir, A. Rayappan dan banyak lagi. Dari kes-kes yang berlaku, ia telah menimbulkan ketegangan kepada kedua-dua pihak sama ada Islam atau bukan Islam. ‘Kebetulannya’, selepas orang Islam menang satu kes, orang bukan Islam pula memenangi kes seterusnya. Jika terlalu tegang pula, maka kerajaan akan campurtangan, walaupun kes itu masih sedang dibicarakan di mahkamah.
Dalam kes A. Rayappan yang berlaku hujung tahun lalu, ‘agak pelik’ apabila Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tuntutan ke atas mayat Rayappan, walhal panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang telah bersidang sebelum itu sebulat suara memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidang kuasa dan tidak melakukan kesilapan dari segi undang-undang ketika menentukan status agama Islam Rayappan. Pengerusi MAIS, Datuk Mohd. Adzib Mohd. Isa berkata, “Keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan Mufti Selangor, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Penasihat Undang-Undang dan Peguam Syarie…”. Justeru itu, Mohd. Adzib berharap setelah notis penarikan balik permohonan MAIS difailkan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, isu mengenai ‘perebutan mayat’ tersebut selesai [UM 8/12/06]. “Kami (MAIS) berbesar hati dengan keputusan mahkamah yang membenarkan kami menarik balik kes tersebut,” kata Rohana Hassan, Pegawai Perhubungan Awam MAIS ketika dihubungi” [UM 9/12/06]. Berbesar hati???
Sebenarnya, sehari sebelum keputusan penarikan balik itu dibuat, satu kenyataan telah dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa, “Mesyuarat Kabinet telah membincangkan isu perebutan mayat Rayappan antara keluarganya dan MAIS kerana si mati dikatakan telah memeluk Islam sebelum kematiannya pada 29 Nov. lepas. Kabinet setuju agar perkara itu diserahkan kepada pejabat Peguam Negara,” Abdullah seterusnya berkata, adalah penting status agama Rayappan dipastikan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat. “Apa yang penting tentukan status (agama) orang berkenaan (Rayappan)… kalau bukan Islam serahkan kepada keluarga (untuk pengebumian),” katanya [UM 7/12/06].
Adalah amat dikesali apabila kenyataan-kenyataan seperti di atas dikeluarkan kerana mereka ini adalah pihak-pihak yang sepatutnya menjaga kemuliaan agama Islam dan kepentingan umat Islam, bukan sebaliknya.
Islamkah Mahkamah Syariah?
Kewujudan dua sistem Mahkamah di Malaysia sebenarnya dengan sendiri membuktikan hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular. Adanya ‘mahkamah syariah’ menunjukkan bahawa mahkamah selainnya adalah ‘tidak syariah’. Dengan kata lain Mahkamah Sivil adalah tidak syariah, yang bererti ia adalah mahkamah yang tidak berlandaskan hukum-hukum Islam. Hakikat ini sememangnya benar dan tidak ada yang tidak benar melainkan benar belaka! Sekularisme merupakan akidah yang dipegang oleh para penganut Ideologi Kapitalisme yang memisahkan antara agama dan kehidupan (faslu din anil hayah). Agama tidak dinafikan, tetapi mesti dipisahkan dari kehidupan. Maksudnya agama tidak boleh digunakan untuk mengatur kehidupan. Idea sekularisme, yang merupakan tunjang sistem kehidupan majoriti manusia hari ini, menafikan hak ketuhanan (divine rights) untuk mengatur kehidupan, yakni menafikan hak Allah Yang Maha Pengatur. Hasilnya, lahirlah para pembuat undang-undang yang mendewa-dewakan kebijakan akal mereka di dalam merubah hukum Allah. Oleh itu, mereka telah membuat undang-undang sendiri di dalam mengatur kehidupan, bukannya mengambil undang-undang dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, selaku Zat Yang Maha Mengatur.
Dari pemikiran kufur inilah, lahirnya konsep dualisme perundangan, yakni adanya dua sistem mahkamah, walhal Islam tidak pernah mengenal dan mengiktiraf konsep ini. Di sepanjang pemerintahan Rasulullah dan para sahabat, tidak ada satu riwayatpun yang menyebut bahawa mereka ini mengamalkan dualisme perundangan di dalam pemerintahan mereka. Yang wujud hanyalah mahkamah Islam dan tidak ada yang dinamakan mahkamah sivil atau mahkamah jenayah. Wujudnya konsep dualisme ini adalah dari ide sekularisme yang hanya merupakan usaha untuk kompromi di antara undang-undang Islam dan undang-undang kufur, yang nyata-nyata bertentangan dengan hukum Allah. Dari idea sekularisme inilah lahirnya segala kelemahan, kerosakan dan ketidakadilan, kerana yang menentukan segala-galanya adalah akal manusia, bukannya Al-Quran dan Sunnah. Justeru, kita menyaksikan penyimpangan yang sangat naif dan dangkal. Apa tidaknya, orang Islam boleh dibicarakan di mahkamah sivil, tetapi orang bukan Islam tidak boleh dibicarakan di mahkamah Syariah. Betapa hinanya kedudukan ini bagi orang Islam! Sebaliknya, orang kafir tidak boleh ke Mahkamah Syariah, walaupun mereka (orang Islam) menyatakan bahawa hukum yang paling adil adalah hukum Islam (yang diamalkan oleh Mahkamah Syariah). Alangkah peliknya keadaan ini!
Seterusnya, kita ingin membawa persoalan apakah Mahkamah Syariah yang ada sekarang adalah mahkamah sebagaimana yang Allah dan Rasul perintahkan? Adakah mahkamah ini telah mengikut petunjuk Al-Kitab dan As-Sunnah? Sebagaimana biasa, bagi kebanyakan umat Islam di Malaysia, setiap kali konflik yang melibatkan agama melanda, maka institusi Mahkamah Syariah akan terus dijadikan tempat berpaut, seolah-olah Mahkamah Syariahlah satu-satunya institusi yang akan ‘menyelamatkan’ umat Islam dan agama Islam. Maka emosi mereka terus bersama mahkamah ini dan dalam masa yang sama Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 3(1) dan Perkara 121(1A) akan dipertahankan mati-matian. Secara ringkasnya, Perkara 3(1) menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan Perkara 121(1A) memperuntukkan bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidangkuasa ke atas apa-apa perkara yang termasuk di dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah. Dipandang sepintas lalu, maka tidak hairanlah kenapa sebahagian umat Islam ingin mempertahankan peruntukan ini.
Pada hakikatnya, umat Islam telah lupa bahawa Perlembagaan Persekutuan itu adalah hasil ciptaan sipenjajah Lord Reid dan dirangka semasa British masih lagi memerintah Tanah Melayu. Sebagai sebuah kuasa kolonial kuffar yang berideologikan Kapitalisme dengan akidah sekularisme, maka mereka menggubal Perlembagaan ini bagi memastikan hegemoni mereka terus kekal ke atas umat Islam. Mereka ingin pastikan bahawa undang-undang ciptaan mereka terus tertanam di bumi dan minda umat Islam. Atas dasar emosi ingin mempertahankan Islam, maka umat Islam lupa bahawa apa yang mereka pertahankan (Perlembagaan) itu hanyalah sebuah ‘warisan’ penjajah kufur yang digubal dengan tujuan agar Islam tidak lagi kembali ke muka bumi. Kerana dipengaruhi emosi, umat Islam juga seolah-olah ‘hilang arah’ bahawa Mahkamah Syariah yang ada hanyalah sebuah mahkamah yang hanya mempunyai bidangkuasa yang telah ditetapkan oleh ‘akal manusia sekular’ yang telah menetapkan hukuman maksima tidak lebih dari 3 tahun penjara, RM5,000.00 denda dan 6 kali sebatan. [Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) (Pindaan) 1984 yang berkuatkuasa mulai 1hb Januari 1985]. Dengan kata lain, hudud dan banyak lagi hukum Allah pasti tidak akan dapat ditegakkan dengan Perlembagaan dan Mahkamah Syariah yang ada sekarang. Justeru, bolehkah Perlembagaan dan Mahkamah Syariah ini menjadi ‘penyelamat’ kepada agama Allah ini dan bolehkah ia menjadi penyelamat kepada kita di akhirat, khususnya apabila Allah bertanya, dengan apakah kamu berhukum di dunia wahai manusia?
Mahkamah Di Dalam Islam
Jika orang kafir berfikir secara sekular, maka ini langsung tidak menghairankan. Ini adalah kerana agama mereka sememangnya tidak mengajar (tepatnya tidak ada) bagaimana cara untuk mengatur kehidupan. Justeru, jika Parti Gerakan mencadangkan agar dibuat satu mahkamah khas untuk menangani konflik antara agama, maka cadangan ini memang tidak keterlaluan. Kenapa? Kerana di dalam agama mereka tidak ada sistem kehakiman, maka mereka boleh mencadangkan apa sahaja untuk menciptakan aturan sendiri. Jika mereka (orang kafir) merasakan bahawa mereka tidak mendapat keadilan di dalam konflik agama ini, maka ini juga tidak menghairankan. Kerana apa? Kerana undang-undang yang ada sekarang bukannya undang-undang Allah, tetapi undang-undang sekular. Jika mereka marah kerana tidak mendapat hak yang sepatutnya di bawah Mahkamah Syariah, ini juga bukan merupakan satu kepelikan. Kenapa? Kerana Mahkamah ‘Syariah’ sekarang tidak pernah mengikut ‘syariat’ yang Allah turunkan. Hakikatnya, bagaimana mungkin orang kafir (termasuk orang Islam) akan mendapat keadilan dengan sistem kehakiman sekarang, yang tak lain hanyalah merupakan produk akal manusia? Sesungguhnya orang-orang kafir pasti tidak akan mendapat keadilan di bawah sistem dan undang-undang kufur, apatah lagi orang-orang Islam, mereka sudah barang pasti tidak akan mendapat keadilan di bawah undang-undang ini. Tetapi sesungguhnya setiap orang kafir dan orang Islam akan pasti mendapat keadilan dan rahmat di bawah undang-undang Islam!
Oleh yang demikian, satu-satunya jalan yang boleh membawa keadilan dan kesejahteraan, sama ada kepada orang Islam mahupun kafir ialah dengan kembali berhukum kepada hukum Allah. Ingatlah! Bahawa sesungguhnya hukum Allah itu diturunkan untuk kebaikan dan keadilan manusia seluruhnya, bukan untuk orang-orang Islam sahaja. Islam itu adalah agama yang benar dan sempurna dari segenap aspek dan pada setiap masa. Agama Islam mencakup segala bentuk sistem yang mengatur seluruh aspek kehidupan manusia seperti Sistem Pemerintahan, Sistem Ekonomi, Sistem Sosial, Sistem Penghukuman, Polisi Pendidikan dan Polisi Luar Negeri. Lembaga kehakiman (qudha’) merupakan salah satu tiang atau struktur dari Sistem Pemerintahan Islam. Lembaga Kehakiman adalah sebuah institusi yang bertugas menyampaikan keputusan hukum yang bersifat mengikat. Ia bertugas menyelesaikan perselisihan di antara anggota masyarakat, mencegah hal-hal yang dapat membahayakan hak jemaah (orang ramai) atau mengatasi perselisihan antara rakyat dan yang memegang jawatan pemerintahan baik ia seorang penguasa mahupun pegawai-pegawai negara.
Di dalam Sistem Pemerintahan Islam, terdapat 3 jenis Qadhi (Mahkamah) iaitu: Pertama: Qadhi biasa (atau dikenali juga dengan Qadhi Khusumat) yang mengurusi penyelesaian perselisihan di antara anggota masyarakat dalam masalah mua’amalat (urusan hubungan antara manusia) dan uqubat (penghukuman). Kedua: Qadhi Muhtasib (atau Hisbah) iaitu qadhi yang mengurusi penyelesaian dalam masalah penyimpangan (mukhalafat) yang melanggar hak jemaah (orang ramai). Ketiga: Qadhi Mazhalim, iaitu qadhi yang mengurusi penyelesaian persengketaan yang terjadi antara rakyat dan pemerintah atau pegawai-pegawainya.
Dalil mengenai kewujudan ketiga-tiga jenis qadhi di atas adalah berdasarkan Al-Quran, Sunnah dan juga Ijma’ Sahabat. Tentang qadhi Mazhalim, ini dapat kita fahami dari firman Allah,
“Jika kamu berbantah-bantah tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (Sunah).” [TMQ an-Nisa’ (4):59].
Ayat ini dinyatakan setelah firmanNya yang berbunyi
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul(Nya) dan ulil amri di kalangan kamu…”
Perselisihan rakyat dengan pemerintah (ulil amri) wajib dikembalikan kepada Allah dan Rasul, yakni kepada hukum-hukum Allah. Untuk mengembalikan perselisihan kepada hukum Allah, harus ada qadhi yang memutuskan persengketaan tersebut, iaitu Qadhi Mazhalim. Perbincangan tentang Qadhi Mazhalim telahpun kami kupas secara ringkas di dalam Sautun Nahdhah bertajuk “Ombudsman”. Di harap pembaca budiman boleh merujuk kepada keluaran tersebut untuk kefahaman lanjut.
Adapun dalil mengenai pengadilan yang menyelesaikan masalah penyimpangan (mukhalafat) yang melanggar hak-hak jemaah dan disebut hisbah adalah berdasarkan apa yang telah ditetapkan dalam perbuatan dan sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Hisbah merupakan aktiviti pemantauan terhadap segala perkara yang melanggar hak awam. Oleh itu, Al-Muhtasib adalah qadhi yang bertanggungjawab menghakimi seluruh perkara yang menyangkut pelanggaran hak umum. Di dalam hal ini tidak perlu ada pihak yang menuntut atau mendakwa, kerana ini bukan merupakan bahagian dari hudud atau jinayat. Inilah definisi Qadhi Hisbah di mana ia sebenarnya diambil dari Hadis subrah at-tha’am (selonggok makanan). Hadis ini menjelaskan bahawa “Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah berjalan dan melewati selonggok makanan. Baginda kemudian memasukkan tangannya dan mendapati sebahagiannya masih basah. Baginda bersabda,
‘apa ini wahai pemilik makanan?’ Pemilik makanan itu berkata, ‘Ia terkena air hujan wahai Rasulullah’, baginda lalu bersabda, ‘mengapa engkau tidak letakkan di atas supaya orang ramai boleh melihatnya, siapa sahaja yang menipu maka ia tidak termasuk dari golonganku” [HR Muslim].
Rasulullah pernah mengangkat Said bin al-‘Ash sebagai amil baginda yang mengurus pasar di Mekah setelah fathu (pembukaan) Mekah seperti yang dinyatakan di dalam Thabaqat Ibn Sa’ad dan di dalam kitab Al-Isti’ab oleh Ibn Abdil Bar. Umar Al-Khatthab juga pernah mengangkat asy-Syifa’, seorang wanita dari kaumnya sebagai qadhi di pasar (qadhi hisbah). Umar juga pernah melantik Abdullah bin Utbah menjadi qadhi hisbah di pasar Madinah. Hal ini telah dinukil oleh Imam Malik di dalam Al-Muwattha’ dan Imam Syafie di dalam Musnad asy-Syafie. Begitu pula Umar pernah melaksanakan sendiri tugas-tugas hisbah, di mana beliau mengelilingi pasar-pasar sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah. Demikianlah para khalifah terus melakukan sendiri tugas hisbah ini sehinggalah ke zaman al-Mahdi.
Adapun tentang qadhi biasa, ia juga diambil dari perbuatan dan sabda Rasulullah yang begitu banyak jumlahnya. Perbuatan yang ditunjukkan oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah berdasarkan perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam Al-Quranul Karim, di antaranya,
“Hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang telah Allah turunkan”
[TMQ al-Mai’dah (5):49].
FirmanNya yang lain,
“Dan apabila mereka dipanggil kepada Allah (untuk bertahkim dengan Kitabullah) dan RasulNya, agar Rasul menghukum di antara mereka, tiba-tiba sebahagian dari mereka menolak untuk datang. Tetapi jika keputusan itu adalah untuk kemaslahatan mereka, mereka datang kepada Rasul dengan patuh. Apakah (keengganan mereka untuk datang) kerana dalam hati mereka ada penyakit, atau (kerana) mereka ragu-ragu ataukah (kerana) takut kalau-kalau Allah dan RasulNya berlaku zalim terhadap mereka? Sebenarnya mereka itulah orang-orang yang zalim” [TMQ an-Nuur (24):48-50].
Sepanjang hidupnya, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memimpin Lembaga Pengadilan secara langsung. Baginda senantiasa memutuskan perkara/pertikaian yang terjadi di tengah-tengah masyarakat, baik itu menyentuh mua’malat mahupun uqubat. Rasulullah juga sering mengangkat para qadhi dan mereka ditugaskan di beberapa wilayah di dalam Daulah. Baginda pernah mengangkat Ali bin Abi Thalib sebagai qadhi di Yaman dan Muadz bin Jabal sebagai qadhi di daerah Janad. Semasa mengangkat Ali, baginda berpesan,
“Jika dua orang menghadapmu meminta keputusan, janganlah engkau tergesa-gesa memutuskan perkara di antara mereka sebelum engkau mendengarkan perkataan pihak yang lain sehingga engkau tahu bagaimana seharusnya engkau memutuskan di antara kedua mereka” [HR Tirmizi dan Ahmad].
Dalam riwayat lain, Imam Ahmad meriwayatkan,
“Jika ada dua orang yang bersengketa duduk di hadapanmu, janganlah engkau berbicara (memberi keputusan) hingga engkau mendengarkan dari pihak lain sebagaimana engkau telah mendengarkan dari pihak pertama”.
Semua ini merupakan dalil bahawa wajib ada qadhi yang memutuskan pertikaian di antara ‘manusia’ (bukan di antara sesama muslim sahaja) dan wajib pula qadhi itu berhukum dengan Al-Quran dan Sunah. Dari dali-dalil yang ditunjukkan oleh Rasulullah dan Ijma’ Sahabat, ini sahajalah bentuk mahkamah (atau qadhi) yang ada di dalam Islam. Tidak ada lagi bentuk lain selain dari ketiga ini. Tidak ada yang dinamakan mahkamah sivil ataupun mahkamah syariah. Seperkara lagi, tidak ada praktis (dari nas-nas syara’) yang menunjukkan bahawa orang kafir tidak boleh pergi ke mahkamah Islam, malah semua dalil yang ada membuktikan sebaliknya. Baik itu orang kafir, mahupun orang Islam, baik persengketaan itu adalah di antara orang kafir sesama mereka atau orang Islam sesama Islam, semuanya diadili di Mahkamah yang sama di dalam Daulah.
Undang-undang Islam adalah bukan sahaja untuk orang-orang Islam, tetapi undang-undang Islam adalah ‘undang-undang negara’. Maksudnya orang kafir adalah terikat dengan undang-undang yang sama sebagaimana orang-orang Islam, kecuali beberapa hal yang mana nas syara’ mengecualikan mereka seperti soal ibadat, perkahwinan, makanan dan cara berpakaian. Bagaimanapun, perkara-perkara ini juga berada di bawah kawalan Daulah, ertinya, mereka tidak boleh berpakaian sesuka hati mereka ketika berada di khalayak ramai, seperti tidak berpakaian, memakai bikini, berseluar pendek, berpakaian ketat dan seumpamanya. Mereka juga tidak boleh berkeadaan mabuk di khalayak ramai, menjual arak kepada orang Islam dan sebagainya. Pendek kata, pengecualian yang Islam berikan kepada mereka adalah tertakluk kepada ketetapan nas-nas Islam yang lain yang tidak boleh mereka langgar.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Apakah sistem mahkamah yang ditunjukkan oleh Rasulullah dan Ijma’ Sahabat sekadar sejarah kosong tanpa makna? Apakah agama Allah ini tidak cukup dan tidak sempurna sehingga Allah memerlukan kecerdikan manusia untuk membuat mahkamah sendiri? Justeru, jika Parti Gerakan atau mana-mana pihak sekalipun mencadang untuk menubuhkan Mahkamah Perlembagaan, apakah cadangan ini bernilai di sisi Allah dan Rasul? Oleh yang demikian, wahai mereka yang masih mempunyai keimanan, kami ingin mengingatkan kalian agar jangan sekali-kali kalian menggunakan akal (sebagaimana orang kafir) untuk mencadangkan sesuatu perkara yang jelas-jelas bertentangan dengan hukum Allah. Gunalah akal untuk memahami hukum Allah dan menerapkannya. Gunalah akal untuk memahami bahawa Islam itu mempunyai Sistem Kehakimannya tersendiri, yang datangnya dari Allah dan Rasul. Inilah sistem yang bukan sekadar wajib di cadangkan, malah wajib pula diusahakan agar ia dilaksanakan!
Wahai kaum Muslimin! Kalian hanyalah makhluk ciptaan Allah yang wajib mematuhi segala aturanNya. Oleh itu, sanggupkah kalian wahai hamba Allah yang kerdil dan serba kekurangan, untuk tidak berhukum dengan hukum Allah, atau malah merubah hukumNya? Adakah kalian merasakan bahawa kalian adalah lebih bijak dari Allah, lalu kalian merubah aturanNya menurut kemahuan akal-akal kalian? Adakah kalian tidak beriman dengan Hari Akhirat, hari yang mana Allah akan mengadili kalian di mahkamahNya di mana tidak ada mahkamah yang lebih adil kecuali mahkamah pada hari itu dan tidak ada perbicaraan yang lebih adil dari perbicaraan pada hari tersebut? Justeru, kami menyeru kalian khususnya mereka yang memegang kekuasaan dan mereka yang terlibat secara langsung serta mendokong sistem mahkamah yang ada pada hari ini, tukarlah mahkamah-mahkamah ini kepada mahkamah yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya, sebelum tiba hari di mana Allah akan membicarakan kalian di Mahkamah yang kalian sekali-kali tidak akan terlepas dan tidak akan dapat merayu lagi dari hukuman dan azabNya. Na’uzubillaih min zalik.
Ya Allah! Saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan.