SN130 – APAKAH HUKUM BERUBAH MENGIKUT ZAMAN DAN TEMPAT?
SN Keluaran 2007
[SN130] Pada 28 Jun yang lalu, isteri Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor mencadangkan supaya Pusat Kajian al-Quran Kontemporari ditubuhkan untuk kepentingan umat Islam sejagat. Rosmah berkata demikian ketika berucap pada majlis khatam kelas tafsir al-Quran yang diketuai oleh beliau bersama 35 peserta lain termasuk anak perempuannya, Nooryana Najwa Mohd. Najib di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri, Sri Satria. Beliau berkata, selain mengadakan kelas tafsir dan pengajian al-Quran yang biasa, pusat kajian itu wajar berperanan untuk melakukan kajian secara empirikal berpandukan ayat-ayat suci al-Quran. “Ia perlu merangkumi pelbagai bidang kritikal terutamanya dalam bidang sains dan teknologi, teknologi maklumat, perubatan dan ekonomi”. Menurutnya lagi, sejajar dengan tuntutan zaman yang semakin mendesak dan imej Islam yang kian tercemar, sudah tiba masanya generasi al-Quran sebagai wadah perubahan tamadun Islam dilahirkan. “Saya yakin dengan kelahiran generasi ini, keindahan dan keluhuran Islam mampu diketengahkan kepada masyarakat dunia malah menjadi penghubung bicara antara dunia Islam dan dunia bukan Islam,” katanya. Rosmah berkata, seiring dengan era globalisasi umat Islam mesti mempraktikkan ajaran al-Quran dalam bentuk yang lebih global dengan mengkaji, mengamalkan dan menterjemahkannya dalam kehidupan bersesuaian dengan konteks semasa [UM 29/06/07].
Di zaman mutakhir ini, cadangan, seruan dan slogan untuk menafsir al-Quran agar sesuai dengan realiti semasa semakin kuat kedengaran. Ia banyak dilaungkan oleh golongan pemerintah, golongan ulama dan tidak ketinggalan juga oleh golongan liberal. Kita juga acapkali terdengar seruan seumpama ini turut dikumandangkan oleh para agamawan mahupun gerakan-gerakan yang memperjuangkan Islam sekalipun. Sekali lalu slogan sebegini nampak seperti tidak ada salahnya, apatah lagi jika yang menyeru itu mengemukakan pandangan-pandangan ulama di dalam menyokong pendapat mereka. Bagi golongan yang hatinya dipenuhi dengan sifat nifak, intipati dari seruan seperti ini sebenarnya bermaksud untuk menundukkan al-Quran dengan kehendak semasa, sesuai dengan perkembangan zaman, atau lebih tepat mereka sebenarnya ingin menafsirkan al-Quran mengikut hawa/keinginan mereka agar hukum al-Quran tunduk kepada kemahuan mereka. Bagi golongan yang ikhlas yang menyeru kepada hal yang sama, mereka sebenarnya telah menyeru dan terjerumus ke jalan yang keliru. Insya Allah, Sautun Nahdhah kali ini akan mengupas isu yang amat penting ini; apakah hukum Allah boleh berubah mengikut perubahan zaman dan tempat.
Menundukkan Nas Dengan Realiti
Umum telah mengetahui bahawa orang-orang kafir adalah golongan yang hidup di dunia ini tanpa berhukum dengan hukum wahyu. Golongan kafir Barat telah menolak agama untuk mengatur kehidupan, manakala golongan kafir yang lain sekadar mempunyai agama untuk tujuan ibadat, bukannya untuk mengatur atau menentukan hala tuju kehidupan di dunia. Apapun, yang pastinya mereka ini adalah golongan yang sesat kerana tidak mengambil petunjuk Allah sebagai petunjuk dalam hidup mereka. Kedudukan ini sebenarnya tidak jauh berbeza dari golongan umat Islam yang sekular. Mereka ini adalah golongan pemuja Barat dan golongan yang mendewa-dewakan akal di dalam mengatur kehidupan. Pemikiran golongan ini saling tidak tumpah dengan pemikiran orang-orang kafir di mana mereka hanya mengambil agama untuk tujuan ibadat semata-mata. Mereka mengambil Islam sekadar untuk solat, puasa, zakat, haji, doa pembuka dan penutup majlis dan lain-lain ibadat sunat tertentu yang dipilih mereka sahaja. Untuk lain-lain hukum Allah yang qat’i (pasti) kewajibannya seperti potong tangan untuk pencuri, sebat bagi penzina, bunuh bagi simurtad, qisas bagi pembunuh dan banyak lagi, maka di sini mereka menyatakan hukum ini sudah tidak sesuai lagi di zaman sekarang. Mereka menggunakan akal untuk menjustifikasi kesesuaian hukum Allah, dan bagi yang memegang kekuasaan, mereka telah menggubal undang-undang sendiri terhadap kesalahan-kesalahan ini, mengenepikan hukum Allah yang qat’i yang terdapat di dalam al-Quran.
Apabila ditanyakan kepada mereka kenapakah hukum-hukum al-Quran tidak diterapkan, maka mereka akan menjawab mengikut akal dan hawa mereka bahawa dalam konteks masyarakat majmuk, Islam tidak sesuai diterapkan sepenuhnya. Mereka akan mengatakan bahawa yang penting di dalam Islam adalah ‘konsep dan prinsip’nya, bukan ‘hukum’nya. Contohnya, mereka mengatakan Islam menekankan (konsep) keadilan, jadi apa-apa sahaja undang-undang yang boleh membawa keadilan, maka ia adalah sesuai dengan kehendak Islam. Mereka turut menyatakan bahawa Islam adalah agama yang murunah (fleksibel), maka Islam boleh berubah atau disesuaikan mengikut perubahan zaman/masa dan tempat. Inilah golongan sekular yang sepemikiran dengan Barat, mengagungkan akal dan menggunakan akal mereka untuk merubah hukum Allah. Mereka membuat undang-undang sendiri berdasarkan akal, mengikut kehendak majoriti, bukannya menurut kehendak Allah. Mereka benar-benar menundukkan hukum al-Quran mengikut hawa mereka. Sebab itulah golongan ini tak putus-putus menyeru agar al-Quran dikaji dan ditafsir semula seiring dengan perubahan zaman dan tempat. Tujuan mereka adalah tidak lain, kecuali untuk merubah hukum-hukum yang qat’i di dalam al-Quran. Mereka ini tidak akan puas selagi al-Quran tidak ditundukkan mengikut kemahuan mereka. Alasan mereka adalah realiti telah berubah, maka Islam mestilah disesuaikan dengan realiti yang telah berubah tadi.
Wahai mereka yang ikhlas! Ingatlah bahawa cara berfikir di atas adalah cara berfikir Barat yang sekular. Mereka telah membawa masuk cara berfikir mereka ini semasa menjajah kita dan bagi memastikan ia sentiasa kekal di benak kita, maka penjajah Barat telah meletakkannya sebagai asas pemikiran perundangan kita. Dengan cara ini, maka segala hukum al-Quran secara otomatik akan berada di bawah (lebih rendah dari) hukum ciptaan manusia. Oleh itu, hukum-hakam al-Quran juga secara otomatik tidak akan dapat diterapkan kerana penjajah kafir ini telah berjaya menanamkan ‘satu aqidah’ di dalam benak orang Islam bahawa hukum ciptaan manusia ini adalah lebih tinggi dari Kalamullah. Dengan ini pemikiran umat Islam telah ‘ditutup’, dan mereka tidak mampu lagi ‘berfikir’ dan bertindak kecuali sebatas apa yang telah digariskan oleh Barat.
Oleh kerana ini adalah realiti yang kita hadapi, maka kita dipaksa tunduk kepada realiti ini dan sebarang usaha untuk merubahnya akan dianggap ‘tidak sah’ dan bahaya. Penjajah kafir dengan ini berjaya meletakkan bahawa mana-mana perjuangan untuk menegakkan hukum al-Quran, meskipun dengan jalan yang benar, hendaklah tunduk kepada undang-undang manusia, jika tidak, maka perjuangan tersebut adalah tidak sah dan berbahaya, apatah lagi jika perjuangan itu adalah untuk menegakkan hukum Islam secara kaffah. Mereka seterusnya mempropagandakan bahawa mana-mana umat Islam yang ingin kembali menerapkan hukum al-Quran, maka ini adalah golongan ortodoks (kuno) dan ketinggalan zaman. Malah mereka akan menggelar golongan yang ingin kembali menerapkan hukum sebagaimana yang diterapkan di zaman Rasulullah dan para sahabat sebagai golongan kejam(barbaric), ekstrem, radikal, teroris dan sebagainya. Ini dilakukan bertujuan untuk menakut dan menjauhkan umat Islam dari hukum-hukum al-Quran. Dengan pertolongan dari golongan Muslim sekular, maka Barat telah berjaya memastikan hukum al-Quran tidak ditegakkan dan nas-nas yang ada di dalam al-Quran ditafsirkan sesuai dengan realiti yang ada dan mesti tunduk kepada realiti tersebut.
Beristidlal Dengan Imam Syafie
Bagi sebahagian umat Islam yang ikhlas, mereka sebenarnya telah terkeliru dalam hal ini (Islam berubah mengikut zaman dan tempat) dengan beristidlal (berdalil) dengan Imam Syafie rahimahullah. Menurut mereka Imam Syafie telah berubah di dalam ijtihadnya semasa berada di Iraq dan di Mesir. Perbincangan ini terkenal dengan istilah qaul qadim (pendapat dahulu) dan qaul jadid (pendapat baru) Imam Syafie. Kekeliruan kefahaman ini dapat dilihat dari tiga sisi. Pertama; Imam Syafie sendiri tidak pernah mengeluarkan kaedah ini (hukum berubah mengikut zaman dan tempat), tetapi orang lainlah yang menyandarkan kaedah ini berdasarkan perbuatannya. Kedua; mereka yang menyandarkan kaedah ini kepada Imam Syafie sebenarnya tidak mengkaji betul-betul apa yang berlaku ke atas Imam Syafie, lalu mereka telah terjerumus ke dalam salah faham yang fatal. Bagi sebahagian yang lain pula (yang tidak mengkaji), mereka hanya mengikut pendapat orang yang terdahulu tanpa ilmu (taqlid buta). Ketiga; kesalahan mengambil atau meletakkan Imam Syafie sebagai sumber hukum (beristidlal dengan Imam Syafie), walhal yang wajib dijadikan sumber hukum (atau beristidlal) adalah al-Quran dan Sunnah. Imam Syafie hanyalah seorang mujtahid yang juga wajib mengambil sumber hukum dari al-Quran dan Sunnah. Maksudnya, apabila dikatakan kita mengambil pendapat Imam Syafie, ia sepatutnya difahami sebagai mengambil hukum syara’ yang diijtihadkan atau difahami oleh Imam Syafie. Dalam konteks ini, yang kita pegang adalah hukum syara’, bukannya hukum Imam Syafie. Ini adalah kerana hukum itu datangnya dari Allah, bukannya dari Imam Syafie. Imam Syafie hanyalah orang yang mengistinbatkannya berdasarkan kefahamannya sebagai seorang mujtahid.
Untuk melihat dengan lebih mendalam kekeliruan pertama dan kedua di atas, kita harus mengkaji dengan teliti kisah kehidupan Imam Syafie, khususnya proses beliau di dalam menuntut ilmu dan metodologi (kaedah) yang beliau gunakan di dalam berijtihad. Muhammad ibn Idris ibn al-`Abbas, al-Imam al-Syafie, Abu `Abd Allah al-Syafie al-Hijazi al-Qurashi al-Hashimi al-Muttalibi (meninggal 204H), ialah seorang mujtahid mutlak yang begitu unggul dan mempunyai kelebihan yang luarbiasa. Beliau dilahirkan di Gaza pada tahun 150H, tahun meninggalnya Imam Abu Hanifa. Beliau berpindah ke Mekah pada usia dua tahun, setelah kematian bapanya. Di Mekah, beliau belajar dengan dua orang ulama terkenal, Muslim Bin Khalid al Zingi (Mufti Mekah) dan Sufiyan Bin Uyaynah. Imam Syafie telah hafaz al-Quran pada usia tujuh tahun dan ketika berusia 13 tahun, beliau berpindah ke Madinah untuk berjumpa dengan Imam Malik yang begitu kagum dengan kebolehan menghafal dan kecerdikannya. Di Madinah, Imam Syafie banyak didedahkan dengan metodologi (kaedah) usul Imam Malik. Beliau kemudian berpindah ke Baghdad dan berjumpa ulama dari mazhab Hanafi seperti Imam Mohammad Bin al-Hasan al-Shaybani dan di sinilah beliau didedahkan dengan metodologi usul Imam Hanafi. Pengalaman ini memberikan impak yang besar kepada Imam Syafie di dalam membentuk kaedah berfikirnya sendiri.
Beliau kembali semula ke Mekah untuk sementara waktu dan kemudiannya pergi semula ke Baghdad dan pada masa inilah beliau mula menulis kitabnya yang terkenal, al-Risalah, sebuah kitab yang memuatkan metodologi di dalam usul fiqh. Imam Syafie akhirnya membuat keputusan untuk berpindah ke Mesir bagi menyempurnakan kerjanya di dalam hal fiqh dan metodologinya. Di Mesir, Imam Syafie telah didedahkan dengan metodologi usul Imam Laith ibn Saad, seorang mujtahid yang terkenal luarbiasa keilmuannya sehingga Imam Syafie pernah berkata, “Laith adalah lebih faqih dari Malik, tetapi sayang muridnya membiarkannya (tidak meneruskan kesinambungan ajarannya)” [Siyar I’lam al-Nubala’, 8/156]. Di Mesir, Imam Syafie telah menulis edisi terbaru al-Risalah setelah didedahkan dengan pengalaman baru ini. Hal ini menunjukkan bahawa beliau semakin matang di dalam kefahaman dan metodologinya di dalam Usul Fiqh. Imam Shafie bukanlah menukar metodologinya atas sebab perpindahan dari segi geografi kerana perubahan metodologi tidak ada kena mengena dengan perubahan kawasan, tetapi perubahan metodologi itu sendiri bermaksud perubahan cara berfikir dan memahami kaedah. Hal ini diperkuat dengan fakta bahawa Imam Syafie tidak pula berubah pendapatnya semasa berpindah dari Mekah ke Baghdad.
Dr. Muhammad Baltaaji di dalam bukunya, Manahij at Tashri’ al Islaami fil Qarn al Thani al Hijri [Jilid 1 ms. 65] menyatakan, “Shafie dikritik kerana perubahan-perubahan yang dibuatnya, tetapi Syafie menjawab setiap kritikan tersebut. Ibn Abi Hatim melaporkan bahawa Shafie pernah bertanya Amr Bin Sawad al-Serhi, ‘kenapa kamu tidak menyalin kitabku?’ tetapi Amr diam. Kemudian seorang lain memberitahu Syafie, ‘dia (Amr) menyatakan bahawa kamu (Syafie) menulis dan merubah, kemudian menulis lagi dan merubah lagi’. Maksudnya, ‘perubahan’ inilah yang menjadi sebab kenapa Amr tidak menyalin kitab Syafie. Kemudian Imam Syafie menjawab, ‘sekarang ia (kitabku) telahpun sempurna’. Hal ini jelas membuktikan bahawa al-Risalah yang ditulisnya di Baghdad masih belum lengkap, dan beliau hanya menyempurnakannya semasa di Mesir. Tambahan pula, semasa di Baghdad, beliau mula menulis di dalam usia yang masih muda dan belum terdedah kepada banyak lagi metodologi usul, sebagaimana yang beliau dapati/pelajari semasa di Mesir. Perubahan ini langsung tidak ada kena mengena dengan perubahan tempat/geografi.
Kita juga perlu ingat bahawa ketika itu, kehidupan di Mekah, Baghdad mahupun Madinah adalah sama. Mereka semuanya hidup dalam suasana Islam di era/zaman yang sama. Tambahan lagi mereka sebenarnya berada dalam negara yang satu yakni Negara Khilafah di mana penerapan hukum berlaku sama di seluruh negara. Inilah penjelasan kisah pembelajaran Imam Syafie secara ringkas. Walaupun kami tidak dapat menerangkan secara terperinci akan banyak lagi perkara yang membuktikan hal ini (kerana keterbatasan ruang), cukuplah sekadar menjernihkan semula kefahaman di kalangan mereka yang ikhlas dan terkeliru akan ‘perubahan hukum’ yang diistidlalkan kepada Imam Syafie, walhal Imam Syafie sendiri tidak pernah berkata atau berpendapat sedemikian. Ingatlah bahawa hukum solat dan puasa itu tetap tetap wajib dan hukum riba dan zina itu tetap haram sampai bila-bila pun dan di mana pun tempatnya, samada di Iraq ataupun Mesir. Begitu jugalah dengan hukum-hukum Allah yang lainnya. Tidak ada seorangpun yang boleh merubah hukum Allah kecuali Allah sendiri!
Hukum Samasekali Tidak Berubah Mengikut Zaman/Tempat
Bagi yang masih keliru, mereka berhujah dengan menyatakan bahawa hukum itu berubah mengikut masa dan tempat kerana perbezaan urf (adat). Urf di satu tempat berbeza dengan tempat yang lain dan Islam membenarkan urf ini sehingga ada di kalangan mereka yang berpendapat bahawa urf adalah sebahagian dari sumber hukum. Sesungguhnya hal ini jelas keliru dan mengelirukan. Adapun perubahan urf (samada tradisi atau adat istiadat manusia), langsung tidak ada kena mengena atau mempengaruhi perubahan hukum, kerana urf bukanlah merupakan ‘illat (dasar kewujudan) suatu hukum. Urf adakalanya bertentangan dengan syara’, adakalanya tidak. Apabila bertentangan dengan syara’ maka syara’lah yang diikut. Syara’ akan menghapus dan merubahnya, sebab salah satu fungsi syari’at adalah untuk merubah urf yang rosak yang menjadi penyebab rosaknya masyarakat. Inilah sebabnya kenapa urf tidak boleh dijadikan dasar maupun illat hukum syara’. Hukum Allah samasekali tidak berubah kerana urf. Apabila urf tidak bertentangan dengan syara’ maka hukum tersebut adalah diambil atau ditetapkan berdasarkan dalil syara’, mengikut illat syar’iyyahnya, bukan kerana urfnya.
Sebagai contoh, kita lihat adat orang Melayu membuka kasut/selipar apabila memasuki rumah. Adat ini sememangnya tidak menyalahi syara’, tetapi adat ini bukan menjadi dalil untuk menetapkan hukum, apatah lagi untuk merubah hukum. Maksudnya, jika orang Islam Amerika datang ke Malaysia, adakah dia ‘wajib’ membuka kasut, kerana ini adalah urf di sini? Jika urf boleh dijadikan dalil untuk menetapkan hukum, maka orang Islam Amerika tadi wajiblah membuka kasutnya. Tentulah hukumnya bukan begini. Oleh itu, kita membuka kasut/selipar sebelum memasuki rumah kerana syara’ membenarkannya, bukannya kerana urf yang membenarkannya. Dalam masa yang sama, syara’ juga tidak pernah menghalang seseorang untuk masuk ke rumah dengan berkasut. Dengan kata lain walaupun masuk ke rumah dengan berkasut adalah menyalahi urf (dalam masyarakat Melayu), tetapi ia tidak menyalahi syara’. Jadi ukuran kita di sini adalah syara’, bukannya urf. Oleh itu, jika orang Islam Amerika masuk ke rumah (sama ada di Amerika atau di Malaysia) dengan berkasut, ini sesungguhnya tidak menyalahi syara’, sebagaimana tidak salahnya orang Islam Melayu masuk ke rumah (sama ada di Malaysia atau di Amerika) dengan membuka kasut. Justeru, walaupun adat kedua-dua bangsa ini berbeza, tetapi langsung tidak ada perubahan hukum walaupun ada perubahan urf di dua tempat yang berlainan. Kedudukan ini terpakai untuk apa jenis urf sekalipun, kerana yang dinilai adalah syara’, bukannya urf. Berdasarkan hal ini kita perlu fahami bahawa hukum-hukum syara’ itu ditetapkan berdasarkan dalil/nas tidak ada kaitannya sedikitpun dengan tradisi maupun urf secara mutlak.
Kesesuaian syari’at Islam untuk setiap waktu dan tempat adalah disebabkan syariat Islam itu mampu mengatasi dan menyelesaikan berbagai masalah manusia di setiap waktu dan tempat dengan berbagai macam hukum-hukumnya. Bahkan Islam mampu menyelesaikan semua masalah manusia walau bagaimana luas dan beraneka ragam sekalipun. Ini adalah kerana tatkala syara’ menyelesaikan masalah manusia, ia didasarkan kepada sifat alami manusia yang tidak akan pernah berubah sejak manusia diciptakan sehinggalah ke hari kiamat. Manusia pada setiap masa dan tempat adalah tetap sebagai manusia. Gharizah (naluri) dan Hajatul Udhawiyah (keperluan jasmani) manusia, selamanya tidak akan berubah. Demikian pula hukum-hukum penyelesaiannya juga tidak berubah. Yang berubah hanyalah sarana atau teknologi di dalam kehidupan manusia. Adapun mengenai tuntutan kehidupan yang sentiasa muncul dalam bentuk yang berbeza-beza, ia pada hakikatnya adalah manifestasi berbeza-beza dari gharizah dan keperluan jasmani manusia (yang tetap tidak berubah). Hal seperti inilah yang menjadi salah satu faktor perkembangan fiqh di dalam Islam. Namun demikian, keluasan syari’at tidak berarti syari’at itu fleksibel sehingga dapat disesuaikan dengan segala sesuatu walaupun bertentangan dengan syara’. Tidak berarti juga bahawa syari’at itu berubah secara beransur-ansur sehingga dapat diubah sesuai dengan zaman. Akan tetapi, yang dimaksudkan dengan keluasan nas-nas syara’ adalah sebagai sumber pengambilan berbagai macam hukum dan keluasan hukum untuk mengatasi beraneka ragamnya masalah manusia. Sebagai contoh, kita perhatikan firman Allah:
“… kemudian jika mereka menyusukan (anak-anak)mu untukmu, maka berilah kepada mereka upahnya …”
[TMQ At-Thalaq (65):6].
Dari ayat ini dapat diambil hukum syara’ bahawa wanita yang ditalak berhak mendapatkan upah menyusukan anak. Dari ayat yang sama dapat juga diambil hukum syara’ bahawa seorang pekerja, apapun jenisnya, berhak menerima upah apabila melakukan pekerjaannya, baik ia sebagai pekerja umum (public worker) maupun khusus (private worker). Hukum ini juga berlaku terhadap beberapa masalah hukum di antaranya bahawa seorang pekerja sektor awam, pekerja kilang, buruh kasar dan sebagainya, masing-masing berhak menerima upahnya apabila ia telah menyempurnakan pekerjaannya kerana statusnya sebagai ajir al-khas (pekerja khusus). Begitu pula seorang tukang kayu yang membuat almari, penjahit yang menjahit baju, tukang kasut yang membuat kasut dan yang sejenisnya, masing-masing berhak menerima upah apabila telah melakukan pekerjaannya, kerana statusnya sebagai ajir al-am (pekerja umum). Keluasan nas syara’ seperti inilah, dalam pengambilan hukum-hukum yang beraneka ragam dan keluasan hukum untuk mengatasi beraneka macam masalah manusia, yang menjadikan syari’at Islam mampu menyesaikan seluruh masalah kehidupan di setiap zaman dan tempat, di setiap umat serta generasi. Keluasan hukum itu sendiri bukan bermaksud hukum itu fleksibel dan boleh berubah mengikut zaman dan tempat, tetapi ia bermaksud betapa dinamiknya nas syara’ (yang sedia ada di dalam al-Quran dan Sunnah) di dalam menyelesaikan masalah manusia di zaman manapun dan di kawasan manapun ia berada.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Allah Yang Maha Mencipta telah mencipta kita dan mencipta hukum untuk kita. Hukum yang Allah cipta ini tidak pernah berubah kecuali kerana dua sebab sahaja. Pertama kerana berlakunya nasikh-mansukh, yang mana Allah sendiri atau melalui lisan NabiNya Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam memansukhkan hukum tersebut. Hal ini hanya berlaku semasa Rasulullah masih hidup sahaja kerana hukum masih lagi turun. Setelah kewafatan baginda, maka agama ini telah lengkap dan sempurna dan tidak ada lagi perubahan padanya. Justeru, jika berlaku juga perubahan kepada hukum Allah, maka ini sudah tentu berlaku kerana sebab yang kedua, yakni manusialah yang merubah hukum Allah itu. Sesungguhnya tidak pernah berlaku perubahan di dalam hukum Allah sejak wafatnya Rasulullah kecuali perubahan hukum itu berlaku disebabkan oleh tangan-tangan keji manusia yang merubahnya. Oleh itu saudaraku, berhati-hatilah dengan seruan untuk mengkaji dan menafsirkan semula al-Quran agar kita tidak berada di lembah kemaksiatan yang dipenuhi dengan manusia fasik yang merubah hukum Allah dengan tangan-tangan mereka. Na’uzubillah min zalik. Semoga Allah memelihara kita dari mereka.