SN131 – ADAKAH MATLAMAT MENGHALALKAN CARA?
SN Keluaran 2007
[SN131] Isu kecurian kenderaan mewah di negara ini yang didalangi sindiket antarabangsa bukanlah satu perkara baru, tetapi apabila Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee mendedahkan kemungkinan sindiket tersebut menggunakan wang hasil kegiatan itu untuk membiayai operasi jenayah termasuk pertubuhan pengganas di luar negara, ia satu berita yang agak mengejutkan. Walaupun tiada bukti untuk mengesahkan kesahihan kewujudan hal itu kerana polis masih melakukan siasatan, berita mengenainya sudah tersebar ke seluruh dunia kerana hampir semua agensi berita asing yang berpejabat di Kuala Lumpur memetik kenyataan beliau dan sesetengah agensi terbabit pula mengaitkannya dengan Osama bin Laden. Agensi berita AFP menyebut bahawa negara-negara Asia Tenggara digunakan sebagai transit untuk menyeludup kereta mewah, dan mengaitkan rantau ini sebagai kubu Jemaah Islamiyah (JI) yang disifatkannya sebagai sayap rangkaian al-Qaeda pimpinan Osama di Asia Tenggara [BH 11/07/2007]. Andaian ini dilakukan Christopher setelah melihat peningkatan mendadak kadar kecurian kereta mewah. Beliau berkata, jenayah curi kereta terutama kereta mewah semakin menjadi-jadi di negara ini apabila secara purata 1,000 kes kehilangan kereta dilaporkan setiap bulan. Statistik menunjukkan sebanyak 4,907 buah kereta hilang di Malaysia dalam tempoh lima bulan pertama 2007 berbanding 4,398 buah dalam tempoh yang sama tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 11.5% [UM 12/07/07].
Dalam responnya terhadap isu ini, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin telah membangkitkan pertanyaan dalam sidang Parlimen kepada Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd. Johari Baharum samada kenyataan Christopher itu benar atau ia cuma satu dakwaan kosong sahaja. Beliau berkata, “Kalau kenyataan Christopher ini cuma andaian, ia amat serius dan boleh menjejaskan nama baik negara serta bakal mengundang kritikan daripada masyarakat antarabangsa… kalau kenyataan ini tidak benar, saya mahu tindakan diambil. Jangan buat andaian sahaja. Ia merosakkan imej negara kita…”, katanya. Mohd. Johari kemudian berkata, beliau turut bersetuju dengan pandangan Bung Moktar itu dan akan memanggil Christopher untuk memberi penjelasan berhubung perkara itu [UM 11/07/07].
Sebagaimana disebutkan di atas, isu kecurian samada kereta mewah atau tidak bukanlah satu perkara baru, tetapi yang ‘baru’nya ialah apabila kes kecurian kereta tersebut dikaitkan dengan ‘pengganas’, apatah lagi ia dikatakan melibatkan ‘pengganas antarabangsa’. Jika diperhatikan dengan teliti, secara spesifiknya, kenyataan Christopher menjurus kepada isu ‘sumber kewangan’ pengganas di peringkat antarabangsa. Sautun Nahdhah yang ada di tangan para pembaca yang dikasihi kali ini bukanlah bertujuan untuk melangkau bidang kuasa PDRM dalam mengesahkan andaian yang dibuat oleh Pengarah CID ini, namun fikrah yang ingin kami sampaikan adalah tentang propaganda yang dimainkan oleh rejim Amerika Syarikat (AS) dan Britain terhadap gerakan Islam, khususnya yang bergerak di peringkat antarabangsa dan kami seterusnya akan menjelaskan dari segi hukum, apakah sebuah gerakan Islam dibenarkan oleh syara’ untuk mendapat atau menggunakan dana yang haram bagi membiayai pergerakan mereka.
Propaganda Barat Terhadap Sumber Kewangan ‘Pengganas’
Umum telah mengetahui bahawa jika Barat menyebut ‘perang melawan pengganas’ ini sebenarnya bermaksud ‘perang melawan Islam’. Ini kerana istilah ‘pengganas’ dalam konteks hari ini ditujukan khusus oleh Barat kepada kaum Muslimin. Barat tidak akan merujuk sesebuah kumpulan itu sebagai pengganas kecuali ia terdiri dari umat Islam. Dalam menetapkan status ‘pengganas’ mereka tidak membezakan samada gerakan Islam tersebut melakukan tindakan fizikal atau tidak. Bagi Barat, semua gerakan Islam yang memegang aspirasi untuk menghidupkan semula Islam dalam kehidupan sudah layak ditanggapi dengan status ‘teroris’. Propaganda ini dimainkan kerana Barat mahu seluruh dunia bersama mereka atau sependapat dengan mereka, bahawa jika mereka sebut sahaja istilah ‘pengganas’, maka akan terus terlintas di pemikiran setiap orang bahawa mereka ini (pengganas) adalah kaum Muslimin. Melalui propaganda ini, Barat mengharapkan agar kaum Yahudi dan Nasrani yang lain di seluruh dunia akan bersama mereka di dalam memerangi umat Islam. Di samping itu, mereka juga mengharapkan agar para pemimpin dunia Islam pun akan bersama mereka untuk memerangi mana-mana gerakan Islam yang mereka labelkan sebagai ‘pengganas’. Barat sedar bahawa perang mereka secara fizikal dengan membunuh dan memenjarakan umat Islam tidak pernah dapat menghentikan perjuangan umat Islam, justeru, Barat cuba untuk menghentikan gerakan-gerakan ini dengan turut memainkan propaganda busuk dengan harapan ‘dana’ yang membiayai pergerakan ini dapat mereka kesan, sekat dan hapuskan.
Mengikut dakwaaan sebuah laman web dari Australia berkenaan sumber kewangan ‘pengganas Islam’ yang mereka lakukan dalam bentuk andaian dan kemungkinan tanpa bukti yang sahih, pertubuhan pengganas ini mendapat sumber kewangan dari beberapa sumber yang sah dan juga haram, seperti (1) Aktiviti Haram: Pengganas mendapat sumber kewangan dari aktiviti seperti pengedaran dadah, penyeludupan, penculikan dan paksaan. Pengedaran dadah memberikan pulangan yang amat lumayan. (2) Individu-individu yang kaya: Sumber kewangan yang kritikal untuk anggota ‘pengganas’ ini adalah dari individu yang kaya. Osama bin Laden, seorang dari keluarga kaya Arab Saudi, telah menjadi penyumbang utama dalam rangkaian al-Qaeda. (3) Kebajikan dan Institusi Agama: Institusi Kebajikan dan Agama boleh menjadi sumber kepada dana ‘pengganas’. Ia merupakan saluran yang ideal kerana kurangnya pemantauan undang-undang dan mereka tidak perlu menyediakan penyata kewangan komersial untuk aktiviti ini. (4) Badan-badan Komersil: Pertubuhan ‘pengganas’ boleh jadi atau memang memiliki badan-badan komersial yang sah untuk menjana keuntungan dan mencampur-adukkannya dengan sumber haram. Ini termasuklah perniagaan barang kemas, syarikat perdagangan, kedai serbaneka, usahasama hartanah dan syarikat pengurusan. (5) Negara-negara penaja: Beberapa negara yang ‘biadab’ telah diketahui menyediakan pertolongan, bantuan kewangan dan tempat persinggahan yang selamat untuk organisasi pengganas. Sebagai contoh, negara Afghanistan yang pernah dikuasai oleh Taliban. [http://www.austrac.gov.au/aml_elearning/html_version/html/aml_14.html akses pada 16/07/07].
Kaedah ‘Matlamat Menghalalkan Cara’
Kaedah ‘Matlamat Menghalalkan Cara’ kerap dikaitkan dengan cetusan oleh Machiavelli di dalam karyanya mengenai pentadbiran negara, ‘The Prince’, bahawa kesesuaian sepatutnya menjadi asas suatu tindakan. Ini dapat dilihat dari ungkapannya, “In the actions of all men, we must look to the end. Let a prince, therefore, win victories and uphold his state; his methods will always be considered worthy, hence the dictum, ‘the end justifies the means.’” (“Dalam tindakan setiap manusia kita mesti melihat kepada penyudahnya (matlamat yang ingin dicapai). Jadi biarlah seorang putera(raja) mendapat kemenangan dan mempertahankan negaranya; kaedah yang diambilnya akan sentiasa dianggap berbaloi, maka timbullah pernyataan, ‘matlamat menghalalkan cara’”) [Niccolo Machiavelli, The Prince]. Secara ringkasnya, kaedah ini bermaksud, seseorang itu boleh melakukan apa sahaja atau mengambil apa jua cara (walaupun salah) demi untuk mencapai matlamat atau tujuannya. Ini adalah kerana yang penting atau yang diambil kira ialah matlamat, yakni tercapainya matlamat, walau dengan apa cara sekalipun.
Kaedah ini sering dipraktikkan oleh kaum kuffar untuk memadamkan cahaya Islam di muka bumi ini. Walaupun ungkapan ‘matlamat menghalalkan cara’ tidak dikenal pada zaman awal Islam, tetapi dari segi aplikasinya ia telah dilakukan oleh kaum Yahudi dan kafir Quraisy. Contoh yang jelas boleh diambil dari peristiwa setelah Rasulullah Salallahu ‘alaihi wa Sallam mendirikan negara Islam pertama di Madinah di mana beberapa puak Yahudi telah dihalau keluar kerana membuat onar dan kekacauan dalam negeri. Ia bermula dengan pengusiran Yahudi Bani Qainuqa’ yang dicetuskan oleh sikap biadab Yahudi sehingga tersingkapnya aurat seorang Muslimah. Kemudian diikuti oleh Yahudi Bani Nadhir yang merancang satu konspirasi untuk membunuh Nabi Muhamad Salallahu ‘alaihi wa Sallam. Melihat kepada perkembangan ini, kaum Yahudi berfikir, samada mereka ingin membiarkan keadaan terus begini (dihalau) dan mengalah, atau mereka mesti melakukan sesuatu untuk membalas dendam, di mana mereka boleh menghasut orang-orang Arab untuk membalas dendam terhadap Muhammad. Mereka berfikir bahawa jika keadaan ini dibiarkan, umat Islam akan menjadi semakin kuat manakala mereka pula (Yahudi) menjadi pelarian.
Bermatlamat untuk menghapuskan Muhammad dan Islam, maka Yahudi mula berfikir bagaimana hendak menghasut orang-orang Arab demi mencapai tujuan mereka. Untuk melaksanakan rancangan ini, beberapa orang dari kalangan Yahudi pergi menemui kafir Quraisy di Mekah. Mereka terdiri dari Huyay bin Akhtab, Sallam bin Abil-Huqaiq dan Kinana bin Abil-Huqaiq. Mereka pergi bersama-sama dengan beberapa orang dari Bani Wa’il Hawadha bin Qais dan Abu ‘Ammar. Ketika bertemu dengan penduduk Mekah, Huyay ditanya oleh kafir Quraisy mengenai (persediaan) kaumnya, maka dia menjawab, “Mereka saya biarkan mundar-mandir ke Khaibar dan ke Madinah sehingga tuan nanti datang ke tempat mereka dan berangkat bersama-sama menghadapi Muhammad dan sahabat-sahabatnya”. Ketika dia diajukan soalan tentang Bani Quraizah, dia menjawab, “Mereka tinggal di Madinah sekadar mahu mengelabui mata Muhammad. Seandainya pihak tuan datang, mereka akan bersama-sama memihak kepada tuan”. Kafir Quraisy menjadi ragu-ragu sama ada mahu terlibat atau menarik diri. Untuk menenangkan keadaan ini, kafir Quraisy bertanya kepada Yahudi berkenaan status/kedudukan mereka (Quraisy) berbanding Muhammad, jika ada jawapan yang kukuh (dari Yahudi) maka mereka akan menyertai pakatan Yahudi menyerang Madinah [Sejarah Islam, Khir Haikal, Perang Khandak]. Ibn Katsir mengemukakan beberapa hadis semasa menafsirkan ayat berhubung peristiwa ini, antaranya:
Dari Ikrimah dia berkata,
“Huyay bin al-Akhtab dan Kaab bin al-Asyraf mendatangi penduduk Mekah, mereka (Quraisy) bertanya, ‘Kamu Ahli Kitab dan Ahli Ilmu, maka ceritakan perbandingan kami dengan Muhamad’; mereka (dua Yahudi) berkata ‘Terangkan kepada kami tentang kamu (Quraisy) dan Muhammad’. Mereka (Quraisy) berkata ‘Kami menjaga silaturahim, kami menyembelih unta (untuk orang miskin), memberi minum mereka susu, membebaskan mereka dari hutang dan kami memberi minum orang yang berhaji, sedangkan Muhammad adalah punca terputusnya silaturrahim, orang yang mengikut mereka (pengikut Muhammad) merompak orang yang berhaji dari Bani Ghifar, jadi siapakah yang lebih baik, kami atau dia?’. Mereka (Yahudi) berkata ‘Kamu (Quraisy) lebih baik dan lebih berpetunjuk’” [HR Ibn Abi Hatim].
Makar jahat Yahudi ini menjadi asbab kepada penurunan ayat,
“Apakah kamu (wahai Muhammad) tidak memperhatikan orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari al-Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada jibt dan taghut (benda-benda yang disembah selain dari Allah), dan mereka mengatakan kepada orang-orang kafir (kaum Musyrik di Mekah) bahawa mereka (kaum musyrik itu) lebih benar jalannya dari orang-orang yang beriman” [TMQ al-Nisa’ (4):51].
Dari riwayat ini jelas menunjukkan bahawa kaum Yahudi terlaknat ini sanggup memuji dan menyatakan kafir Quraisy adalah lebih berpetunjuk dari Muhammad, yang mana mereka, dalam hal ini, telah jelas-jelas menafikan ajaran kitab (Taurat) mereka sendiri; bahawa sebenarnya ajaran Muhammad dan pengikutnyalah yang lebih baik dan lebih berpetunjuk dari golongan Musyrikin. Jika dilihat dari asbabunnuzul (sebab turunnya ayat) ini, ia jelas menunjukkan sikap Yahudi yang sanggup menggadaikan aqidah tauhid mereka demi mencapai matlamat untuk membentuk pasukan al-Ahzab bagi menghapuskan Muhammad. Mereka sanggup menggunakan apa jua cara asalkan matlamat mereka tercapai.
Sebenarnya kaedah ‘matlamat menghalalkan cara’ ini boleh kita temui di mana-mana sahaja dalam arena kehidupan, dari dahulu hingga sekarang. Bagi sesiapa yang mengkaji sejarah Perang Dunia Kedua, mereka akan mengetahui bahawa AS mula terlibat di dalam perang ini setelah serangan di lakukan ke atas Pearl Harbour. Tetapi tidak ramai yang menyedari bahawa AS pada waktu itu ‘sengaja’ membiarkan Pearl Harbour diserang untuk dijadikan justifikasi keterlibatannya di dalam perang ini. Ini sebenarnya dilakukan untuk membolehkan mereka masuk ke kancah peperangan untuk mencapai matlamat mereka menjadi superpower dunia. Ternyata, AS berjaya menjadi kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua dan setelah mengorbankan ramai tenteranya yang berpengkalan di Pearl Harbour. AS di bawah pentadbiran George W. Bush laknatullah juga menggunakan kaedah yang sama di dalam matlamatnya untuk memerangi Islam dan menguasai negeri-negeri kaum Muslimin. Sudah terlalu banyak bukti mengaitkan rejim AS dengan ‘penumbangan’ bangunan berkembar WTC yang membunuh lebih kurang 3,000 rakyatnya sendiri. Ini dengan begitu ‘convenient’(mudah) dijadikan alasan oleh rejim AS untuk memburu dan membunuh umat Islam sewenang-wenangnya dan mewar-warkan matlamat ‘murni’ mereka untuk menghapuskan ‘pengganas’.
Kita menyaksikan bahawa apa jua cara telah dan sedang digunakan oleh kaum kuffar laknatullah ini demi untuk mencapai matlamat mereka. Bermula dengan matlamat untuk menghapuskan pengganas, kemudian isu WMD (senjata pemusnah besar-besaran) yang tidak pernah ditemui hingga kini, seterusnya matlamat untuk menghapuskan kediktatoran Saddam Hussein – semuanya telah dilakukan mereka tanpa menghiraukan caranya, salah atau tidak; yang penting matlamatnya tercapai. Sehingga kini, AS ternyata ingin terus tinggal di Iraq bagi memastikan pemerintah Iraq mestilah dari boneka mereka (sebagaimana Hamid Karzai di Afghanistan), jadi, AS meletakkan satu matlamat baru – memastikan pemerintahan demokrasi di Iraq, agar kepentingan mereka di sana terus kekal. Dalam mencapai matlamat ‘suci’nya ini, sudah ribuan umat Islam dibunuh oleh AS dan ratusan ribu lagi menderita.
Apa yang lebih menyedihkan kita adalah terdapat di kalangan umat Islam sendiri yang telah mengambil kaedah Machiavelli ini. Umat Islam ada yang sanggup melakukan apa sahaja termasuk cara yang haram demi mencapai matlamat mereka. Matlamat berlandaskan suatu ‘kesucian atau kemurnian’ sering dijadikan justifikasi untuk menghalalkan apa sahaja tindakan yang mereka ambil. Hal ini dapat dilihat pada individu, gerakan Islam mahupun pihak pemerintah. Contohnya, atas matlamat suci untuk menyara keluarga, ada pihak yang membenarkan ibu tunggal untuk melacur kononnya kerana darurat. ‘Matlamat suci’ di sini telah digunakan untuk menghalalkan perkara yang jelas-jelas haram. Sama juga seperti matlamat ‘suci’ untuk menjaga keamanan, maka pemerintah akan melakukan tindakan walaupun ia bertentangan dengan Islam. Tahanan tanpa bicara umpamanya, adalah satu perkara yang bercanggah dengan hukum Islam, tetapi dilakukan oleh pemerintah dalam mencapai matlamat mereka. Di dalam Islam, terdapat kaedah yang berbunyi “al-aslu bara’atu zimmah” (hukum asal (bagi seseorang manusia) itu adalah ia tidak bersalah sehingga dibuktikan/innocent until proven guilty), di mana mengikut hukum Islam, tidak boleh menahan atau menghukum seseorang individu itu sehinggalah ia dihadapkan ke Mahkamah. Mahkamahlah yang akan menjatuhkan hukuman ke atas orang itu setelah dibuktikan ia bersalah.
Matlamat Tidak Menghalalkan Cara
Sesungguhnya konsep ‘matlamat menghalalkan cara’ ini tidak pernah ada di dalam Islam. Halal dan haram dalam Islam adalah ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala, bukannya ditentukan oleh matlamat yang ingin diraih. Justeru, konsep ini wajib ditolak oleh umat Islam kerana matlamat sekali-kali tidak boleh/tidak akan menghalalkan cara (al-ghayah la tubariru al-wasithah). Atas dasar peri pentingnya hal ini, Hizbut Tahrir telah memasukkan perkara ini dan diterangkan dengan panjang lebar di dalam Rang Perlembagaan (Muqaddimah Dustur) Daulah Islam, Bahagian Polisi Luar Negeri, Perkara 178, yang berbunyi, “Matlamat tidak menghalalkan segala cara, kerana metode perlaksanaan (tariqah) mestilah seiring dengan fikrah. Oleh itu tidak boleh menggunakan jalan yang haram untuk mencapai matlamat yang wajib ataupun (matlamat) yang mubah. Oleh itu sarana politik tidak boleh bercanggah dengan metode politik” [Nizhamul Islam, Syeikh Taqiuddin al-Nabhani].
Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menjadikan hukum-hakam sebagai penyelesaian (mu’alajah) kepada permasalahan manusia, seperti jual-beli dan ijarah (penggajian), penubuhan syarikat dan sebagainya. Untuk memastikan penerapannya (tatbiq) dilakukan dengan benar di antara manusia maka wujudlah hukum-hakam seperti uqubat (jinayat, hudud, ta’zir dan mukhalafat). Islam juga menyelesaikan masalah hubungan luar negeri antara Negara Kufur dan Daulah Islam dengan hukum-hakam yang jelas seperti hukum mu’ahadah (perjanjian), musta’min (visa/jaminan keselamatan), hukum-hakam berkaitan dengan Darul Harb dan lain-lain. Dalam konteks ini, perlaksanaannya dijelaskan lagi dengan adanya hukum lain seperti memelihara darah kafir Musta’min dan hartanya sebagaimana kaum Muslimin, keharaman memerangi kaum kuffar sehingga disampaikan dakwah dalam bentuk yang menarik kepadanya dan sebagainya.
Dari itu, tidak dibolehkan berkhianat untuk mendapat pertolongan dan tidak boleh melanggar perjanjian untuk mendapatkan kemenangan perang. Sebagaimana ‘matlamat’ itu sendiri harus sesuai dengan hukum syara’, maka sesuatu cara/jalan untuk mencapai matlamat tadi juga mestilah dibenarkan oleh syara’. Ini adalah kerana matlamat dan cara adalah perkara yang bersangkutan dengan perbuatan manusia. Maka, yang menjadikan sesuatu perbuatan itu mubah atau terlarang adalah dalil syara’, bukannya ‘natijah’ yang terhasil atau matlamat yang ingin diraih. Ini adalah kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,
“Hukumlah di antara mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah” [TMQ an-Nisa’ (4):59],
bukannya berhukum dengan ‘natijah’ sesuatu perbuatan ataupun dengan matlamat yang ingin diraih semasa melakukan perbuatan tersebut. Oleh itu, hukum ‘cara’ mestilah diambil sebagaimana hukum ‘matlamat’ – iaitu dari syara’. Dalil syara’lah yang menetapkan kewajiban suatu matlamat atau keharamannya. Setiap perbuatan Muslim wajib berjalan mengikut syara’, iaitu mengikut nas yang telah ditetapkan. Ini adalah kerana definisi hukum syara’ itu sendiri adalah seruan pembuat hukum (Allah) yang berkaitan dengan perbuatan hamba – adalah satu perkara yang wajib untuk memastikan bahawa setiap perbuatan Muslim terikat dengan hukum Islam. Berdasarkan hujjah ini, kaum Muslimin hendaklah mengingkari dan dituntut untuk menolak kaedah ‘matlamat menghalalkan cara.’ [Muqaddimah Dustur, Syeikh Taqiuddin Al-Nabhani].
Wahai kaum Muslimin! Kami dengan ini ingin mengingatkan kalian agar tidak terjerumus ke dalam kesalahan dengan mengambil jalan yang haram atau menghalalkan suatu yang haram di dalam mencapai suatu matlamat, walaupun matlamat yang ingin dicapai itu hukumnya wajib sekalipun. Kami juga ingin mengingatkan kalian agar janganlah terpengaruh dengan propaganda Barat mengenai gerakan ‘pengganas Islam’ yang mengambil jalan haram untuk mencapai matlamat. Sesungguhnya apa yang haram ialah apa yang dikatakan oleh Allah sebagai haram, bukannya apa yang dikatakan haram oleh golongan kuffar. Sekiranya benar wujud gerakan Islam yang melakukan aktiviti haram (haram berdasarkan nas) untuk membiayai perjuangannya, maka kami ingin mengingatkan mereka bahawa hal ini adalah salah dan haram. Perlu diperhatikan bahawa kita adalah kaum Muslimin, bukan penganut pandangan Machiavelli. Kita perlu berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam di dalam perjuangan ini. Jika ada yang berpendapat bahawa matlamat mereka adalah suci yakni untuk menegakkan Islam, jadi apa jua cara boleh digunakan asalkan Islam itu tertegak, maka ini adalah suatu kesalahan dan keharaman. Merompak untuk mendapatkan dana bagi menegakkan Islam adalah haram. Begitu juga dengan mencuri kereta adalah perkara yang diharamkan dalam Islam berdasarkan nas yang qat’i(pasti). Jadi, apa sahaja cara yang bertentangan dengan nas (samada al-Quran atau Hadis) untuk mencapai suatu matlamat, walau matlamat yang wajib sekalipun, maka hal ini adalah jelas-jelas merupakan satu keharaman.
Kesimpulan
Wahai kaum Muslimin! Ingatlah bahawa agama ini milik Allah dan Allah sahajalah yang berhak menentukan yang halal dan haram. Ingatlah bahawa Rasulullah merupakan seorang pejuang Islam yang wajib kita jadikan contoh di dalam perjuangan ini. Jika Rasulullah sendiri tunduk dan patuh kepada perintah dan larangan Allah di dalam menegakkan DeenNya, maka sudah semestinyalah kita sebagai umatnya juga wajib berbuat demikian. Ingatlah bahawa kita berjuang untuk menegakkan Islam demi mencapai matlamat akhir kita yakni keredhaan Allah dan syurgaNya dan hal ini tidak akan dapat dicapai sekiranya seseorang itu menempuh jalan yang haram. Ambillah jalan yang direstui oleh Allah dan RasulNya walaupun jalan tersebut dipenuhi liku, onak dan duri. Sesungguhnya jalan inilah yang telah dijejaki dan ditempuhi dengan penuh kesabaran oleh Rasulullah dan para sahabat dan jalan inilah yang akan ditempuh sekali lagi oleh para pejuang yang mengikuti mereka di dalam kebenaran. Sesungguhnya setiap liku yang diambil, setiap onak dan setiap duri yang menusuk, selama mana ia merupakan jalan kebenaran, maka InsyaAllah, onak dan duri inilah yang akan membawa kita ke syurga. Amin ya Rabbal ‘alamin.